Monday, April 26, 2010

Panduan Umrah – 29 – Bacaan Semasa Sai'e

Assalamu'alikum wm wbr.


Sama seperti waktu melakukan tawaf, tidak ada bacaan khusus ketika melakukan sai'ie antara Safa dan Marwah.  Para jemaah bolehlah mengatur zikir atau doa seperti semasa bertawaf atau membaca doa yang terdapat dalam buku panduan Tabung Haji.

Jika saya berkesempatan melakukan umrah atau haji sekali lagi, saya bercadang untuk membaca al-Quran sebab jarak antara Safa dan Marwah agak jauh iaitu lebih kurang 420 meter. Jika kita membaca al-Quran, mungkin sempat baca setengah juzu' atau satu juzu'.

Perlu ditegaskan di sini bahawa tidak ada sai'e sunat.  Namun dalam gambar di atas kita boleh lihat orang yang berpakaian biasa berjalan bersama-sama dengan orang yang sedang bers'ie. Jalan yang terbaik di sini ialah bersangka baik. Mungkin mereka sedang menemani isteri bersai'e atau menemani kawan.

Panduan Umrah – 28 – Sunat-Sunat Semasa Sai'e

Assalamu'alaikum wm wbr.

Entri kali ini ialah mengenai sunat-sunat samasa mengerjakan saie.

Di Bukit Safa
Lampu Hijau di Masaa

Di Bukit Marwah

Sunat-Sunat Sai'e ialah:

1.   Keluar ke tempat Sai'e melalui pintu Safa – terletak berdekatan dengan lampu hijau dalam bangunan masjid yang berbumbung, yang bersetentangan dengan hajar aswad, yang merupakan garis permulaan tawaf.

2.   Menaiki hingga sampai ke kawasan berbatu di bukit safa sambil membaca:
  
إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا وَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيم



Kawasan Berbatu di Bukit Safa Telah Di Tutup Dengan Kaca

3.   Menghadap kaabah dan mengangkat kedua tangan serta bertakbir   الله أكبر الله أكبر، الله أكبر وَلِلَّهِ الحَمْد   di safa dan Marwah.

4.   Berlari-lari anak bagi lelaki apabila sampai di tempat bertanda lampu hijau – seperti pada gambar di atas, sambil membaca:

رَبِّ اغْفِرْ وَارْحَمْ , وَاعْفُ وَتَكَرَّمْ , وَتَجَاوَزْ عَمَّا تَعْلَمُ , إِنَّكَ تَعْلَمُ مَا لَمْ نَعْلَمُ , إِنَّكَ أَنْتَ اللهُ اْلأَعَزُّ اْلأَكْرَمُ

5. Menaiki hingga sampai ke kawasan berbatu di bukit marwah – sekarang ini kawasan batu-batu di bukit Marwah iaitu selepas pembesaran oleh pihak Saudi adalah batu replika sahaja – sambil membaca:

إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا وَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيم

5.   Muwalat (berturut-turut).

6.   Suci dari hadas besar dan hadas kecil (berwudhuk).

7.   Berjalan kaki.

8.   Berdoa atau berzikir atau membaca al-Quran semasa melakukan sai'e.

Panduan Umrah – 27 – Beberapa Kesalahan Jemaah Semasa Tawaf

Assalamu'alaikum wm. wbr.

Ketika membelek-belek nota kursus haji, saya jumpa topik mengenai kesalahan-kesalahan semasa melakukan tawaf yang saya kira bagus untuk dijadikan salah satu entri dalam panduan mengerjakan umrah sebagai berkongsi maklumat kepada bakal-bakal tetamu Allah yang julung-julung kali mengerjakan umrah.
Di antara kesalahan-kesalahan semasa tawaf ialah:

1.   Terkejar-kejar ikut mutawif takut tersesat atau ketinggalan.
2.   Membaca doa dengan suara yang nyaring sama ada bersendirian atau berkumpulan.
3.   Bercakap-cakap semasa tawaf.
4.   Cari kawan atau isteri atau suami.
5.   Asyik baca doa dengan melihat buku.
6.   Kucup hajar aswad tanpa membetulkan bahu.
7.   Menyentuh dinding kaabah atau hijir Ismail.
8.   Menyentuh syazarwan (bingkai kaabah) atau kelambu kaabah.
9.   Istilam tanpa membetulkan bahu.
10. Membawa beg di dalamnya diletak selipar atau kasut yang bernajis.
11. Mendokong anak lelaki yang belum berkhitan semasa tawaf.
12. Mendokong anak kecil yang buang air kecil atau air besar dalam pampers.
13. Wanita yang melambai atau istilam hajar Aswad dan ternampak lengan tangannya.
14. Tidak menghabiskan keliling hingga sampai di tempat mula tawaf (hajar Aswad).
15. Bahu kiri tidak melurus ke dinding kaabah atau terkeluar dari sasarannya.

Panduan Umrah – 26 – Adab Sewaktu Tawaf

Assalamu'alaikum wm. wbr.

Sebagai panduan buat diri saya sendiri dan juga bagi para jemaah tetamu Allah sekelian, sukacita saya paparkan disini nasihat daripada Imam An-Nawawi kepada kita mengenai adab-adab semasa melakukan tawaf.

Kata Al Imam An Nawawi رحمه الله :

Sewaktu tawaf hendaklah merendahkan diri dengan penuh khushu` dengan menghadhirkan hati, pergerakan, dan pemandangan dengan penuh beradab zahir dan batin kerana tawaf itu adalah seperti solat. Oleh itu hendaklah dipelihara adab-adabnya . Hendaklah kita menghadhirkan keagungan Allah, TUHAN kaa`bah yang kita sedang bertawaf. 

Oleh itu makruh makan dan minum sewaktu tawaf yang mana makruh minum itu adalah lebih ringan dari makan. Tetapi jika kita makan atau minum maka tawaf tersebut tetap sah. Begitu juga makruh kita meletakkan tangan di mulut sebagaimana ia dimakruhkan sewaktu kita bersolat kecuali terdesak seperti menguap atau bersin.

Adalah disunatkan tidak bercakap selain dari berzikir kecuali percakapan yang disukai seperti menyuruh berbuat baik atau menegah dari kemungkaran atau membicarakan tentang ilmu tetapi tidak boleh memanjangkannya.

Adalah makruh membunyikan jari-jemari sebagaimana ia dimakruhkan ketika kita bersolat. Begitu juga makruh bertawaf ketika sangat lapar, juga menahan buang air kecil atau besar atau menahan angin sebagaimana ia adalah makruh di dalam solat.

Hendaklah kita menjaga pandangan dari melihat kepada wanita yang cantik atau lelaki yang kacak. Begitu juga hendaklah memelihara hati dan pandangan dari menghina mereka yang kita lihat seperti manusia yang cacat dan faqir. Apabila kita melihat orang yang melakukan kesilapan mengerjakan haji atau umrah maka janganlah menghina mereka tetapi hendaklah mengajar dan menegur mereka dengan lemah lembut. Ingatlah dan berhati-hatilah! Sesungguhnya sudah banyak bala yang menimpa ramai orang yang buruk akhlaknya ketika bertawaf dan selainnya semasa di tanah suci kerana melakukan keburukan di tempat yang mulia lebih buruk dan dahsyat lagi. Semoga Allah memelihara, menolong dan memberi taufiq kepada kita semua.

Aamiin Yaa RABBAL `aalamin.

Panduan Umrah – 25 – Bacaan Semasa Tawaf

Assalamu'alaikum wm wbr.

Antara amalan sunat semasa melakukan tawaf ialah membaca doa, membaca al-quran, atau berzikir.  Persoalannya di sini ialah apa yang hendak dibaca?

Jawapannya: Para jemaah bebas membaca apa-apa doa atau zikir yang difahaminya. Yang terlebih baik ialah doa-doa yang maa'thur iaitu yang datang daripada Nabi s.a.w. atau pun membaca al-Quran.  Malahan tawaf tetap sah kalau kita tidak membaca apa-apa doa pun. Walau bagaimanapun alangkah ruginya kita jika tidak mengambil kesempatan di tempat yang barakah, yang mana Allah s.w.t. menurunkan 60 rahmah kepada orang yang sedang tawaf, tetapi kita tidak berdoa atau berzikir, atau membaca al-quran.

Pihak Tabung Haji (TH) ada mengeluarkan buku panduan doa untuk para jemaah haji / umrah. Doa-doa tersebut sangat bagus jika dapat dihafal dan dibaca semasa melakukan tawaf atau semasa bersai'e. Namun sayugia diingati bahawa doa-doa tersebut bukanlah doa-doa yang dibaca oleh Nabi s.a.w. Oleh yang demikian janganlah ada para jamaah menganggap bahawa membaca doa seperti yang telah disusun oleh pihak TH adalah wajib.

Sukacita saya menyarankan di sini iaitu para jemaah aturlah sendiri doa atau zikir yang hendak dibaca semasa melakukan tawaf. Adalah lebih baik lagi jika kita berdoa atau berzikir dengan doa atau zikir yang lazim kita lakukan seharian.  Sebagai contoh:

Pusingan pertama: اَسْتَغْفِرَاللهَ
Pusingan kedua:    سُبْحَانَ الله
Pusingan ketiga:    اَلْحَمْدُ لِلَّهِ
Pusingan keempat: اللهُ اَكْبَرُ
Pusingan kelima: لاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّبِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ
Pusingan keenam: ياَذَالْجَلاَلِ وَاْلاِكْرَامِ
Pusingan ketujuh: اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحّمَّدٍ

Dalam setiap pusingan, ketika berada di antara rukun Yamani dan rukun Hajar Aswad bacalah:

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Jadi jika kita melazimi zikir-zikir ini maka dengan automatik kita akan tahu sama ada kita telah cukup tawaf 7 keliling atau sebaliknya.

 Apa yang dinytakan di atas hanyalah sebagai contoh sahaja. Para jemaah bolehlah susun zikir/doa/ayat quran yang ingin dibaca semasa tawaf. Sebagai contoh, para jemaah boleh juga memabaca zikir harian imam Ghazali yang masyhur itu. Yang penting, jangan dibiarkan tawaf kita itu kosong tanpa apa-apa doa. Alangkah bagusnya kalau kita dapat susun bacaan-bacaan tersebut yang sekali gus dapat mengingatkan kita akan bilangan tawaf yang telah kita lakukan. Jadi dapatlah kita elakkan keraguan atau was-was dalam bilangan tawaf yang telah kita lakukan.

Entri Yang Berkaitan (Sila Klik)

1. Bolehkah teruskan tawaf, saie dan bergunting bagi wanita yang haid semasa dalam ihram kemudian suci dalam masa singkat, kemudian datang haid semula

Panduan Umrah – 24 – Bersentuh Lelaki Dan Perempuan Semasa Tawaf Tidak Batal Wudhuk

Assalamu'alaikum wm wbr.

Salah satu syarat sah tawaf ialah suci daripada hadas besar dan hadas kecil. Ini bermakna jemaah perempuan haruslah suci daripada haidh dan nifas. Persoalan mengenai jemaah wanita berhaidh telah pun diulas dalam entri sebelum ini. Namun bagi jemaah lelaki, amatlah sukar untuk mengekalkan wudhuk jika berpegang kepada pendapat imam Syafi'ie sebab semasa melakukan tawaf dengan memakai ihram secara ittiba' bahu kanan akan terdadah.  Semasa tawaf ramai jemaah wanita turut melakukan tawaf. Tidak semua jemaah wanita tersebut bermazhab Syafi'ie. Ada yang bermazhab Maliki, Hanbali, atau Hanafi. Bagi mereka bersentuhan antara lelaki dengan perempuan yang ajnabi (boleh berkahwin) adalah tidak membatalkan wuduk. Kebanyakan jemaah wanita tersebut tidak memakai stokin sebagaimana yang dilakukan oleh jemaah wanita dari Malaysia.  Jadi amatlah mudah berlaku sentuhan antara lelaki dan wanita pada bahu dan juga tumit semasa melakukan tawaf sebab keadaan jemaah yang bersesak-sesak. Bahu saya sendiri pernah dipegang oleh seorang ibu dari India atau Pakistan (tak pasti) yang menjadikan saya sebagai perisai semasa tawaf mengelilingi kaabah.

Jadi dalam hal ini, muzakarah ibadah haji kali ke-21 telah membuat suatu keputusan iaitu tidak batal wudhuk jemaah yang berpegang kepada mazhab Syafi'ie ketika berada di tanah Makkah jika bersentuh lelaki dan wanita yang ajnabi (halal berkahwin) dengan syarat tidak ada syahwat.

Berikut adalah keputusan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-21

Pandangan Mazhab Dalam Kes Batal Wudhuk: Pendapat Pilihan Berdasarkan Maslahat Jemaah Haji.

1.  Ruksyah adalah keringanan yang Allah berikan kepada umat Islam dalam melaksanakan perintah-perintah Allah di saat-saat ada darurah, masyaqqah atau haajahAzimah pula ialah suatu kemastian melaksanakan perintah atau hukum Allah dalam apa keadaan sekalipun.

2.  Memilih pendapat selain mazhab Syafi'ie atau menerima pendapat marjuh dalam mazhab Sysfi'ie di dalam melaksanakan ibadat boleh dianggap sebagai satu keringanan atau ruksyah.

3.  Dalam isu batal wudhuk ketika mengerjakan tawaf, maslahat jemaah haji dapat dijamin, masyaqqah dan haaraj mereka seperti kesesakan di tempat tawaf  yang boleh menyebabkan berlaku persentuhan antara lelaki dan perempuan, ia dapat dihindarkan dengan beralih dari pendapat Syafi'ie yang masyhur dan berpegang kepada pendapat marjuh dalam mazhab Syafi'ie.

4.  Jemaah haji / umrah boleh menggunakan pendapat yang mengatakan tidak batal wudhuk jika berlaku persentuhan lelaki dan perempuan tanpa syahwat berdasarkan hal-hal berikut:

4.1  Ia adalah pendapat yang paling sederhana.
4.2  Fuqaha mazhab Syafi'ie pun ada yang berpendapat sedemikian sebagaimana yang disebut oleh Ibn Suraij dan Al-Rafi'ie.
4.3  Pendapat tersebut ialah pendapat yang paling tepat dengan maqasid syariah dan menepati ruh syariah.

Oleh itu para jemaah lelaki dan wanita tidak perlu risau tentang masalah batal wudhuk kerana bersentuhan lelaki dan perempuan.  Namun perlu diingat, jika semasa tawaf ada jemaah yang terkentut (maaf yer :D), maka pusingan tawaf yang berkenaan adalah terbatal.  Perlulah dia memperbaharui wudhuknya dan melengkapkan semula tawafnya sehingga sempurna tujuh keliling.

Thursday, April 22, 2010

Panduan Umrah – 23 – Amalan Memohon Berhentikan Haidh Sementara Waktu

Assalamu'alaikum wm. wbr.

Alhamdulillah, dalam usaha untuk memberikan ketenangan jiwa dan keselesaan kepada jemaah wanita mengenai masalah haidh ketika mengerjakan ibadah umrah atau haji, beberapa orang tuan guru telah menganjurkan suatu amalan yang boleh diamalkan oleh para jemaah wanita selepas solat lima waktu semasa dalam ihram atau selepas haidh. Terima kasih kepada rakan blogger saya Tn Haji Rozali kerana mengingatkan saya perkara ini.  Kaedah ini dipetik dari buku Panduan Umrah Dan Pedoman Berpuasa Di Makkah terbitan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd. muka surat 25.

Amalan tersebut ialah:



Makna:

1. Segala puji bagi Allah dalam setiap keadaan.

2. Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan binasalah ia bersama! (surah al-Masad:1).

3. Dan matahari, ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya (Yasin:38).

4. Wahai bumi, telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu (Hud:44).


Kaifiat amalan:

1. Diamalkan selepas haidh terakhir.
2. Baca selepas setiap kali solat. Sediakan air berdekatan untuk mudah ditiup selepas membaca amalan ini.
3. Apabila membaca ayat no. 2, 3, dan 4 hendaklah menekan lidah ke langit-langit, tarik dan tahan nafas selama 5 saat kemudian hembus ke dalam air.  Air digunakan untuk minum. InsyaAllah

Doa di atas dipanggil doa penahan. Ia juga boleh digunakan untuk menahan darah akibat luka, muntah yang tidak berhenti dan sebagainya. InsyaAllah, amalkan dengan yakin semoga mujarab. Kita hanya berusaha. Setelah berusaha, serahkan segala-galanya kepada Allah s.w.t.

Sekiranya Allah mengizinkan, maka kitaran haidh si pengamal akan beranjak kebelakang ke suatu masa yang hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Jadi untuk mengembalikan semula kepada kitaran yang normal, maka bacalah doa Nabi s.a.w. seperti pada ayat 80 surah Isra'.


وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا


Semoga entri ini dapat memberi manfaat kepada jemaah wanita. Amiin ya Rabb al-'Alamiin.

Entri-Entri Lain yang Berkaitan Berkaitan:

1. Panduan Bagi Wanita Yang Datang Haid Semasa Tawaf 


Image diambil dari blog berikut: Terima kasih kepada pemilik blog. Jazakallahu Khairan kathira.
http://suarapesanan.blogspot.com/2010/03/amalan-memohon-berhentikan-haid.html

Wednesday, April 21, 2010

Panduan Umrah – 22 – Masalah Tawaf Bagi Jemaah Wanita Haidh/Nifas

Assaalamu'alaikum wm. wbr.

Dalam melakukan ibadah umrah, terdapat persoalan mengenai wanita yang kedatangan haidh ataupun nifas. Bagi wanita yang sedang berhaidh dan nifas, jika ia melakukan umrah, maka wajib baginya berniat umrah di miqat tetapi terpaksa menunggu sehingga bersih barulah boleh melakukan tawaf dan menyelesaikan semua rukun dan wajib umrah yang lain.

Jika semasa berhaidh, terdapat sela masa bersih melebihi 24 jam (contoh datang haid, kemudian berhenti melebihi 24 jam, kemudian datang haidh semula), maka semasa bersih tersebut bolehlah dia cepat-cepat mandi hadas, memakai tuala wanita, dan kemudian melakukan tawaf, bersai'e, dan bergunting untuk tahallul.  Jika selepas itu datang haidh semula, maka dia telah selamat dan sudah tidak berpantang ihram lagi.

Kenyataan di atas bersumberkan kepada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke 17 (1422H).

Sekiranya jemaah haji wanita yang menghadapi masalah seperti tidak dapat melakukan tawaf rukun beliau bolehlah berpegang dengan pendapat yang mengatakan hari suci (fatrah al-Naqa’) dalam tempoh haid selama satu hari satu malam tidak dikira haid, beliau dikira suci, boleh mandi, berwuduk dan melakukan tawaf.

PERHATIAN

Fatrah Naqa’ hanya terpakai kepada jemaah haji/umrah wanita yang akan meninggalkan Makkah dalam waktu terdekat.


Fatrah Naqa’ tidak terpakai jika waktu berada di Makkah masih panjang dan sempat menunggu tempoh suci.

Untuk keterangan lanjut sila lihat entri dalam link di bawah (sila klik)

1. Bolehkah teruskan tawaf, saie dan bergunting bagi wanita yang haid semasa dalam ihram kemudian suci dalam masa singkat, kemudian datang haid semula

PENTING: NIAT IHRAM BERSYARAT

Bagi wanita yang dijangka kedatangan haidhnya agak panjang, dan dikhuatiri tidak suci sehingga tarikh penerbangan balik ke tanah air, maka dicadangkan agar mereka berniat ihram bersyarat supaya mudah untuk bertahallul Maka dalam situasi sebegini, walaupun dia tidak sempat tawaf, sai'e dan bergunting, dia boleh bergunting untuk keluar daripada ihram tanpa perlu membayar dam. Niat bersyarat hanya bagi orang yang terpaksa sahaja.

Sebaliknya, jika jemaah wanita berkenaan (yang kedatangan haid) tidak berniat ihram secara bersyarat, malah ia hanya berniat biasa sahaja ketika di miqat, maka jika haidnya berterusan sehingga tarikh pulang ke negara asal maka ia hendaklah melakukan tahallul ihsar iaitu dengan keluar daripada Makkah sejauh dua Marhalah (91km) atau lebih (boleh dilakukan di Malaysia), kemudian menyembelih seekor kambing dan bergunting rambut dengan niat tahallul. Daging kambing tersebut dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin tempatan.

Jika tidak mampu hendaklah membeli makanan dengan nilai seekor kambing dan bergunting dengan niat tahallul, dan makanan itu dibahagikan kepada fakir miskin tempatan.

Jika tidak mampu juga hendaklah berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor kambing (1 cupak=1 hari) dan bercukur atau bergunting dengan niat Tahallul dengan berpuasa dan bergunting dengan niat Tahallul ihsar.

Setelah melakukan tahallul ihsar, maka terlepaslah ia daripada pantang larang umrah.

Peringatan:

 (Sembelih kambing dahulu, baru bergunting). Namun wajiblah ia mengqadha' semula umrah yang tertangguh itu – sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa Hudaibiah pada tahun ke-6 hijrah.

Niat Bersyarat tersebut ialah:

"Aku berniat mengerjakan umrah dan berihram dengannya, jika aku terhalang oleh halangan syara' maka ketika itu aku bertahallul kerana Allah Taala."


UPDATE:

Assalamu'alaikum wbt

Ihram bersyarat tidak digalakkan bagi niat ihram haji..


Di bawah ini dimuatkan MUZAKARAH HAJI PERINGKAT KEBANGSAAN
KALI KE-26 pada 4 – 7 Mac 2010 mengenai niat ihram bersyarat bagi jemaah haji wanita:

Yang Dibolehkan:

1. Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Sekiranya aku kedatangan haid dan haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”

2.Dalam keadaan berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”

Yang Tidak Dibolehkan:

Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram kemudian ketika didatangi haid dia berkata; “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”

Entri Yang Berkaitan (Sila Klik)

1. Bolehkah teruskan tawaf, saie dan bergunting bagi wanita yang haid semasa dalam ihram kemudian suci dalam masa singkat, kemudian datang haid semula


Panduan Umrah – 21 – Sunat-Sunat Semasa Tawaf

Assalamu'alaikum wm wbr.


Suasana Di Dataran Kaabah Sebelum Waktu Solat


Di Sini Kelihatan Penjuru Hajar Aswad (Kanan), Makam Ibrahim, Hijir Ismail (Bentuk Ladam Kuda Warna Putih), Penjuru Syami (Kiri) dan Penjuru Yamani (Di Tengah-Tengah).


Rukun Yamani, Hajar Aswad, Rukan Iraqi, Hijir Ismail, dan Maqam Ibrahim

Terdapat beberapa amalan sunat dalam melakukan tawaf iaitu:

1.   Berjalan kaki – kecuali sakit, maka boleh diusung atau menggunakan kerusi roda.

2.   Melakukan ramal iaitu berlari-lari anak dengan memendekkan langkah, tidak melompat pada pusingan 1, ke-2, dan ke-3 – bagi lelaki jika keadaan mengizinkan, iaitu pada tawaf yang diikuti dengan sai'e selepasnya (bukan tawaf sunat dsb.)

3.   Melakukan istilam – menjabat hajar aswad dengan tapak tangan dan kemudian mengucupnya. Jika tidak mampu, memadai dengan isyarat dengan tangan (melambai) sahaja dari jauh, kemudian kucup tapak tangan – lambai tiga kali sambil mengucapkan "Bismillahi Allahu Akbar Walillahilhamdu".  Dilakukan bagi setiap permulaan pusingan tawaf. Bagi orang perempuan tidak sunat melakukan istilam kecuali ketika lapang –  memadai dengan isyarat seperti di atas.


4.   Melambai rukun Yamani – tetapi tidak mengucup tapak tangan.

5.   Memakai ihram secara ittiba' –  bagi lelaki yang mengerjakan tawaf haji atau tawaf umrah. Makruh ittiba' ketika sembahyang.



7.   Berturut-turut 7 pusingan tawaf itu. Bermakna tawaf boleh dilakukan secara tidak berturut-turut. Jika seseorang ingin membuang air kecil / air besar, bolehlah dia pergi ke tandas. Selepas itu ia bersuci dan mengambil wudhuk dan sambung semula tawaf untuk mencukupkannya menjadi 7 pusingan yang sempurna.

8.   Berzikir atau berdoa atau membaca al-quran.

9.   Khusyuk dan tawadhuk – jangan berbual-bual, menjawab telefon, mengambil gambar dsb. Rendahkan suara semasa berdoa atau berzikir.

10. Solat sunat tawaf dua rakaat setelah selesai tawaf 7 keliling dengan sempurna di belakang Makam Ibrahim – jika keadaan mengizinkan. Jika jemaah ramai, tawaflah di mana-masa sahaja di Masjidil Haram. Ada sebahagian jemaah (bukan dari Asia Tenggara) membuat kepungan dan hadangan bagi membolehkan kumpulan mereka solat dibelakang makam Ibrahim. Namun dengan melakukan sedemikian, mereka telah menghalang aliran tawaf yang sepatutnya berjalan dengan lancar.

11. Minum air zam-zam selepas solat sunat tawaf. Disunatkan ketika minum air zamzam berniat sebagai penawar dan memperolihi kebajikan di dunia dan akhirat. Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Air zamzam itu mengikut apa yang diniatkan sewaktu diminumnya.

Nota

1. Hukum mencium hajar aswad adalah sunat.

2. Tidak digalakkan bagi orang yang masih terikat dengan pantang larang ihram sebab pada kebiasaannya Pak Arab meletakkan minyak wangi pada hajar aswad, terutama sebelum masuk waktu solat. Lihat gambar di bawah ini.

Pak Arab Mencuci Hajar Aswad dan Letak Minyak Wangi Sebelum Masuk Wakt Solat

3. Jagalah akhlak ketika berusaha menciumnya. Janganlah berdesak-desak sehingga menyakiti orang lain sebab hukum mencium hajar aswad adalah sunat, tetapi jika kita menyakiti orang lain hukumnya berdosa.

4. Bagi orang perempuan, tidak digalakkan mencium hajar aswad kecuali memang lapang tidak ramai orang di situ – suatu situasi yang sangat jarang berlaku kecuali sebaik selepas musim haji. Jika berdesak-desak maka akan berlakulah keadaan berhimpit-himpit, bergesel punggung, dan payu dara dengan jemaah lelaki. Ini sangat-sangat tidak dibolehkan apatah lagi ia berlaku di Masjidil Haram – di hadapan kaabah.  Pahala yang kita cari tetapi dosa yang dapat. Na'uzubillahi min zalik.








Entri Yang Berkaitan (Sila Klik)

1. Bolehkah teruskan tawaf, saie dan bergunting bagi wanita yang haid semasa dalam ihram kemudian suci dalam masa singkat, kemudian datang haid semula

Panduan Umrah – 20 – Sunat-Sunat Sebelum Ihram

Assalamu'alaikum wm wbr.

Sebelum berihram maka digalakkan melakukan perkara-perkara berikut:

1. Taubat atas segala kesalahan
2. Mengerat kuku
3. Membuang atau mencukur bulu ari-ari dan bulu ketiak
4. Mengandam atau merapikan misai, janggut, dan rambut.
5. Mandi sunat ihram (jika keadaan mengizinkan – janganlah mandi dalam kapalterbang).
6. Berwuduk
7. Memakai minyak wangi pada badan (bagi lelaki sahaja untuk tujuan kesegaran). Bagi wanita hanya boleh memakai bahan yang boleh menghilangkan bau badan yang tidak mendatangkan kemudharatan dan shawat bagi lelaki jika terbau.
8. Memakai minyak rambut.
9. Memakai kain ihram yang berwarna putih.
10. Solat sunat ihram atau solat sunat musafir. Bagi jemaah umrah yang langsung masuk ke Mekah daripada Malaysia, maka lakukan solat tersebut di KLIA.

Lafaz niat solat sunat umrah:





Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat ihram 2 rakaat kerana Allah Taala.

Rakaat Pertama : Al-Fatihah dan Al-Kafirun
Rakaat Kedua : Al-Fatihah dan Al- Ikhlas

PERHATIAN:

Lakukan perkara-perkara di atas sebelum berniat ihram.  Jika sudah berniat ihram maka tidak boleh lagi memotong kuku, menggunting rambut, memakai minyak wangi, minyak rambut dan sebagainya.

Setelah solat sunat ihram maka maka pasanglah niat ihram untuk umrah.

Lafaz niat ihram umrah:

نَوَيْتُ الْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا ِللهِ تَعَالَىْ

Sengaja aku mengerjakan Umrah dan aku berihram kerananya kerana Allah Taala

Setelah itu jemaah disarankan sentiasa bertalbiah disepanjang perjalanan menuju ke Makkah. Talbiah hanya tamat selepas jemaah memasukki masjidil haram dan telah nampak kaabah.

لَبَّيْكَ اللّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَّ لَبَّيْكَ، ِإنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكُ،
لاَ شَرِيْكَ لَكَ.
Maksudnya: Aku memenuhi panggilanMu ya Allah aku memenuhi panggilanMu. Aku memenuhi panggilanMu tiada sekutu bagiMu aku memenuhi panggilanMu. Sesungguhnya pujaan dan ni’mat adalah milikMu begitu juga kerajaan. Tiada sekutu bagiMu.

Panduan Umrah – 19– Cara Memakai Kain Ihram

Assalamul'alaikum wm wbr.

Tiada kata-kata yang dapat menandingi video dari segi kesempurnaan dan kejelasan maklumat yang ingin disampaikan.  Justeru itu di sini saya paparkan video cara memakai kain ihram oleh:

1. Ustaz Daud Che' Ngah dari Andulisia Travel and Tours




2. Shahidah Travel iaitu sebuah syarikat yang mengendalikan pakej haji dam umrah yang berpangkalan di Singapura.



Cara memakai kain ihram bagi lelaki ada dua iaitu cara penuh dan cara ittiba'

Cara memakai ihram seperti yang ditunjukkan dalam video diatas dipanggil cara memakai ihram yang penuh.
Jemaah lelaki perlu memakai ihram seperti ini sepanjang masa iaitu dalam kapalterbang, dalam bas, di bilik hotel, semasa solat dan sebagainya.


Cara Pakai Ihram Yang Sempurna

Lagi Contoh Pakai Ihram Yang Sempurna

Ketika tawaf, iaitu tawaf yang akan diikuti oleh saie, jemaah lelaki perlu memakai ihram secara ittiba' iaitu bahu kanan tidak ditutup seperti pada video dan  gambar di bawah.

Pakai ihram cara ittiba'





Para Jemaah Memakai Ihram Cara Ittiba' Semasa Tawaf - Bahu Kanan Tidak Ditutup


Semasa Sai'e Jemaah Memakai Ihram Yang Sempurna – Tepat Sekali


Dalam Gambar Ini Ada Jemaah Pakai Ihram Cara Ittiba' Semasa Sai'e –  Tidak Tepat tu.


Wasalam.

Saturday, April 17, 2010

Panduan Umrah – 18 – Larangan Semasa Berihram

Assalamu'alaikum wm wbr.

Sekiranya seseorang telah berniat untuk berihram, sama ada ihram umrah atau ihram haji, maka wajib bagi dirinya menjaga segala pantang larang semasa berihram.  Terdapat 13 perkara yang dilarang dilakukan semasa berihram iaitu:

A. BERKAITAN DENGAN PAKAIAN

1. Memakai pakaian bersarung atau berjahit atau bercantum (L - larangan bagi lelaki).
2. Menutup kepala atau sebahagian daripadanya (L).
3. Menutup muka (W - larangan bagi wanita).
4. Memakai sarung tangan (L/W).

B. BARKAITAN DENGAN BERWANGI-WANGIAN

5. Memakai bau-bauan sama ada di badan, pakaian, atau menghisapnya ke dalam hidung (L dan W).
6. Memakai minyak di kepala/janggut/semua bulu muka selain daripada tumbuh di pipi dan dahi (L dan W)

C. BERKAITAN DENGAN ALAM SEKITAR

7. Memotong/mengerat/mencabut pokok-pokok di tanah haram (L/W).
8. Memburu binatang buruan yang halal dimakan atau membinasakannya di tanah haram atau di tanah halal (L/W).

D. BERKAITAN DENGAN MEROSAKKAN ANGGOTA BADAN

9.   Menggunting/mencabut rambut atau bulu di badan (L/W).
10. Mengerat atau merosakkan kuku (L/W).

E. BERKAITAN DENGAN HUBUNGAN JANTINA

11. Melakukan pendahuluan persetubuhan seperti bercumbu-cumbuan dsb (L/W).
12. Bersetubuh (L/W).
13. Berkahwin/mengahwinkan/menerima wakil kahwin (L/W).

Sekiranya pantang larang di atas dilanggar, maka jemaah dikenakan dam mengikut jenis kesalahan yang dilakukan, pada kebanyakan hal ialah seekor kambing, kecuali dam bagi melakukan persetubuhan sebelum tahallul ialah se-ekor unta atau se-ekor lembu atau 7 ekor kambing.  Untuk penerangan terperinci mengenai dam ini sila rujuk buku panduan haji oleh TH dan sebagainya.

Entri Berkaitan:

1. Bolehkah teruskan tawaf, saie dan bergunting bagi wanita yang haid semasa dalam ihram kemudian suci dalam masa singkat, kemudian datang haid semula

Tengok gambar kambing ni.
http://inapcache.boston.com/universal/site_graphics/blogs/bigpicture/hajj_11_27/h11_21224243.jpg

Panduan Umrah – 17 – Miqat Umrah

Assalamu'alaikum wm wbr.

Miqat bermaksud ketentuan tempat atau masa untuk berniat ihram haji atau umrah. Miqat terbahagi kepada dua iaitu miqat zamani (ketentuan masa) dan miqat makani (ketentuan tempat).

Miqat zamani – ketentuan masa untuk melakukan umrah ialah sepanjang tahun iaitu selain dari masa seseorang itu berihram haji.  Miqat masa untuk menunaikan haji pula ialah dari 1 haribulan Syawal hingga terbit fajar hari yang ke-10 bulan Zulhijjah. Tempoh inilah dikenali sebagai bulan-bulan haji.

Miqat maqani –  sempadan terakhir tempat bagi berniat ihram umrah atau haji adalah mengikut arah dari mana seseorang itu datang untuk masuk ke tanah suci Makkah bagi penduduk di luar kota Makkah.




Terdapat 5 miqat bagi ihram haji atau umrah iaitu:

1. Yalamlam – bagi yang datang dari arah Yaman. Pada satu ketika dulu, orang Malaysia yang menaiki kapal laut mengenakan pakaian ihram dan berniat ihram di atas kapal apabila melalui miqat ini.

2. Bir Ali atau Zulhulaifah – bagi yang datang dari arah Madinah dengan bas, kereta, dsb. Bagi mereka yang menaiki pesawat kapalterbang, miqat mereka ialah di lapangan terbang Madinah.



3. Al-Juhfah – bagi yang datang dari arah Mesir, Syam, Tunisia, Jordan, Lubnan, Palestin dsb.

4. Zatu Irqin – bagi yang datang dari arah Iraq.

5. Qarnul Manazil – bagi yang datang dari arah Najd, Kuwait, dan juga jemaah Malaysia dan Asia Tenggara yang datang dengan menaiki kapalterbang.

Bagi jemaah Malaysia, jika pakej umrahnya masuk terus ke Makkah dahulu baru ziarah ke Madinah maka sempadan terakhir untuk berniat ihram ialah di ruang angkasa Qarnul Manazil iaitu kira-kira satu jam sebelum kapalterbang mendarat di Jeddah. Namun di nasihatkan agar jemaah memakai ihram di rumah atau di lapangan terbang KLIA terlebih dahulu sebab adalah terlalu rumit untuk memakai ihram dalam kapal terbang.

Bagi jemaah Malaysia yang berangkat ke Madinah untuk menziarahi Rasulullah s.a.w. terlebih dahulu kemudian baru ke Makkah, maka miqatnya ialah sama dengan miqat penduduk Madinah iaitu di Bir Ali –  jika menaiki bas, atau di Lapangan Terbang Madinah jika menaiki kapal terbang ke Jeddah.

Bagi jemaah Malaysia yang mana jadual penerbangan mereka terpaksa transit (bukan menaiki MAS atau Saudia Airlines) maka miqat mereka bergantung kepada tempat mereka transit.  Jika mereka transit di Jordan, maka miqat mereka ialah di Juhfah.  Jika transit di Bahrin maka miqat di Qarnul Manazil. Pilot kapal terbang akan mengumumkan yang kapalterbang akan melintasi kawasan miqat dalam tempoh setengah jam dsb.  JAdi para jemaah perlu prihatin tentang tempat-tempat miqat mereka.

Setelah jemaah berada di Makkah, dan telah selesai melaksanakan manasik umrah, maka jika ia ingin mengerjakan lagi umrah-umrah selanjutnya maka ia perlu keluar ke tanah halal untuk berniat ihram.  Untuk itu mereka bolehlah pergi ke:

– Tan'aim (paling dekat dengan Makkah, tambang bas hanya 2 riyal). Di sini ialah tempat miqat isteri Nabi iaitu saidatina Aisyah.



– Ja'ranah iaitu tempat miqat Rasulullah s.a.w. –  lebih afdal berihram di sini.



– Hudaibiyah (Syumaisi), tempat Nabi terhalang memasuki Makkah untuk menunaikan umrah pada tahun ke 6 Hijrah.  Di sinilah berlakukan Perjanjian Hudaibiyah di antara Nabi dengan orang Quraish Makkah.



– Di Arafah dan di mana-mana kawasan tanah halal.

Thursday, April 15, 2010

Panduan Umrah – 16 – Wajib Umrah

Assalamu'alaikum wm wbr.

Sebelum saya menulis mengenai sunat-sunat dalam pekerjaan umrah, sukacita saya sentuh tentang wajib umrah terlebih dahulu.

Adapun wajib umrah bermaksud pekerjaan yang WAJIB dilakukan jika sudah berniat ihram umrah. Jika tidak dilakukan sama ada sengaja atau terlupa, umrah itu tetap sah tetapi dikenakan dam.  Jika sengaja meninggalkan perkara wajib umrah maka hukumnya berdosa. Jika tidak sengaja, tidak berdosa.

Jadi di sini perlu dibezakan antara rukun umrah dengan wajib umrah.  Rukun umrah, sebagaimana dinyatakan dalam entri terdahulu, sekiranya tidak dilakukan mana-mana satu daripadanya sama ada sengaja atau tidak sengaja, maka umrahnya tidak sah. Tetapi wajib umrah, jika tidak dilaksanakan sah umrah tersebut.
Sukacita saya ingin membuat tamsilan mengenai rukun umrah dan wajib umrah ini dengan anggota badan seorang manusia.

Kes pertama: Seorang manusia, A, mempunyai lengkap semua anggota badan iaitu mempunyai kepala (termasuk leher), badan, tangan, kaki, dan anggota-angota yang lain maka kita katakan A mempunyai sifat-sifat yang sempurna. 

Kes kedua:  Seorang manusia, B, hanya mempunyai kepala (termasuk leher) dan badan sahaja, tetapi tangan dan paha ke bawah kudung, maka B masih lagi boleh hidup tetapi cacat anggota (dikategorikan sebagai OKU).

Kes ketiga: Katalah seorang manusia, C, mengalami kemalangan jalan raya yang mana kepalanya terputus, atau badannya terbelah dua. Maka sudah tentulah si C tidak boleh hidup lagi. Dalam erti kata lain, Si C telah meninggal dunia.

Jadi begitulah ibaratnya rukun umrah dan wajib umrah.  Dalam hal ini, untuk membolehkan seseorang itu hidup dia mestilah mempunyai kepala dan badan (seperti dalam kes kedua si B). Jika salah satu anggota asas tiada, seperti dalam kes ketiga (si C), maka dia akan mati. Jadi dalam hal pekerjaan umrah, jika salah satu rukun umrah tidak lengkap maka tidak sahlah umrah tersebut.

Wajib umrah bolehlah diibaratkan sebagai anggota-anggota badan yang lain selain daripada kepala dan badan – untuk melengkapkan sifat-sifat fizikal manusia yang sempurna. Untuk menjadi manusia yang sempurna, maka seseorang itu perlu memiliki semua anggota yang lain seperti mata, hidung, mulut, telinga, tangan, kaki, dan sebagainya – seperti kes pertama, si A.  Jika satu jari tangan terputus, si A masih lagi sempurna sifatnya tetapi ada sedikit kekurangan.  Begitulah halnya dengan umrah kita. Jika kita inginkan umrah kita sempurna dan mendapat ganjaran maksimum daripada Allah s.w.t. maka perlulah kita melaksanakan wajib umrah tersebut. Jika kita melanggar salah satu pantang larang ihram,  misalnya memakai minyak rambut, maka umrah kita akan cacat dan menjadi kurang sempurnalah umrah kita – walaupun umruh itu sendiri dikira sah.

Wajib umrah ada dua iaitu:

1. Berniat ihram di miqat
2. Meninggalkan perkara-perkara larangan semasa berihram (Menjaga pantang larang ihram).

Panduan Umrah – 15 – Rukun Umrah

Assalamu'alaikum wm wbr.

Setelah menyentuh serba sedikit sifat-sifat yang perlu dipupuk di dalam diri, maka di sini saya teruskan dengan rukun  umrah dan dalam entri selanjutnya saya akan sentuh mengenai wajib umrah.

Seperti ibadah-ibadah yang lain, umrah mempunyai rukun yang tertentu dan juga mempunyai tuntutan kewajipan tertentu untuk dilaksanakan.

Rukun bermaksud perkara-perkara yang mesti dilakukan untuk menjadikan umrah kita sah. Sekiranya tertinggal walaupun satu rukun, atau tidak dilakukan mengikut syarat-syarat yang sepatutnya, maka umrah itu tidak sah dan jemaah masih lagi dalam ihram dan wajib mematuhi segala larangan ihram walaupun telah kembali ke tanah air. Oleh itu rukun umrah adalah teramat penting untuk dijaga atau diperhatikan.

Rukun umrah ada lima iaitu:

1. Berniat ihram umrah
2. Tawaf Kaabah tujuh pusingan
3. Sai'e antara bukit safa dan bukit marwah
4. Bergunting atau bercukur
5. Tertib.

Huraian Rukun Umrah Secara Terperinci

Rukun Umrah 1 – Niat Ihram

Seperti yang telah dijelaskan dalam entri yang terdahulu, setiap ibadah perlukan dimulai dengan niat. Oleh itu jemaah yang ingin melakukan umrah perlulah memasang niat ihram umrah di miqat (sempadan) yang telah ditetapkan.

Jika tidak berniat sehingga sampai waktu tawaf, maka umrahnya tidak sah. Tetapi jika berniat selepas melepasi sempadan / miqatnya, maka umrahnya tetap sah tetapi perlu membayar dam iaitu menyembelih seekor kibas / kambing. Jika dia tidak berkuasa, hendaklah ia berpuasa 10 hari iaitu 3 hari di Makkah dan 7 hari di tempatnya apabila ia sudah kembali ke tanah air. Jika tidak berupaya berpuasa sebab tua atau gastrik dsb, maka hendaklah ia bersedekah kepada fakir miskin sebanyak 1 cupak setiap hari selama 10 hari (jumlahnya 10 cupak). Jika tidak berkuasa juga, maka tertanggunglah di atas zimmahnya.

Di manakah miqat atau sempadan untuk berniat ihram? Ulasan mengenai miqat ini akan dibuat dalam entrinya yang tersendiri.

Rukun Umrah Ke-2 – Tawaf Mengelilingi Kaabah

Tawaf bermaksud mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali dengan syarat-syarat tertentu. Sekiranya syarat-syaratnya tidak dilaksanakan maka tawaf tersebut tidak sah, dan jika jemaah tersebut terus melakukan sai'e dan bergunting selepas itu, maka sai'e tidak sah dan dia masih lagi dalam ihram. Oleh itu berhati-hatilah ketika melakukan tawaf.




Dalam gambar kaabah di atas sudut yang sebelah kiri sekali ialah sudut hajar aswad iaitu poin rujukan untuk memulakan tawaf. Juga kelihatan pintu kaabah, maqam Ibrahim dan hijir Ismail (binaan yang  berbentuk ladam kuda bewarna putih di sebelah kanan). Ruang antara sudut hajar aswad dengan pintu kaabah di panggil multazam – tempat mustajab berdoa.

Syarat-Syarat Sah Tawaf (Mengikut Mazhab Syafie)

1. Suci daripada hadas besar dan hadas kecil (ada wuduk).

2. Suci daripada najis, sama ada pada pakaian, badan, dan tempat tawaf. Atau tidak menanggung najis seperti mendukung kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan, atau mendukung anak yang terkencing / buang air besar dalam pampers.

3. Menutup aurat seperti dalam solat (bagi wanita – seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan).

4. Tawaf mestilah dimulakan dari sudut hajar aswad.

5. Semasa tawaf sentiasa berwaspada supaya kaabah berada di sebelah kiri kita. Bahu kiri mestilah 90 darjah (lebih kurang sahaja) dengan kaabah. Jika bahu terpesong dari kaabah maka pusingan itu terbatal. Jemaah hendaklah mengulangi pusingan yang terbatal tersebut bermula dari tempat yang terbatal, atau mula semula dari sudut hajar aswad. Contoh: Jika dalam pusingan ke 4, badan kita dirempuh oleh seseorang dan badan kita berpusing, maka pusingan ke-4 itu dikira terbatal. Perlu ulang semula pusingan ke-4 sama ada dari sudut hajar aswad atau dari point badan berpusing tadi.

6. Sempurna 7 kali pusingan dengan yakin. Jika ragu-ragu, contohnya, adakah baru 6 pusingan atau sudah 7 kali pusingan. Maka di sini ambillah bilangan yang sedikit iaitu 6 pusingan dan tambahlah tawaf satu pusingan lagi untuk melengkapkannya menjadi 7 pusingan.

7. Tawaf itu dilakukan di dalam masjid dengan niat ibadah (tawaf) semata-mata. Tidak sah tawaf dengan niat mencari kawan (sebab sudah terpisah kerana bersesak-sesak), atau sambil tawaf sambil ambil gambar guna kamera handphone dsb. Jika hati memang meruntun untuk mengambil gambar kenang-kenangan, tunggulah selepas selesai semua rukun umrah – sehingga telah bergunting untuk tahallul – barulah pergi semula di hadapan kaabah untuk ambil gambar. Bab posing ambil gambar depan kaabah ni, pandai-pandailah lakukan. Kalau ternampak oleh pak Arab kamera anda mungkin akan dirampas. Tentang wajar atau tidak untuk berposing dihadapan kaabah ini, tanyalah hati anda sendiri. Niat kita sedari mula bagaimana?

8. Tidak menyentuh mana-mana bahagian kaabah walaupun bingkai kaabah yang dipanggil syazaruan dan tembuk Hijir Ismail atau Rukun Yamani. Sekali lagi sebagai contoh, sekiranya dalam bersesak-sesak badan kita terhimpit ke dinding kaabah walaupun badan tidak berpusing, maka pusingan tawaf tersebut dikira batal dan perlu diulang semula pusingan tersebut.

Sunat-sunat tawaf – dalam entri yang tersendiri.

Rukun Umrah ke-3 – Sai'e

Bermaksud berjalan antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh keliling dengan mengikut syarat-syaratnya. Bagi yang uzur, bolehlah menggunakan kerusi roda dsb. Sekarang ini sudah ada kerusi roda berkuasa bateri yang boleh dikendalikan sendiri oleh jemaah.


Gambar-1: Ke Babus Safa


Gambar-2: Bukit Safa – Tempat Permulaan Sai'e

Gambar-3: Masaa (Laluan Sai'e)


Gambar-4: Bukit Marwah (Tempat Sai'e Berakhir)

Syarat-Syarat Sai'e

1. Hendaklah dilakukan selepas tawaf yang sempurna.

2. Hendaklah dimulakan dari Safa hingga ke Marwah (dikira satu pusingan) dan seterusnya dari Marwah ke Safa (juga dikira satu pusingan). Jadi ada 4 kali perjalanan dari Safa ke Marwah, dan 3 kali perjalan dari Marwah ke Safa. Perjalanan sai'e yang pertama dan yang terakhir adalah dari Safa ke Marwah.

3. Hendaklah sampai ke tempat yang tinggi di Safa dan Marwah. Sekarang ini kawasan berbatu di bukit Safa telah ditutup dengan cermin kaca.




4. Tujuh kali dengan sempurna.

5. Sentiasa niat kerana ibadah umrah, tidak yang lain contoh mencari orang yang terpisah dari kumpulan (sambil bersai'e sambil hati berfikir mencari orang yang hilang tadi). Atau tidak bergambar semasa bersai'e.

6. Sai'e dilakukan di mas'a atau tempat bersai'e iaitu suatu kawasan yang berdinding yang telah dibina oleh kerajaan Arab Saudi.

Jadi untuk bersai'e tidak perlu ada wuduk. Badan boleh berpusing dsb. Tetapi niat sentiasa murni iaitu semata-mata bersai'e umrah sahaja.

Tidak ada sai'e SUNAT tetapi ibadah sai'e itu ada sunat-sunatnya.

Sunat-sunat sai'e – dalam suatu entri yang tersendiri

Rukum Umrah Ke-4 – Bergunting atau Bercukur Bagi Lelaki

Bergunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut atau afdal bercukur bagi lelaki selepas melakukan 7 kali sai'e dengan sempurna.

Perlu diambil perhatian, di bukit Marwah ramai kanak-kanak Arab menawarkan diri untuk menggunting rambut jemaah. Mereka ini hanya bermotifkan mencari wang sahaja.  Berhati-hatilah supaya jangan menerima pelawaan mereka untuk menggunting rambut kita setiap kali tiba di bukit Marwah walaupun pusingan sai'e kita masih belum genap 7 kali pusingan.  Kadang-kadang tindakan mereka ini macam memaksa.

Jika jamaah bergunting sebelum cukup sai'e 7 pusingan, maka jamaah belum bertahallul lagi dan masih dalam ihram serta dikenakan dam.  Dam yang dikenakan ialah menyembelih seekor kibas / kambing ATAU bersedekah kepada 6 orang fakir miskin sebanyak 2 cupak makanan tiap-tiap seorang ATAU berpuasa tiga hari.

Mereka yang tidak mempunyai rambut, hendaklah melalukan mata pisau cukur di atas kepala. Setelah bergunting / bercukur bererti seseorang itu telah bertahallul daripada ihram umrah dan telah bebas dari pantang larang ihram. Sekali umrah sekali bergunting.  Bergunting boleh dilakukan di bukit Marwah atau di kedai-kedai gunting berhampiran.

Rukun Umrah Ke-5 – Tertib

Tertib di sini bererti melakukan rukun secara berurutan satu persatu. Turutannya adalah seperti berikut:
Niat ihram – > Tawaf – > Sai'e – > Bergunting – >Tertib.

Kesimpulan:

1. Para jemaah perlulah mengambil berat tentang syarat-syarat sah setiap rukun umrah. Sebab ia membawa implikasi yang berat iaitu boleh menyebabkan umrah terbatal dan jemaah masih lagi dalam berihram.  Bermakna pantang larang ihram masih tertanggung olehnya walaupun sudah sampai ke tanah air.

2. Kesemua rukun tidak boleh diwakilkan kepada orang lain –  Ia perlu lakukan sendiri oleh jemaah walaupun terpaksa mengupah orang mengusung / menyorong kereta tolak untuk tawaf atau sai'e.

Kredit Foto: CL http://manzlie-makkah.blogspot.com/

Tuesday, April 13, 2010

Panduan Umrah – 14 – Mukhlis Sejati

Assalamu'alaikum wm wbr.

Di bawah ini ialah sebuah kisah seorang mukhlis (orang yang ikhlas) sejati dipetik dari blog wordpress.

Pengajaran yang diperolehi:

Ibadah yang paling ikhlas adalah ibadah yang dilakukan secara tersembunyi. Jika boleh, tidak diketahui oleh malaikat sehingga ia mencatatkan dalam buku amalan kita!

http://widabee.wordpress.com/2010/01/28/jangan-tertipu-dengan-penampilan-luar/

Panduan Umrah – 13 – Link Ke Blog Ikhlas Yang Lain

 Assalamu'alaikum wm wbr

Terdapat banyak blog yang membicarakan konsep ikhlas ini di antaranya ialah blog seperti di bawah.  Sama-samalah kita mengambil manfaat daripadanya.  Terima kasih kepada sdr Jimie, pemilik blog dari Brunei DS.

~ : : : :Lahir Dari Tetes Air Yang Hina : : : : ~: Ikhlaskah Kita :::

Monday, April 12, 2010

Panduan Umrah – 12 – Contoh Amalan Taqarrub Yang Tidak Murni

Assalamu'alaikum wm wbr.

Para pembaca yang budiman. Dalam entri-entri yang terdahulu dinyatakan bahawa ikhlas bermaksud murni, suci daripada noda. Allah berfirman dalam surah An-Nahl: 66





"... berupa susu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya."

Sebagaimana kemurnian susu diukur tanpa adanya campuran tahi dan darah maka begitulah ibaratnya sesuatu amal yang ikhlas – tidak bercampur dengan perkara-perkara lain. Dalam entri kali ini saya ingin mengutip tulisan Dr. Yusuf al-Qardawi mengenai contoh-contoh amalan yang pada asalnya bertujuan untuk taqarrub kepada Allah semata-mata tertapi berlaku penyimpangan yang membawa kepada kerosakan.

1.  Seseorang berpuasa untuk tujuan diet dan juga taqarrub.

2.  Menunaikan haji / umrah untuk melepaskan diri dari kejahatan di negerinya atau untuk melarikan diri dari musuh di tempat tinggalnya atau untuk melepaskan diri dari kepenatan mengurus keluarga, anak-anak, dan pekerjaan sehingga dengan begitu dia dapat beristirehat beberapa hari.

3.  Solat malam untuk menghindarkan kesengsaraan dari dirinya, agar keluarganya aman.

4.  Mendalami ilmu agar mudah mencari mata pencarian dan harta dan dipandang mulia oleh sanak saudara, atau agar harta benda miliknya menjadi aman dari gangguan tangan-tangan yang rakus, kerana dia sudah mempunyai ilmu untuk memeliharanya.

5.  Mengajar atau menyampaikan pengetahuan dan nasihat, agar tidak jemu kerana hanya diam sahaja dan sekali gus bebas menikmati pekerjaan mengajar ini.  <–  Tepat kena pada batang hidung saya sendiri sebab saya sudah masuk usia pencen tapi masih terus mengajar atas sebab takut jemu duduk di rumah. Ampunilah hambaMu yang lemah ini Ya Allah!

6.  Melayani ulamak atau ahli sufi agar kehormatan dirinya turut dipandang mulia di mata manusia, atau agar mendapat teman di dunia.

7.  Menunaikan haji dengan cara berjalan kaki untuk meringankan biaya.

8.  Wudhu' untuk membersihkan diri dan juga untuk menyegarkan badan.

9.  Iktikf di masjid untuk meringankan sewa tempat tinggal.

10. Berpuasa agar tidak selalu kerap memasak makanan atau agar tidak terlalu disibukkan oleh urusan makanan.

11. Menjenguk orang sakit agar dia juga dijenguk jika dia sakit.

12. Menziarahi jenazah agar jika keluarganya meninggal dunia juga akan diziarahi.

13. Membaca ayat kursi 313x di waktu dinihari untuk tujuan mengubat pesakit terkena gangguan jin pada esok hari.

14. Menunaikan umrah  di luar musim puncak (sesak) kerana mudah hendak mencium hajar aswad dan solat di hijir Ismail.

Apa pun pendorongnya, semua pekerjaan itu tetap dimaksudkan sebagai taqarrub kepada Allah. Tetapi ada satu lintasan maksud yang menjadikan amal itu lebih ringan dari bentuk sepatutnya.  Kerana hal-hal itulah maka amal keluar  dari batasan ikhlas kerana Allah sebab Allah s.w.t. berfirman: "Aku adalah sekutu yang paling tidak memerlukan penyekutuan."

Jelas betapa sulitnya membersihkan hati dari campuran noda-noda.  Orang yang ikhlas tidak memiliki pendorong kecuali mendekatkan diri kepada Allah.

Contoh ke-13 dan 14 bukan dari Dr. Yusuf al-Qardhawi  tetapi apa yang berlaku kepada diri saya sendiri.  Semasa menunaikan haji pada tahun 2007, saya tidak dapat mencium hajar aswad dan bersolat di hijir Ismail lantaran jemaah yang terlalu ramai sedangkan saya tidak mahu berebut-rebut untuk melakukannya. Maka berdetiklah di dalam hati untuk datang semula ke masjidil haram untuk menunaikan umrah pada tahun-tahun mendatang dan harap-harap jemaah tidak ramai agar saya dapat mencium hajar aswad dan solat di hijir Ismail.  Astaghfirullahil 'Azim. Aku mohon ampun kepadaMu Ya Allah. Dan syukur kepadaMu Ya Allah kerana telah meletakkan semula orientasi ibadahku hanya untukMu. Sesungguhnya solatku, manasik ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untukMu, Tuhan seru sekelian alam.

Sunday, April 11, 2010

Panduan Umrah – 11 – Unsur-Unsur Penting Dalam Membentuk Ikhlas

Assalamu'alaikum wm wbr.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah dengan pujian yang setinggi-tingginya di atas segala nikmat kurnia-Nya yang tidak terhingga sama ada yang diketahui mahupun yang tidak diketahui. Selawat dan salam diucapkan kepada kekasih kita,  Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya yang mulia.

Para pembaca yang budiman. Dalam entri ini saya petik lagi beberapa tulisan Dr. Yusuf al-Qardhawi yang menghuraikan beberapa unsur yang sangat penting dalam membentuk hakikat ikhlas. Sama-samalah kita mengambil manfaat daripadanya.

Beberapa Unsur Yang Penting Dalam Membentuk Ikhlas

1.  Orang yang mukhlis harus memerhatikan pandangan Khaliq, bukan pandangan makhluk sebab pandangan makhluk itu sedikit pun tidak ada ertinya bagi Allah.  Al-Fudhail bin Iyad berkata: "Amal yang dikerjakan kerana manusia adalah syirik dan meninggalkan amal kerana manusia adalah riyak."

2. Yang lahir dari orang yang mukhlis harus sama dengan batinnya, yang kelihatan dengan yang tersembunyi.  Zahirnya tidak boleh gemerlap sedangkan batinnya remuk. Zahirnya tidak boleh semanis madu sedang batinnya sepahit jadam.

3. Menganggap sama antara pujian manusia dan celaan mereka.  Engkau tidak lepas dari celaan manusia jika engkau terpuji disisi Allah. Begitu pula sebaliknya.

4. Tidak boleh memandang ikhlas dirinya sehingga dia takjub kepada diri sendiri, sehingga ketakjubannya itu merosak dirinya. Oleh itu orang-orang yang arif menegaskan untuk tidak melihat amal diri sendiri. Dalam konteks ini, Abu Ayyub as-Susy berkata: "Selagi mereka melihat ikhlasnya sudah cukup, bererti ikhlas mereka itu masih memerlukan ikhlas lagi."

5. Melupakan tuntutan pahala amal akhirat.  Sekalipun sesuatu amal itu besar, namun ia tidak mampu menjamin nikmat Allah – meskipun hanya nikmat yang kecil yang dilimpahkan kepada hamba-Nya.  Sebab taufik dari sesuatu amal hanya datang daripada Allah, dan Dialah yang memiliki kurnia sejak awal hingga akhir. Jadi amal itu sendiri tidak layak diminta suatu balasan menurut pandangan orang yang mukhlis.  Malah dia melihat pahala itu merupakan kebaikan dari Allah atas dirinya. 

Nabi s.a.w. bersabda: "Sekali-kali amal soleh seorang di antara kamu tidak akan mampu memasukkannya ke dalam syurga." Mereka bertanya:"Tidak pula engkau wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Tidak pula aku, kecuali jika Allah melimpahkan rahmat-Nya kepadaku." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

6.  Takut penyusupan riyak dan hawa nafsu ke dalam jiwa sementara dia tidak merasakannya.

Maka dari itu Sahl berkata: "Tidak ada yang dapat mengetahui riyak kecuali orang yang mukhlis kerana ketakutannya kepada riyak itu maka dia selalu mewaspadai dan mengamatinya, mengetahui selok beloknya, tidak berdusta terhadap diri sendiri dan tidak menghias amalannya yang buruk agar kelihatan baik."

Maka tidak hairan jika ikhlas itu sukar dan sedikit sekali orang-orang yang mukhlis.  Sahl juga berkata tentang hal ini: "Yang pandai mengucapkan Laa ilaha illallah banyak, tetapi sedikit orang yang mukhlis di antara mereka."

Kesimpulan:

Unsur-unsur yang disebutkan di atas merupakan sendi-sendi ikhlas yang sempurna.  Orang yang berbahagia ialah yang banyak memilikinya, namun sedikit jumlah mereka.  Seberapa banyak sendi-sendi ini ada pada diri orang Mukmin, maka sebanyak itu pula kadar ikhlasnya.

Panduan Umrah – 10 – Peranan Niat Dalam Mewujudkan ikhlas

Peranan Niat Dalam Mewujudkan Ikhlas

Ketahuilah ikhlas dalam amal tidak akan wujud kecuali dilandasi oleh dua unsur asas iaitu:

1.  Menghadirkan niat dalam amal itu, sebab semua amal bergantung dengan niat. Barang siapa melakukan sesuatu amal tanpa niat maka ia tidak ubah seperti robot iaitu tidak mempunyai niat yang baik mahupun yang buruk.  Maka ia tidak dapat masuk dalam kelompok orang yang ikhlas.  Sebagai contoh: Orang yang melakukan tawaf mengelilingi kaabah tanpa niat, maka pekerjaanya sia-sia belaka. Justeru itu para jemaah yang ingin tawaf (selain tawaf rukun spt tawaf haji atau tawaf umrah), maka perlulah dia memasang niat seperti untuk tawaf sunat, atau tawaf nazar, tawaf qudum (selamat datang), atau tawaf wida'.

Contoh lain: Seseorang yang memberikan wang kepada orang miskin, tetapi dia tidak berniat zakat, cuma dia hanya belas kesihan kepada orang miskin tersebut, maka pemberiannya itu tidak boleh disebut zakat.  Begitu juga orang yang duduk di masjid sambil berzikir, membaca al-quran dan sebagainya tetapi dia tidak berniat i'tikaf, maka dia tidak boleh disebut orang yang beri'tikaf.

2. Melepaskannya dari noda-noda individual dan duniawi, sehingga amal itu murni kerana Allah.

Niat Hanya Ada Di Dalam Hati

Menurut Dr Yusuf Qardhawi, niat ini merupakan amal hati secara murni, bukan amal lidah. Tetapi apa yang kita lihat ialah bahawa sebahagian orang ada yang melafazkan niat itu, seperti ucapan mereka :"Saya berniat menghilangkan hadas kecil dan hadas besar", atau: "aku berniat solat zuhur empat rakaat kerana Allah Taala." Atau: "Aku berniat puasa esok hari dalam bulan Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Taala.", dan lain-lainnya. Semuanya ini tidak ada ertinya. Sebab seseorang tidak akan mengatakan kehendaknya untuk pergi ke pasar: "Aku berniat pergi ke pasar." dan sebagainya.


Yahya bin Abu Kathir berkata: "Belajarlah niat, kerana niat itu lebih penting daripada amal."

Sufyan Ath-Thaury berkata: "Tidak ada yang lebih sukar aku amalkan pada diriku selain niat. Sebab niat itu boleh berubah menjadi dosa atas diriku."

Zubaid Al-Yamy berkata: "Sesungguhnya aku benar-benar suka jika ada niat dalam segala sesuatu, termasuk pula ketika makan dan minum."

Dia juga berkata: "Berniatlah dalam segala kebaikan yang engkau kehendaki, termasuk ketika engkau ingin menyapu."

Sebahagian ulama' berkata: "Carilah niat terlebih dahulu untuk amal sebelum beramal.  Selagi engkau berniat yang baik, maka engkau berada dalam kebaikan."


Kesimpulan:

1.  Niat ialah roh amal. Amal menjadi benar apabila niat adalah benar mengikut syariat. Dan amal menjadi rosak apabila niat rosak.

2. Tanpa niat, amal menjadi sia-sia.

3. Niat terletak dalam hati, bukan dilafaz pada mulut.

Saturday, April 10, 2010

Panduan Umrah – 09 – Konsep Ikhlas Menurut Islam

Assalamu'alaikum wm wbr.

Para pembaca yang budiman.  Entri kali ini membicarakan konsep ikhlas yang saya kira menjadi teras penentu kepada segala amalan kita – iaitu sama ada amalan kita diterima atau ditolak oleh Allah s.w.t.  Kesemua apa yang saya tulis ini saya kutip daripada buku tulisan Dr. Yusuf al-Qardhawi berjudul "Konsep Niat dan Ikhlas menurut Islam."  Dalam entri ini saya hanya petik isi-isi penting sahaja bagi menjimatkan masa dan ruang.

Kata-kata hikmah:










Katakanlah: Sesungguhnya solatku, manasik ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Rabb sekelian alam. Tiada sekutu baginya, dan demikianlah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah). Al-An'am 162-163





Al-Baiyinah: 5

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.

Dr. Yusuf Qardhawi menulis:

Allah tidak menerima satu amal pun tanpa disertai keikhlasan.  Keikhlasan tidak sempurna kecuali disertai niat yang tulus, semata kerana Allah, terlepas dari noda dan kecenderungan peribadi mahupun duniawi. Dengan kata lain manusia harus melepaskan kata hatinya, yang bererti harus bergantung kepada Rabbnya.

Makna Ikhlas

Maksud ikhlas di sini ialah seseorang itu hanya menghendaki keredaan Allah semata-mata bagi sesuatu amal yang dilakukannya. Tidak ada maksud yang lain untuk melakukan sesuatu amal kecuali kerana Allah dan demi hari akhirat.Tidak ada noda mencampuri sesuatu amal, seperti kecenderungan kepada dunia, untuk kepentingan diri, kerana kedudukan, harta benda, supaya dihormati oleh orang ramai, tidak ingin dicela, kesombongan yang terselubung, atau kerana alasan-alasan lain yang tidak terpuji – yang intinya menghendaki sesuatu selain daripada Allah.  Landasan amalan yang ikhlas ialah memurnikan niat kerana Allah semata-mata.

Ikhlas dengan pengertian sebegini merupakan salah satu daripada buah tauhid yang murni iaitu menunggalkan ibadah dan isti'anah (memeohon pertolongan) kepada Allah, seperti yang terungkap dalam firman Allah dalam surah al-Fatihah: "Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan."

Pengajaran yang diperolehi:

1.  Ikhlas bermaksud hanya menghendaki keredaan Allah semata-mata dalam setiap amalan
2.  Ikhlas juga bermaksud murni – iaitu tidak bercampur aduk dengan perkara-perkara lain – seperti dalam surah al-Ikhlas: "Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa"

 ... bersambung



Panduan Umarah - 08 - Sifat-Sifat Terpuji dan Sifat-Sifat Tercela

Assalamu'alaikum wm wbr.

Oleh kerana tujuan kita menunaikan umrah atau haji ialah untuk menyucikan hati atau jiwa, maka di sini saya senaraikan sebahagian sifat-sifat terpuji dan sifat-sifat yang tercela agar kita dapat berjinak dengan sifat-sifat yang terpuji dan menjauhi sifat-sifat yang tercela tersebut.  Jalan untuk mencapai sifat-sifat terpuji dan menjauhi sifat-sifat yang tercela ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan keinginan yang kuat, pengorbanan yang tinggi dan bimbingan daripada guru yang mursyid. Namun sekurang-kurangnya sama-samalah kita (terutamanya saya sendiri) berazam untuk memperbaiki jiwa / hati nurani kita agar kembali kepada fitrah -- suci bersih daripada noda sebagaimana waktu kita dilahirkan daripada perut ibu kita dahulu.

Di bawah ini disenaraikan sebahagian daripada sifat-sifat terpuji dan sifat-sifat tercela yang saya kutip daripada nota kursus haji anjuran Tabung Haji.  Saya tidak dapat mengupas satu persatu sifat-sifat tersebut kerana saya tidak mampu melakukannya.  Hanya ahli-ahli sufi dan guru-guru tasawuf sahaja yang dapat menghuraikannya dengan jelas.  Bagi pembaca yang ingin mengetahui lebih lanjut, bolehlah membaca kitab karangan imam al-Ghazali iaitu Ihya' Ulumuddin dan juga kitab al-Hikam karangan Ibn Athaillah AsSakandari -- seeloknya mengadap guru.

Sebahagian daripada sifat-sifat yang terpuji.

1.  Ikhlas                         9.  Taubat
2.  Sabar                       10.  Amanah
3.  Syukur                     11.  Berjimat cermat
4.  Redha                      12.  Penyayang
5.  Rajin                        13.  Menepati janji
6.  Pemurah                  14.  Tolong menolong
7.  Ingat Mati                15.  Bertanggung jawab
8.  Bertimbang rasa

Sebahagian daripada sifat-sifat yang tercela ialah:

1.  Pemarah                     10.  Mengumpat
2.  Takbur                       11.  Pembohong
3.  Riak                           12.  Mencerca
4.  Mungkir janji              13.  Sombong
5.  Penipu                        14.  Kufur nikmat
6.  Pemalas                      15.  Kedekut
7.  Mengeji                      16.  Tidak ingat mati
8.  Bermegah                   17.  Hasad dengki
9.  Bermuka-muka           18.  Khianat

Friday, April 9, 2010

Notebook Sakit

Assalamu'alaikum wm wbr.

Inna lillahi wa inna ilaihi rajioun.  Notebook saya sudah tiga minggu rosak -- tidak boleh boot. Saya mohon jutaan maaf kepada para pembaca kerana tidak dapat update entri panduan mengerjakan umrah.  Sebenarnya saya boleh hantar notebook ke kedai untuk di format dan memasukkan semula windows operating systems.  Namun hati terasa berat untuk berbuat demikian kerana banyak data terutamanya video dan gambar yang memberikan nostalgia kepada saya semasa melaksanakan ibadah haji tahun 2007 yang lalu.  Walau bagaimana pun, sudah ketentuan Allah s.w.t. yang membuatkan hati saya berat untuk menghantar notebook tersebut untuk di repair.

Saya juga dengan berat hati terpaksa menggunakan PC pejabat untuk entri ini. Sebenarnya saya tidak suka menggunakan PC pejabat untuk berblog dan sebagainya.  Namun hari ini terpaksalah saya melanggar 'pantang larang' saya tersebut. :D.

Dalam tidak berbelog, dapatlah saya mengumpul sedikit bahan untuk entri panduan umrah, terutama mengenai bab ikhlas -- suatu buku tulisan Yusuf al-Qardawi yang ingin saya kongsikan bersama para pembaca.  Saya bersyukur kerana dapat membaca buku tersebut kerana ia telah mengubah perpektif saya terhadap konsep ibadah terutama terhadap umrah.

InsyaAllah saya akan cuba updatekan entri saya dihujung minggu ini -- nak pinjam netbook anak.  Semoga Allah swt memudahkan segala urusan, Amin.

Wasalam.