Monday, August 12, 2013

Kenangan Hari Raya Semasa Kecil



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه


Saya mula menyambut hari raya pada usia 6 tahun (sebelum tu pun sambut juga hari raya, tapi tak berapa nak ingat sebab masih kecil) sekitar tahun 1960an. Masa tu kami baru berpindah ke Rancangan Kemajuan Tanah Persekutuan Kg. Baru Menggong. Sekarang namanya telah ditukar kepada Felda Tun Ghafar Menggong.


Oleh kerana kampung kami baru dibuka maka jalan-jalannya tidak berturap dengan tar, dalam kata lain jalan tanah liat. Pada pagi raya kami solat di surau  yang mana dindingnya separuh papan dan beberapa tiangnya diperbuat daripada kayu bulat yang diambil daripada hutan. Pendek kata, jalan dan masjid memang benar-benar original.


Kini surau lama telah dirobohkan. Namun papan dan tiang-tiangnya diabadikan dan dijadikan stor masjid sekarang ini (gambar atas).

Selepas solat kami pergi menziarahi beberapa rumah jiran yang dekat-dekat sahaja.  Saya malas hendak berjalan jauh-jauh sebab sehari sebelum raya hujan lebat dan tapak kasut / selipar penuh dengan tanah liat. Bila nak naik ke rumah orang yang dikunjungi, jenuh kami membuang tanah liat dan basuh kaki dengan air hujan yang ditadah dalam tempayan di tepi tangga.

Salah satu rumah yang saya tidak pernah mis ziarahi ialah rumah arwah pakcik Salim sebab selepas ziarah isterinya akan beri duit raya sebanyak 5 sen. Hati tersangatlah gembira bila dapat duit raya sebab tidak ramai orang kampung yang beri duit raya pada masa tu sebab maklum sahajalah kami orang susah dan baru berpindah ke tanah rancangan yang orang panggil tempat jin bertandang. Anak-anak getah baru setinggi 4-5 kaki sahaja jadi mana nak cekau duit masa tu. Lainlah pada masa sekarang ni, pendapatan penduduk ada yang mencecah RM5000-RM6000/bulan seorang bergantung kepada usia sawit mereka. Kalau sawit muda banyaklah hasil. Kalau sawit tua dapat sekitar RM2000/bulan seorang peneroka. Kalau musim buah sawit merosot pendapatan peneroka turut merosot.

Rumah arwah Cikgu Salleh
Satu lagi rumah yang saya suka pergi ialah rumah arwah Cikgu Salleh yang betul-betul terletak dihadapan rumah saya sebab beliau juga suka beri duit raya kepada kanak-kanak yang datang beraya ke rumahnya. Jadi setelah pergi beraya ke beberapa buah rumah maka dapatlah saya kumpul sebanyak 50 sen. Haa, masa tu 50 sen boleh beli banyak benda tau. Boleh beli mercun, bunga api, gula-gula dan sebagainya. Kalau kat sekolah boleh dapat 10 pinggan kecil nasi lemak / mee / bihun / 10 keping kuih dan sebagainya.

Menyentuh tentang kuih raya, boleh dikatakan semua rumah akan menghidangkan kuih muih tradisional seperti dodol atau penganan (tempat kami panggil kelamai), kuih bahulu, kuih ros, kerepek ubi bersira, koropok ubi pelbagai warna, kuih semperit, kuih tart, kuih putu kacang, kuih kering dan sebagainya. Selain daripada itu, rendang dan ketupat merupakan menu wajib bagi setiap rumah.


Sekarang ini bila saya balik ke kampung beraya di rumah tua kami, jalan-jalan kampung semuanya telah berturap. Di halaman rumah dan di sepanjang jalan berderet kereta anak-anak/cucu-cucu peneroka. 



Masjid Nurul Faizin, Kg. Baru Menggong

Masjid pun sudah bertukar wajah dan berhawa dingin. Kanak-kanak sibuk beraya ke rumah jiran tetangga dan bangga memberitahu dalam satu jam mereka dapat kumpul RM20, RM50, RM100 dan sebagainya. Hahaha kalau yang perempuan tu siap bawa beg tangan yang besar - supaya mudah simpan duit raya kot.

Wow besarnya bag!
Kuih muih pula sudah banyak berubah. Kerepek ubi, kuih kering, kuih semperit, wajik sirat, dodol dan sebagainya sudah tidak lagi menghiasi meja makan. Sebaliknya ia diganti dengan berbagai-bagai jenis biskut moden yang saya kurang arif namanya. Ketupat pun sudah jarang dihidangkan, sebaliknya ia diganti dengan nasi impit keluaran nona.

Begitulah keadaannya sekarang. Kampung halaman saya telah banyak mengalami perubahan mengikut peredaran masa. Namun setiap kali saya pulang ke kampung, kenangan silam tetap segar dalam ingatan.  Bak kata pepatah, "Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain."


Hari terbuka di rumah saya pada 3 hari raya




Bergambar bersama Ainun (anak saudara) dan besan (duduk di sebelah isteri saya)
Bergambar bersama kak sulung dan anak serta menantunya
My Besan


Entri berkaitan: Kuih Raya Dulu-Dulu

No comments:

Post a Comment

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.