Peranan Niat Dalam Mewujudkan Ikhlas
Ketahuilah ikhlas dalam amal tidak akan wujud kecuali dilandasi oleh dua unsur asas iaitu:
1. Menghadirkan niat dalam amal itu, sebab semua amal bergantung dengan niat. Barang siapa melakukan sesuatu amal tanpa niat maka ia tidak ubah seperti robot iaitu tidak mempunyai niat yang baik mahupun yang buruk. Maka ia tidak dapat masuk dalam kelompok orang yang ikhlas. Sebagai contoh: Orang yang melakukan tawaf mengelilingi kaabah tanpa niat, maka pekerjaanya sia-sia belaka. Justeru itu para jemaah yang ingin tawaf (selain tawaf rukun spt tawaf haji atau tawaf umrah), maka perlulah dia memasang niat seperti untuk tawaf sunat, atau tawaf nazar, tawaf qudum (selamat datang), atau tawaf wida'.
Contoh lain: Seseorang yang memberikan wang kepada orang miskin, tetapi dia tidak berniat zakat, cuma dia hanya belas kesihan kepada orang miskin tersebut, maka pemberiannya itu tidak boleh disebut zakat. Begitu juga orang yang duduk di masjid sambil berzikir, membaca al-quran dan sebagainya tetapi dia tidak berniat i'tikaf, maka dia tidak boleh disebut orang yang beri'tikaf.
2. Melepaskannya dari noda-noda individual dan duniawi, sehingga amal itu murni kerana Allah.
Niat Hanya Ada Di Dalam Hati
Menurut Dr Yusuf Qardhawi, niat ini merupakan amal hati secara murni, bukan amal lidah. Tetapi apa yang kita lihat ialah bahawa sebahagian orang ada yang melafazkan niat itu, seperti ucapan mereka :"Saya berniat menghilangkan hadas kecil dan hadas besar", atau: "aku berniat solat zuhur empat rakaat kerana Allah Taala." Atau: "Aku berniat puasa esok hari dalam bulan Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Taala.", dan lain-lainnya. Semuanya ini tidak ada ertinya. Sebab seseorang tidak akan mengatakan kehendaknya untuk pergi ke pasar: "Aku berniat pergi ke pasar." dan sebagainya.
Yahya bin Abu Kathir berkata: "Belajarlah niat, kerana niat itu lebih penting daripada amal."
Sufyan Ath-Thaury berkata: "Tidak ada yang lebih sukar aku amalkan pada diriku selain niat. Sebab niat itu boleh berubah menjadi dosa atas diriku."
Zubaid Al-Yamy berkata: "Sesungguhnya aku benar-benar suka jika ada niat dalam segala sesuatu, termasuk pula ketika makan dan minum."
Dia juga berkata: "Berniatlah dalam segala kebaikan yang engkau kehendaki, termasuk ketika engkau ingin menyapu."
Sebahagian ulama' berkata: "Carilah niat terlebih dahulu untuk amal sebelum beramal. Selagi engkau berniat yang baik, maka engkau berada dalam kebaikan."
Kesimpulan:
1. Niat ialah roh amal. Amal menjadi benar apabila niat adalah benar mengikut syariat. Dan amal menjadi rosak apabila niat rosak.
2. Tanpa niat, amal menjadi sia-sia.
3. Niat terletak dalam hati, bukan dilafaz pada mulut.
No comments:
Post a Comment
Assalam'alaikum wm wbr.
Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.