Sunday, August 18, 2013

AKU MASA MUDA-MUDA DULU ...

Assalamu’alaikum wbt.

Flash back 40 tahun yang silam. Zaman dinasour kot hehehe.

Dulu rambut panjang, sekarang rambut pendek dan beruban

Dulu janggut hitam, sekarang jannggut sudah putih.

1975                                    2013

Thursday, August 15, 2013

Mayat Terbang Depan Hajar Aswad - part 2

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

Usai solat Jumaat, maka para jemaah mula memenuhi ruang mataaf (dataran kaabah) untuk tawaf.  Apa lagi, sudut hajar aswad terus diserbu oleh jemaah yang solat di saf hadapan berhampiran kaabah.  Mereka meluru ke arah hajar aswad bagaikan peluru yang dilepaskan daripada muncung senapang.  Tidak lama kemudian saya turut join kumpulan yang pertama tadi. Maka episod tolak menolak, tarik menarik, himpit menghimpit, jerit menjerit, lambung melambung, desak mendesak pun berlaku dengan dasyatnya – sama seperti keadaan di musim haji.
Selesai solat Jumaat 14/5/2010
foto kredit: PDKM - CL

Selesai solat Jumaat 14/5/2010
foto kredit: Kehidupan Makkah - Haji Arshad Ali

Saya menghampiri hajar aswad dari sebelah pintu kaabah dan hampir dengan dinding kaabah. Agak lama saya bertahan dan cuba bergerak ke arah hajar aswad. Setiap kali saya menghampiri hajar aswad dan hanya tinggal beberapa kaki sahaja daripadanya, saya ditolak semula ke belakang. Ada satu ketika tangan kiri saya sudah dapat memegang hajar aswad namun saya tertolak semula ke belakang. 

Sedang asyik mencuba tiba-tiba saya terlihat suatu kelibat seperti orang mengusung mayat yang sudah dikafankan. "Mayat" tersebut meluncur di atas kepala jemaah yang sedang bersesak-sesak di hadapan hajar aswad.  Setelah dekat, barulah saya perasan bahawa sebenarnya ia adalah seorang remaja India yang memakai kain ihram yang diusung dan dijulang oleh kawan-kawannya untuk membolehkan dia mencium hajar aswad. Perbuatannya memang sungguh nekad dan membahayakan diri sendiri. Kalaulah tertanggal kain ihramnya, alamat menjadi berita utama dalam akhbar dan tv.

Setelah lama mencuba dari sisi pintu kabaah saya beralih ke sisi rukun yamani pula. Seperti tadi juga, setelah hampir dengan hajar aswad dan tangan kanan telah dapat memegangnya, saya terlambung atau tertolak semula ke belakang. Hal ini adalah disebabkan oleh tolakan daripada jemaah yang hendak keluar daripada hajar aswad selepas menciumnya.

Akhirnya, setelah hampir 2 jam mencuba, saya mengalah dan berehat di kawasan binaan Turki menghadap hijir Ismail dan pancuran emas.  Baju saya basah kuyup (lencun) bermandi peluh dan badan berasa tersangat letih dan hilang tenaga. Selelah minum air zam-zam, basuh muka dan tangan dengan air yang barakah tersebut, saya memandang kaabah sambil membuat penilaian terhadap apa yang berlaku sebentar tadi.  

 Setelah minum air zam-zam saya duduk di sini
sambil muhasabah diri.

Berehat sambil menunggu waktu asar di kawasan binaan Turki.

Setelah muhasabah diri, saya menyedari bahawa apa yang saya lakukan tadi semata-mata mengikut kehendak hati dan menyangka, dengan berusaha bersungguh-sungguh, saya akan dapat mencium hajar aswad. Ini adalah tidak betul sebab saya telah membelakangkan Allah SWT.  Segala sesuatu itu adalah atas urusan atau kehendak Allah semata-mata. Allah sahajalah yang mengatahui hikmah atau rahsia disebalik sesuatu kejadian. Allah telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 126:
 وَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَىٰ أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya."

Justeru itu saya beristighfar dan redha atau kurnia Allah. Walaupun pada hari itu saya tidak dapat mengucup hajar aswad, sekurang-kurangya saya telah dapat menyentuhnya dengan jari.  Sambil memandang kaabah, saya membetulkan niat dan berjanji kepada Allah yang saya tidak akan melakukan sesuatu (terutama mencium hajar aswad) semasa berada di tanah suci melainkan Allah menggerakkan hati saya untuk berbuat sedemikian.


Asar, Jumaat 14/5/2010
foto kredit: Kehidupan Makkah - Haji Arshad Ali

Asar, Jumaat 14/5/2010
foto kredit: Kehidupan Makkah - Haji Arshad Ali

\



Jadi selama dua hari berikutnya (Sabtu dan Ahad) saya hanya melakukan solat, umrah, tawaf sunat, berzikir, berdoa, dan sebagainya. 




Tawaf jam 5.15am 15/5/2010
Kemudian pada pagi Insin 17/05/2010, selepas solat dhuha, hati saya tiba-tiba sahaja tergerak untuk berdoa di hadapan pintu kaabah.  Pada masa itu keadaaan di hadapan kaabah agak lengang. Selesai berdoa di hadapan pintu kaabah, hati saya tergerak pula untuk berdoa di hadapan multazam. Di situ saya teruskan berdoa dan memohon agar Allah memberi peluang kepada saya untuk mencium hajar aswad. Selesai berdoa saya memandang ke arah hajar aswad.  Kebetulan ketika itu seperti ada ruang kosong untuk saya menyelitkan diri. Jadi alhamdulillah saya terus menyorongkan kepala ke dalam lobang hajar aswad dan mengucup batu dari surga tersebut sambil air mata merembes kesyukuran dalam suasana yang penuh syahdu. 

Setelah puas, saya bergerak keluar dari situ mencari tempat yang sesuai untuk solat dua rakaat dan berdoa. Saya rasa sungguh bersyukur kerana Allah telah menggerakkan hati saya untuk mencium hajar aswad pada ketika yang sangat lapang dan selesa tanpa berdesak-desak seperti yang berlaku pada hari Jumaat sebelumnya. Jika saya terus mencuba untuk mencium hajar aswad pada hari Jumaat tersebut, sedangkan tenaga saya telah hilang, mungkin sesuatu yang buruk akan berlaku.

Apa yang saya nyatakan di sini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah. Tujuan saya menulis pengalaman umrah di atas adalah semata-mata untuk kita mengambil pengajaran atau ibrah daripada apa yang terjadi.  Semoga kisah ini dapat membantu serta memberi sedikit gambaran kepada bakal-bakal jemaah umrah akan suasana di sekitar hajar aswad serta betapa pentingnya kita berserah diri kepada Allah SWT.

Sekian, wasalam.

Entri berkaitan: Mayat Terbang Depan Hajar Aswad - Part 1

Wednesday, August 14, 2013

Mengimbau Kenangan Silam: Kuih Raya Dulu-Dulu

Assalamu'alaikum wbt.

Sekadar mengimbau kenangan silam yang tetap segar.  Antara kuih raya yang selalu dihidangkan kepada tetamu semasa saya kecil dahulu (selain dodol, lemang, dan ketupat) ialah:

Kuih kering / lempiang

Kuih putu kacang / kuih ketuk

Kuih bangkit

Kuih ros / kuih goyang

Kuih bahulu

Semperit

Kuih bakau

Kuih inang

Kuih jejari

Kuih lidah buaya / tiram

Kuih cermai / buah rotan

Kuih sagun

Kuih siput

Rempeyek

Kerepek bawang

Kerepek ubi sira gula

Wajik sirat

Halwa buah beluluk / buah enau

Halwa betik

Dan banyak lagi kuih tradisional yang lain yang tak larat saya nak muatkan di sini. Kesemua gambar di atas diambil daripada Internet.

Entri berkaitan: Kenangan Raya Semasa Kecil


Monday, August 12, 2013

Kenangan Hari Raya Semasa Kecil



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه


Saya mula menyambut hari raya pada usia 6 tahun (sebelum tu pun sambut juga hari raya, tapi tak berapa nak ingat sebab masih kecil) sekitar tahun 1960an. Masa tu kami baru berpindah ke Rancangan Kemajuan Tanah Persekutuan Kg. Baru Menggong. Sekarang namanya telah ditukar kepada Felda Tun Ghafar Menggong.


Oleh kerana kampung kami baru dibuka maka jalan-jalannya tidak berturap dengan tar, dalam kata lain jalan tanah liat. Pada pagi raya kami solat di surau  yang mana dindingnya separuh papan dan beberapa tiangnya diperbuat daripada kayu bulat yang diambil daripada hutan. Pendek kata, jalan dan masjid memang benar-benar original.


Kini surau lama telah dirobohkan. Namun papan dan tiang-tiangnya diabadikan dan dijadikan stor masjid sekarang ini (gambar atas).

Selepas solat kami pergi menziarahi beberapa rumah jiran yang dekat-dekat sahaja.  Saya malas hendak berjalan jauh-jauh sebab sehari sebelum raya hujan lebat dan tapak kasut / selipar penuh dengan tanah liat. Bila nak naik ke rumah orang yang dikunjungi, jenuh kami membuang tanah liat dan basuh kaki dengan air hujan yang ditadah dalam tempayan di tepi tangga.

Salah satu rumah yang saya tidak pernah mis ziarahi ialah rumah arwah pakcik Salim sebab selepas ziarah isterinya akan beri duit raya sebanyak 5 sen. Hati tersangatlah gembira bila dapat duit raya sebab tidak ramai orang kampung yang beri duit raya pada masa tu sebab maklum sahajalah kami orang susah dan baru berpindah ke tanah rancangan yang orang panggil tempat jin bertandang. Anak-anak getah baru setinggi 4-5 kaki sahaja jadi mana nak cekau duit masa tu. Lainlah pada masa sekarang ni, pendapatan penduduk ada yang mencecah RM5000-RM6000/bulan seorang bergantung kepada usia sawit mereka. Kalau sawit muda banyaklah hasil. Kalau sawit tua dapat sekitar RM2000/bulan seorang peneroka. Kalau musim buah sawit merosot pendapatan peneroka turut merosot.

Rumah arwah Cikgu Salleh
Satu lagi rumah yang saya suka pergi ialah rumah arwah Cikgu Salleh yang betul-betul terletak dihadapan rumah saya sebab beliau juga suka beri duit raya kepada kanak-kanak yang datang beraya ke rumahnya. Jadi setelah pergi beraya ke beberapa buah rumah maka dapatlah saya kumpul sebanyak 50 sen. Haa, masa tu 50 sen boleh beli banyak benda tau. Boleh beli mercun, bunga api, gula-gula dan sebagainya. Kalau kat sekolah boleh dapat 10 pinggan kecil nasi lemak / mee / bihun / 10 keping kuih dan sebagainya.

Menyentuh tentang kuih raya, boleh dikatakan semua rumah akan menghidangkan kuih muih tradisional seperti dodol atau penganan (tempat kami panggil kelamai), kuih bahulu, kuih ros, kerepek ubi bersira, koropok ubi pelbagai warna, kuih semperit, kuih tart, kuih putu kacang, kuih kering dan sebagainya. Selain daripada itu, rendang dan ketupat merupakan menu wajib bagi setiap rumah.


Sekarang ini bila saya balik ke kampung beraya di rumah tua kami, jalan-jalan kampung semuanya telah berturap. Di halaman rumah dan di sepanjang jalan berderet kereta anak-anak/cucu-cucu peneroka. 



Masjid Nurul Faizin, Kg. Baru Menggong

Masjid pun sudah bertukar wajah dan berhawa dingin. Kanak-kanak sibuk beraya ke rumah jiran tetangga dan bangga memberitahu dalam satu jam mereka dapat kumpul RM20, RM50, RM100 dan sebagainya. Hahaha kalau yang perempuan tu siap bawa beg tangan yang besar - supaya mudah simpan duit raya kot.

Wow besarnya bag!
Kuih muih pula sudah banyak berubah. Kerepek ubi, kuih kering, kuih semperit, wajik sirat, dodol dan sebagainya sudah tidak lagi menghiasi meja makan. Sebaliknya ia diganti dengan berbagai-bagai jenis biskut moden yang saya kurang arif namanya. Ketupat pun sudah jarang dihidangkan, sebaliknya ia diganti dengan nasi impit keluaran nona.

Begitulah keadaannya sekarang. Kampung halaman saya telah banyak mengalami perubahan mengikut peredaran masa. Namun setiap kali saya pulang ke kampung, kenangan silam tetap segar dalam ingatan.  Bak kata pepatah, "Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain."


Hari terbuka di rumah saya pada 3 hari raya




Bergambar bersama Ainun (anak saudara) dan besan (duduk di sebelah isteri saya)
Bergambar bersama kak sulung dan anak serta menantunya
My Besan


Entri berkaitan: Kuih Raya Dulu-Dulu

Wednesday, August 7, 2013

Awak Apa Kasut?

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه



Sebentar tadi matahari melabuhkan tirainya di ufuk barat dan dengan itu berakhirlah Ramadhan yang penuh barakah ini pada tahun ini. Marilah kita berdoa agar kita dipanjangkan umur dan dapat bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun hadapan. 

Beruntunglah sesiapa yang tidak mensia-siakan kehadiran Ramadan dan bersungguh-sungguh melakukan amalan soleh serta menghidupkan malam-malamnya sebagaimana yang disarankan oleh Nabi S.A.W.

Yeh yeh esok raya! Esok raya! Begitu gembira sekali kanak-kanak menyambut kedatangan Syawal.  Masing-masing akan bergaya dengan pakaian dan sepatu baru dan sebagainya. Bagi anak remaja pula, tangan mereka sibuk mengetik butang-butang handphone atau update status facebook mengucapkan “Selamat Hari Raya” kepada rakan dan sanak saudara sebagai tanda persahabatan dan untuk mengeratkan silatul Rahim.

Ya, zaman telah berubah. Sebelum kehadiran Internet dan handphone, kita menggunakan kad raya. Suatu hari dalam tahun 80an, semasa kami tinggal di Bandar Baru Bangi, anak sulung saya mendapat kad raya daripada kawannya – yang tinggal selang beberapa rumah sahaja daripada kami.  Dia sangat teruja untuk menyambut hari raya serta seronok hendak tahu apakah jenis pakaian dan kasut yang akan dipakai oleh anak saya semasa raya nanti.  Saya masih ingat salah satu perkara yang ditanya ialah seperti di bawah ini:

“Awak apa kasut? Saya John Bert kasut!”

Kasut John Bert
Ha ha ha. Hingga sekarang saya masih ingat frasa yang digunakan.

Lepas asar petang tadi anak sulung saya bergegas ke Masjid Tanah carikan sandal untuk saya pakai ke masjid untuk solat aidil fitri esok.  Sandal kesayangan saya yang dibeli di Safwah Tower semasa umrah tahun lepas sudah koyak. Sebenarnya sandal tersebut masih boleh dipakai lagi (ikut standard sayalah). Tapi anak dah belikan yang baru, jadi saya bersyukur kepada Allah atas rezeki yang tidak disangka-sangka tersebut. Jadi sandal itu adalah satu-satunya benda yang baru untuk saya pakai pada hari raya tahun ini. Alhamdulillah. Tak teringin ke nak tahu saya apa sandal? Hahaha.

Sebelum saya mengakhiri entri ini, saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca dan pengikut blog Hidup Biar Allah Sayang ini.  Saya mohon ampun dan maaf atas keterlanjuran kata dan terkasar bahasa sepanjang saya berblog di sini.

Sekian, wasalam. 

Monday, August 5, 2013

Haji Tidak Sah Sebab Bersa’ie Dalam Keadaan Haid Sebelum Tawaf Qudum

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه


Memang tiada halangan yang dihadapi di Makkah tapi dugaan yang lebih besar menunggu selepas dia pulang ke tanah air. Tidak sampai seminggu pulang, dia diberitahu bahawa hajinya kini masih tergantung kerana tidak melakukan saie.



Artikel ini saya petik daripada buku bertajuk "TUHAN... Terimalah Aku" oleh Dato' Hj Md Daud Che' Ngah, mantan Pengarah Besar Lembaga Tabung Haji.

Tajuk asal artikel ini ialah Bersaie Walaupun Uzur. Artikel ini saya pilih sebab ia ada kaitan dengan masalah haid yang sering dihadapai oleh jemaah wanita. Dalam entri ini saya tidak memuatkan keseluruhan artikel tersebut.  Sebaliknya saya hanya memuatkan bahagian-bahagian yang penting sahaja dengan sedikit suntingan.


Kisahnya …

Kisah terjadi kepada seorang wanita bernama Rabiah, berusia 40-an.  Rabiah menunaikan haji besama beberapa orang sepupunya.  Rombongan pakej Rabiah memasuki Makkah terlebih dahulu.  Rabiah memasuki Makkah dengan niat menunaikan haji ifrad. Ini bermakna Rabiah akan menyempurnakan kerja-kerja hajinya terlebih dahulu dan kemudian selepas itu barulah dia melakukan ibadah umrah.

Datang Haid

Setibanya di Makkah Rabiah mengalami keuzuran (haid) justeru itu dia tidak dapat melakukan tawaf qudum (tawaf selamat datang). Jemaah lain dalam kumpulannya pergi ke Masjidil Haram melakukan tawaf qudum dan kemudian melakukan saie haji.

Ustazah Tidak Bertauliah

Di hotel, setelah mengetahui Rabiah uzur dan tidak melakuan tawaf qudum, rakan-rakan Rabiah memberi pendapat bahawa Rabiah masih boleh melakukan saie. Memandangkan penerangan yang begitu meyakinkan (walaupun sebenarnya salah) maka Rabiah terus pergi bersaie.

Manasik Haji

Selepas melakukan saie, Rabiah berangkat ke Arafah untuk berwukuf. Pada ketika itu haidnya sudah kering. Seterusnya Rabiah melaku mansik haji yang lain seperti bermalam di Mudzalifah, melontar jamratul aqabah, bergunting rambut, tinggal 3 malam di Mina dan melontar ketiga-tiga jamrah.

Tidak Melakukan Saie Haji

Selepas itu Rabiah berangkat semula ke Makkah dan melakukan tawaf rukun. Walau bagaimanapun selepas tawaf rukun, Rabiah tidak meneruskannya dengan bersaie kerana dia beranggapan telah melakukannya awal dahulu (sebelum ke Arafah).

Melakukan Umrah

Selepas itu Rabiah sempat melakukan ibadat umrah sebanyak 3 kali sebelum berangkat ke Madinah dan seterusnya pulang ke Malaysia.

Haji Tidak Sah

Setelah tiba di Malaysia, Rabiah mengadakan kenduri kesyukuran dan menceritakan pengalamannya kepada tetamu yang datang. Salah seorang rakan yang turut mendengar cerita Rabiah ialah seorang ustazah yang berpengetahuan tentang ibadat haji. Terkejut dia apabila mendengar yang Rabiah melakukan saie sedangkan dia dalam keadaan haid.

“Akak bersaie waktu haid?” tanya ustazah itu, inginkan kepastian.

“Betul.  Mulanya akak ingat tak boleh tapi lepas tu kawan-kawan akak jelaskan yang sebenarnya akak masih boleh bersaie walaupun uzur. Buat tawaf saja yang tak boleh,” balas Rabiah penuh yakin.

“Mengikut hukum, akak memang tidak boleh bersaie kerana akak uzur (haid) sebelum sempat tawaf qudum,” jelas ustazah itu.

“Saya bimbang sekarang ini, haji yang akak buat tidak sah dan akak masih dalam ihram sebab masih lagi tidak bersaie,” jelas ustazah lagi.

Kenapa Ibadat Haji Rabiah Tidak Sah?

Mari kita lihat semula akan rukun haji dan syarat-syarat sah saie. Rukun bermaksud sesuatu perkara itu mesti dilakukan. Jika ia tidak dilakukan maka haji tidak sah.

Rukun Haji

  1. Niat ihram
  2. Wukuf di Arafah
  3. Tawaf ifadah
  4. Saie
  5. Bercukur/bergunting
  6. Tertib pada kebanyakan rukun
Syarat-Syarat Sah Sa'ie Haji

  1. Dilakukan selepas tawaf qudum atau selepas tawaf rukun (ifadah)
  2. Bermula di bukit Safa, berakhir di bukit Marwah
  3. Cukup 7 kali dengan yakin dikira sekali daripada Safa ke Marwah dan sekali daripada Marwah ke Safa
  4. Hendaklah sampai ke penghujung sa’ei di Safa dan di Marwah
  5. Hendaklah sa‘ei di batnul wadi (tempat yang termaklum)
  6. Tidak berniat lain yang memesongkan tujuan sa’ie

Jadi dalam kes puan Rabiah ini, dia telah melakukan saie haji sebelum melakukan tawaf qudum ketika mula tiba di Makkah sebab pada masa itu dia dalam keadaan haid. Jadi saie hajinya itu tidak sah.

Sepatutnya bagi melengkapkan rukun hajinya, puan Rabiah perlu bersaie selapas tawaf ifadah sekembalinya daripada Arafah/Mina. Oleh kerana puan Rabiah hanya melakukan tawaf sahaja selepas kembali daripada Mina maka dia belum melengkapkan rukun hajinya iaitu bersaie.  Oleh yang demikian hajinya masih tergantung dan dia masih dalam ihram kerana belum selesai tahallul thani.

Keputusan Jawatankuasa Jemaah Haji

Rabiah, melalui seorang saudaranya, meminta kepastian daripada salah seorang ahli jawatankuasa  ibadat haji. Pada mulanya ustaz yang dihubungi bersetuju dengan pendapat sebelum ini iaitu haji yang dilakukan oleh Rabiah tidak sah dan dia masih lagi dalam ihram.

Setelah mengemukakan isu tersebut kepada para pengkhusus haji, mereka berpendapat bahawa haji yang dilakukan oleh Rabih masih sah. Hasil rumusan mereka yang arif tentang ibadat haji ini mendapati bahawa sememangnya umrah pertama (selepas ibadat haji) yang dilakukan oleh Rabiah tidak sah. Akan tetapi saie yang dilakukan dalam umrah itu telah menggantikan saie yang tidak sah terdahulu (dilakukan semasa haid). Dalam kata lain, saie umrah tersebut adalah merupakan saie selepas tawaf ifadah. Dua lagi ibadat umrah yang dilakukan, salah satunya adalah menggantikan umrah iringan haji ifradnya.

Pengajaran

Berita tersebut telah disampaikan kepada rabiah. Dia berasa cukup gembira, lega dan bersyukur mendengar perkhabaran tersebut.  Bermakna tidak perlulah dia kembali semula ke Makkah untuk melakukan saie.

Apapun, yang paling utama dia telah mendapat pengajaran yang cukup berguna.  Ibadat haji [dan juga umrah] perlu dilakukan dalam keadaan berilmu.  Sekiranya ilmu tidak cukup atau berasa waswas, dapatkan rujukan daripada guru agama [bertauliah] ataupun mereka yang arif tentang ibadat haji [atau umrah]. Elakkan daripada mendengar kata-kata rakan yang mungkin sama-sama belum cukup ilmunya.

Sekian. Semoga sama-sama kita mengambil pengajaran daripada kisah ini.

Wasalam dan selamat berbuka puasa.


Malam 27 Ramadhan 1434H / 5 Ogos 2013 Malam Lailatul Qadar?

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

5 August 2013


Sepertimana yang saya nyatakan dalam post yang terdahulu, jika kita guna pakai kaedah imam Nawawi bahawa malam lailatul qadar pada tahun ini jatuh pada malam 27 Ramadhan (iaitu malam tadi). 

nostalgia pelita kabaid


Apakah tanda-tanda malam lailatul qadar tersebut? 

Di bawah ini saya copy paste tanda-tanda lailatul qadar yang saya petik daripada harakahdaily 2/8/2013.


1. Pada malamnya bulan kelihatan seperti separuh jafnah (jafnah; bekas makanan berbentuk bulat seperti pinggan besar atau talam)” (Soheh Muslim, 1170/222).

2. Malamnya tenang, tenteram dan sentosa (Al-Jami’ as-Saghier; 7728, menurut as-Suyuti; hasan. Musnad Ahmad; 22765, hasan). 

3. Malamnya bersih dan terang di mana seolah-olah pada malam itu terdapat cahaya bulan yang menerangi, menenggelamkan cahaya-cahaya bintang (Soheh Ibnu Hibban, 3688, menurut Syeikh Syu’aib al-Arnaut; hadis soheh bisyawahidihi. Musnad Imam Ahmad; 22765, hasan).

4. Udaranya tidak terlalu panas, tidak terlalu sejuk (Soheh Ibnu Hibban, 3688, hadis soheh bisyawahidihi. Al-Jami’ as-Saghier; 7727, 7728, menurut as-Suyuti; hasan).

5. Tidak ada lontaran dari bintang pada malam itu hinggalah pagi (Al-Jami’ as-Saghier; 7727, hasan. Musnad Imam Ahmad; 22765, hasan).

6. Malamnya tidak berawan, tiada hujan dan tiada angin (Al-Jami’ as-Saghier; 7727). Menurut penjelasan al-Munawi; maksudnya ialah tidak bersangatan awan, hujan dan anginnya (tiada ribut) (Faidhul Qadier).

7. Pada paginya matahari muncul dengan cahaya yang lemah, sekata, berwarna kemerahan dan tanpa sinaran/pancaran yang menyucuk mata (Al-Jami’ as-Saghier; 7727, 7728, hasan. Musnad Imam Ahmad; 22765, hasan. Soheh Muslim; 762/220).




Malangnya saya tidak keluar rumah malam tadi untuk memerhatikan keadaan langit pada ketika itu. Ya, malam tadi cuaca tidak terlalu panas dan terdapat hujan renyai-renyai untuk beberapa minit. Pada siang hari ini cuaca agak nyaman dan tidak berapa panas.

Namun pada malam tadi saya terdengar salakan anjing. Menurut beberapa pendapat, sekiranya berlaku lailatul qadar anjing tidak menyalak atau menggonggong.  Tetapi adakah pendapat ini boleh diguna pakai?
Namun yang penting pada malam al-qadar (lailatul qadar) ialah beramal pada malam tersebut. Berkata Imam al-Munawi; “Orang yang tidak dapat melihat tanda, tidak mesti dia tidak mendapat malam tersebut. Boleh jadi seorang yang bangun beribadah di malam itu, ia hanya dikurniakan Allah kesempatan beribadah, tanpa dapat melihat sebarang tandanya. Orang itu di sisi Allah lebih baik dan lebih mulia daripada orang yang hanya melihat tanda sahaja (tetapi tidak beribadah di malam tersebut)” (Faidhul Qadier; 7728).
Apa-apa pun Ramadhan masih berbaki 2 atau 3 hari lagi.  Ayuh, sama ada lailatul qadar sudah berlaku ataupun belum, marilah kita menghidupkan baki malam-malam terakhir Ramadhan ini sebaik mungkin. Kita tidak tahu sama ada kita masih berpeluang menemui Ramadhan pada tahun hadapan.

Sekian, wasalam.