Thursday, December 23, 2010

Hijrah Rasulullah S.A.W. Ke Madinah - Part 7

Membina Masjid Nabawi

Keberadaan Rasulullah di bumi Madinah yang barakah memberi peluang kepada Baginda untuk membina asas yang teguh bagi membina negara Islam dan mewujudkan tiga bentuk hubungan yang penting iaitu:
  1. Hubungan dengan Allah SWT.
  2. Hubungan sesama umat Islam.
  3. Hubungan umat Islam dengan orang bukan Islam dan dengan negara bukan-Islam dalam rangka menyampaikan risalah Islam serta menentukan sikap mereka terhadap Islam.
Hubungan antara manusia dengan Allah SWT merupakan hubungan yang penting.  Justeru itu langkah pertama yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. setelah tiba di Madinah ialah membina masjid. Dengan tertegaknya masjid bermakna tertegaklah syi'ar yang penting bagi Islam yang sentiasa diperangi oleh musuh dari segenap penjuru.

Pembinaan masjid telah menyediakan tempat bagi umat Islam untuk mendirikan 'ibadah solat yang merupakan penyambung antara hamba dengan Allah, Tuhan Semesta Alam serta membersihkan hati dari diselaputi oleh daki-daki dunia yang mencemarkan hubungan dengan Allah SWT.

Masjid juga menjadi asas yang kukuh kepada pembinaan masyarakat dan negara Islam kerana keteguhan masyarakat Islam adalah berteraskan kepada ikatan 'aqidah yang kuat dan pegangan yang teguh kepada ajaran Islam. Ikatan yang teguh dan kukuh ini adalah bersumber dan terpancar dari masjid yang penuh dengan keberkatan.


Masjid juga merupakan tempat bagi menjalin ikatan ukhuwah Islamiyyah menurut adab-adabnya kerana umat Islam boleh bertemu antara satu sama lain di waktu sembahyang. Mereka bermesra antara satu sama lain tanpa mengira pangkat, keturunan dan harta di samping menerima ilmu dan menunggu arahan dari Allah dan Rasul-Nya. Masjid yang melahirkan perkara seperti ini ialah masjid yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya:

Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk. (At-Taubah: 18)

Oleh itu Rasulullah S.A.W. telah memilih tanah tempat Baginda berhenti dan turun dari unta yang ditunggangi Baginda ketika hijrah sebagai tapak masjid yang akan didirikan. Tanah tersebut dibeli daripada pemiliknya iaitu dua orang anak yatim Bani an-Najjar. Tanah tersebut dibersihkan dan kubur-kubur musyrikin yang kebetulan berada di situ dibongkar dan dialihkan ke tempat lain. Pokok-pokok tamar ditebang, dan tanahnya diratakan. Kemudian di atasnya dibina masjid dengan ukuran panjang seratus hasta, lebar seratus hasta, dan tinggi tiga hasta. Dinding masjid diperbuat daripada batu bata yang diikat dengan tanah liat, atapnya pelepah tamar dan tiangnya dari batang tamar. Binaannya diteguhkan dengan dua tiang dari batu dan lantainya diperbuat daripada pasir dan batu-batu kecil. 
.
Qiblat masjid menghadap Baitul Maqdis, Palestin sebab pada ketika itu belum lagi menerima perintah menukar qiblat ke Masjidil Haram, Makkah. Di tepi masjid didirikan rumah-rumah dengan bilik-bilik Umm al-Mukminin isteri-isteri Nabi S.A.W. Masjid tersebut juga menjadi tempat tinggal para ahli suffah dan orang-orang fakir di kalangan sahabat radiyallahu 'anhum.
.
Rasulullah S.A.W. turut serta membina masjid tersebut. Kaum Muslimin dari kaum Muhajirin dan kaum Ansar ikut terlibat dalam pembinaan masjid dengan bersungguh-sungguh. Salah seorang dari kaum Muslimin berkata:
.
"Jika kita duduk, sedang Rasulullah bekerja
Itu adalah amalan sesat dari kami."
.
Kaum Muslimin bekerja sambil mendendangkan syair:
.
"Wahai Tuhan kami, tiada hidup yang benar melainkan kehidupan di akhirat
Wahai Tuhan kami, berilah pertolongan kepada Ansar dan Muhajrin"
.
Rasulullah S.A.W. bersabda:
.
"Tiada kehidupan yang sebenar melainkan kehidupan akhirat,
Wahai Tuhan kami, rahmatilah Muhajirin dan Ansar."
.
Ali bin Abi Talib pula  mengalunkan syair:
.
"Tidak sama orang yang membina masjid dengan serius
Dengan orang yang duduk ikut membinanya
Dan dengan orang yang terlihat debu padanya."
.
Persaudaraan Islam
.
Perkara kedua yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. setelah tiba di Madinah ialah dengan mempersaudarakan golongan Muhajirin dengan golongan Ansar yang mana Islam menjadi tali ikatannya. Ia berbeza dengan hubungan 'asabiyyah yang bertunjang atas hubungan kekeluargaan, keturunan, warna kulit dan tanah air tanpa ada perhitungan atas dasar taqwa dan maruah manusia.
.
Rasulullah S.A.W. melakukan ikatan persaudaraan tersebut di rumah Anas bin Malik r.a. Jumlah yang terlibat dalam peristiwa tersebut ialah 90 orang. Rasulullah S.A.W. telah memeterai ikatan persaudaraan itu dengan suatu 'aqad yang teguh diamalkan bukan hanya sebagai ucapan kosong semata-mata. Rasulullah S.A.W. bersabda kepada mereka, "Bersaudaralah kamu di jalan Allah berdua, berdua." 
.
Kemudian Baginda memegang tangan 'Ali bin Abi Talib dan berkata, "Inilah saudaraku."
.
Seterusnya Hamzah dipersaudarakan dengan Zaid bin Harithah, Ja'far bin Abi Talib dengan Mu'az bin Jabal, Abu Bakar al-Siddiq dengan kharijah bin Zuhair, 'Umar bin al-Khattab dengan Uthban bin Malik, Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah dengan Saad bin Mu'az, Abdul Rahman bin Auf dengan Saad bin Rabi', Zubair bin al-Awwam dengan Salamh bin Salamah, 'Uthman bin 'Affan dengan Aus bin Shabab, Talhal bin 'Ubaidillah dengan Ka'ab bin Malik, Said bin Zaid dengan Ubai bin Kaab, Mus'ab bin 'Umair dengan Abu Ayyub Khalid bin Zaid, Abu Huzaifah bin 'Utbah dengan 'Abbad bin Bisyr, 'Ammar bin Yasir dengan Huzaifah Ibn Yaman, Abu Zar al-Ghifari dengan Munzir bin 'Amru, Hatib bin Abi Balta'ah dengan 'Uwaim bin Sa'idah, Salman al-Farisi dengan Abi Darda' dan Bilal bin Rabah dengan Abu Ruwaihah.
.
Keeratan persaudaraan tersebut sehingga sampai ke peringkat menerima pusaka apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia, sehinggalah Allah SWT memansuhkannya dengan ayat pusaka iaitu seperti pada surah an-Nisa' ayat 11,12, dan 176.
.
Dalam ayat 11, surah an-Nisa' Allah berfirman:
.
"Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."  (An-Nisa':11) 
.
Seterusnya dalam ayat 12 surat an-Nisa' Allah berfirman:
.
"Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar."  (An-Nisa':12)
.
Oleh kerana perpaduan umat menjadi salah satu unsur terpenting dalam kebangkitan umat dan negara yang didokongi, maka langkah Rasulullah mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar merupakan suatu langkah yang bijak. Umat Islam yang bersaudara itu mempunyai kedudukan yang teguh dan 'aqidah yang kuat, menjadikan mereka golongan yang berkuasa dalam masyarakat majmuk yang majoritinya terdiri daripada orang-orang bukan Islam. Walaupun ancaman-ancaman dan cabaran-cabaran yang diterima begitu banyak, namun umat Islam tetap teguh dan tidak berjaya dihapuskan oleh musuh. Dengan ikatan persaudaraan yang teguh itu, maka hancur leburlah fahaman 'asabiyyah yang berlandaskan kepada keturunan dan warna kulit kerana yang menjadi nilai sebenar ialah taqwa.



Bersambung ...

3 comments:

  1. TUAN,MINTA TOLONG HURAIKAN, APA MAKSUD MEMASYARAKATKAN MASJID DAN MEMASJIDKAN MASYARAKAT.DAN APAKAH STARTEGI KEDUA -DUANYA DALAM PENYELESAIAN MEMARTABATKAN MASJID

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mulakan dengan ucapan salam. :)

      Assalamu'alaikum wbt

      Sebenarnya saya sangat dhaif tentang persoalan yang diajukan. Jawapan yang akan saya berikan mungkin tidak tepat.

      Memasyarakatkan masjid bermaksud menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat dengan berbagai-bagai aktiviti sama ada aktiviti keagamaan ataupun aktiviti bukan keagamaan.

      Dalam kata lain, kita menjadikan masjid sebagai tempat ubudiah (ibadah)dan tempat rujukan pelbagai aktiviti/masalah masyarakat bagi semua golongan (tua, muda, lelaki, perempuan, orang bekerja, orang pencen, dsb.)

      Memasjidkan masyarakat bermaksud mewujudkan masyarakat yang merindui/akrab masjid - suka untuk mengimarahkan masjid, yang akhirnya masyarakat tersebut akan tunduk hatinya untuk beribadat dan patuh kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala apa yang dilarang.

      Apakah strategi yang sesuai?
      1. Product development strategi - Mewujudkan program atau aktiviti yang sesuai untuk golongan (target group) yang berbeza - remaja, oku, orang pencen, wanita dll

      2. Strategic alliance - bekerjasama dengan NGO atau badan-badan dakwah untuk adakan aktiviti-aktiviti tertentu bagi dapatkan support dari segi sumber manusia dan kewangan.

      3. Market development - luaskan sasaran pasaran spt golongan remaja, mat rempit dsb.

      4. dll

      Prlaksanaan:

      1. Lantik AJK yang professional dan ikhlas.
      2. Tidak melibatkan soal-soal politik - tak payahlah panggil ahli-ahli politik rasmikan program dsb. - untuk elak berpuak-puak.

      Delete
  2. Salam. Berkenaan perkataan, "Bersaudaralah kamu di jalan Allah berdua, berdua", sila diteliti kajian dari laman berikut:

    http://www.darulkautsar.net/darulkautsar-net/pemurnian-sejarah/zaman-rasulullah/beberapa-cerita-palsu-sekitar-peristiwa-muakhat.html

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.