Showing posts with label Panduan Umrah. Show all posts
Showing posts with label Panduan Umrah. Show all posts

Sunday, December 22, 2013

PANDUAN UMRAH: WANITA HAID - IHRAM BERSYARAT

Assalamu'alaikum wbt

Musim umrah tahun 1435H sudah pun bermula iaitu pada 8 Disember 2013 yang lepas. Sukacita saya update entri mengenai masalah yang sangat popular yang dikemukakan kepada saya melalui ruangan komen dalam blog ini atau melalui email iaitu masalah jemaah wanita yang mengalami haid ketika umrah.

Perlu dinyatakan di sini semua orang yang ingin melakukan umrah wajib berniat ihram ketika sampai di miqat (sila rujuk tempat-tempat miqat dalam entri yang terdahulu). 

Justeru itu, bagi jemaah wanita yang sedang kedatangan haid maka dia juga perlu berniat ihram apabila sampai di miqat. Sekiranya dia tidak berniat ihram ketika di miqat maka dia adalah berdosa dan perlu membayar dam.

Bagi wanita yang dijangka kedatangan haidnya agak panjang, dan dikhuatiri tidak suci sehingga tarikh penerbangan balik ke tanah air, maka dicadangkan agar 
mereka berniat ihram bersyarat ketika di miqat supaya mudah untuk bertahallul.

Niat Bersyarat tersebut ialah:

"Aku berniat mengerjakan umrah dan berihram dengannya, jika aku terhalang oleh halangan syara' maka ketika itu aku bertahallul kerana Allah Taala."

Yang Dibolehkan:

1. Dalam keadaan berhaid jemaah wanita berniat ihram bersyarat. Jika sehingga tarikh penerbangan haidnya masih tidak berhenti - maka dia terlepas daripada pantang larang ihram tanpa perlu membayar dam.

2. Dalam keadaan tidak berhaid jemaah wanita berniat ihram bersyarat. Ketika di Makkah, jika sebelum sempat tawaf, atau sedang tawaf dia kedatangan haid - maka secara automatik dia dikira bertahallul - maka dia terlepas daripada pantang larang ihram. 

Sekirannya sesudah itu haidnya sudah berhenti (tunggu sehingga melebihi 24 jam) maka dia boleh keluar ke miqat yang berdekatan seperti Tan'iem, dan berniat ihram di situ (digalakkan melakukan niat ihram bersyarat) dan kembali ke Makkah untuk tawaf, saie dan bergunting.

Yang Tidak Dibolehkan:

Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram biasa (tidak bersyarat) kemudian ketika didatangi haid dia melafazkan niat bersyarat: “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.” - Ini tidak dibolehkan.

PENTING:

Niat ihram bersyarat tidak digalakkan bagi niat ihram haji.


Thursday, September 12, 2013

Persiapan Haji: Tanyalah Ustaz TV9 2013 - Episod 105- Ustaz Nor Raihan Abdul Aziz

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه



Mandi sunat ihram tu wajib ke?

Dah sampai Arafah, bila tanya "Dah niat ihram?" dia jawab, "Kena niat ke?"

Ini menunjukkan jemaah tersebut kurang membuat persediaan dari segi ilmu manasik haji. Justeru tontonlah video di bawah yang mana ustaz Nor Raihan mengupas dengan baik aspek persediaan haji yang sepatutnya dilakukan oleh para jemaah sebelum berangkat ke tanah suci.

 




Monday, August 5, 2013

Haji Tidak Sah Sebab Bersa’ie Dalam Keadaan Haid Sebelum Tawaf Qudum

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه


Memang tiada halangan yang dihadapi di Makkah tapi dugaan yang lebih besar menunggu selepas dia pulang ke tanah air. Tidak sampai seminggu pulang, dia diberitahu bahawa hajinya kini masih tergantung kerana tidak melakukan saie.



Artikel ini saya petik daripada buku bertajuk "TUHAN... Terimalah Aku" oleh Dato' Hj Md Daud Che' Ngah, mantan Pengarah Besar Lembaga Tabung Haji.

Tajuk asal artikel ini ialah Bersaie Walaupun Uzur. Artikel ini saya pilih sebab ia ada kaitan dengan masalah haid yang sering dihadapai oleh jemaah wanita. Dalam entri ini saya tidak memuatkan keseluruhan artikel tersebut.  Sebaliknya saya hanya memuatkan bahagian-bahagian yang penting sahaja dengan sedikit suntingan.


Kisahnya …

Kisah terjadi kepada seorang wanita bernama Rabiah, berusia 40-an.  Rabiah menunaikan haji besama beberapa orang sepupunya.  Rombongan pakej Rabiah memasuki Makkah terlebih dahulu.  Rabiah memasuki Makkah dengan niat menunaikan haji ifrad. Ini bermakna Rabiah akan menyempurnakan kerja-kerja hajinya terlebih dahulu dan kemudian selepas itu barulah dia melakukan ibadah umrah.

Datang Haid

Setibanya di Makkah Rabiah mengalami keuzuran (haid) justeru itu dia tidak dapat melakukan tawaf qudum (tawaf selamat datang). Jemaah lain dalam kumpulannya pergi ke Masjidil Haram melakukan tawaf qudum dan kemudian melakukan saie haji.

Ustazah Tidak Bertauliah

Di hotel, setelah mengetahui Rabiah uzur dan tidak melakuan tawaf qudum, rakan-rakan Rabiah memberi pendapat bahawa Rabiah masih boleh melakukan saie. Memandangkan penerangan yang begitu meyakinkan (walaupun sebenarnya salah) maka Rabiah terus pergi bersaie.

Manasik Haji

Selepas melakukan saie, Rabiah berangkat ke Arafah untuk berwukuf. Pada ketika itu haidnya sudah kering. Seterusnya Rabiah melaku mansik haji yang lain seperti bermalam di Mudzalifah, melontar jamratul aqabah, bergunting rambut, tinggal 3 malam di Mina dan melontar ketiga-tiga jamrah.

Tidak Melakukan Saie Haji

Selepas itu Rabiah berangkat semula ke Makkah dan melakukan tawaf rukun. Walau bagaimanapun selepas tawaf rukun, Rabiah tidak meneruskannya dengan bersaie kerana dia beranggapan telah melakukannya awal dahulu (sebelum ke Arafah).

Melakukan Umrah

Selepas itu Rabiah sempat melakukan ibadat umrah sebanyak 3 kali sebelum berangkat ke Madinah dan seterusnya pulang ke Malaysia.

Haji Tidak Sah

Setelah tiba di Malaysia, Rabiah mengadakan kenduri kesyukuran dan menceritakan pengalamannya kepada tetamu yang datang. Salah seorang rakan yang turut mendengar cerita Rabiah ialah seorang ustazah yang berpengetahuan tentang ibadat haji. Terkejut dia apabila mendengar yang Rabiah melakukan saie sedangkan dia dalam keadaan haid.

“Akak bersaie waktu haid?” tanya ustazah itu, inginkan kepastian.

“Betul.  Mulanya akak ingat tak boleh tapi lepas tu kawan-kawan akak jelaskan yang sebenarnya akak masih boleh bersaie walaupun uzur. Buat tawaf saja yang tak boleh,” balas Rabiah penuh yakin.

“Mengikut hukum, akak memang tidak boleh bersaie kerana akak uzur (haid) sebelum sempat tawaf qudum,” jelas ustazah itu.

“Saya bimbang sekarang ini, haji yang akak buat tidak sah dan akak masih dalam ihram sebab masih lagi tidak bersaie,” jelas ustazah lagi.

Kenapa Ibadat Haji Rabiah Tidak Sah?

Mari kita lihat semula akan rukun haji dan syarat-syarat sah saie. Rukun bermaksud sesuatu perkara itu mesti dilakukan. Jika ia tidak dilakukan maka haji tidak sah.

Rukun Haji

  1. Niat ihram
  2. Wukuf di Arafah
  3. Tawaf ifadah
  4. Saie
  5. Bercukur/bergunting
  6. Tertib pada kebanyakan rukun
Syarat-Syarat Sah Sa'ie Haji

  1. Dilakukan selepas tawaf qudum atau selepas tawaf rukun (ifadah)
  2. Bermula di bukit Safa, berakhir di bukit Marwah
  3. Cukup 7 kali dengan yakin dikira sekali daripada Safa ke Marwah dan sekali daripada Marwah ke Safa
  4. Hendaklah sampai ke penghujung sa’ei di Safa dan di Marwah
  5. Hendaklah sa‘ei di batnul wadi (tempat yang termaklum)
  6. Tidak berniat lain yang memesongkan tujuan sa’ie

Jadi dalam kes puan Rabiah ini, dia telah melakukan saie haji sebelum melakukan tawaf qudum ketika mula tiba di Makkah sebab pada masa itu dia dalam keadaan haid. Jadi saie hajinya itu tidak sah.

Sepatutnya bagi melengkapkan rukun hajinya, puan Rabiah perlu bersaie selapas tawaf ifadah sekembalinya daripada Arafah/Mina. Oleh kerana puan Rabiah hanya melakukan tawaf sahaja selepas kembali daripada Mina maka dia belum melengkapkan rukun hajinya iaitu bersaie.  Oleh yang demikian hajinya masih tergantung dan dia masih dalam ihram kerana belum selesai tahallul thani.

Keputusan Jawatankuasa Jemaah Haji

Rabiah, melalui seorang saudaranya, meminta kepastian daripada salah seorang ahli jawatankuasa  ibadat haji. Pada mulanya ustaz yang dihubungi bersetuju dengan pendapat sebelum ini iaitu haji yang dilakukan oleh Rabiah tidak sah dan dia masih lagi dalam ihram.

Setelah mengemukakan isu tersebut kepada para pengkhusus haji, mereka berpendapat bahawa haji yang dilakukan oleh Rabih masih sah. Hasil rumusan mereka yang arif tentang ibadat haji ini mendapati bahawa sememangnya umrah pertama (selepas ibadat haji) yang dilakukan oleh Rabiah tidak sah. Akan tetapi saie yang dilakukan dalam umrah itu telah menggantikan saie yang tidak sah terdahulu (dilakukan semasa haid). Dalam kata lain, saie umrah tersebut adalah merupakan saie selepas tawaf ifadah. Dua lagi ibadat umrah yang dilakukan, salah satunya adalah menggantikan umrah iringan haji ifradnya.

Pengajaran

Berita tersebut telah disampaikan kepada rabiah. Dia berasa cukup gembira, lega dan bersyukur mendengar perkhabaran tersebut.  Bermakna tidak perlulah dia kembali semula ke Makkah untuk melakukan saie.

Apapun, yang paling utama dia telah mendapat pengajaran yang cukup berguna.  Ibadat haji [dan juga umrah] perlu dilakukan dalam keadaan berilmu.  Sekiranya ilmu tidak cukup atau berasa waswas, dapatkan rujukan daripada guru agama [bertauliah] ataupun mereka yang arif tentang ibadat haji [atau umrah]. Elakkan daripada mendengar kata-kata rakan yang mungkin sama-sama belum cukup ilmunya.

Sekian. Semoga sama-sama kita mengambil pengajaran daripada kisah ini.

Wasalam dan selamat berbuka puasa.


Monday, June 17, 2013

Lagi Masalah Haid Bagi Jemaah Wanita Yang Sedang Berihram

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه


Assalamu'alaikum wbt

Baru-baru ni saya mendapat satu email daripada seorang jemaah yang bertanyakan tentang masalah haid semasa umrah. Saya rasa elok saya kongsikan masalah tersebut di sini sebagai panduan kepada bakal-bakal jemaah wanita yang akan melakukan umrah atau haji pada masa hadapan.  Saya harap posting saya ini tidak disalah anggap untuk memalukan si pengirimnya.


Email tersebut (setelah diedit) adalah seperti berikut:
Salam. Ustaz, saya telah menunaikan umrah. Kami masuk ke Mekah dahulu. Pada masa tersebut saya dalam keadaan uzur hari ke 8. Tetapi saya tetap berniat ihram biasa. Pada hari ke 10 darah masih lagi keluar. Ada seorang ustaz memberitahu kalau darah keluar melebihi daripad kebiasaan haid maka ia dikira sebagai istihadah. Kebiasaannya haid saya akan kering pada hari ke 7. Maka pada hari ke 10 saya mandi wajib dan mengerjakan umrah walaupun pada masa itu darah masih ada lagi. Sekarang saya dah balik ke Malaysia. Persoalannya betul tak pendapat ustaz tersebut yang mengatakan darah itu adalah darah istihadah? Kalau ia masih lagi di kira haid adakah saya masih lagi dalam keadaan berihram dan apa yg perlu saya lakukan ustaz? Mohon penjelasan drpd ustaz.
Bagi memudahkan kita memahami perkara di atas, saya perincikan turutan peristiwa sebagai berikut:

M1. Jemaah berniat ihram umrah (bukan ihram bersyarat) di miqat pada hari ke-8 haid dan masuk Makkah. Ini hari pertama di Makkah.

M2. Hari ke-3 berada di Makkah jemaah masih lagi uzur (haid masuk hari ke-10). Jemaah mandi wajib, tawaf, saie dan bergunting walaupun darah haid masih ada sebab menyangka bahawa darah tersebut ialah darah istihadah.


M3. Jemaah balik ke Malaysia. Apakah jemaah tersebut masih berihram atau tidak?


Jawapan saya:

J1: Menurut Imam Syafi'e, tempoh haid yang paling lama bagi seseorang wanita ialah selama 15 hari. Jika pada hari ke-16 dia masih lagi keluar darah, maka darah itu tidak dikira sebagai darah haid, sebaliknya sebagai darah istihadhah.

J2: Pada hari ke-3 berada di Makkah, jemaah tersebut haidnya baru masuk hari ke-10, dan darah tersebut bukanlah darah istihadah.  Oleh yang demikian, tawaf jemaah tersebut tidak sah. Begitu juga dengan sai'e, serta bergunting untuk tahallulnya tidak sah. Ini bermakna jemaah tersebut masih lagi dalam berihram. Oleh kerana beliau telah bergunting rambut selepas saie tersebut, maka beliau dikenakan dam takhyir dan taqdir iaitu menyembelih seekor kambing, atau bersedekah kepada 6 orang fakir miskin setiap seorang 2 cupak, atau berpuasa selama 3 hari.

J3: Oleh kerana jemaah tersebut telah balik ke Malaysia, maka untuk keluar daripada ihram, jemaah tersebut perlu membayar dam ihsar iaitu:

        1. Menyembelih seekor kambing dan kemudian bergunting rambut dengan niat tahallul. Daging sembelihan itu hendaklah diagihkan kepada penduduk tempatan.  

            2. Jika tidak mampu, hendaklah membeli makanan dengan nilai seekor kambing dan bergunting dengan niat tahallul, dan makanan itu dibahagikan kepada fakir miskintempatan.


            3.  Jika tidak mampu juga, hendaklah berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengannilai seekor kambing (1 cupak=1 hari) danbergunting dengan niat Tahallul.  Dengan berpuasa dan bergunting dengan niat Tahallul ihsar itu, maka terhasillah Tahallulnya sekalipun bilangan hari puasanya belum selesai.

J4: Setelah suci daripada haid dan mandi hadas, ia hendaklah kembali semula ke Makkah untuk menyempurnakan amalan umrahnya iaitu tawaf, saie dan tahallul. 

Niat semasa menyembelih kambing: "Aku menyembelih kambing ini sebagai Dam Ihsar untuk Tahallul Nusuk bagi diriku."

Niat semasa bergunting: "Aku bergunting bagi Tahallul Nusuk bagi diriku."


Wallahu'aklam. Jika maklumat di atas tidak betul harap tolong betulkan.


Sekian, wasalam.

Entri-Entri Berkaitan Masalah Haid Semasa Umrah Dalam Blog Ini:

1. Satu Persoalan Mengenai Haid Semasa Sedang Berihram, Kemudi Suci Kemudian Haid Semula

3. Niat Ihram Bersyarat

2. Amalan Memberhentikan Haid Sementara Waktu

3. Masalah Tawaf Bagi Jemaah Wanita Yang Haid/Nifas


Thursday, June 7, 2012

Suatu persoalan mengenai haid semasa sedang berihram, kemudian suci dalam masa singkat, kemudian datang haid semula: untuk perhatian kaum wanita

Assalamu'alaiklum wbt
..
Saya sering ditanya oleh jemaah wanita mengenai masalah haid setelah berniat ihram.

Soalannya
...
Jika jemaah wanita berniat ihram umrah, kemudian dia didatangi haid, maka selepas dia melihat darah tidak keluar pada hari kelima (misalnya), dia bersuci lalu pergi mengerjakan tawaf, sa'ie dan tahalul. Tiba-tiba pada waktu malam dia mendapati darah haidnya keluar semula. Adakah tahallulnya sah?
...

Jawapan

UNTUK MENJAWAB PERSOALAN TERSEBUT, KITA BOLEH MENGGUNAKAN PANDANGAN KEDUA MAZHAB SYAFI'E

Ada pandangan kedua dalam Mazhab Syafi'e, yang mengatakan bahawa tempoh bersih antara haid itu (dikenali sebagai Fatrah Niqa') dikira tempoh suci dan sah amal ibadat dengan syarat TEMPUH SUCI ANTARA DUA HAID ITU TIDAK KURANG DARI 24 JAM.

ATAU DALAM KATA LAIN, TEMPUH SUCI ANTARA DUA HAID ITU MESTILAH MELEBIHI 24 JAM.

Sebagai contoh: Jika pukul 12 tengah hari dia bersuci kemudian menyelesaikan umrahnya. Jam 3 petang hari berikutnya (esoknya) darah keluar semula (jangka masa telah melebihi 24 jam), maka umrahnya itu adalah sah.

Sebaliknya, jika pada pukul 12 tengah hari dia bersuci kemudian menyelesaikan umrahnya. Kemudian sebelum pukul 12 tengah hari esoknya (jangka masa kurang daripada 24 jam) darah keluar semula, maka umrahnya itu tidak sah.


Kenyataan di atas bersumberkan kepada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke 17 (1422H).

Sekiranya jemaah haji wanita yang menghadapi masalah seperti tidak dapat melakukan tawaf rukun beliau bolehlah berpegang dengan pendapat yang mengatakan hari suci (fatrah al-Naqa’) dalam tempoh haid selama satu hari satu malam tidak dikira haid, beliau dikira suci, boleh mandi, berwuduk dan melakukan tawaf.

PERHATIAN

Fatrah Naqa’ hanya terpakai kepada jemaah haji/umrah wanita yang akan meninggalkan Makkah dalam waktu terdekat.


Fatrah Naqa’ tidak terpakai jika waktu berada di Makkah masih panjang dan sempat menunggu tempoh suci.


Jadi untuk selamat, bagi jemaah wanita yang mengalami masalah di atas, sekiranya dia mandi hadas dalam tempuh bersih (Fatrah Niqa'), kemudian menyempurnakan tawaf dan sai'e, saharusnya janganlah dia bergunting rambut dahulu. 


Tunggulah sehingga melebihi jangka masa 24 jam daripada mula bersih.  Jika darah tidak keluar baharulah dia bergunting rambut. Sekiranya selepas itu, darah keluar semula maka umrahnya adalah sah.


Entri berikaitan:

Tuesday, September 27, 2011

Panduan Umrah - Waktu Memasuki Raudhah Di Masjid Nabawi Bagi Jemaah Wanita

Assalamu'alaikum wbr.
...
Di Masjid Nabawi, di samping dapat menziarahi Rasulullah S.A.W. secara dekat, sudah tentu masing-masing jemaah teruja untuk solat dan bordoa di raudhah, iaitu suatu kawasan yang terletak antara rumah Rasulullah S.A.W. dengan mimbar baginda. Kawasan seluas 22 meter x 15 meter persegi ini, iaitu lebih kurang seluas court badminton, sememangnya menjadi idaman dan rebutan para jemaah untuk melakukan solat sunat dan sebagainya sebab tempat ini sangat mustajab untuk memohon sesuatu kepada Allah SWT.
...
Walau bagaimanapun untuk memasuki raudah bukanlah sesuatu yang mudah terutama bagi jemaah wanita. Oleh yang demikian pihak pengurusan masjid telah menetapkan sela waktu tertentu bagi jemaah wanita memasuki raudhah iaitu seperti berikut:
...
Pagi:              Selepas solat subuh hingga jam 10.00 pagi
Tengah hari:  Selepas solat zohor hingga jam 3.00 petang
Malam        :  Selepas solat isya' hingga jam 11.00 malam
...
Lebih kurang sepuluh minit selepas selesai solat subuh, zohor dan isya' para petugas akan merentangkan kain kanvas dan mengikatnya pada tiang bagi menyediakan kawasan "larangan" bagai jemaah lelaki. Setelah itu jemaah wanita yang ingin memasuki raudhah dikumpulkan mengikut kelompok negara tertentu, contohnya jemaah wanita daripada Malaysia, Indonesia, Thailand, dan Singapura dimasukkan dan satu kumpulan, jemaah wanita dari negara Iraq, dan yang 'sewaktu' dengannya yang mempunyai tubuh yang lebih besar, dikumpulkan dalam kelompok yang lain. Selepas itu barulah jemaah wanita dibenarkan memasuki raudhah mengikut kelompok masing-masing agar tidak terjadi stampede. Pada ketika inilah jemaah lelaki boleh mendengar bunyi orang berlari dalam masjid macam sekawan lembu/kuda berlari. Memang dahsyat bunyi larian tersebut yang diikuti dengan jerit pekik dan hiruk piruk yang membingitkan.
...
Walau bagaimanapun segala jerih payah dan kesusahan yang dilalui tersebut akan berbaloi apabila jemaah dapat menempatkan diri dalam taman syurga yang mana segala doa dan munajat mendapat perhatian yang istimewa daripada Allah SWT. Bagi memastikan anda sememangnya berada di kawasan raudhah, cuba tempatkan diri anda sehampir mungkin dengan kanvas yang menjadi penghadang antara jemaah wanita dengan jemaah lelaki yang mana karpetnya berwarna hijau keputihan (hijau abu abu), dan tiang-tiangnya diselaputi dengan marmar berwarna putih seperti pada gambar di atas.

Saturday, July 23, 2011

Panduan Umrah: Tips Cara Terpantas Untuk Keluar Dari Masjid Nabawi Selepas Solat Fardhu

Assalamu'alaikum wm wbr. 
...
Pintu King Fahd selepas Isya' jam 9:04pm, 4 Mei 2011
Masjid Nabawi adalah merupakan salah satu masjid yang terbesar di dunia. Jarak antara pintu utama iaitu pintu King Fahd (di sebelah utara) ke kawasan Raudhah dan saf pertama (di sebelah selatan) merentasi ruang solat dalam masjid, jauhnya lebih kurang 800 meter. Jika kita ikut sisi kiri masjid untuk ke saf pertama melalui pintu Baqi' maka jaraknya ialah 1.5 km atau lebih, memang jenuh berjalan. Jika ikut sisi kanan masjid untuk ke saf pertama melalui Babus Salam, mungkin lebih jauh lagi - mahu sampai 2 km.
...
Selepas solat fardhu, lebih kurang 10-15 minit selepas solat, para pekerja akan membuat partition dengan merentangkan kain kanves dan mengikatnya pada tiang-tiang masjid bagi menyediakan laluan dan ruang kepada jemaah wanita menziarahi Rasulullah S.A.W. Mereka akan menutup kawasan solat bermula dari tiang taubat di kawasan raudhah (separuh kawasan Raudhah), hingga ke ruang solat wanita yang biasa. Hal ini menyebabkan keadaan menjadi sangat sesak di kawasan Raudah dan di laluan menuju maqam Rasulullah sebab pada kebiasaannya sebelum keluar masjid jemaah akan menziarahi Rasulullah untuk memberi salam dan berselawat kepada baginda. Jemaah berpusu-pusu dan kadang-kadang tidak dapat bergerak. 
...
Partition dari kain kanves dipasang untuk menyediakan ruang dan laluan
bagi jemaah wanita menziarahi Rasulullah dan solat di Raudhah
Selepas mengucapkan salam kepada Rasulullah, jemaah akan langsung keluar daripada masjid melalui pintu Baqi' dan tidak ada peluang untuk berpatah balik ke dalam masjid sebab jalan adalah sehala. Untuk pulang ke hotel-hotel penginapan di sebelah utara masjid (berhampiran hotel Hilton, Taibah, Oberoi dsb.) jemaah terpaksa mengelilingi masjid sejauh 1.5km. 
..
Luckily, ada dua cara untuk shortcut ke hotel penginapan iaitu (1) masuk semula ke masjid melalui pintu Nisa' - jika tidak ada sekatan kanves di situ, atau (2) berjalan menuju Babus-Salam melalui belakang masjid yang jaraknya lebih kurang 100 meter, kemudian masuk ke dalam masjid melalui pintu al-Hijrah, dan dari situ terus menuju pintu King Fahd. 
...
Pintu Nisa' berhampiran dengan pintu Baqi' dan pintu Jibrail
Ini gambar semasa umrah 2010 yang lepas
Di bawah ini ialah gambar-gambar yang diambil disekitar Babus Salam selepas zohor pada 5 Mei 2011. Untuk rekod waktu zohor ialah pada jam 12:19pm waktu tempatan.
...
1:05pm - Berhampiran Babus-Salam Selepas Zohor. Untuk rekod, waktu zohor ialah 12:19pm



1:06pm - Kubah Hijau (berhampiran pintu Baqi') dilihat dari babus salam. Kelihatan tembuk perkuburan Baqi'
membatasi sempadan sebelah timur Masjid Nabawi
Dihadapan Babus-Salam
Pintu Baqi' - Maqam Rasulullah S.A.W. terletak lebih kurang 8 meter dari pintu ini.
Pintu As-Salam (Babus Salam) iaitu salah satu pintu utama ke Masjid Nabawi.
Ketika melalui pintu ini kita sunat membaca:
اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ فَحَيِّنَا رَبَّنَا بِالْسَّلامِ وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ دَارَ السَّلاَمِ
 تَبَارَکْتَ وَتَعَالَيْتَ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإْکْرَامِ .
Pintu al-Hijrah - ini gambar tahun lepas - sekadar maklumat
Laluan dalam masjid menuju pintu King Fahd

Kalau sudah keluar Masjid Nabawi, anda mungkin ingin melawat Masjid Abu Bakar, Masjid Awan (Ghamamah), dan Masjid Ali. Untuk itu silalah KLIK SINI


Tuesday, October 19, 2010

Panduan Umrah – 41 – Tip Supaya Tidak Tersesat Di Masjidil Haram



Assalamu'alaikum wm wbr.

Kita sering mendengar kisah jemaah yang tersesat jalan, sama ada di Makkah mahupun di Madinah. Jamaah yang baru pertama kali ke tanah suci dan tidak sabar untuk ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf qudum (jika melakukan haji ifrad) atau tawaf umrah (jika melakukan haji tamattu') tidak dapat mencari jalan balik ke maktab atau ke hotel penginapan apabila terpisah daripada kumpulan. Bilangan jemaah yang terlalu ramai, bergerak dalam berbagai arah, di tambah dengan kawasan masjid yang terlalu luas dan bilangan pintu yang banyak menyebabkan jemaah hilang punca arah lokasi hotel.

Untuk mengelak perkara di atas berlaku, para jemaah perlulah:

1. Mengingat nama hotel, nombor bilik, nombor maktab, atau nombor KT (Kelompok Terbang) masing-masing supaya senang dihantar oleh petugas Tabung Haji atau jemaah lain (sekiranya bertemu) ke hotel penginapan. Pernah pada tahun 2007, apabila saya bertanya kepada seorang jemaah wanita yang tersesat, apakah nama hotel atau nombor maktab penginapannya di Makkah? Jawapannya ialah, "Tak tahulah makcik, tapi makcik tinggal di tingkat lima". Bayangkan ada berapa banyak hotel di Makkah mempunyai bilik-bilik penginapan di tingkat 5!

2. Sentiasa membawa kad nama yang dibekalkan oleh Tabung Haji. Pada kad tersebut tercatat nama dan alamat hotel dan nombor maktab.

3. Semasa masuk ke Masjidil Haram, ingatkan nama dan nombor pintu masuk, contoh: Pintu King Abdul Aziz (pintu nombor 1). Bab al-Marwah, Bab al-Umrah, Bab al-Fatah, pintu no. 86 dan sebagainya. Jadi semasa balik, carilah pintu-pintu tersebut dan buat temu janji dengan kawan-kawan, jika terpisah bertemu di depan pintu-pintu tersebut.

4. Di dalam Masjidil Haram, tentukan tempat "meeting point" - tempat bertemu/berjumpa yang mudah dicari. Sebagai contoh, di bawah lampu hijau isyarat garis permulaan tawaf.

5. Ingat bangunan-bangunan yang unik, masjid, shopping complex, dsb, terutama bangunan-bangunan di persimpangan jalan, untuk dijadikan "land mark". Contoh, ketika datang tadi saya melalui Masjid Kucing. Atau, ketika saya datang tadi melalui istana raja. Atau, ketika datang tadi saya melalui terowong, dsb.

6. Bawa telefon bimbit dan catatkan nombor telefon rakan sebilik, nombor telefon pegawai Tabung Haji, dsb. Jika tersesat, hubungi mereka untuk panduan jalan pulang ke hotel.

7. Elakkan perasaan takabbur walau sebesar zarah sekalipun di dalam hati dan sentiasa beristighfar mohon Allah swt memudahkan pekerjaan haji kita.

Sunday, October 17, 2010

Panduan Umrah – 40 – Tips Menjaga Kesihatan


Assalamu'alaikum wm wbr.

Musim haji tiba lagi.. Semasa musim Haji, bilangan jemaah di Makkah mencecah tiga juta orang yang datang dari seluruh pelosok dunia. Oleh itu risiko untuk mendapat penyakit bawaan jemaah dari negara lain memang tinggi. Bagi para jemaah bakal calun haji dinasihatkan  menjaga kesihatan agar dapat melaksanakan pekerjaan haji dengan tenang dan sempurna. Jika kita sakit, sedikit sebanyak ibadat kita akan terjejas.

Sayugia diketahui, ibadah haji itu memerlukan kekuatan fizikal seperti tawaf, sa’ie dan melontar ketiga-tiga jamrah. Untuk melengkapkan tujuh (7) pusingan sa’ie jemaah terpaksa berjalan sejauh 2.8 kilometer (7 x 400meter). Untuk sampai ke jamrah dari perkhemahan di Muaiseim, jemaah perlu berjalan sejauh 3.5 km (pergi balik 7 km). Untuk ke Masjidil Haram dari maktab-maktab penginapan perlu berjalan sejauh 750 – 1500 meter (pergi balik sejauh 1.5 – 3.0 km). Di samping itu Jemaah perlu bermalam di Arafah dan Mina (masih ok lagi sebab ada khemah), dan mabit (bermalam) di Mudzalifah dengan berbumbungkan langit dan sepasang kain ihram yang tidak cukup hangat untuk menepis kedinginan malam yang menyucuk hingga ke tulang sum-sum. Pendek kata jemaah haji terpaksa berjalan kaki ke mana saja sama ada untuk menunaikan ibadah atau urusan peribadi ketika di tanah suci.  Oleh yang demikian daya tahan tubuh badan boleh menurun dan mengundang sakit/penyakit.

Kita juga harus ingat perbezaan cuaca di tanah suci dan di Malaysia sangat drastik. Suhu di Makkah pada musim panas boleh mencecah sehingga 49°C pada waktu siang dan turun kepada 30°C pada waktu malam. Pada musim sejuk, suhu pada waktu siang ialah 25°C dan pada waktu malam turun kepada 15°C. Perubahan suhu yang ekstrem, di tambah dengan cuaca yang kering dan berdebu, mendedahkan bakal jemaah kepada jangkitan saluran pernafasan seperti batuk, selsema, dan asma sebab kehilangan air badan. Di samping itu, jemaah juga sering mengalami tumit kaki, dan bibir pecah dan berdarah sebab kehilangan kelembapan. 

Untuk mengelakkan batuk, maka badan kita perlu mempunyai air yang cukup. Berikut ialah beberapa tip yang sempat saya catat semasa mengikuti ceramah kesihatan anjuran Tabung Haji Tampin pada tahun 2007 yang lalu.

1.  1. Para jemaah perlulah kerap minum air. Minum sedikit-sedikit tetapi kerap agar badan tidak kekurangan air. Air yang terbaik ialah air zam-zam dan ia mengandungi banyak mineral. 
2.   2.  Di tanah suci kita tidak digalakkan mandi dengan kerap seperti di Malaysia. Mandi 1x dalam 2 hari.
      3.  Kurangkan guna sabun ketika mandi.
4.   4.  Sekiranya batuk, jangan mandi dulu.
5.   5. Gunakan stokin untuk mengurangkan kehilangan air badan. Boleh guna kasut khuf semasa dalam masjid.
6.   6. Pastikan di bilik penginapan terdapat “air circulation” – perlu ada udara keluar masuk.
7.   7. Amalkan pemakanan seimbang dan kurangkan garam dan minyak.
      8. Sapu tumit dengan krim pelembab untuk elak dari merekah.
      9. Sapu bibir dengan nevea oil untuk elak bibir pecah dan berdarah.

      Sekian semoga bermanfaat.

Khuf




Thursday, October 14, 2010

Panduan Umrah – 39 – Panduan Pakaian / Keperluan Untuk Dibawa Ke Tanah Suci

Assalamu'alaikum wm wbr.

Alhamdulillah, ramai pembaca dan rakan-rakan bertanya tentang berapa banyakkah pakaian yang perlu di bawa semasa mengerjakan umrah. Sebagai panduan umum, kita perlu membuat estimate atau jangkaan keperluan pakaian untuk dua minggu seperti berikut:

Pakaian Lelaki:
Tuala ihram - 2 pasang
Tali pinggang - 1 utas
Baju Biasa - 2 helai
Baju Melayu - 1 pasang (sangat berguna jika ada pembesar Malaysia masuk kaabah, kita boleh tumpang sekaki)
Singlet berlengan - 4 helai
Seluar panjang - 2 pasang
Kain pelikat - 2 helai
Tuala mandi - 2 helai
Stokin - 2 pasang
Selipar Jepun - 1 pasang (guna dalam bilik air)
Seluar sukan, kasut jogging, dll - jika berhajat untuk mendaki Jabal Nur
T-Shirt - 2 helai
Kasut biasa - sepasang
Selipar semasa berihram (terbuka di bahagian jari kaki dan bahagian tumit)
Kasut khuf (ada dijual di Mydin bahagian kelengkapan umrah) -- boleh pakai dalam masjid sebab lantai masjid nabawi sangat sejuk.
Jubah - boleh dibeli di Madinah atau Makkah


Kasut Khuf

Pakaian Wanita:

Telekong solat - 2 pasang
Mini telekong - 2 pasang
Baju kurung - 3 pasang
Baju Maxi (jubah) - 2 pasang
Baju tidur dan seluar panjang - 2 pasang
Stokin - 3 pasang
Sarung tangan - 1 pasang (tapi jangan pakai semasa berihram)
Tuala mandi - 2 helai
Tuala kecil - 1 helai
Selipar Jepun - 1 pasang (guna dalam bilik air)
Kasut biasa - sepasang
Kasut khuf (ada dijual di Mydin bahagian kelengkapan umrah) -- boleh pakai dalam masjid sebab lantai masjid nabawi sangat sejuk.


Kasut Khuf










lain-Lain:
Buku doa
Counter untuk zikir (jika perlu)
Bag pakaian berkunci
Gunting kecil
Lencana nama - disediakan oleh pengendali pakej
Bag bimbit sederhana - disediakan oleh pengendali pakej
bag galas - disediakan oleh pengendali pakej
Ubat gigi
Berus gigi
Sabun mandi
Uncang kasut (boleh guna bag plastik bungkus barang)
Telefon bimbit
Netbook - bagi sesiapa yang tidak boleh berpisah dengan komputer
Kamera compact - jika perlu
Ubat-ubatan
Cenderahati untuk rakan-rakan yang tinggal di Makkah. Mereka tu rindu dengan kicap cap kipas udang, sos cili dsb
Duit untuk sedekah kepada fakir miskin, pelajar-pelajar tahfiz dsb
Marker pen permanent, masking tape/binding tape - jika perlu untuk tulis nama pada bag tambahan sebab terbeli banyak barang-barang di sana.
Keropok, kicap, sos, ikan kering tamban kecil untuk dihadiahkan kepada pelajar-pelajar Malaysia di sana 
Dan apa-apa yang difikirkan sesuai dan logik.

Bagaimana pula tips untuk melawat raudhah bagi lelaki? Klik SINI

Atau masa untuk melawat raudhah bagi perempuan? Klik SINI