Showing posts with label Pengalaman Umrah/Haji. Show all posts
Showing posts with label Pengalaman Umrah/Haji. Show all posts

Thursday, August 15, 2013

Mayat Terbang Depan Hajar Aswad - part 2

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

Usai solat Jumaat, maka para jemaah mula memenuhi ruang mataaf (dataran kaabah) untuk tawaf.  Apa lagi, sudut hajar aswad terus diserbu oleh jemaah yang solat di saf hadapan berhampiran kaabah.  Mereka meluru ke arah hajar aswad bagaikan peluru yang dilepaskan daripada muncung senapang.  Tidak lama kemudian saya turut join kumpulan yang pertama tadi. Maka episod tolak menolak, tarik menarik, himpit menghimpit, jerit menjerit, lambung melambung, desak mendesak pun berlaku dengan dasyatnya – sama seperti keadaan di musim haji.
Selesai solat Jumaat 14/5/2010
foto kredit: PDKM - CL

Selesai solat Jumaat 14/5/2010
foto kredit: Kehidupan Makkah - Haji Arshad Ali

Saya menghampiri hajar aswad dari sebelah pintu kaabah dan hampir dengan dinding kaabah. Agak lama saya bertahan dan cuba bergerak ke arah hajar aswad. Setiap kali saya menghampiri hajar aswad dan hanya tinggal beberapa kaki sahaja daripadanya, saya ditolak semula ke belakang. Ada satu ketika tangan kiri saya sudah dapat memegang hajar aswad namun saya tertolak semula ke belakang. 

Sedang asyik mencuba tiba-tiba saya terlihat suatu kelibat seperti orang mengusung mayat yang sudah dikafankan. "Mayat" tersebut meluncur di atas kepala jemaah yang sedang bersesak-sesak di hadapan hajar aswad.  Setelah dekat, barulah saya perasan bahawa sebenarnya ia adalah seorang remaja India yang memakai kain ihram yang diusung dan dijulang oleh kawan-kawannya untuk membolehkan dia mencium hajar aswad. Perbuatannya memang sungguh nekad dan membahayakan diri sendiri. Kalaulah tertanggal kain ihramnya, alamat menjadi berita utama dalam akhbar dan tv.

Setelah lama mencuba dari sisi pintu kabaah saya beralih ke sisi rukun yamani pula. Seperti tadi juga, setelah hampir dengan hajar aswad dan tangan kanan telah dapat memegangnya, saya terlambung atau tertolak semula ke belakang. Hal ini adalah disebabkan oleh tolakan daripada jemaah yang hendak keluar daripada hajar aswad selepas menciumnya.

Akhirnya, setelah hampir 2 jam mencuba, saya mengalah dan berehat di kawasan binaan Turki menghadap hijir Ismail dan pancuran emas.  Baju saya basah kuyup (lencun) bermandi peluh dan badan berasa tersangat letih dan hilang tenaga. Selelah minum air zam-zam, basuh muka dan tangan dengan air yang barakah tersebut, saya memandang kaabah sambil membuat penilaian terhadap apa yang berlaku sebentar tadi.  

 Setelah minum air zam-zam saya duduk di sini
sambil muhasabah diri.

Berehat sambil menunggu waktu asar di kawasan binaan Turki.

Setelah muhasabah diri, saya menyedari bahawa apa yang saya lakukan tadi semata-mata mengikut kehendak hati dan menyangka, dengan berusaha bersungguh-sungguh, saya akan dapat mencium hajar aswad. Ini adalah tidak betul sebab saya telah membelakangkan Allah SWT.  Segala sesuatu itu adalah atas urusan atau kehendak Allah semata-mata. Allah sahajalah yang mengatahui hikmah atau rahsia disebalik sesuatu kejadian. Allah telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 126:
 وَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَىٰ أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya."

Justeru itu saya beristighfar dan redha atau kurnia Allah. Walaupun pada hari itu saya tidak dapat mengucup hajar aswad, sekurang-kurangya saya telah dapat menyentuhnya dengan jari.  Sambil memandang kaabah, saya membetulkan niat dan berjanji kepada Allah yang saya tidak akan melakukan sesuatu (terutama mencium hajar aswad) semasa berada di tanah suci melainkan Allah menggerakkan hati saya untuk berbuat sedemikian.


Asar, Jumaat 14/5/2010
foto kredit: Kehidupan Makkah - Haji Arshad Ali

Asar, Jumaat 14/5/2010
foto kredit: Kehidupan Makkah - Haji Arshad Ali

\



Jadi selama dua hari berikutnya (Sabtu dan Ahad) saya hanya melakukan solat, umrah, tawaf sunat, berzikir, berdoa, dan sebagainya. 




Tawaf jam 5.15am 15/5/2010
Kemudian pada pagi Insin 17/05/2010, selepas solat dhuha, hati saya tiba-tiba sahaja tergerak untuk berdoa di hadapan pintu kaabah.  Pada masa itu keadaaan di hadapan kaabah agak lengang. Selesai berdoa di hadapan pintu kaabah, hati saya tergerak pula untuk berdoa di hadapan multazam. Di situ saya teruskan berdoa dan memohon agar Allah memberi peluang kepada saya untuk mencium hajar aswad. Selesai berdoa saya memandang ke arah hajar aswad.  Kebetulan ketika itu seperti ada ruang kosong untuk saya menyelitkan diri. Jadi alhamdulillah saya terus menyorongkan kepala ke dalam lobang hajar aswad dan mengucup batu dari surga tersebut sambil air mata merembes kesyukuran dalam suasana yang penuh syahdu. 

Setelah puas, saya bergerak keluar dari situ mencari tempat yang sesuai untuk solat dua rakaat dan berdoa. Saya rasa sungguh bersyukur kerana Allah telah menggerakkan hati saya untuk mencium hajar aswad pada ketika yang sangat lapang dan selesa tanpa berdesak-desak seperti yang berlaku pada hari Jumaat sebelumnya. Jika saya terus mencuba untuk mencium hajar aswad pada hari Jumaat tersebut, sedangkan tenaga saya telah hilang, mungkin sesuatu yang buruk akan berlaku.

Apa yang saya nyatakan di sini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah. Tujuan saya menulis pengalaman umrah di atas adalah semata-mata untuk kita mengambil pengajaran atau ibrah daripada apa yang terjadi.  Semoga kisah ini dapat membantu serta memberi sedikit gambaran kepada bakal-bakal jemaah umrah akan suasana di sekitar hajar aswad serta betapa pentingnya kita berserah diri kepada Allah SWT.

Sekian, wasalam.

Entri berkaitan: Mayat Terbang Depan Hajar Aswad - Part 1

Thursday, July 11, 2013

Mayat Terbang Depan Hajar Aswad - part 1

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

11/7/2011 Saya update sebahagiab dulu. 

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang telah mengurniakan masa yang lapang dan sihat tubuh badan serta sedikit motivasi bagi membolehkan saya update entri yang tertangguh ini.

Ini adalah sebuah kisah yang saya alami yang boleh diambil hikmah dan ibrah oleh para pembaca. Peristiwa ini berlaku semasa saya mengerjakan umrah pada tahun 2010 yang lalu.

Hari itu merupakan hari pertama saya berada semula di bumi Makkah yang barakah sejak saya tinggalkannya dua tahun setengah sebelum itu. Secara kebetulan hari itu ialah hari Jumaat, 14 Mei 2010.  Kali terakhir saya melihat kaabah ialah pada malam Jumaat 4 Jan 2008 iaitu semasa tawaf wada’ haji 1428H (2007).

Thursday, October 21, 2010

Pengalaman Umrah: Tidak Nampak Isteri Di Hadapan Masjid Nabawi



Assalamu'alaikum wm wbr.

Ya Allah, ku mohon ampun kepadaMu di atas segala kesalahan dan dosaku. Sama ada yang aku sengajakan atau tidak aku sengajakan. Sama ada yang zahir mahupun yang batin. Sama ada pada perkataanku, tulisanku, atau perbuatanku. Sama ada semasa aku duduk diam atau semasa aku bergerak, atau semasa aku berkata-kata, atau kesalahan itu hanya terlintas dalam hatiku walau seketika. Sesungguhnya tidak ada daya upaya dan tidak ada kekuatan melainkan dengan keupayaan dan kekuatan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agong.

Para pembaca yang budiman. Dalam entri saya yang terdahulu, saya  memberikan beberapa panduan  kepada jemaah yang julung kali sampai di Makkah  agar tidak tersesat  di Masjidil Haram. Antara tip yang saya kemukakan ialah supaya jangan ada perasaan takabbur walau sebesar zarah sekalipun di dalam hati dan sentiasa beristighfar kepada Allah SWT.

Dalam entri kali ini saya ingin menceritakan sedikit pengalaman yang saya lalui di hadapan Masjidil Nabawi semasa mengerjakan haji pada tahun 2007 semoga kita sama-sama mengambil pengajaran daripadanya.

Alhamdulillah, pada tahun 2007 saya dan isteri menunaikan ibadah haji  dengan kumpulan terbang KT37  yang terbang terus ke Madinah. Di Madinah, kami di tempatkan di Hotel Movenpick yang sangat hampir dengan Masjid Nabawi. Di Masjid Nabawi, tidak seperti di Masjidil Haram, ruang solat wanita dan lelaki adalah berasingan. Oleh kerana kawasan masjid tersangat luas, dan para jemaah tersangat ramai, maka bagi memudahkan kami bertemu semula selepas keluar masjid,  kami telah memilih suatu tempat berhampiran dengan bangunan tandas lelaki no.9 sebagai "meeting point."

Suatu hari, saya keluar agak lewat dari masjid selepas solat zohor. Saya dapati isteri saya telah lama menunggu di tempat yang telah dijanjikan dalam panas terik matahari.  Kasihan melihat keadaannya, saya terus bertanya kenapa dia tidak menunggu di belakang tiang payung yang terletak 20 meter dari situ sebab dia boleh berteduh di bawah bayang-bayang tiang tersebut. Isteri saya memberitahu yang dia berpegang kepada janji dan khuatir saya tidak dapat mencarinya jika dia menunggu di belakang tiang tersebut. Lantas saya menjawab, "InsyaAllah, boleh cari." Selepas itu kami terus balik ke hotel untuk makan tengah hari.

Selepas berehat, kami pergi semula ke masjid untuk solat asar, dan kami berjanji untuk bertemu di tiang payung berhampiran dengan bangunan tandas lelaki no.9. Usai solat, saya bergegas keluar dari masjid sebab kami bercadang untuk mencari sedikit makanan. Saya menuju ke tempat yang telah dijanjikan tetapi isteri saya tidak kelihatan. Hanya ada beberapa orang jemaah dari Pakistan atau India di situ. Dalam fikiran saya, isteri mungkin lambat keluar sebab terhalang dalam masjid kerana jemaah terlalu ramai. Saya terus menunggu, tetapi isteri tidak muncul-muncul walaupun masa telah berlalu selama 20  minit.  Hati mula berasa gusar. Timbul pula sangkaan yang isteri telah balik ke hotel bersendirian atas sebab-sebab tertentu untuk qada' hajat dan sebagainya. Lantas saya bergegas ke hotel mencari isteri di sana, namun isteri saya tidak ada di bilik.

Saya berpatah semula ke masjid dengan hati yang gelisah memikirkan keadaan tersebut. Di dalam lift, saya teringat semula kata-kata saya selepas zohor tadi yang mana saya mengatakan kepada isteri "InsyaAllah boleh cari." Mungkin kata-kata tersebut, walaupun bersandarkan dengan "InsyaAllah", menyebabkan Allah tidak redha ke atas saya. Mungkin Allah hendak tunjuk kepada saya bahawa saya sebagai makhluq tidak sepatutnya melafazkan kata-kata tersebut. Saya seolah-olah bersandarkan kepada keupayaan diri sendiri, tidak kepada Allah, ketika mengucapkan kata-kata tersebut. Lantas saya beristighfar sebanyak mungkin dan meminta ampun kepada Allah SWT dengan setulus hati agar Allah menemukan semula isteri saya. Alhamdulillah, semasa saya sampai semula di tempat yang dijanjikan, isteri saya terus datang mendapatkan saya dari arah tiang payung tadi. Isteri saya mengatakan bahawa dia memang menunggu saya di situ sejak keluar dari masjid, dan dia tidak pergi ke mana-mana. Dia sendiri puas mencari saya namun tidak berjumpa.

Di Sekitar Kawasan Inilah Peristiwa Di Atas Berlaku

Dialog saya dengan isteri:

Saya: "Kesiannya, kenapa tunggu di tengah panas. Kenapa tidak tunggu di balik tiang sana tu?"
Isteri: "Kita janji di sini tadi, saya takut abang tidak dapat cari saya kalau saya tunggu di situ."
Saya: "InsyaAllah, boleh cari."

Doa saya selepas menyedari bahawa kata-kata tersebut tidak diredhai oleh Allah SWT.

"Ya Allah, sesungguhnya aku tidak bermaksud untuk takabbur dan membesar diri semasa aku melepaskan kata-kata tadi. Ya Allah, sekiranya kata-kataku tadi menyebabkan Engkau murka dan tidak redha ke atasku, aku memohon ampun kepadaMu Ya Allah. Ampunilah aku dan ketemukanlah aku dengan isteriku Ya Allah."

Selepas itu saya terus beristighfar sehingga saya bertemu semula dengan isteri.

Perhatian: Jika di Malaysia, kita sering berkata-kata seperti di atas. Memang tidak ada sekelumit pun perasaan takabbur dan membesarkan diri semasa saya berkata sedemikian. Namun, jika diperhatikan secara lebih halus, kata-kata sedemikian sudah membelakangkan Allah SWT. Dengan berkata sedemikian, seolah-oleh saya mempunyai kuasa mencari isteri saya. Allah SWT telah mengajar saya secara tunai di Madinah.

Jika dengan hanya berkata "InsyaAllah boleh cari", Allah sudah tidak redha apatalah lagi kata-kata sebahagian daripada orang-orang Islam di Malaysia "Hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di sini sebab kita hidup dalam masyarakat majmuk." Na'auzu billahi min zaa lik.