Thursday, July 11, 2013

Mayat Terbang Depan Hajar Aswad - part 1

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

11/7/2011 Saya update sebahagiab dulu. 

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang telah mengurniakan masa yang lapang dan sihat tubuh badan serta sedikit motivasi bagi membolehkan saya update entri yang tertangguh ini.

Ini adalah sebuah kisah yang saya alami yang boleh diambil hikmah dan ibrah oleh para pembaca. Peristiwa ini berlaku semasa saya mengerjakan umrah pada tahun 2010 yang lalu.

Hari itu merupakan hari pertama saya berada semula di bumi Makkah yang barakah sejak saya tinggalkannya dua tahun setengah sebelum itu. Secara kebetulan hari itu ialah hari Jumaat, 14 Mei 2010.  Kali terakhir saya melihat kaabah ialah pada malam Jumaat 4 Jan 2008 iaitu semasa tawaf wada’ haji 1428H (2007).


Ketika saya mengerjakan haji pada tahun 2007 dahulu saya tidak berpeluang langsung untuk mengucup hajar aswad sebab jemaah terlalu ramai.  Lagipun pada masa itu saya terkena suatu penyakit yang dipanggil sindrom ‘biasa’.

Simptom sindrom biasa ini ialah suatu perasaan dalam hati yang mana seseorang itu tidak mahu berebut-rebut dengan jemaah yang lain untuk melakukan sesuatu perkara disebabkan oleh bilangan jemaah yang terlalu ramai.  

Jadi orang yang terkena sindrom biasa ini sering membuat alasan yang dia telah pernah mencium hajar aswad, telah pernah masuk ke dalam hijir Ismail, dan sebagainya oleh itu dia tidak mahu berebut-rebut dan ingin memberi peluang kepada orang lain yang belum pernah mencium hajar aswad dan sebagainya.
Sindrom biasa ini terkena kepada saya semasa saya menunaikan haji pada tahun 2007 yang lalu.  Pada tahun itu, seperti juga pada musim-musim haji yang lain,  jemaah terlalu ramai. Video di bawah ini adalah suasana sebenar Masjidil Haram pada musim haji tahun 2007 tersebut. Bayangkanlah bagaimana sukarnya saya hendak menghampiri hajar aswad dalam keadaan jemaah yang melaut sedemikian.

Jemaah sedang tawaf semasa haji tahun 2007


Suatu hari saya cuba untuk mencium hajar aswad. Untuk itu saya pergi ke Masjidil Haram seawal jam 2.00 pagi dan melakukan tawaf sunat sambil mengintai peluang setiap kali melepasi rukun yamani.  Namun setiap kali saya menghampir hajar aswad orang terlalu ramai di situ bertolak-tolakan, berdesak-desakan sambil berteriak dan menjerit. Ada yang terlambung ke belakang, ada yang terlambung ke kiri, dan ada yang terlambung ke kanan.

Jadi sehingga jam 10.00 pagi (setelah berusaha selama 8 jam) saya masih tidak berpeluang untuk mencium hajar aswad sebab saya tidak mahu berebut-rebut walaupun jarak antara saya dan hajar aswad hanya lebih kurang dua depa sahaja.

Selepas itu, saya terus membatalkan niat untuk mencium hajar aswad atas alasan, pertama (1) sebab saya pernah diberi peluang oleh Allah SWT menciumnya pada suatu ketika dahulu, dan kedua (2) ternyata kalau hendak juga menciumnya pada musim haji tersebut maka perlulah saya bersesak-sesak, bertolak-tolak, bersigung-sigung, berhimpit-himpit dan sebagainya.  Ada kemungkinan semasa berhimpit-himpit itu, terhimpit jemaah wanita yang juga bersemangat untuk mencium batu dari syurga tersebut.  

Sejak dari hari itu, saya memasang azam untuk melakukan umrah pada tahun-tahun mendatang memandangkan bilangan jemaah yang melakukan umrah tidaklah seramai jemaah haji. Saya terus memasang harapan moga-moga saya dapat mencium hajar aswad, moga-moga saya dapat solat dan berdoa dalam hijir Ismail, moga-moga saya dapat melakukan tawaf sunat dengan selesa, moga-moga saya dapat solat dan beriktikaf di kawasan raudah di Masjid Nabawi, moga-moga saya dapat beriktikaf di pangkin ahli suffah dan sebagainya tanpa perlu berebut dengan jemaah yang lain.

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia Allah SWT saya dapat menjejakkan semula kaki ke Masjidil Haram pada pertengahan Mei 2010.  Rombongan kami tiba di Makkah daripada Madinah selepas waktu Isya’, pada 13 Mei 2010. Pada jam 12 tengah malam, saya bergerak ke Masjidil Haram untuk melengkapkan rukun umrah dan alhamdulilah saya dapat meyempurnakan manasik umrah sekitar jam 3.00 pagi.  Saya tidak terus balik ke hotel, sebaliknya mengambil keputusan untuk beriktikaf di masjid sambil menunggu waktu subuh sebab saya takut terlelap dibuai mimpi dek kepenatan sekiranya saya balik ke hotel.

3:05 AM – Kaabah Dilihat Dari Kawasan Binaan Usmani (Turki)
Berhampiran Babussalam

Klik di sini untuk  membaca entri suasana Masjidil Haram sebelum subuh pada pagi Jumaat 14 Mei 2010.

Hari itu hari Jumaat, 14 Mei 2010.  Selepas puas berehat dan mengumpulkan tenaga, saya bergerak menuju Masjidil Haram untuk menunaikan solat Jumaat. Sepanjang perjalanan ke masjid saya telah bertekad untuk mencium hajar aswad pada hari itu.  Tidak sabar-sabar rasanya untuk mencium hajar aswad, maklum sajalah niat tersebut telah lama saya simpan sejak musim haji tahun 2007 lagi.

Alhamdulillah, walaupun orang telah ramai memenuhi masjidil haram, namun masih ada ruang kosong untuk saya menyelitkan diri. Selepas niat iktikaf dan solat sunat, saya penuhi masa dengan berzikir dan memerhatikan kaabah serta orang yang sedang tawaf. Mata saya tertumpu kepada penjuru hajar aswad. Walaupun cuaca panas tetapi para jemaah berpusu-pusu di situ.

Berebut-rebut untuk mencium hajar aswad
Gambar Ehsan PDKM

Walaupun hati berkobar-kobar dan penyakit sindrom biasa telah lama  ditinggalkan, namun perasaan cemas masih menghantui saya sebab kebiasaannya pada hari Jumaat bilangan jemaah agak ramai berbanding dengan hari-hari yang lain. Penduduk di luar Makkah dan rakyat asing yang bekerja di bandar-bandar lain di Saudia Arabia seperti Dahran, Riyad, Jeddah dan sebagainya akan turun ke Makkah mengambil kesempatan cuti pada hujung minggu, yakni Jumaat, untuk melakukan umrah dan solat Jumaat di Masjidil Haram.


Solat Jumaat 14 Mei 2010
Gambar dari PDKM

Usai solat Jumaat, maka para jemaah mula memenuhi ruang mataaf (dataran kaabah) untuk tawaf.  Apa lagi, sudut hajar aswad terus diserbu oleh jemaah yang solat di saf hadapan berhampiran kaabah.  Mereka meluru ke arah hajar aswad bagaikan peluru yang dilepaskan daripada muncung senapang.  Tidak lama kemudian saya turut join kumpulan yang pertama tadi. Maka episod tolak menolak, tarik menarik, himpit menghimpit, jerit menjerit, lambung melambung, desak mendesak pun berlaku dengan dasyatnya – sama seperti keadaan di musim haji pun bermula.

Alamak, penatlah. Saya stop sini dulu. Nanti senang-senang saya sambung. Saya takut masa menulis ni salah fakta pulak … nanti bohong pulak jadinya. That’s why lambat sikit saya nak habiskan entri ni sebab nak ambil kira semua benda tu.

Hang pi baca qur’an dulu noo sebab bulan puasa memanglah digalakkan baca Qur’an. 

Entri selanjutnya: Mayat Terbang Depan Hajar Aswad - Part 2


2 comments:

  1. Salam tn hj

    Alhamdulillah
    Kami alami suasana tawaf ifadah yg cukup hebat masa Disember 2007 . Lps lontar di jamratul Aqabah lebih kurang jam 11.30 malam terus jalan pulang ke Makkah nak sempurnakan tawaf ifadah , hampir ke suboh baru selesai krn terlalu sesak, balik ke hotel dulu krn keletihan dan rehat, jam 8 pg baru selesaikan saei lalu pulang semula ke Mina.


    Walaupun sesak sgt, namun seronok nikmat tak terkira krn berjaya selesaikan satu lagi rukun masa tu
    Alhamdulillah

    Masa di Makkah setiba dari Madinah, saya diberi kesempatan dan peluang oleh Allah utk kucup Hajarul Aswad sepuas2nya . Masa tu kalau tak silap saya hari wukuf dalam 10-12 hari lagi dan Makkah belum tetlalu padat.

    Pasal mayat terbang tu hehehe
    Krn ramai dan padat sgt dpn tu hehe


    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam wbt

      Alhamdulillah. Terima kasih kerana berkongsi pengalaman di sini. Itu suatu pengalaman manis buat tuan haji rezeki.

      Delete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.