Sunday, April 11, 2010

Panduan Umrah – 11 – Unsur-Unsur Penting Dalam Membentuk Ikhlas

Assalamu'alaikum wm wbr.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah dengan pujian yang setinggi-tingginya di atas segala nikmat kurnia-Nya yang tidak terhingga sama ada yang diketahui mahupun yang tidak diketahui. Selawat dan salam diucapkan kepada kekasih kita,  Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya yang mulia.

Para pembaca yang budiman. Dalam entri ini saya petik lagi beberapa tulisan Dr. Yusuf al-Qardhawi yang menghuraikan beberapa unsur yang sangat penting dalam membentuk hakikat ikhlas. Sama-samalah kita mengambil manfaat daripadanya.

Beberapa Unsur Yang Penting Dalam Membentuk Ikhlas

1.  Orang yang mukhlis harus memerhatikan pandangan Khaliq, bukan pandangan makhluk sebab pandangan makhluk itu sedikit pun tidak ada ertinya bagi Allah.  Al-Fudhail bin Iyad berkata: "Amal yang dikerjakan kerana manusia adalah syirik dan meninggalkan amal kerana manusia adalah riyak."

2. Yang lahir dari orang yang mukhlis harus sama dengan batinnya, yang kelihatan dengan yang tersembunyi.  Zahirnya tidak boleh gemerlap sedangkan batinnya remuk. Zahirnya tidak boleh semanis madu sedang batinnya sepahit jadam.

3. Menganggap sama antara pujian manusia dan celaan mereka.  Engkau tidak lepas dari celaan manusia jika engkau terpuji disisi Allah. Begitu pula sebaliknya.

4. Tidak boleh memandang ikhlas dirinya sehingga dia takjub kepada diri sendiri, sehingga ketakjubannya itu merosak dirinya. Oleh itu orang-orang yang arif menegaskan untuk tidak melihat amal diri sendiri. Dalam konteks ini, Abu Ayyub as-Susy berkata: "Selagi mereka melihat ikhlasnya sudah cukup, bererti ikhlas mereka itu masih memerlukan ikhlas lagi."

5. Melupakan tuntutan pahala amal akhirat.  Sekalipun sesuatu amal itu besar, namun ia tidak mampu menjamin nikmat Allah – meskipun hanya nikmat yang kecil yang dilimpahkan kepada hamba-Nya.  Sebab taufik dari sesuatu amal hanya datang daripada Allah, dan Dialah yang memiliki kurnia sejak awal hingga akhir. Jadi amal itu sendiri tidak layak diminta suatu balasan menurut pandangan orang yang mukhlis.  Malah dia melihat pahala itu merupakan kebaikan dari Allah atas dirinya. 

Nabi s.a.w. bersabda: "Sekali-kali amal soleh seorang di antara kamu tidak akan mampu memasukkannya ke dalam syurga." Mereka bertanya:"Tidak pula engkau wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Tidak pula aku, kecuali jika Allah melimpahkan rahmat-Nya kepadaku." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

6.  Takut penyusupan riyak dan hawa nafsu ke dalam jiwa sementara dia tidak merasakannya.

Maka dari itu Sahl berkata: "Tidak ada yang dapat mengetahui riyak kecuali orang yang mukhlis kerana ketakutannya kepada riyak itu maka dia selalu mewaspadai dan mengamatinya, mengetahui selok beloknya, tidak berdusta terhadap diri sendiri dan tidak menghias amalannya yang buruk agar kelihatan baik."

Maka tidak hairan jika ikhlas itu sukar dan sedikit sekali orang-orang yang mukhlis.  Sahl juga berkata tentang hal ini: "Yang pandai mengucapkan Laa ilaha illallah banyak, tetapi sedikit orang yang mukhlis di antara mereka."

Kesimpulan:

Unsur-unsur yang disebutkan di atas merupakan sendi-sendi ikhlas yang sempurna.  Orang yang berbahagia ialah yang banyak memilikinya, namun sedikit jumlah mereka.  Seberapa banyak sendi-sendi ini ada pada diri orang Mukmin, maka sebanyak itu pula kadar ikhlasnya.

No comments:

Post a Comment

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.