Monday, August 30, 2010

Umrahn 2010: Membeli Belah di Makkah - Butik Al-Helwah

Assalamu'alaikum wm wbr.

Memang sudah menjadi kebiasaan, sekiranya kita berpergian kesesuatu tempat, maka pasti kita akan mencari sesuatu untuk dijadikan buah tangan kepada mereka yang kita tinggalkan di kampung halaman, terutama kepada orang yang yang tersayang. Pendek kata, membeli belah memang menjadi agenda tidak rasmi bagi kebanyakan jemaah di Makkah atau Madinah. Terdapat bemacam-macam barang jualan seperti barang kemas, pakaian, abaya, jubah, kopiah, sejadah, permadani dan sebagainya. Tetapi awas, kualiti barangan adalah berbeza-beza, ada yang berkualiti tinggi tetapi ada yang hanya boleh guna 2-3 hari sahaja iaitu sepadan dengan harga yang ditawarkan.  Kebanyakan barang jualan adalah diimport dari negeri China, India, Pakistan, Turki, Mesir, dan sebagainya.

Bagi jemaah wanita, sekiranya berminat dengan abaya yang berkualiti tinggi, mereka boleh mendapatkannya di Butik Al-Helwah yang terletak di Zam-Zam Shopping Complex. Pelbagai jenis abaya dengan fesyen yang terbaru ada dijual di sini.

Butik Al-Helwah ini, pada asalnya beroperasi di Hotel Sofitel yang terletak di hadapan pintu al-Fath berhampiran dengan Pasar Seng. Selepas pembesaran Masjidil Haram pada tahun 2008 di mana Hotel Sofitel dan kawasan sekitarnya telah dirobohkan, maka ia berpindah ke Zam-Zam Shopping Complex.  Walau bagaimanapun, harga abaya di sini agak mahal iaitu sekitar SR190.00 - SR300.00 sepasang.  Di samping abaya, anda juga boleh mendapatkan shawls yang diperbuat daripada bulu kijang asli dari Kashmir. Sangat berkualiti tetapi harganya mencecah SR2000.00 sehelai.











Sunday, August 29, 2010

Umrah 2010: Mencari Makanan Melayu Di Makkah - Restauran D'Saji

Assalamu'alaikum wm wbr.



Alhamdulillah, pada masa sekarang, para jemaah Haji atau Umrah dari Malaysia boleh mendapatkan masakan kegemaran mereka seperti roti canai, teh tarik, ikan masak asam pedas, dan sebagainya di restauran D'Saji yang terletak di tingkat 2, Hotel as-Safwah.  Harga makanan yang dijual di situ dikira berpatutan sesuai dengan lokasinya di premis hotel yang berhampiran dengan masjidil haram.  Cuma saya perhatikan, tidak ramai jemaah Malaysia yang mengetahui kewujudan restauran ini.  Sebagai contoh, rata-rata jemaah Andalusia yang tinggal di Hotel Abeer Garden, tidak tahu bahawa terdapat restauran D'Saji di Makkah.  Elok sekiranya pihak Felda D'Saji mempergiatkan iklan atau promosi semasa kursus haji atau umrah di Malaysia untuk memperkenalkan D'Saji kepada orang ramai.  Potensi untuk maju memang ada tetapi kena kerja kuat sikit.

Well, restoran D'Saji bukan hanya menjadi tempat memburu makanan Malaysia, tetapi juga merupakan tempat pertemuan warga Malaysia yang tinggal di Makkah (pelajar atau pekerja syarikat di Makkah). Entri kali ini nak selit gambar tentang edisi menjejaki rakan blogger di restauran D'Saji pada 18 Mei, 2010 yang lepas.


Setibanya  di tingkat 2, ada iklan "SILA" tapi bukan iklan D'Saji mempersilakan pelanggan. Itu ialah iklan agensi pelancungan/umrah Turki. Di Madinah ada agensi umrah Ciciek, di sini - SILA. D'Saji anggap semua orang sudah tahu di mana restoran itu terletak - Tidak ada signboard D'Saji kat situ.

Chef dan pekerja D'Saji 

Masih kosong, sesiapa yang berminat boleh sewa dengan D'Saji

Itu dia orang yang dicari

Haji Arshad dan CL

Saturday, August 28, 2010

Pelbagai Gaya Lepak

Assalamu'alaikum wm wbr.

Pagi Sabtu ni, sambil berehat, saya belek (lihat) semula gambar-gambar yang sempat saya snap semasa mengerjakan umrah pada bulan Mei lepas.  Belek punya belek, jumpa gambar Pak Arab dengan gaya yang tersendiri iaitu berbaring sambil menyilangkan kaki. 


Pemandu teksi berhampiran dengan hotel Le Meridien, Makkah


Kiri: Penjual siwak; Kanan: Lepak di tangga kompleks Hilton

Berhampiran babussalam, Masjidil Haram

Lepak di bukit Ajyad. 
Walaupun dua makhluq yang berbeza, masing-masing menghadap Masjidil Haram, MasyaAllah!

Di dataran MH. Hotel As-Safwah kelihatan di hadapan sana.
Kawan saya kata "macam pangkin ahli suffah di Masjid Nabawi"


Dalam MH

Haa! gaya lepak yang tercanggih - Haji Arshad - blogger "Kehidupan Makkah2"
Lokasi: Restauran Riddan, Aziziyah. Sedang tunggu order nasi mandey kambing. Alhamdulillah.

Wednesday, August 25, 2010

Umrah 2010: Gelagat Jemaah

Assalamu'alaikum wm wbr.

DI Masjidil Haram, oleh kerana ganjaran pahala bagi sesiapa yang beribadah di situ ialah 100,00 kali ganda berbanding beribadah di tempat lain, maka para jemaah akan berusaha dan kadang-kadang berebut untuk melakukan ibadah di sana.  Bayangkan, hatta melihat kaabah semata-mata akan mendapat ganjaran pahala, apatah lagi jika tawaf mengelilingai kaabah.  Justeru itu, Masjidil Haram, terutama dataran kaabah sentiasa di kunjungi oleh jemaah baik lelaki mahupun wanita.  Pada asasnya, wanita tidaklah digalakkan untuk ke masjid, namun memandangkan ganjaran pahala 100,000 kali ganda, maka peluang tersebut turut dimanfaatkan oleh jemaah wanita.  Namun, jemaah wanita perlulah menjaga adab dan tatasusila supaya tidak mengundang fitnah dan memudharatkan diri.

Dalam gambar di bawah, kelihatan seorang ibu muda sedang berbaring di atas lantai kaabah walhal para jemaah sedang sibuk melakukan tawaf.  Walaupun tempat 'landing' wanita tersebut agak lapang, tetapi adalah kurang manis berbaring sedemikian di khalayak ramai, lebih-lebih lagi di di hadapan kaabah.  Apa pendapat anda?


Ibu muda berbaring sambil bermain dengan anak kecilnya di lantai kaabah

Pandangan lebih dekat

Wednesday, August 18, 2010

Umrah 2010: Jemaah Berebut Gandum dengan Merpati

Assalamau'alaikum wm wbr.

Masjidil Haram (MH) mempunyai daya tarikan atau aura yang sangat kuat. Jemaah yang baru memasuki Kota Makkah, jika terlihat sahaja menara MH dari kejauhan, terasa seperti tidak sabar untuk berada di dalamnya. Selain manusia, binatang seperti kucing dan burung merpati (burung dara - bahasa Indonesia) juga tertarik dengan MH. Jesteru di dataran sebelah luar MH dan kawasan yang berhampiran dengannya, kita pasti akan bertemu dengan kawanan burung merpati.  Di tanah haram, kita dilarang mengganggu / merosak segala jenis tumbuh-tumbuhan dan juga binatang yang ada di dalamnya - termasuklah burung merpati liar tersebut.

Seperti juga di tempat-tempat lain yang terdapat banyak kawanan merpati seperti di Trafalgar Square, London, ramai jemaah suka memberi burung makan. Para penjaja jalanan pula ramai yang menjual makanan burung - just SR1.00 sebungkus. Yang anehnya, di Makkah ini selain daripada merpati yang teruja dengan makan percuma tersebut, manusia pun turut teruja mengutip biji-biji gandum yang dilemparkan oleh para jemaah.  Maka kita akan dapat menyaksikan adengan manusia berebut gandum dengan merpati. Sedih, sungguh sedih - sebab sanggup seorang jemaah menurunkan tarafnya daripada seorang manusia kepada sekadar seekor burung dara. Apa sudah jadi? Ya, dunia telah terbalik. Nasib baik burung merpati tersebut tidak terfikir untuk menaik taraf menjadi manusia pulak. Kalau ini terjadi maka akan ramailah para kontraktor berjinak-jinak dengan burung merpati untuk mendapatkan projek naik taraf jalan tersebut. Maka peribahasa Melayu "jinak-jinak merpati" bertukar kepada "jinak-jinak kontraktor". Hehehe, gurau saja ni. Jangan terasa dan jangan mare arr!

Tetapi ..., kita perlu ingat bahawa berebut makanan dengan burung merpati di tanah haram bermakna kita telah mengambil hak burung tersebut sebab orang yang tabur makanan berniat untuk beri burung makan bukan untuk dipungut oleh manusia. Jadi ini bermakna kita telah mengganggu burung di tanah haram. Apatah lagi jika burung-burung tersebut terperanjat dan tercabut bulu-bulunya. Jadi tidak pasal-pasal kita dikenakan DAM. Kenapa ada jemaah pungut biji-biji gandum tersebut? Ini merupakan soalan penyelidkan bagi sesiapa yang berminat untuk membuat kajian lanjutan. Dipersilakan.

Kawanan Merpati dan Penjual Makanan Burung

Jemaah dan Kawanan Merpati

Kawanan Merpati dan Pemungut Gandum
Sanggup tinggalkan kerusi roda untuk berebut gandum dengan merpati

Pemungut Gandum dan Kawanan Merpati

Penjual Makanan Burung Dengan Fesyen Rambut Terbaru

Tuesday, August 17, 2010

Pokok Kurma dan Burung Merpati

Assalamu'alaikum wm wbr.

Ramai tidak menyedari di Hijrah Street iaitu berhampiran dengan kompleks Hilton dan Zam-Zam Tower terdapat beberapa batang pokok kurma. Pada pertengahan Mei 2010 yang lalu, pokok-pokok kurma tersebut mengeluarkan beberapa biji buah tetapi masih muda. Saya kira sekarang ia sudah masak. Bila diperhatikan, ada beberapa ekor burung merpati asyik bertenggek di dahan-dahan kurma tersebut. Setahu saya kurma bukanlah makanan burung merpati, lebih-lebih lagi di Makkah ini ramai jemaah menabur makanan burung seperti sekoi dan gandum di atas jalan raya, jadi burung-burung tersebut tidak keputusan bekalan makanan. Bila di amat-amati, rupa-rupanya mereka membuat sarang dicelah-celah dahan kurma tersebut. So mungkin ada anak atau telur-telur yang perlu diawasi.

Deretan pokok kurma di sebelah kompleks Hilton

Apa yang difikirkan oleh merpati empat sejoli ini?

Mungkin mereka sedang pakat-pakat hendak makan kurma di atas tu.

Rupa-rupanya dicelah-celah dahan pokok kurma ini adalah sarang-sarang mereka.

Monday, August 16, 2010

Kenali Masjidil Haram: Binaan Turki

Assalamu'alaikum wm wbr.

Masjidil Haram yang ada sekarang ini sebenarnya telah mengalami beberapa kali pembesaran. Pada zaman Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar kawasan MH hanyalah merupakan suatu kawasan lapang yang tidak berdinding dan dikelilingi oleh rumah-rumah penduduk. Jarak antara maqam Ibrahim dengan dinding rumah penduduk ialah sebanyak lapan (8) saf solat sahaja. 

Pembesaran yang pertama dilakukan oleh Saidina Umar a.s. semasa beliau menjadi Khalifah yang ke-2. Beliau telah membeli rumah-rumah di sekeling MH dan kemudian dirobohkan untuk memperluaskan ruang solat dan tawaf. Saidina Umar ialah orang yang pertama membina tembuk atau dinding MH dengan ketinggian 1.5 meter. 

Apabila tampuk pemerintahan silih berganti, dari Khalifah ar-Rasyidin ke dinasti bani Umaiyyah, bani Abbasiyah, bani Utsmaniyah (Ottoman Turki), dan sekarang ke bani Saud, maka perluasan demi perluasan dan ubahsuaian demi ubahsuaian terhadap MH terus dilakukan bagi menampung jumlah jemaah yang semakin ramai setiap musim haji.

Salah satu ubahsuaian yang signifikan dan masih kekal sehingga kini ialah ubahsuaian yang dilakukan oleh Sultan Salim II (Bani Utsmaniyah Turki) pada tahun 1571 Masehi. Di bawah kelolaan Arkitek Diraja, Sinan, bumbung MH yang rata diubah menjadi kubah-kubah dan lengkung-lengkung (arch) yang indah di dalamnya. Binaan ini kekal sehingga sekarang dan dikenali sebagai binaan Turki. Ia merupakan satu kawasan berserambi (portico) yang terletak di kawasan yang lebih tinggi daripada pelantaran (dataran kaabah). Kubah-kubahnya berwarna putih dan disokong oleh tiang-tiang yang dibuat daripada marmar. Sebahagian daripada tiang-tiang ini diukir dengan ayat-ayat al-Quran.


Masjid Haram 1853 Masehi - Binaan Turki (Atap Berkubah)

Masjid Haram 130 tahun yang lepas (1297Hijrah 1880 Masehi)

Masjidil Haram 57 tahun yang lepas (1371 Hijrah; 1953 Masehi)

Masjidil Haram 3 bulan yang lepas (1431 Hijrah, 2010 Masehi)


Kawasan berkubah putih merupakan serambi (portico) Masjidil Haram yang dibina oleh Sinan, iaitu Arkitek Diraja Sultan Salim II (Bani Utsmaniyyah Turki) pada tahun 1571 Masehi.

Kawasan serambi - binaan Turki
Lengkung-lengkung dengan empat batang tiang membentuk satu kubah.


Jemaah solat dan berehat di binaan Turki.

Thursday, August 12, 2010

Umrah 2010: Bab al-Salam (BabusSalam)

Assalamu'alaikum wm wbr.

Buku-buku panduan haji banyak menyarankan kepada para jemaah agar memasuki Masjidil Haram melalui Bab al-Salam (Babussalam). Ketika melalui pintu ini jemaah disaran melangkah memasuki masjid dengan kaki kanan sambil membaca:


اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ فَحَيِّنَا رَبَّنَا بِالْسَّلامِ وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ دَارَ السَّلاَمِ تَبَارَکْتَ وَتَعَالَيْتَ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِْکْرَامِ


اللَّهُمَّ افْتَحْ لِيْ أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ وَمَغْفِرَتِكَ وَأَدْخِلْنِيْ فِيْهَا ، بِسْمِ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ


Maksudnya:
Ya Allah, Engkaulah Yang Bersifat Sejahtera, dari Engkaulah sahaja kesejahteraan, maka hidupkanlah kami dengan kesejahteraan dan masukkanlah kami ke dalam syurga tempat yang selamat sejahtera, Maha Suci dan Maha Tinggi Engkau, Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan .

Ya Allah kurniakanlah daku rahmat dan keampunanMu , masukkan daku ke dalamnya dengan nama Allah, segala puji- pujian tertentu bagi Allah, selawat dan salam ke atas Junjungan kami Saidina Muhammad s.a.w .


Nama-nama pintu di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Madinah adalah berkaitan dengan perkara-perkara tertentu atau peristiwa-peristiwa tertentu. Sebagai contoh: Pintu Jibril di Masjid Nabawi dikaitkan dengan Malaikat Jibril yang apabila datang menemui Nabi SAW untuk menyampaikan wahyu daripada Allah SWT beliau akan datang melalui pintu tersebut.

Puas saya mencari rujukan mengenai Babussalam dan maklumat yang saya perolehi mengatakan bahawa Babussalam ini (juga dikenali sebagai Bab al-Nabi atau pintu Nabi) ialah pintu di mana Nabi SAW selalu gunakan untuk memasuki Masjidil Haram daripada rumah isteri baginda Siti Khadijah yang terletak berhampiran dengan kawasan saie.

Pintu ini berada di sebelah timur laut Masjidil Haram. Jika jemaah setelah selesai bersaie 7 pusingan dan ingin berpatah balik ke Masjidil Haram melalui kawasan saie menuju bukit safa, maka pintu Babussalam ini ialah merupakan pintu yang pertama yang dijumpai yang merupakan suatu 'opening' yang luas di sebelah kanan (lihat gambar di bawah).

Di atas pintu ini digantung ayat 80 surah al-Isra' seperti yang dapat dilihat pada gambar di bawah yang bermaksud:

Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku"

Ayat 80 surah al-Isra' ini merupakan doa Nabi Muhammad SAW ketika baginda hendak berhijrah ke Madinah.  Pada pertengahan tahun 1990an, ayat ini di gantung di kawasan binaan Turki (kawasan yang mempunyai atap berkubah putih) dan kita boleh lihat dengan jelas dari dataran kaabah terutama dari maqam Ibrahim. Semasa saya mengerjakan haji pada tahun 2007, puas saya mencari tanda ini di binaan Turki tersebut tetapi tidak berjumpa.  Rupa-rupanya pihak berkuasa Masjidil Haram telah memindahkan tanda ini ke bahagian dalam masjid. 


Pemandangan Dari Binaan Turki Menghala Ke Kawasan Saie


Di Hujung Sana Ialah Kawasan Saie

Suatu "Opening" Yang Luas Dari Kawasan Saie


Kawasan Saie - Jemaah menuju ke Bukit Safa
"Opening" Babussalam Berdekatan Dengan Tempat Ini

Bahagian Binaan Turki

Tuesday, August 10, 2010

SELAMAT DATANG RAMADHAN AL-MUBARAK

Assalamu'alaikum wm wbr.



Sebentar lagi, tirai Sya'ban akan berlabuh dan malam nanti Ramadhan akan datang menyapa. Ramadhan adalah bulan untuk masuk sekolah iaitu madrasah atau sekolah kerohanian. Allah SAW memberikan kita peluang untuk meningkatkan amal dan juga ketaqwaan sebagaimana dalam firmannya:


Bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (al-Baqarah:183) 

Dalam pengertian yang paling mudah, taqwa bermaksud melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah SWT tegah. Jadi selepas sebulan masuk madrasah Ramadhan, kita boleh buat penilaian terhadap diri kita sendiri tentang kualiti puasa yang telah kita lakukan. Jika bertambah ketaqwaan kita, maka puasa yang kita lakukan adalah bermutu tinggi - penuh dengan kepatuhan dan menjaga adab-adab berpuasa seperti menjaga pandangan mata, meneliti apa yang ingin kita tuturkan dan sebagainya.  Oleh itu marilah kita sama-sama berazam untuk mencapai tahap ketaqwaan yang tertinggi.

Sempena bulan Ramadhan ini, saya sajikan alunan zikir Allahu Allah secara jahar sempena hol Sidi Haji Ahmad Bin Mohd Said al-Linggi yang diadakan di Kampung Pondok Rasah pada 7 Ogos 2010 yang lepas.

Monday, August 9, 2010

Umrah 2010: Hantar Dobi atau Basuh Sendiri?

Assalamu'alaikum wm wbr.

Ketika berada di tanah suci selama 10-14 hari (jika melakukan umrah) atau lebih 40 hari (jika melakukan haji) maka sudah tentu pakaian yang kotor atau yang telah berbau perlu dibasuh.  Di sini kita ada dua pilihan iaitu sama ada menghantar pakaian yang kotor  tadi ke kedai dobi (memang banyak terdapat di Makkah atau Madinah) atau membasuhnya sendiri. Jika kita basuh sendiri pakaian tadi, persoalannya ialah di mana hendak gantung / ampai / sidai (bahasa daerah saya) baju yang basah tersebut? Luckily, kebanyakan bumbung hotel atau rumah kediaman di Makkah atau Madinah adalah flat. Di bumbung tersebut kita boleh rentangkan tali (kena beli SR2.00 - SR5.00) dan ampai atau sidai baju kat situ. Nanti dalam masa 30 minit hingga 1 jam, keringlah pakaian tersebut sebab di sana memang panas terik (suhu mencecah 40-45 darjah celcius) di bantu pula oleh angin yang kuat (al maklum, tingkat atas hotel).  Selain jemur di bumbung hotel, ada juga jemaah jemur pakaian di tingkap bilik (lihat gambar di bawah).

Jika malas basuh sendiri bolehlah hantar pakaian ke kedai dobi. Saya dah lupa harga sebenar yang mereka kenakan, tetapi setelah dua kali hantar ke kedai dobi saya kena bayar lebih dari SR90.00 (kesian poket aku). Akhirnya terpaksalah saya merajinkan diri untuk basuh sendiri pakaian (sebenarnya tidaklah kotor sangat - kita bukannya pergi ke pasar atau ke bendang).

Harga dobi lebih kurang seperti berikut:

Jubah: SR 6.00
Kain Ihram: SR 8.00
T-Shirt SR 3.00
Seluar panjang SR 4.00
Seluar Dalam: SR 2.00
Kemeja SR 3.00
Kain sarung SR 4.00

Perkhidmatan dobi agak mahal sebab harga air mahal (agaknya ler)

Tempat Menjemur Baju Di Hotel Abeer Garden

Ini Pakaian Siapa?

Dua foto di bawah ini sengaja saya susun terbalik, sekali sekala kita perlu exercise leher Hehehe.


O.K Ini Gambar Asal

Dua foto di atas ialah tempat menjemur baju di Hotel Janadiriah.
Gambar diambil pada 12 Dec, 2007

Seluar Dalam Digantung Di Tingkap.
Tersilap Pandang Macam Sarang Burung Tempua