Thursday, January 24, 2013

Jom Selawat


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه


Sempena bulan maulid ini jom kita berselawat - pulun habis tanpa jemu.

Jemput klik video di bawah ini untuk mendengar alunan selawat sempena maulid rasul di Yaman. MasyaaAllah!

Saturday, January 19, 2013

Setelah Tiga Tahun Berlalu

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

19/01/2013

A
lhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang telah mengurniakan nikmat masa dan nikmat sihat tubuh badan maka dengan itu dapatlah saya menulis entri ini pada hari hari ini. Pada 12 Jan 2013 yang lepas blog Hidup Biar Allah Sayang ini genap berusia tiga tahun.

Di sepanjang tempuh tiga tahun itu saya cuba memuatkan entri-entri berbentuk dakwah dengan menumpukan kepada panduan melakukan ibadat umrah dan sekali sekala diselitkan dengan berita-berita semasa dan juga cebisan-cebisan kehidupan yang saya lalui sebagai perencah kepada blog ini. Harapan saya semoga entri-entri dalam blog ini menjadi tatapan dan kenang-kenangan kepada anak cucu saya sekiranya saya sudah dijemput kembali oleh Allah SWT kepada-Nya pada suatu hari nanti. InsyaAllah, perkara itu pasti akan berlaku kepada setiap insan.

Jika diperhatikan, pada tahun 2012 saya hanya sempat memuatkan sebanyak 79 entri sahaja berbanding 84 entri pada tahun 2011 dan 159 entri pada tahun 2010. Ini bermakna motivasi saya untuk menulis semakin menurun selaras dengan usia saya yang semakin meningkat yang membawa maksud baki usia yang semakin sedikit.  

Sebenarnya banyak entri-entri yang masih tertangguh yang tidak sempat saya siapkan atas halangan-halangan tertentu. Antara entri-entri yang belum dimuatkan ialah Jaulah Mesir dan juga ibadah umrah pada tahun 2012. InsyaAllah - jika diizinkan oleh Allah SWT dapatlah saya mencuri masa mengemaskinikan entri-entri yang tertangguh tersebut.

Alhamdulillah, blog Hidup Biar Allah Sayang ini telah mendapat tempat dihati para pembaca yang ingin meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai ibadat umrah. Blog ini merupakan salah satu blog yang dikunjungi oleh bakal-bakal jemaah yang ingin mengerjakan umrah buat kali pertamanya. Jesteru itu banyak persoalan-persoalan mengenai ibadat umrah telah diutarakan dalam ruangan komen. InsyaAllah, saya akan cuba menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh para pembaca selagi terdaya. Kadang-kala saya terlepas pandang atau terlambat menjawab  pertanyaan-pertanyaan yang dikemukakan di ruang komen tersebut. Justeru itu saya menyusun 10 jari meminta maaf di atas perkara tersebut, almaklum saya hanya insan yang lemah dan serba kekurangan.

Untuk sekian kalinya, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pembaca dan pengikut setia blog Hidup Biar Allah Sayang ini yang telah memberikan sokongan yang tidak terhingga dan juga telah meninggalkan jejak dalam ruangan komen yang disediakan. Tanpa sokongan tuan-tuan dan puan-puan, blog ini pasti akan suram dan lesu.

Untuk tujuan rekod semata-mata (sebagai rujukan pada tahun hadapan), di sini saya selitkan beberapa statistik mengenai blog ini seperti di bawah:

1. Bilangan pengunjung sehingga 12/1/2013 ialah seramai 463,514 berbanding 180,200 pengunjung pada 12/1/2012.

2. Bilangan pengikut sehingga 12/1/2013 ialah seramai 376 orang berbanding 207 orang pada 12/1/2012 dan 71 orang pada 12/1/2011

3. Bilangan pageview tertinggi dalam tahun 2012 ialah pada bulan Mei iaitu sebanyak 31390 pageviews, manakala pageviews tertinggi tahun 2011 ialah pada bulan Mac iaitu sebanyak 17918 pageviews.

Akhir kata, marilah kita sama-sama memanjatkan doa agar Allah SWT memberikan kita nikmat sihat tubuh badan, nikmat umur yang panjang, meningkatkan nikmat iman dan islam dalam diri kita, serta mengurniakan nikmat masa lapang dan ilham supaya kita dapat gunakan kesemuan nikmat-nikmat tersebut untuk berbakti kepada Allah SWT. Harapan saya, semoga Allah SWT merahmati dan memberkati entri-entri dalam blog ini. Amin Ya Rab al-'Alamin.

Sekian, wasalam.

Hidup Biar Allah Sayang


Statistik terkini 19/1/2013
Statisik 12/1/2012

Tarikh 12/1/2013

Data pada 12/1/2013
















Sunday, January 6, 2013

Trip Ke Bandung - Hari Kedua - Wisata Bangunan Bersejarah dan Pasar Baru

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

Bandung 30/11/12.

P
agi itu kami bangun sekitar jam 3.30 pagi untuk bersiap-siap solat subuh. Waktu di Bandung lewat satu jam daripada waktu di Malaysia. Subuh masuk pada pukul 4.04 pagi dan matahari terbit pada jam 5.18 pagi.

Ketika azan dilaungkan, saya bergegas ke masjid, tetapi baru beberapa langkah berjalan saya berpatah balik untuk mengambil blazer sebab udara pagi di Bandung ketika itu sangat dingin – mungkin sebab malam itu hujan. Masjid yang saya tuju terletak betul-betul di belakang Hotel Kenangan. Pagi itu solat subuh diimamkan oleh seorang anak muda yang bersih mukanya. Usai solat saya duduk sebentar di masjid berbual-bual dengan imam muda tersebut. Anak muda itu bernama Rizal, berasal dari Padang, Sumatera Barat dan dia membuka sebuah toko menjual bag di Jalan Kepatihan.

Masjid At-Taqwa di belakang Hotel Kenangan
Setelah itu saya pulang ke hotel menjemput isteri untuk mencari warung atau restoran untuk sarapan. Walaupun pihak hotel ada menyediakan sarapan percuma kepada tetamu iaitu nasi goreng atau roti bakar, tetapi saya ada sedikit keraguan tentang satus halalnya sebab owner hotel ini adalah seorang Chinese berugama kristian. Pekerja-pekerjanya ada yang muslim dan non-muslim. Jadi untuk mengelakkan keraguan kami mencari warung atau rumah makan di sepanjang jalan menuju stesyen keretapi Bandung. Ternyata rumah-rumah makan di sepanjang jalan tersebut agak kotor, lantas kami masuk ke kiosk di stesyen keretapi untuk membeli air mineral dan buah-buahan.  Kami balik semula ke hotel dan sarapan kami pagi itu ialah Nescafe, roti yang dimakan dengan serunding yang kami bawa dari Malaysia dan buah-buahan yang di beli di stesyen keretapi Bandung.

Sekitar jam 9.00 pagi kami menaiki beca menelusuri Jalan Tamblong menuju Jalan Asia-Afrika untuk melihat bangunan-bangunan lama dan bersejarah di Bandung. 

Di Jalan Tamblong, perhatian saya tertarik kepada sebuah rumah kedai yang berwarna merah menyala tetapi di bahagian atasnya ada lukisan berbentuk kubah masjid. Di bahagian hadapannya tergantung sebuah poster bertulis “Selamat Hari Raya Idul Adha. Masjid Lautze 2 Bandung”. Lantas saya meminta pengayuh beca berhenti bagi membolehkan saya membuat penelitian lebih dekat lagi terhadap masjid tersebut. Nasib saya baik sebab pada masa itu terdapat seorang petugas sedang duduk berhampiran dengan pintu masjid. Setelah memberi salam saya minta kebenaran untuk melihat bahagian dalam masjid. Ternyata bahagian dalam masjid juga dicat dengan warna merah menyala. Ruangan solatnya agak kecil iaitu sekitar 7x6 meter persegi dan diperkirakan hanya dapat menampung lebih kurang 50 orang jemaah. Menurut maklumat daripada Internet, masjid tersebut didirikan oleh masyarakat China di Bandung pada tahun 2007.


Masjid Lautze 2 bandung
Bahagian dalam masjid Lautze 2
Saya melanjutkan perjalanan menelusuri Jalan Tamblong hingga kami sampai ke Jalan Asia-Afrika. Di sepanjang Jalan Asia-Afrika ini terdapat banyak bangunan-bangunan lama zaman kolonial Belanda yang mempunyai corak art-deco yang menarik. Antara bangunan bersejarah yang sempat saya lawati ialah Gedung Merdeka dan Museum Konferensi Asia Afrika. 
Bangunan peninggalan kolonial Belanda tahun 1829
Warenhuis De Vries bermaksud Supermarket De Vries

Museum Konferensi Asia Afrika yang terletak di persimpangan
Jalan Braga dan Jalan Asia Afrika.
Kami meletakkan beca di bangunan Gedung Merdeka.
Beca yang kami naik. Kelihatan penarik beca sedang berdiri di sebelah kanan
Gedung PLN yang mana di dalamnya terdapat
sumur Bandung iaitu perigi yang pertama di Bandung.
Sungai Cikapundung
Setelah mengambil foto bangunan-bangunan bersejarah tersebut, kami melanjutkan perjalanan menaiki beca  menelusuri Jalan Asia-Afrika, Jalan Alun-Alun Timur, Jalan Dalem Kaum, Jalan Otto Iskandardinata (Otista) dan Jalan Kepatihan dan akhirnya berhenti di Pasar Murah Kepatihan di hadapang King's Supermarket. Di Jalan Alun-Alun Timur iaitu berhampiran dengan Masjid Agung, tukang beca kami sengaja membawa kami menentang arus lalu lintas. sehinggakan kecut perut kami dibuatnya. Alhamdulillah, kami selamat sampai di tempat yang dituju. Jarak perjalanan yang kami tempuh ialah sejauh 4.2 km. Memandangkan kami naik beca 2 orang, saya menghulurkan IDR50,000 (RM16.00) kepada tukang beca. Dengan muka yang penuh senyuman, tukang beca menyambut note 50,000 tersebut sambil mengucapkan terima kasih.


Jalan Asia Afrika - foto diambil dari atas beca
Beca kami sedang menentang arus lalu lintas
menuju Jalan Dalem Kaum

Suasana di Jalan Dalem Kaum

Pintu gerbang ke Makam para bupati Bandung
Di hadapan pasar murah kepatehan di hadapan King Plaza
Tujuan saya ke Pasar Murah Kepatihan ialah untuk bertemu dengan Rizal, iaitu pemuda yang mengimami kami semasa solat subuh pada pagi itu. Beliau berniaga di salah satu gerai di situ. Kami bertemu Rizal yang baru sahaja membuka kedainya dan isteri saya membeli beberapa buah bag tangan untuk dihadiahkan kepada guru-guru PASTI Asy-Syifa'.  Berikut ilah gerai-gerai yang terdapat di pasar murah kepatihan.

Gerai-gerai di pasar murah kepatehan

Selepas membayar harga bag-bag tersebut saya minta Rizal tolong hantarkan bag tersebut ke Hotel Kenangan pada waktu malam nanti sebab selepas ini kami akan ke Pasar Baru untuk berbelanja di situ. 

Dari Pasar Murah Kepatihan, kami menapak berjalan kaki sejauh 750 meter ke Pasar Baru di Jalan Otista. Di Pasar Baru kami singgah di Toko Laris di lantai 1 untuk membeli telekong, kain sarung dan sejadah. Kemudian kami naik ke lantai 2 dan singgah di Toko Puteri Salwa untuk membeli beberapa pasang kain di situ. Kami menghabiskan masa lebih daripada 3 jam di Pasar Baru tersebut. Sebelum balik ke hotel kami makan tengahari di Gerai Kemangi di lantai 6. Hidangan tengahari tersebut, antara lain ialah ikan gurame bakar yang sungguh enak. Setelah makan tengahari, kami menapak balik ke Hotel Kenangan sejauh lebih kurang 500 meter. Di persimpangan jalan ke Hotel Kenangan saya berjumpa dengan penarik beca yang kami membawa kami bersiar-siar pada pagi tadi sedang bermain catur. Nampak gayanya, setelah mendapat IDR50,000 dia sudah boleh berehat pada hari itu memandangkan adalah agak sukar untuk mendapatkan pelanggan sebab terlalu ramai penarik beca di Bandung.

Keluar daripada Pasar Murah Kepatihan
Deretan beca sedang diparkir menunggu pelanggan
Penjual tauhu di Jalan Otista.
Kayu yang dipegang itu digunakan untuk memikul barang jualan.
Kedai-kedai di sepanjang jalan Otista

Bangunan pasar baru mula kelihatan - dilihat dari Jalan Otista
Salah satu kedai di Pasar Baru. Isteri saya borong kain di sini.

Makan tengahari di gerai Kemangi di tingkat 6 Pasar Baru
Antara menu yang terdapat di kedai makan Kemangi
Di bawah ini adalah jejak laluan kami pada hari kedua di Bandung yang mana kami telah menempuh perjalanan sejauh 5.5km iaitu 4.2km adalah menaiki beca dan 1.3km dengan berjalan kaki.


Sekian dari saya pada kali ini. Ikuti kisah berikutnya dalam entri Trip ke Bandung - Hari Ketiga.

Entri terdahulu:  Trip Ke Bandung - Hari Pertama