Tuesday, November 30, 2010

Kita Hanya Boleh Merancang Namun Allah Maha Berkehendak

Assalamu'alaikum wm. wbr.

Lama benar rasanya saya tidak update blog ini, dan kekerapan melakukan updating pun semakin kurang. Banyak benda yang menjadi penghalang, tetapi sebab yang paling utama ialah kerana kurang motivasi. Ini adalah merupakan kelemahan semula jadi saya iaitu saya boleh tiba-tiba menjadi kurang bersemangat untuk melakukan sesuatu yang menjadi rutin seharian saya.

Macam-macam perkara berlaku di sekeliling saya dalam tempoh seminggu dua ini. Pelajar-pelajar saya menduduki peperiksaan akhir semester, cucu saudara melangsungkan perkahwinan, kucing saya beranak lagi - untuk kali yang keempat, jadi bertambah-tambahlah anak angkat saya, kawan dan taulan mengadakan kenduri kahwin, dan sebagainya.

Di samping itu, musim haji 1431H telah berakhir. Jemaah haji bertali arus pulang ke tanah air masing-masing membawa seribu satu macam kenangan manis semasa berada di tanah suci.  Mendengar cerita-cerita mereka, melihat kejernihan wajah yang melambangkan kebersihan hati mereka, kesemuanya itu membuatkan hati saya tiba-tiba berasa sayu dan rindu kepada kaabah.  Rindu untuk tawaf mengelilingi kaabah, rindu untuk bermunajat dan berdoa di multazam, rindu untuk berselawat dan mungucap salam di hadapan Rasulullah SAW. Bak kata arwah Along Spoon - rindu, serindu-rindunya.



Gambar Kenang-Kenangan Musim Haji 1428H




Namun rindu untuk menziarahi Nabi SAW dan kaabah tidak kesampaian.  Walaupun perancangan telah dibuat sejak 3-4 bulan yang lepas untuk melakukan umrah pada 16 Disember tahun ini, namun Allah SWT belum izin untuk ke sana.

Dua minggu lepas, saya call travel agent tanya bila hendak adakan kursus umrah. Tetapi lain pula jawapan yang diterima. Suara dihujung talian berbunyi, "Err ..., elok aji dengar dulu..., kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan visa umrah dan ziarah pada bulan Disember ni. Paling awal, visa dikeluarkan pada pertengahan Februari 2011."

Tuum! Hancur berkecai segala harapan dan kegembiraan untuk menggapai kaabah sekali lagi. Sedih, memang sedih. Tetapi sebagai manusia yang kerdil, apakah yang boleh saya lakukan selain daripada bersabar dan menerima taqdir ketentuan Allah SWT.  Manusia hanya boleh merancang, tetapi Allah SWT Maha Berkehendak.

Aku redha di atas ketentuanMu Ya Allah.

No comments:

Post a Comment

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.