Wednesday, December 15, 2010

Hijrah Rasulullah S.A.W. Ke Madinah - Part 1

Assalamu'alaikum wm wbr.

Para pembaca yang budiman. Sempena tahun baru hijrah ini elok jika kita imbas kembali peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W. ke Madinah.  Semoga dengan itu kita dapat menghayati pengorbanan Rasulullah S.A.W. yang begitu besar demi untuk memastikan kalimah tauhid tersebar luas di bumi Allah ini.

Saat Sebelum Penghijrahan Nabi

Sehingga ke saat-saat akhir sebelum Rasulullah S.A.W. berhijrah, yang tinggal di Makkah pada ketika itu ialah Abu Bakar bin Abu Qhuzafah dan Ali Bin Abu Talib, dan juga sahabat-sahabat yang ditahan dan diseksa oleh kafir Quraisy. Rasulullah S.A.W. tetap berada di Makkah menunggu keizinan untuk berhijrah.

Abu Bakar seringkali meminta izin kepada Rasulullah untuk berhijrah ke Madinah namun Baginda bersabda kepadanya, "Janganlah engkau terburu-buru, mudah-mudan Allah memberimu teman untuk berhijrah."  Abu Bakar berharap kiranya orang yang dimaksudkan  Rasulullah S.A.W. adalah dirinya.  Kemudian dia membeli dua ekor unta, menambat kedua-duanya di rumahnya dan memberinya makan dengan cukup sebagai persiapan untuk hijrah.

Pertemuan dan Perbincangan Pembesar Quraisy Mengenai Rasulullah S.A.W.

Orang-orang Quraisy mula khuatir sebab kaum muslimin telah mendapat tempat dan perlindungan di Madinah.  Oleh itu mereka berwaspada terhadap penghijrahan Rasulullah S.A.W. ke Madinah.  Mereka segera mengadakan mesyuarat tergempar di Dar an-Nadwah, iaitu rumah milik Qushai bin Kilab. Perhimpunan tersebut turut disertai oleh Iblis laknatullah yang menunjukkan dirinya sebagai seorang lelaki tua dari Najed. Dalam perbincangan tersebut akhirnya mereka bersetuju dengan cadangan Abu Jahal supaya dikumpulkan seorang pemuda dari setiap kabilah untuk membunuh Rasulullah S.A.W. secara serentak agar Bani Abdu Manaf tidak mampu membalas dendam dan memerangi kesemua kaum Quraisy.

Ali (r.a.) Menggantikan Tempat Rasulullah S.A.W. di atas Katil Baginda

Pada malam yang telah dirancangkan, para pemuda pilihan Quraisy berkumpul di pintu rumah Rasulullah S.A.W. untuk mengintip bila agaknya Baginda tidur. Jika Baginda telah tidur mereka akan menyerang Baginda dengan tiba-tiba. Tetapi rancangan jahat mereka awal-awal lagi telah diketahui oleh Baginda sebab malaikat Jibril telah datang menemui Baginda kemudian berkata, "Pada malam ini janganlah engkau tidur di bilik yang selalu engkau gunakan." Oleh itu Baginda mengarahkan Ali bin Abu Talib untuk tidur di tempat kamar Baginda dengan berkata, "Tidurlah di bilik tidurku dan kenakan selimutku dari al-Hadhrami yang berwarna hijau ini, kerana sesungguhnya tindakan mereka yang engkau benci tidak akan menimpamu."

Ketika para pemuda Quraisy berkumpul di depan pintu rumah Rasulullah S.A.W., mereka ditemani oleh Abu Jahal. Abu Jahal berkata kepada mereka, "Sesungguhnya Muhammad menduga bahawa jika kalian mengikutinya, kalian akan menjadi pemimpin bagi orang Arab dan orang bukan Arab. Kalian akan dibangkitkan setelah kematian kalian dan kalian akan diberi syurga seperti taman Jordan. Jika kalian tidak mengikutnya, kalian akan disembelih, kalian dibangkitkan setelah kematian kalian. Kalian diberi neraka dan dibakar olehnya."

Rasulullah Keluar Dari Rumah

Rasulullah S.A.W. keluar dari rumah menemui mereka. Baginda mengambil segenggam pasir, kemudian Baginda bersabda, "Betul, aku memang pernah mengatakan seperti itu dan engkau (Abu Jahal) adalah salah seorang dari penghuni neraka." Allah Taala mengambil mata mereka hingga mereka tidak boleh melihat Baginda. Rasulullah S.A.W. menabur pasir ke atas kepala mereka sambil membaca Yassin: 1-9
يس. وَالْقُرْآنِ الْحَكِيم. إِنَّكَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ. عَلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ. تَنْزِيلَ الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ. لِتُنْذِرَ قَوْمًا مَا أُنْذِرَ آبَاؤُهُمْ فَهُمْ غَافِلُونَ. لَقَدْ حَقَّ الْقَوْلُ عَلَىٰ أَكْثَرِهِمْ فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ. إِنَّا جَعَلْنَا فِي أَعْنَاقِهِمْ أَغْلَالًا فَهِيَ إِلَى الْأَذْقَانِ فَهُمْ مُقْمَحُونَ. وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ. 
Rasulullah S.A.W. menabur tanah ke atas kepala mereka semua, kemudian Baginda pergi ke tempat yang Baginda kehendaki. Tidak lama setelah itu seseorang datang menemui pemuda-pemuda tadi dan berkata kepada mereka, "Apa yang kalian sedang tunggu?" Mereka menjawab, "Kami sedang menunggu Muhammad." Orang tersebut berkata, "Allah telah menggagalkan kalian. Demi Allah, Muhammad telah keluar dari rumahnya, kemudian ia menaburkan tanah ke atas kepala kalian semua, kemudian ia pergi untuk memenuhi keperluannya. Tidakkah kalian melihat apa yang terjadi kepada kalian?" Setiap dari mereka meletakkan tangan masing-masing ke atas kepala mereka dan mendapati tanah di atas kepala.  Mereka mengintai ke dalam rumah dan mendapati Ali bin Abu Talib berada di bilik tidur Rasulullah S.A.W. dan mengenakan selimut Baginda.

Mereka berkata, "Demi Allah! Ini pasti Muhammad sedang tidur mengenakan selimutnya." Mereka tidak meninggalkan rumah Rasulullah S.A.W. hingga esok hari.

Ali bin Abu Talib berdiri dari bilik tidur Rasulullah S.A.W. Para pemuda Quraisy berkata, "Demi Allah, orang yang berkata kepada kita tadi benar!"

Mengenai peristiwa tersebut, Allah SWT menurunkan ayat al-Anfal:30

 وَاِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا لِيُثْبِتُوْكَ اَوْ يَقْتُلُوْكَ اَوْ يُخْرِجُوْكَ‌ؕ وَيَمْكُرُوْنَ وَيَمْكُرُ اللّٰهُ‌ؕ وَاللّٰهُ خَيْرُ الْمٰكِرِيْنَ

Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) 
menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, 
atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan 
tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya. 

Dan Firman Allah Taala:
أَمْ يَقُولُونَ شَاعِرٌ نَتَرَبَّصُ بِهِ رَيْبَ الْمَنُونِ. قُلْ تَرَبَّصُوا فَإِنِّي مَعَكُمْ مِنَ الْمُتَرَبِّصِينَ 
(Mereka menuduh Nabi Muhammad dengan yang bukan-bukan), bahkan 
mereka mengatakan: "(Muhammad) itu seorang penyair yang kami tunggu-tunggu saat kebinasaannya". 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Tunggulah kamu (akan apa yang kamu tuduh itu), 
maka sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang menunggu bersama-sama 
kamu  (akan apa yang dijanjikan oleh Allah Taala)".  (At-Thuur:30-31)

Ketika itulah Allah mengizinkan Nabi berhijrah.

Hadis Aisyah (r.a.) Tentang Hijrah Rasulullah S.A.W.

Dari Urwah bin Az-Zubair, dari Aisyah Ummul Mukminin yang berkata: "Rasulullah S.A.W. biasa datang ke rumah Abu Bakar pada salah satu dari dua waktu iaitu pagi atau petang. Pada hari Allah mengizinkan Baginda hijrah dan keluar dari Makkah meninggalkan kami, Baginda datang kepada kami pada tengah hari dan baginda tidak pernah datang kepada kami pada waktu seperti itu. Ketika Abu Bakar melihat kedatangannya, ia berkata: "Rasulullah S.A.W. tidak datang pada waktu seperti ini melainkan untuk sesuatu yang amat penting."

Ketika Rasulullah S.A.W. telah datang, Abu Bakar agak terlambat beranjak dari bilik tidurnya dan Rasulullah S.A.W. pun duduk. Di rumah Abu Bakar ketika itu tidak ada sesiapa kecuali aku dan saudaraku, Asma' bintu Abu Bakar.

Rasulullah S.A.W. bersabda: "Keluarlah engkau daripada tempatmu kepadaku, wahai Abu Bakar."

Abu Bakar berkata: "Wahai Rasulullah, di rumah ini hanya ada dua anakku, demi ayah dan ibuku menjadi tebusan untukmu."

Rasulullah S.A.W. bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala telah mengizinkanku hijrah dan keluar dari Makkah."

Abu Bakar berkata: "Siapa temannya wahai Rasulullah?"

Rasulullah S.A.W. bersabda: "Teman?"

Aisyah berkata: "Demi Allah, hingga ketika itu aku belum pernah melihat orang menangis kerana suka atau bahagia, dan saat itu aku melihatnya pada Abu Bakar."

Abu Bakar berkata: "Wahai Nabi Allah! Sesungguhnya dua ekor unta ini telah aku siapkan untuk berhijrah."

Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar mengupah Abdullah bin Uraiqit, iaitu orang bani ad-Dail bin Bakr - seorang musyrik sebagai petunjuk jalan mereka, Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar menyerahkan kedua-dua untanya kepada Abdullah bin Uraiqit, kemudian kedua-dua unta tersebut berada dalam pemeliharaan Abdullah bin Uraiqit sampai hari yang telah ditentukan.

bersambung ...

1 comment:

  1. salam tn hj..

    betapa hebatnya kisah hijrah Rasul dan sahabat2 baginda..

    akan ummi ikuti sambungannya...

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.