Friday, August 6, 2010

Hari Ini 25 Sya'ban 1431H - Jumaat Terakhir Sya'ban

Assalamu'alaikum wm wbr.

Hari ini sedar tak sedar sudah 25 hari kita melalui bulan Sya'ban. Bulan ini diberi jolokan sebagai Bulan Rasulullah SAW, manakala Rejab ialah Bulan Allah SWT, dan Ramadhan ialah bulan Ummat Muhammad SAW.  Marilah kita muhasabah diri bertafakur sejenak sambil melakukan refleksi diri membuat penilaian sama ada kita telah melaksanakan tuntutan-tuntutan bulan Rejab dan bulan Sya'ban yang mulia tersebut seperti yang disarankan oleh para ulama'. 

Sebagai contoh, para ulama' menyarankan agar kita memperbanyakkan beristighfar pada bulan Rejab.  Oleh itu marilah menilai diri, melihat sejauh manakah kita telah bersungguh-sungguh beristighfar meminta ampun segala maksiat, segala dosa dan segala kesalahan yang telah kita lakukan sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja. Sama ada yang zahir mahupun yang batin, sama ada pada perkataan atau perbuatan dalam setiap gerak dan diam kita, sama ada yang terlintas dalam hati atau pada diri kita, tidak kira sama ada dosa-dosa yang kita ketahui ataupun yang tidak kita ketahui.

Bagi bulan Sya'ban pula, para ulama' telah mengesyorkan agar kita memperbanyakkan selawat kepada Nabi SAW, juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia, sebagai tanda terima kasih kita kepada baginda yang telah membawa cahaya Islam dan cahaya keimanan yang menerangi seluruh alam. Alhamdulillah, kita masih berada dalam bulan Sya'ban walaupun pada penghujungnya. Justeru, marilah kita bersungguh-sungguh memperbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda dan juga ke atas keluarga baginda, lebih-lebih lagi pada hari ini sebab hari ini merupakan Jumaat terakhir bulan Sya'ban sedangkan kita disarankan agar memperbanyakkan selawat pada setiap hari Jumaat.

Salah satu selawat yang disarankan ialah Selawat 'Azimiah yang maksudnya ialah seperti berikut:

"Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan Nur Wajah Allah Yang Maha Agung, yang memenuhi segala penjuru 'Arasy Allah Yang Agung, dan dengannya berdiri seluruh alam Allah Yang Agung, moga Engkau berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW yang mempunyai martabat yang agung, dan ke atas keluarga Nabi Allah Yang Agung, dengan kadar kebesaran Zat Allah Yang Maha Agung, pada setiap kerlipan mata dan nafas sebanyak bilangan ilmu Allah Yang Maha Agung, dengan selawat yang berkekalan sebagaimana kekalnya Allah Yang Maha Agung - Penghormatan bagi engkau wahai tuan kami, wahai Muhammad, wahai yang mempunyai akhlak yang Agung.  Salam kesejahteraan daripada-Mu ke atas baginda dan ke atas keluarganya seperti yang demikian itu juga. Himpunkanlah di antara aku dan baginda sebagimana Engkau menghimpunkan  antara roh dan jasad, zahir dan batin, sama ada ketika sedar atau tidur. Jadikanlah baginda wahai Tuhanku, roh bagi zatku daripada sekelian wajah (keadaan) dan di dalam dunia ini sebelum hari akhirat, wahai Allah Yang Maha Agung"

Jadi marilah kita berebut-rebut untuk berselawat kepada Rasulullah SAW. InsyaAllah.

Wasalam.

2 comments:

  1. Alamualaikum Tn Hj Saad

    Alhamdulillah, peringatan tu
    Insyaallah, akan dilakukan

    Wassalam

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikum salam rozali

    Alhamdulillah, syukuran.

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.