Tuesday, December 7, 2010

Pengertian Hijrah

Assalamu'alaikum wm wbr.




Bukit Thur di mana di puncaknya terdapat gua thur tempat persembunyian
Nabi S.A.W. semasa hendak berhijrah dari Makkah ke Madinah


Tahun 1431 Hijrah baru sahaja meninggalkan kita. Petang tadi, sebaik masuk sahaja waktu maghrib bermakna telah bermula tahun baru bagi ummat Islam iaitu tahun 1432 Hijrah. Bermakna usia kita sudah meningkat satu tahun lagi. Namun sebenarnya umur kita telah susut satu tahun. Bermakna semakin hampir kita dengan ajal yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Sempena tahun baru hijrah ini ada baiknya jika kita singkap serba sedikit pengertian hijrah. Bahan entri kali ini saya kutip daripada ceramah mantan Mufti Negeri Sembilan Darul Khusus, iaitu Dato' Hj. Mohd. Murtadza Bin Hj. Ahmad, yang disampaikan kepada kami sebentar tadi di Masjid Kg. Air Limau, Masjid Tanah, Melaka.

Pengertian Hijrah

Hijrah bererti berpindah. Apa yang dimaksudkan dengan Hijrah di sini ialah perpindahan Nabi Muhammad S.A.W. dengan sahabat-sahabatnya dari Makkah ke Yathrib (Madinah) yang berlaku dalam bulan September tahun 622 Masihi bagi tujuan menegakkan agama Islam.

Tahun Hijrah

Tahun perkiraan Islam ini adalah penetapan Baginda Rasulullah S.A.W. sebagaimana tercatat di dalam kitab  Asshamarikhi Al-Hafiz As-Sayuti yang mengatakan Rasulullah memerintah tarikh itu ditulis ketika baginda sampai di Madinatul Munawwarah. Juga tersebut dalam kitab Assyuti oleh Ustaz Azzayadi disebutkan bahawa Rasulullah memerintahkan Saidina Ali r.a. menulis tarikh hijrah ketika Baginda menulis surat kepada kaum Nasarani Najran.

Hikmat Hijrah Nabi Muhammad S.A.W.

Dengan Hijrah Nabi Muhammad S.A.W. dari Makkatul Mukarramah ke Madinah, jelaslah kepada kita bahawa Baginda akhir nabi-nabi dan rasul-rasul yang membawa risalah ini telah mengikut jejak langkah nabi-nabi dan rasul-rasul sebelum ini berhijrah. Di antaranya seperti Nabi Musa a.s. berhijrah dari Mesir ke Madyan, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. dari Iraq ke Makkah.

Sebab-Sebab Perpindahan Ada Empat Perkara:

1.  Tekanan yang begitu kuat dari orang Quraisy menyebabkan orang-orang Islam tidak tertahan untuk terus tinggal di Makkah.

2.  Sikap orang-orang Arab yang begitu keras menentang dengan kejam menyebabkan Rasulullah S.A.W. mendapati begitu sukar untuk meneruskan usaha penyebaran Islam kepada orang-orang Arab.

3.  Adanya ajakan dan gesaan dari penduduk-penduduk Madinah supaya Rasulullah S.A.W. berpindah sahaja ke Madinah untuk meneruskan tugas risalah baginda. Di sana mereka sentiasa menanti-nanti akan kedatangan Nabi S.A.W. dan ingin memeluk agama baru itu. Bahkan mereka juga berjanji akan membantu Nabi S.A.W. dalam hal penyebaran agama Islam.

4.  Adanya satu pakatan jahat orang-orang Arab Quraisy untuk membunuh Nabi Muhammad S.A.W.

Keempat-empat sebab ini merupakan sebab-sebab lahiriah sahaja. Ia dipandang dari segi fakta-fakta yang zahir. Adapun sebab yang paling penting dalam peristiwa ini ialah wahyu Tuhan. Allah SWT sahajalah yang memerintah Rasulullah S.A.W. supaya berpindah ke Madinah kerana Nabi S.A.W. tidak akan melakukan sesuatu melainkan setelah menerima wahyu dari Tuhan.

Sebab-Sebab Kenapa Orang Madinah Mudah Menerima Agama Ini.

1.  Terdapat golongan di Madinah beragama dengan nabi-nabi dan kitab-kitab terdahulu iaitu orang-orang Yahudi.  Tiap-tiap kali berlaku perselisihan dan pergaduhan di antara orang-orang Yahudi dan orang-orang Aus atau Khazraj, orang-orang Yahudi selalu mengugut atau mengancam mereka dengan mendakwa nabi yang telah dijanjikan dalam kitab mereka telah lahir sekarang. Kami akan ikut mereka dan kami akan bunuh kamu.  Perkataan ini telah menjadi ingatan kepada puak Aus dan Khazraj ketika sekumpulan daripada mereka seramai 73 orang laki-laki dan 2 orang perempuan mengerjakan haji di Makkatul Mukarramah.  Mereka telah bertemu dengan Rasulullah dan mereka telah mendengar seruan yang dibuat oleh Rasulullah. Mereka berpandangan sesama sendiri dan kesemua mereka sepakat mengatakan inilah dia Nabi yang disebut-sebut oleh Yahudi. Mereka membuat keputusan menerima dakwah ini sebelum orang Yahudi.

2.  Dalam usaha mereka mencari jalan menamatkan peperang Bu'ath yang berlaku begitu lama antara Aus dan Khazraj yang hampir-hampir melumpuhkan kehidupan harian kegiatan seluruh penduduk, mereka telah menemui jalan tersebut dengan tolak ansur antara dua golongan dan bersetuju menjadikan Aus sebagai pemimpin mereka. Ketika usaha ini hendak dilaksanakan mereka menerima seruan Muhammad S.A.W. (mereka didatangi dakwah Muhammad).  Mereka sepakat menerima Muhammad sebagai penyelamat mereka.

3.  Kewibawaan yang ditunjukkan oleh pendakwah yang dihantar oleh Rasulullah, iaitu Mus'ab bin Umair,  seorang pemuda yang kacak dan mempunyai sifat pendakwah, memiliki kepimpinan, dapat menguasai ayat-ayat al-quran, di samping mempunyai suara yang merdu dan yang mempesonakan orang 'Ansar'.

4.  Hubungan kekeluargaan sebelah ibu, iaitu hubungan Rasulullah dengan Bani Najar, kekeluargaan sebelah ibu yang ada di Madinah.

Rasulullah Telah Berjaya Membangunkan Madinah Dengan Beberapa Fakta:

1. Mendirikan Masjid.
2. Mengikat persaudaraan di antara orang Ansar dengan Muhajirin.
3. Perjanjian dengan masyarakat Madinah termasuk golongan Yahudi dan lahirnya Piagam Madinah.
4. Membina ekonomi Islam.

Tahun Hijrah (622 Masehi)

Tahun hijrah ini juga dikenali dengan nama tahun Qamariah atau tahun Bulan kerana perhitungan disandarkan kepada peredaran bulan mengelilingi bumi.

Menurut Sejarah

Tahun bulan Qamariah telah digunakan sejak abad kelima sebelum Masehi oleh oran Yunan dan bani Israel menggunakan bulan Qamariah sebagaimana telah diterangkan dalam al-Quran surah al-Qasas ayat 27:

Yang bermaksud: 

Shuib berkata: "Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu (Musa) dengan salah seorang daripada dua anak perempuanku ini, dengan syarat kamu bekerja denganku selama lapan musim haji (sebagai mas kahwin); dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh musim haji, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya". 

___________________________________________________________________________
Dipetik daripada ceramah Dato' Hj. Mohd. Murtadza Bin Hj. Ahmad (Mantan Mufti Negeri Sembilan).

1 comment:

  1. Salam Maal Hijrah Tn Hj Mohd Saad

    Alhamdulillah
    atas n3 ni

    Wassalam

    ReplyDelete

Assalamu'alaikum wm wbr. Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. Sebagai insan biasa, kadang-kadang saya terlepas pandang akan ulasan/soalan-soalan yang dikemukakan. Namun selepas menyedarinya, saya akan cuba balas kembali ulasan-ulasan tuan/puan/cik.