Showing posts with label Umrah 2010. Show all posts
Showing posts with label Umrah 2010. Show all posts

Thursday, August 15, 2013

Mayat Terbang Depan Hajar Aswad - part 2

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

Usai solat Jumaat, maka para jemaah mula memenuhi ruang mataaf (dataran kaabah) untuk tawaf.  Apa lagi, sudut hajar aswad terus diserbu oleh jemaah yang solat di saf hadapan berhampiran kaabah.  Mereka meluru ke arah hajar aswad bagaikan peluru yang dilepaskan daripada muncung senapang.  Tidak lama kemudian saya turut join kumpulan yang pertama tadi. Maka episod tolak menolak, tarik menarik, himpit menghimpit, jerit menjerit, lambung melambung, desak mendesak pun berlaku dengan dasyatnya – sama seperti keadaan di musim haji.
Selesai solat Jumaat 14/5/2010
foto kredit: PDKM - CL

Selesai solat Jumaat 14/5/2010
foto kredit: Kehidupan Makkah - Haji Arshad Ali

Saya menghampiri hajar aswad dari sebelah pintu kaabah dan hampir dengan dinding kaabah. Agak lama saya bertahan dan cuba bergerak ke arah hajar aswad. Setiap kali saya menghampiri hajar aswad dan hanya tinggal beberapa kaki sahaja daripadanya, saya ditolak semula ke belakang. Ada satu ketika tangan kiri saya sudah dapat memegang hajar aswad namun saya tertolak semula ke belakang. 

Sedang asyik mencuba tiba-tiba saya terlihat suatu kelibat seperti orang mengusung mayat yang sudah dikafankan. "Mayat" tersebut meluncur di atas kepala jemaah yang sedang bersesak-sesak di hadapan hajar aswad.  Setelah dekat, barulah saya perasan bahawa sebenarnya ia adalah seorang remaja India yang memakai kain ihram yang diusung dan dijulang oleh kawan-kawannya untuk membolehkan dia mencium hajar aswad. Perbuatannya memang sungguh nekad dan membahayakan diri sendiri. Kalaulah tertanggal kain ihramnya, alamat menjadi berita utama dalam akhbar dan tv.

Setelah lama mencuba dari sisi pintu kabaah saya beralih ke sisi rukun yamani pula. Seperti tadi juga, setelah hampir dengan hajar aswad dan tangan kanan telah dapat memegangnya, saya terlambung atau tertolak semula ke belakang. Hal ini adalah disebabkan oleh tolakan daripada jemaah yang hendak keluar daripada hajar aswad selepas menciumnya.

Akhirnya, setelah hampir 2 jam mencuba, saya mengalah dan berehat di kawasan binaan Turki menghadap hijir Ismail dan pancuran emas.  Baju saya basah kuyup (lencun) bermandi peluh dan badan berasa tersangat letih dan hilang tenaga. Selelah minum air zam-zam, basuh muka dan tangan dengan air yang barakah tersebut, saya memandang kaabah sambil membuat penilaian terhadap apa yang berlaku sebentar tadi.  

 Setelah minum air zam-zam saya duduk di sini
sambil muhasabah diri.

Berehat sambil menunggu waktu asar di kawasan binaan Turki.

Setelah muhasabah diri, saya menyedari bahawa apa yang saya lakukan tadi semata-mata mengikut kehendak hati dan menyangka, dengan berusaha bersungguh-sungguh, saya akan dapat mencium hajar aswad. Ini adalah tidak betul sebab saya telah membelakangkan Allah SWT.  Segala sesuatu itu adalah atas urusan atau kehendak Allah semata-mata. Allah sahajalah yang mengatahui hikmah atau rahsia disebalik sesuatu kejadian. Allah telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 126:
 وَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَىٰ أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya."

Justeru itu saya beristighfar dan redha atau kurnia Allah. Walaupun pada hari itu saya tidak dapat mengucup hajar aswad, sekurang-kurangya saya telah dapat menyentuhnya dengan jari.  Sambil memandang kaabah, saya membetulkan niat dan berjanji kepada Allah yang saya tidak akan melakukan sesuatu (terutama mencium hajar aswad) semasa berada di tanah suci melainkan Allah menggerakkan hati saya untuk berbuat sedemikian.


Asar, Jumaat 14/5/2010
foto kredit: Kehidupan Makkah - Haji Arshad Ali

Asar, Jumaat 14/5/2010
foto kredit: Kehidupan Makkah - Haji Arshad Ali

\



Jadi selama dua hari berikutnya (Sabtu dan Ahad) saya hanya melakukan solat, umrah, tawaf sunat, berzikir, berdoa, dan sebagainya. 




Tawaf jam 5.15am 15/5/2010
Kemudian pada pagi Insin 17/05/2010, selepas solat dhuha, hati saya tiba-tiba sahaja tergerak untuk berdoa di hadapan pintu kaabah.  Pada masa itu keadaaan di hadapan kaabah agak lengang. Selesai berdoa di hadapan pintu kaabah, hati saya tergerak pula untuk berdoa di hadapan multazam. Di situ saya teruskan berdoa dan memohon agar Allah memberi peluang kepada saya untuk mencium hajar aswad. Selesai berdoa saya memandang ke arah hajar aswad.  Kebetulan ketika itu seperti ada ruang kosong untuk saya menyelitkan diri. Jadi alhamdulillah saya terus menyorongkan kepala ke dalam lobang hajar aswad dan mengucup batu dari surga tersebut sambil air mata merembes kesyukuran dalam suasana yang penuh syahdu. 

Setelah puas, saya bergerak keluar dari situ mencari tempat yang sesuai untuk solat dua rakaat dan berdoa. Saya rasa sungguh bersyukur kerana Allah telah menggerakkan hati saya untuk mencium hajar aswad pada ketika yang sangat lapang dan selesa tanpa berdesak-desak seperti yang berlaku pada hari Jumaat sebelumnya. Jika saya terus mencuba untuk mencium hajar aswad pada hari Jumaat tersebut, sedangkan tenaga saya telah hilang, mungkin sesuatu yang buruk akan berlaku.

Apa yang saya nyatakan di sini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah. Tujuan saya menulis pengalaman umrah di atas adalah semata-mata untuk kita mengambil pengajaran atau ibrah daripada apa yang terjadi.  Semoga kisah ini dapat membantu serta memberi sedikit gambaran kepada bakal-bakal jemaah umrah akan suasana di sekitar hajar aswad serta betapa pentingnya kita berserah diri kepada Allah SWT.

Sekian, wasalam.

Entri berkaitan: Mayat Terbang Depan Hajar Aswad - Part 1

Thursday, July 11, 2013

Mayat Terbang Depan Hajar Aswad - part 1

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

11/7/2011 Saya update sebahagiab dulu. 

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang telah mengurniakan masa yang lapang dan sihat tubuh badan serta sedikit motivasi bagi membolehkan saya update entri yang tertangguh ini.

Ini adalah sebuah kisah yang saya alami yang boleh diambil hikmah dan ibrah oleh para pembaca. Peristiwa ini berlaku semasa saya mengerjakan umrah pada tahun 2010 yang lalu.

Hari itu merupakan hari pertama saya berada semula di bumi Makkah yang barakah sejak saya tinggalkannya dua tahun setengah sebelum itu. Secara kebetulan hari itu ialah hari Jumaat, 14 Mei 2010.  Kali terakhir saya melihat kaabah ialah pada malam Jumaat 4 Jan 2008 iaitu semasa tawaf wada’ haji 1428H (2007).

Tuesday, September 14, 2010

Umrah 2010: Menjejaki Masyarakat Pattani dan Kelantan di Jabal Ajyad, Makkah

Assalamu'alaikum wm wbr

Alhamdulillah, semasa mengerjakan umrah pada Mei 2010 yang lepas saya sempat menziarahi masyarakat Melayu Pattani dan Kelantan di Bukit Ajyad, Makkah.  Menurut Dr. Mohammad Redzuan Othman dan Dr. Md Sidin Ahmad Ishak, pengarang buku The Malays in The Middle East, orang Melayu sudah sekian lama mengembara ke Makkah dan Madinah, iaitu seawal Islam bertapak di Tanah Melayu. Tujuan mereka ke Tanah Suci ialah untuk menunaikan ibadah haji dan menuntut ilmu daripada ulama' terkemuka di sana.  Justeru tidak hairanlah jika terdapat orang-orang Melayu yang jatuh hati untuk bermastautin di bumi yang barakah tersebut sehinggakan ada yang menjadi tokoh ulama' tersohor seperti Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Arshad al-Banjari, Syeikh Abdul Samad al-Palembangi, Syeikh Mohammad Said al-Linggi dan banyak lagi tokoh-tokoh ulama' yang tidak sempat dimuatkan di sini.


Pada tahun 2005, suatu kajian sosio-budaya masyarakat Melayu di Makkah dan Madinah telah dijalankan oleh Group Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Angkatan Belia Islam Malaysia. Mereka mendapati kebanyakan orang Melayu di Makkah berasal dari Malaysia, Indonesia, dan Pattani. Mereka tinggal di Hutaibiah, Jabal Ajyad, Nuzhah, Ka'kiah, Syisha, dan Syari' Sittin.


Jadi pada 20 Mei 2010 yang lepas, semasa menunaikan umrah, alhamdulillah saya menyempatkan diri menziarah masyarakat Melayu Pattani dan Kelantan di Jabal Ajyad. Pemergian saya ke sana ditemani oleh Haji Arshad (Blogger Kehidupan Makkah 2) dan Ustaz Haji Amran (pelajar Pondok Ajyad) yang bertindak selaku pemandu/penunjuk arah. Matlamat kami ialah untuk solat maghrib dan isya' serta membaca yassin di masjid Allahyarham Tuan Guru Baba Hussin Siraj (Baba Sin).


Kami pergi ke Jabal Ajyad dengan menaiki teksi di hadapan Hotel As-Safwah Royal Orchid jam 6:10 petang,  melalui jalan yang berliku-liku mendaki bukit. Ketika mendaki, Zam-Zam tower kelihatan tersembul keluar dari celah-celah bukit. Struktur raksaksa tersebut mencacatkan panorama Makkah kerana kelihatan sangat ganjil (hodoh) melebihi bukit-bukit di sekeliling Makkah. 


Zam-Zam Tower Yang Tidak Harmoni Dengan Alam Sekitarnya

Kami berhenti di tempat parkir kereta di pertengahan bukit berhampiran dengan perkampungan Kelantan. Dari situ kami boleh melihat pemandangan bandaraya Makkah, tetapi sayang Makkah ketika itu berjerubu dan matahari sudah mula hendak terbenam. Saya manfaatkan masa yang ada untuk merakamkan seberapa banyak gambar yang terdaya diambil walaupun cahaya matahari semakin beransur hilang. Kami menghabiskan masa selama 10 minit di situ untuk menikmati pemandangan dan suasana yang tidak mungkin diperolehi di tempat lain. Mungkin sekali dalam seumur hidup.




Tempat Parkir Kereta Berhampiran Kampung Kelantan, Ajyad Makkah

Salah Sebuah Rumah orang Kelantan Di Ajyad
Di Kejauhan Sana Kelihatan Masjidil Haram

Ustaz Amran dan Haji Arshad

Nun Di Hadapan Kelihatan Perkampungan Pattani. 
Juga Kelihatan Masjid Baba Mat Sedawa

Rumah Di Puncak Gunung Ajyad

Lagi Rumah Di Gunung Ajyad

Kucing Ajyad


Anak-Anak Tangga

Pemandangan Makkah Waktu Senja Dari Bukit Ajyad

Dari perkampungan Kelantan kami bergegas menuruni beratus anak tangga menuju ke masjid Allahyarham Tuan Guru Baba Sin, di perkampungan Pattani. Di kiri kanan jalan penuh dengan rumah-rumah penduduk yang berasal dari Kelantan, pakistan, dan India.  Saya diberitahu oleh Ustaz Haji Amran, kebanyakan pelajar-pelajar pondok Ajyad tinggal di kawasan penempatan Pattani untuk mudah pergi ke tempat pengajian (masjid Allahyarham TG Baba Sin dan masjid Allahyarham TG Baba Mat Sedawa). Pada pertengahan tahun 1990an, terdapat seramai lebih dari 100 orang pelajar Kelantan belajar di pondok Ajyad, namun sekarang hanya tinggal 30 orang sahaja.

Menuruni Anak-Anak Tangga

Meniti Jalan Di Celah-Celah Batu

Rumah Penduduk
Lagi Rumah Penduduk Gunung Ajyad


Kedai Runcit Di Lorong Gunung Ajyad
Sampai Ke Destinasi - Masjid Allahyarham TG Baba Sin al-Fatani

Alhamdulillah, kami sampai ke masjid Allahyarham TG Baba Sin pada pukul 6:44 petang. Oleh kerana waktu maghrib ialah pada pukul 6:54 petang, maka sempatlah kami meninjau kawasan sekeliling. Berhampiran masjid terdapat kawasan lapang seluas lot rumah bungalow yang dijadikan sebagai padang permainan kanak-kanak dan juga tempat bersantai oleh penduduk setempat. Terdapat beberapa wall murals dengan gambar tepi pantai dan tulisan ucapan "Welcome 2 Ajyad".
Hj Arshad Sedang Bersantai Di Tepi Laut di Atas Bukit Ajyad, Makkah

Kanak-Kanak Bermain Bola Di Bukit Ajyad

Zam-Zam Tower dari Perkampungan Pattani, Jabal Ajyad, Makkah

Pada jam 6:54 malam, kedengaran azan dilaungkan melalui corong speaker masjid dengan alunan yang biasa didengar di Malaysia. Kami bergegas memasuki masjid untuk solat maghrib. Semasa di dalam masjid saya rasakan seolah-olah berada di Kelantan sebab kebanyakan jemaah memakai kain dan berserban.  Selepas solat maghrib, kami solat hajat dan membaca Yasin memohon agar isteri Ustaz Amran selamat melahirkan anak yang kedua. Majlis dipimpin oleh TG Baba Soh Paku, salah seorang ulama' nusantara yang mengajar di Ajyad.





Selepas Majlis Membaca Yasin Menunggu Isya'
Kelihatan TG Baba Sin Sedang Duduk (Kain Pelikat, Baju Putih, Berserban)

Nampak Seperti Suasana Di Kelantan

Majlis Baca Yasin Oleh TG Baba Soh Paku

Sebelum ini pondok Ajyad di pimpin oleh dua orang ulama' yang tersohor berasal dari Pattani iaitu Allahyarham TG Baba Hussin Siraji dan Allahyarham TG Baba Mat Sedawa. Kedua-dua Tuan Guru tersebut mempunyai Masjid masing-masing yang mana Kelas-kelas pengajian pondok diadakan di situ.  Perkataan Baba bermaksud ayah. Tuan Guru yang belum sampai ke tahap Baba dipanggil Tokku, seperti Tokku Paloh, Tokku Pulau Manis dan sebagainya. Ini merupakan suatu penghormatan di mana murid menganggap Tuan Guru tersebut sebagai ayah mereka sendiri. TG Baba Mat Sedawa meninggal dunia pada 4 Rejab 1430H (26 Jun 2009) manakala TG Baba Husin Siraji meninggal dunia pada 11 Jamadil Akhir 1430H (5 Jun 2009).  Pemergian mereka ke hadrat Ilahi dalam jangka masa yang agak sama meninggalkan lompang kepada tenaga pengajar di Pondok Ajyad di mana pemergian mereka sukar untuk diganti. Tanggung jawab mengajar pelajar-pelajar pondok sekarang dipikul oleh TG Baba Soh Paku di Ajyad Sud, dan TG Baba Wan Nik al-Fatani di Ajyad Musafi.


Allahyarham TG Baba Mat Sedawa (Kiri) dan Allahyarham TG Baba Sin Siraji (Kanan)

Tuan Guru Baba Soh Paka, Allahyarham TG Baba Mat Sedawa, dan TG Baba Sin Siraji

Selepas solat isya' kami berangkat pulang setelah bersalaman dengan para jemaah. Sebenarnya, pada ketika itu saya belum lagi mengenali TG Baba Soh Paku, dan Ustaz Amran tidak pula memperkenalkan kami kepadanya, mungkin dia terlupa sebab risau memikirkan isterinya yang lambat bersalin. Setelah balik ke Malaysia dan mencari maklumat mengenai pondok Ajyad di Internet, baru saya tahu bahawa yang memimpin kami solat hajat dan membaca Yasin tempoh hari ialah TG Baba Soh Paku Hafizohullah iaitu salah seorang tenaga pengajar di pondok Ajyad, Makkah. Namun sebelum balik sempat saya bersalam dengan beliau dan beliau agak terperanjat melihat saya sebab muka baru di Ajyad. Saya berazam, jika Allah menjemput saya menjadi tetamu-Nya sekali lagi, insyaAllah saya akan mengunjungi beliau untuk mendapatkan nasihat-nasihat ugama dan mengambil barakah dari seorang guru yang 'alim. 

Kami dibekalkan dengan ayam goreng al-Baik (macam KFC). Ustaz Amran menemani kami menuruni anak-anak tangga hingga sampai di kaki bukit Ajyad berhampiran dengan terowong ke Aziziyah dan Hotel Elaf Al Sud. Setelah bersalaman dengan Ustaz Amran, kami menyusuri Jalan King Abdul Aziz dan singgah di Hotel Manazil Ar-Rayed tempat Haji Arshad tinggal untuk menikmati ayam goreng al-Baik. Setelah selesai makan malam, saya mengucupkan salam kepada Haji Arshad dan mohon permisi untuk balik ke Hotel Abeer Garden. Alhamdulillah, misi menjejaki masyarakat Pattani dan Kelantan telah tercapai dan menjadi kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan.  InsyaAllah, jika ada kesempatan menjadi tetamu Allah sekali lagi saya akan menziarah TG Baba Wan Nik di Ajyad Musafi pula.


Terowong ke Aziziyah dan Hotel Elaf Al-Sud di Kaki Gunung Ajyad.
Hotel Elaf Al-Sud Merupakan Salah Satu Hotel Jamaah Haji Malaysia Di Makkah
Di atas Terowong Terdapat Rumah-Rumah Kediaman

Masjidil Haram Pada 20 Mei 2010 Jam 9:58 Malam
(Disnap semasa dalam perjalanan pulang ke hotel dari Hotel Hj. Arshad)

Wednesday, September 1, 2010

Umrah 2010: Membeli Emas Di Makkah – Jangan Tertipu

Assalamu'alaikum wm wbr


Suatu fenomena yang saya suka lihat di Makkah dan Madinah ialah tentang keperihatian peniaga dan pemilik premis terhadap tuntutan menunaikan solat pada awal waktu dan keyakinan yang tinggi terhadap keselematan barang jualan mereka. Sebaik azan dikumandangkan, kita akan lihat kebanyakan kedai akan ditutup dan para pekerja akan bergegas ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat. Ada juga kedai-kedai yang tidak ditutup. Barang-barang jualan dibiarkan begitu sahaja, dan pekerja melakukan solat dalam premis kedai. Kita tidak berasa hairan jika kedai 2 Riyal yang berbuat demikian, sebab nilai barangan dalam kedai tersebut tidaklah mahal sangat. Tetapi yang sangat mengkagumkan ialah kedai-kedai emas yang dibiarkan terdedah begitu sahaja tanpa pengawal bersenjata seperti yang sering kita lihat di Malaysia. Nilai barang jualan mencecah ratusan ribu riyal namun mereka sedikitpun tidak berasa cuak tentang keselamatan barangan tersebut.

Ok, dari sudut di atas, kita boleh tabik kepada peniaga-peniaga tersebut. Tetapi perangai menipu pelanggan satu hal yang perlu diperkatakan juga di sini.  Emas, jam tangan dan sebagainya, sekiranya kita teruja untuk membelinya, maka haruslah berhati-hati. Sebagai contoh, emas. Kita sedia maklum emas mempunyai berbagai gred seperti emas 24 karat yang kita gelar emas kertas dikenali sebagai emas 999 (99.99% tulin), emas 22 karat (Emas 916 - 91.66% tulin), emas 18 karat dsb. Emas yang biasa digunakan untuk membuat barang kemas biasanya emas 916 sebab mudah dibentuk dan kuat. Sebagai panduan, lagi tinggi karat, lagi mahal harganya sebab semakin tulin.

Berbalik kepada tajuk entri ini iaitu berhati-hati membeli emas di Makkah. ...

Well, jika kita beli barang kemas di Makkah, kebanyakannya akan claim emas yang mereka jual ialah emas 916. Memang ada cop 916 pada cincin, gelang dsb. tetapi mengikut pakar barang kemas di Malaysia, emas yang dijual itu ialah emas 850 (20-21 karat) bukannya emas 916, jadi harganya sepatutnya lebih murah dari harga mereka jual.

Anda boleh test kesahihan kenyataan ini dengan membawa barang kemas yang anda beli ke kedai emas terkemuka seperti Habib Jewels, Oli Muhammad, Poh Kong, dsb. untuk  diuji. Isteri saya pernah membeli barang kemas di sana dan setelah beberapa lama ingin menukar kepada barang kemas yang baru. Apabila di bawa ke kedai Emas di Terengganu, nilainya telah jatuh sebab kualiti emas tersebut tidak seperti yang diclaim semasa mula-mula beli di Makkah dahulu. 
.
Satu aspek, kita solute Pak Arab sebab punctual dengan waktu solat, tetapi bab tipu menipu ni satu hal yang lain pulak. Berhati-hatilah.





Monday, August 30, 2010

Umrahn 2010: Membeli Belah di Makkah - Butik Al-Helwah

Assalamu'alaikum wm wbr.

Memang sudah menjadi kebiasaan, sekiranya kita berpergian kesesuatu tempat, maka pasti kita akan mencari sesuatu untuk dijadikan buah tangan kepada mereka yang kita tinggalkan di kampung halaman, terutama kepada orang yang yang tersayang. Pendek kata, membeli belah memang menjadi agenda tidak rasmi bagi kebanyakan jemaah di Makkah atau Madinah. Terdapat bemacam-macam barang jualan seperti barang kemas, pakaian, abaya, jubah, kopiah, sejadah, permadani dan sebagainya. Tetapi awas, kualiti barangan adalah berbeza-beza, ada yang berkualiti tinggi tetapi ada yang hanya boleh guna 2-3 hari sahaja iaitu sepadan dengan harga yang ditawarkan.  Kebanyakan barang jualan adalah diimport dari negeri China, India, Pakistan, Turki, Mesir, dan sebagainya.

Bagi jemaah wanita, sekiranya berminat dengan abaya yang berkualiti tinggi, mereka boleh mendapatkannya di Butik Al-Helwah yang terletak di Zam-Zam Shopping Complex. Pelbagai jenis abaya dengan fesyen yang terbaru ada dijual di sini.

Butik Al-Helwah ini, pada asalnya beroperasi di Hotel Sofitel yang terletak di hadapan pintu al-Fath berhampiran dengan Pasar Seng. Selepas pembesaran Masjidil Haram pada tahun 2008 di mana Hotel Sofitel dan kawasan sekitarnya telah dirobohkan, maka ia berpindah ke Zam-Zam Shopping Complex.  Walau bagaimanapun, harga abaya di sini agak mahal iaitu sekitar SR190.00 - SR300.00 sepasang.  Di samping abaya, anda juga boleh mendapatkan shawls yang diperbuat daripada bulu kijang asli dari Kashmir. Sangat berkualiti tetapi harganya mencecah SR2000.00 sehelai.











Sunday, August 29, 2010

Umrah 2010: Mencari Makanan Melayu Di Makkah - Restauran D'Saji

Assalamu'alaikum wm wbr.



Alhamdulillah, pada masa sekarang, para jemaah Haji atau Umrah dari Malaysia boleh mendapatkan masakan kegemaran mereka seperti roti canai, teh tarik, ikan masak asam pedas, dan sebagainya di restauran D'Saji yang terletak di tingkat 2, Hotel as-Safwah.  Harga makanan yang dijual di situ dikira berpatutan sesuai dengan lokasinya di premis hotel yang berhampiran dengan masjidil haram.  Cuma saya perhatikan, tidak ramai jemaah Malaysia yang mengetahui kewujudan restauran ini.  Sebagai contoh, rata-rata jemaah Andalusia yang tinggal di Hotel Abeer Garden, tidak tahu bahawa terdapat restauran D'Saji di Makkah.  Elok sekiranya pihak Felda D'Saji mempergiatkan iklan atau promosi semasa kursus haji atau umrah di Malaysia untuk memperkenalkan D'Saji kepada orang ramai.  Potensi untuk maju memang ada tetapi kena kerja kuat sikit.

Well, restoran D'Saji bukan hanya menjadi tempat memburu makanan Malaysia, tetapi juga merupakan tempat pertemuan warga Malaysia yang tinggal di Makkah (pelajar atau pekerja syarikat di Makkah). Entri kali ini nak selit gambar tentang edisi menjejaki rakan blogger di restauran D'Saji pada 18 Mei, 2010 yang lepas.


Setibanya  di tingkat 2, ada iklan "SILA" tapi bukan iklan D'Saji mempersilakan pelanggan. Itu ialah iklan agensi pelancungan/umrah Turki. Di Madinah ada agensi umrah Ciciek, di sini - SILA. D'Saji anggap semua orang sudah tahu di mana restoran itu terletak - Tidak ada signboard D'Saji kat situ.

Chef dan pekerja D'Saji 

Masih kosong, sesiapa yang berminat boleh sewa dengan D'Saji

Itu dia orang yang dicari

Haji Arshad dan CL