Monday, April 26, 2010

Panduan Umrah – 24 – Bersentuh Lelaki Dan Perempuan Semasa Tawaf Tidak Batal Wudhuk

Assalamu'alaikum wm wbr.

Salah satu syarat sah tawaf ialah suci daripada hadas besar dan hadas kecil. Ini bermakna jemaah perempuan haruslah suci daripada haidh dan nifas. Persoalan mengenai jemaah wanita berhaidh telah pun diulas dalam entri sebelum ini. Namun bagi jemaah lelaki, amatlah sukar untuk mengekalkan wudhuk jika berpegang kepada pendapat imam Syafi'ie sebab semasa melakukan tawaf dengan memakai ihram secara ittiba' bahu kanan akan terdadah.  Semasa tawaf ramai jemaah wanita turut melakukan tawaf. Tidak semua jemaah wanita tersebut bermazhab Syafi'ie. Ada yang bermazhab Maliki, Hanbali, atau Hanafi. Bagi mereka bersentuhan antara lelaki dengan perempuan yang ajnabi (boleh berkahwin) adalah tidak membatalkan wuduk. Kebanyakan jemaah wanita tersebut tidak memakai stokin sebagaimana yang dilakukan oleh jemaah wanita dari Malaysia.  Jadi amatlah mudah berlaku sentuhan antara lelaki dan wanita pada bahu dan juga tumit semasa melakukan tawaf sebab keadaan jemaah yang bersesak-sesak. Bahu saya sendiri pernah dipegang oleh seorang ibu dari India atau Pakistan (tak pasti) yang menjadikan saya sebagai perisai semasa tawaf mengelilingi kaabah.

Jadi dalam hal ini, muzakarah ibadah haji kali ke-21 telah membuat suatu keputusan iaitu tidak batal wudhuk jemaah yang berpegang kepada mazhab Syafi'ie ketika berada di tanah Makkah jika bersentuh lelaki dan wanita yang ajnabi (halal berkahwin) dengan syarat tidak ada syahwat.

Berikut adalah keputusan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-21

Pandangan Mazhab Dalam Kes Batal Wudhuk: Pendapat Pilihan Berdasarkan Maslahat Jemaah Haji.

1.  Ruksyah adalah keringanan yang Allah berikan kepada umat Islam dalam melaksanakan perintah-perintah Allah di saat-saat ada darurah, masyaqqah atau haajahAzimah pula ialah suatu kemastian melaksanakan perintah atau hukum Allah dalam apa keadaan sekalipun.

2.  Memilih pendapat selain mazhab Syafi'ie atau menerima pendapat marjuh dalam mazhab Sysfi'ie di dalam melaksanakan ibadat boleh dianggap sebagai satu keringanan atau ruksyah.

3.  Dalam isu batal wudhuk ketika mengerjakan tawaf, maslahat jemaah haji dapat dijamin, masyaqqah dan haaraj mereka seperti kesesakan di tempat tawaf  yang boleh menyebabkan berlaku persentuhan antara lelaki dan perempuan, ia dapat dihindarkan dengan beralih dari pendapat Syafi'ie yang masyhur dan berpegang kepada pendapat marjuh dalam mazhab Syafi'ie.

4.  Jemaah haji / umrah boleh menggunakan pendapat yang mengatakan tidak batal wudhuk jika berlaku persentuhan lelaki dan perempuan tanpa syahwat berdasarkan hal-hal berikut:

4.1  Ia adalah pendapat yang paling sederhana.
4.2  Fuqaha mazhab Syafi'ie pun ada yang berpendapat sedemikian sebagaimana yang disebut oleh Ibn Suraij dan Al-Rafi'ie.
4.3  Pendapat tersebut ialah pendapat yang paling tepat dengan maqasid syariah dan menepati ruh syariah.

Oleh itu para jemaah lelaki dan wanita tidak perlu risau tentang masalah batal wudhuk kerana bersentuhan lelaki dan perempuan.  Namun perlu diingat, jika semasa tawaf ada jemaah yang terkentut (maaf yer :D), maka pusingan tawaf yang berkenaan adalah terbatal.  Perlulah dia memperbaharui wudhuknya dan melengkapkan semula tawafnya sehingga sempurna tujuh keliling.

12 comments:

  1. Assalamualaikum Tn Hj Mohd Saad

    masaalah tersentuh dlm tawaf ni
    muzakarah telah memutuskan, tidak batal wuduk
    tahun 2006, dah dimaklumkan

    Wassalam

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikum salam Tn Haji Rozali.

    Memang betul, keputusan muzakarah ialah tidak batal wudhuk jika bersentuh lelaki dan perempuan semasa tawaf mengikut pendapat yang marjuh dalam mazhab syafi'ie.

    Entri ini saja saya repeat keputusan tersebut supaya bakal-bakal jemaah yang baru pertama kali hendak melakukan umrah tidak ragu-ragu dalam hal tersebut.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum tn hj,
    dr blog tn hj, kalu tersentuh lelaki n perempuan semasa tawaf, tdk membatalkan wuduk. Jadi, lepas tawaf tu blh solat sunat tawaf tanpa perbaharui wuduk atau kena ambil wuduk sekali lagi. Rakan seumrah saya kata perlu ambil dan sy berpendapat amat sukar bg wanita sbb perlu keluar dr masjid. So, sy hanya ambil wuduk di tmpt air zamzam atau guna spray saja.

    ReplyDelete
  4. Wa'alaikum salam wbt.

    Perincian dan ruang lingkup dalam Qaul MArjuh pandangan mazhab Syafi'e dalam perkara tidak membatalkan wudhu' ketika bersentuh TANPA syahwat ketika tawaf DIPERLUASKAN penggunaannya dari tempat penginapan (MAKKAH SAHAJA)seterusnya hingga ketika dalam MASJIDIL HARAM. - Keputusan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan tahun 2006.

    Jadi lepas tawaf boleh terus solat tanpa perbaharui wudhu'.

    Saya pun ambil wudhu' tempat air zam-zam. Bagi orang perempuan elok pegi kat tempat zam-zam khas untuk wanita kat area sebelah kanan bukit safa.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum Tuan Haji...bole sy share

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam wbt

      Ya silakan dan sebar-sebarkan alhamdulillah.

      Delete
  6. Ini membuktikan bahawa tapak kaki/pergelangan kaki perempuan bukan lah aurat sebagaimana kita sedia maklum dan seperti pendapat Dr Asri juga bahawa pergelangan kaki perempuan bukan lah aurat.

    Dimana adalah satu keperluan untuk wanita tidak menggunakan stokin untuk kebaikan contohnya sebagaimana wanita yang berkebun/bekerja di sawah padi, nelayan dan sebagaimnya selagi mana pekerjaan untuk kebaikan.

    Kita juga tahu bahawa sekiranya wanita keluar masuk ke tandas akan mengakibatkan kaki terkena air dan stokin tersebut basah dan mungkin akan mengakibatkan penyakit kaki jika kaki terlalu lama dibungkus oleh kain yang basah.

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum, Bagaimana jika suami pegang tangan isteri ketika melakukan tawaf batal atau tidak...

    ReplyDelete
  8. salam Tn Hj, saya nk tny, adakah umrah sah bilamana tawaf, tersentuh laki perempuan, tp sy punya hati ckp batal, tp sbnrnya tidak, lepas tu saya truskan pjalanan tawaf dengan niat Allah tahu tak batal..lgpun susah kalau nak kluar. adakah batal atau tak sah umrah saya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam wbt.

      Mengikut muzakarah haji kali ke-21 tidak batal wudhu' kalau tidak ada syahwat.

      Jadi tawaf sah.

      Delete
  9. syukron atas ilmu yg tlh ustadz paparkan smoga bermanfaat bgi orang yg melaksanakan ibadah umroh dan haji amin

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum, saya nak tanya tarikh artikel ini dikeluarkan bila? Sebab saya nk buat rujukan untuk assignment.

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.