Thursday, August 12, 2010

Umrah 2010: Bab al-Salam (BabusSalam)

Assalamu'alaikum wm wbr.

Buku-buku panduan haji banyak menyarankan kepada para jemaah agar memasuki Masjidil Haram melalui Bab al-Salam (Babussalam). Ketika melalui pintu ini jemaah disaran melangkah memasuki masjid dengan kaki kanan sambil membaca:


اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ فَحَيِّنَا رَبَّنَا بِالْسَّلامِ وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ دَارَ السَّلاَمِ تَبَارَکْتَ وَتَعَالَيْتَ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِْکْرَامِ


اللَّهُمَّ افْتَحْ لِيْ أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ وَمَغْفِرَتِكَ وَأَدْخِلْنِيْ فِيْهَا ، بِسْمِ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ


Maksudnya:
Ya Allah, Engkaulah Yang Bersifat Sejahtera, dari Engkaulah sahaja kesejahteraan, maka hidupkanlah kami dengan kesejahteraan dan masukkanlah kami ke dalam syurga tempat yang selamat sejahtera, Maha Suci dan Maha Tinggi Engkau, Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan .

Ya Allah kurniakanlah daku rahmat dan keampunanMu , masukkan daku ke dalamnya dengan nama Allah, segala puji- pujian tertentu bagi Allah, selawat dan salam ke atas Junjungan kami Saidina Muhammad s.a.w .


Nama-nama pintu di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Madinah adalah berkaitan dengan perkara-perkara tertentu atau peristiwa-peristiwa tertentu. Sebagai contoh: Pintu Jibril di Masjid Nabawi dikaitkan dengan Malaikat Jibril yang apabila datang menemui Nabi SAW untuk menyampaikan wahyu daripada Allah SWT beliau akan datang melalui pintu tersebut.

Puas saya mencari rujukan mengenai Babussalam dan maklumat yang saya perolehi mengatakan bahawa Babussalam ini (juga dikenali sebagai Bab al-Nabi atau pintu Nabi) ialah pintu di mana Nabi SAW selalu gunakan untuk memasuki Masjidil Haram daripada rumah isteri baginda Siti Khadijah yang terletak berhampiran dengan kawasan saie.

Pintu ini berada di sebelah timur laut Masjidil Haram. Jika jemaah setelah selesai bersaie 7 pusingan dan ingin berpatah balik ke Masjidil Haram melalui kawasan saie menuju bukit safa, maka pintu Babussalam ini ialah merupakan pintu yang pertama yang dijumpai yang merupakan suatu 'opening' yang luas di sebelah kanan (lihat gambar di bawah).

Di atas pintu ini digantung ayat 80 surah al-Isra' seperti yang dapat dilihat pada gambar di bawah yang bermaksud:

Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku"

Ayat 80 surah al-Isra' ini merupakan doa Nabi Muhammad SAW ketika baginda hendak berhijrah ke Madinah.  Pada pertengahan tahun 1990an, ayat ini di gantung di kawasan binaan Turki (kawasan yang mempunyai atap berkubah putih) dan kita boleh lihat dengan jelas dari dataran kaabah terutama dari maqam Ibrahim. Semasa saya mengerjakan haji pada tahun 2007, puas saya mencari tanda ini di binaan Turki tersebut tetapi tidak berjumpa.  Rupa-rupanya pihak berkuasa Masjidil Haram telah memindahkan tanda ini ke bahagian dalam masjid. 


Pemandangan Dari Binaan Turki Menghala Ke Kawasan Saie


Di Hujung Sana Ialah Kawasan Saie

Suatu "Opening" Yang Luas Dari Kawasan Saie


Kawasan Saie - Jemaah menuju ke Bukit Safa
"Opening" Babussalam Berdekatan Dengan Tempat Ini

Bahagian Binaan Turki

8 comments:

  1. Panduan yang menarik kpd yg dijemput ke tanah suci

    ReplyDelete
  2. Salam Hj Saad,

    Satu info yang menarik dan amat berguna. TK kerana berkongsi ilmu

    ReplyDelete
  3. Salam tuan haji,

    Saya ibu tunggal dan insyaallah akan mengerjakan umrah pada bulan 12 ini bersama anak lelaki saya yang berusia 7 tahun, ibu dan rakan-rakan wanita. Perkara yang agak merisaukan saya ialah ketika solat dimasjid kelak adakah anak saya boleh bersolat di kawasan jemaah wanita. Untuk makluman tuan anak saya sudah pun berkhatan. Jasa baik tuan untuk menjawab kemusykilan ini amat saya hargai. Terima kasih.

    ReplyDelete
  4. Salam Komato, rakan PDKM

    Alhamdulillah, syukran.

    ReplyDelete
  5. Salam rosli.

    Saya dulu tercari-cari dan tertanya-tanya dalam hati di manakah pintu babussalam. Alhamdulillah, dengan adanya tanda (ayat al-Isra':80)tersebut maka ini lebih meyakinkan lagi.

    Dulu jemaah boleh masuk dari luar kawasan saie, naik jejantas untuk melintas kawasan saie dan akan turun di kawasan berhampiran bab al-Fath. Tetapi sekarang pintu dari kawasan saie ditutup. Mungkin musim haji mereka buka balik.

    ReplyDelete
  6. Salam pn anonymous.

    Mereka tidak benarkan jemaah lelaki dan wanita solat bersebelahan. Kalau mereka nampak, nanti akan disuruh solat di tempat lain. Tempat solat wanita berkepung / berdinding kayu (ada lobang-lobang). Kalau di Madinah, kawasan solat wanita dan lelaki memang terasing jauh.

    Saya nasihat, agar anak puan ikut mana-mana jemaah lelaki yang boleh dipertanggung jawabkan, insyaAllah.

    Kalau di Masjidil Haram, puan usahan solat di dataran kaabah (kawasan di bahagian belakang), dan anak puan solat just 1 saf di hadapan puan. Usahakan puan anak anak puan pakai tanda tertentu agar senang dicam. Anyway, bulan 12 jemaah umrah belum berapa ramai. Semoga puan mendapat umrah yang maqbullah. Amin

    ReplyDelete
  7. Terima kasih atas maklumat yang diberikan.

    ReplyDelete
  8. Salam puan anonymous!

    Kalau anak puan bawa HP, maka mudah untuk berhubung. Guna SIM card di sana lebih murah berbanding guna roaming service. SIM card boleh dibeli di kedai buku atau kedai grocery dsb. Tanya dulu kalau beli contohnya SR40.00 berapa nilai yang kita dapat sbb kadang-kadang nilai SIM card sedikit tetapi mereka caj lebih.

    ReplyDelete

Assalamu'alaikum wm wbr. Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. Sebagai insan biasa, kadang-kadang saya terlepas pandang akan ulasan/soalan-soalan yang dikemukakan. Namun selepas menyedarinya, saya akan cuba balas kembali ulasan-ulasan tuan/puan/cik.