Monday, April 12, 2010

Panduan Umrah – 12 – Contoh Amalan Taqarrub Yang Tidak Murni

Assalamu'alaikum wm wbr.

Para pembaca yang budiman. Dalam entri-entri yang terdahulu dinyatakan bahawa ikhlas bermaksud murni, suci daripada noda. Allah berfirman dalam surah An-Nahl: 66





"... berupa susu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya."

Sebagaimana kemurnian susu diukur tanpa adanya campuran tahi dan darah maka begitulah ibaratnya sesuatu amal yang ikhlas – tidak bercampur dengan perkara-perkara lain. Dalam entri kali ini saya ingin mengutip tulisan Dr. Yusuf al-Qardawi mengenai contoh-contoh amalan yang pada asalnya bertujuan untuk taqarrub kepada Allah semata-mata tertapi berlaku penyimpangan yang membawa kepada kerosakan.

1.  Seseorang berpuasa untuk tujuan diet dan juga taqarrub.

2.  Menunaikan haji / umrah untuk melepaskan diri dari kejahatan di negerinya atau untuk melarikan diri dari musuh di tempat tinggalnya atau untuk melepaskan diri dari kepenatan mengurus keluarga, anak-anak, dan pekerjaan sehingga dengan begitu dia dapat beristirehat beberapa hari.

3.  Solat malam untuk menghindarkan kesengsaraan dari dirinya, agar keluarganya aman.

4.  Mendalami ilmu agar mudah mencari mata pencarian dan harta dan dipandang mulia oleh sanak saudara, atau agar harta benda miliknya menjadi aman dari gangguan tangan-tangan yang rakus, kerana dia sudah mempunyai ilmu untuk memeliharanya.

5.  Mengajar atau menyampaikan pengetahuan dan nasihat, agar tidak jemu kerana hanya diam sahaja dan sekali gus bebas menikmati pekerjaan mengajar ini.  <–  Tepat kena pada batang hidung saya sendiri sebab saya sudah masuk usia pencen tapi masih terus mengajar atas sebab takut jemu duduk di rumah. Ampunilah hambaMu yang lemah ini Ya Allah!

6.  Melayani ulamak atau ahli sufi agar kehormatan dirinya turut dipandang mulia di mata manusia, atau agar mendapat teman di dunia.

7.  Menunaikan haji dengan cara berjalan kaki untuk meringankan biaya.

8.  Wudhu' untuk membersihkan diri dan juga untuk menyegarkan badan.

9.  Iktikf di masjid untuk meringankan sewa tempat tinggal.

10. Berpuasa agar tidak selalu kerap memasak makanan atau agar tidak terlalu disibukkan oleh urusan makanan.

11. Menjenguk orang sakit agar dia juga dijenguk jika dia sakit.

12. Menziarahi jenazah agar jika keluarganya meninggal dunia juga akan diziarahi.

13. Membaca ayat kursi 313x di waktu dinihari untuk tujuan mengubat pesakit terkena gangguan jin pada esok hari.

14. Menunaikan umrah  di luar musim puncak (sesak) kerana mudah hendak mencium hajar aswad dan solat di hijir Ismail.

Apa pun pendorongnya, semua pekerjaan itu tetap dimaksudkan sebagai taqarrub kepada Allah. Tetapi ada satu lintasan maksud yang menjadikan amal itu lebih ringan dari bentuk sepatutnya.  Kerana hal-hal itulah maka amal keluar  dari batasan ikhlas kerana Allah sebab Allah s.w.t. berfirman: "Aku adalah sekutu yang paling tidak memerlukan penyekutuan."

Jelas betapa sulitnya membersihkan hati dari campuran noda-noda.  Orang yang ikhlas tidak memiliki pendorong kecuali mendekatkan diri kepada Allah.

Contoh ke-13 dan 14 bukan dari Dr. Yusuf al-Qardhawi  tetapi apa yang berlaku kepada diri saya sendiri.  Semasa menunaikan haji pada tahun 2007, saya tidak dapat mencium hajar aswad dan bersolat di hijir Ismail lantaran jemaah yang terlalu ramai sedangkan saya tidak mahu berebut-rebut untuk melakukannya. Maka berdetiklah di dalam hati untuk datang semula ke masjidil haram untuk menunaikan umrah pada tahun-tahun mendatang dan harap-harap jemaah tidak ramai agar saya dapat mencium hajar aswad dan solat di hijir Ismail.  Astaghfirullahil 'Azim. Aku mohon ampun kepadaMu Ya Allah. Dan syukur kepadaMu Ya Allah kerana telah meletakkan semula orientasi ibadahku hanya untukMu. Sesungguhnya solatku, manasik ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untukMu, Tuhan seru sekelian alam.

1 comment:

  1. Subhanallah....Tak mudahnya sbnarnya utk tdk mencampurkan rasa ikhlas dan taqarrub ini...Terima Kasih krn berkongsi,InsyaALLAH Saya akan membaca satu persatu entry haji hingga kepenghujungnya,bagi persediaan sy mengunjungi Baitullah Mei ini,semoga usaha Haji mendapat balasan setimpal dr yg Esa.AMIN

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.