Monday, August 5, 2013

Haji Tidak Sah Sebab Bersa’ie Dalam Keadaan Haid Sebelum Tawaf Qudum

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه


Memang tiada halangan yang dihadapi di Makkah tapi dugaan yang lebih besar menunggu selepas dia pulang ke tanah air. Tidak sampai seminggu pulang, dia diberitahu bahawa hajinya kini masih tergantung kerana tidak melakukan saie.



Artikel ini saya petik daripada buku bertajuk "TUHAN... Terimalah Aku" oleh Dato' Hj Md Daud Che' Ngah, mantan Pengarah Besar Lembaga Tabung Haji.

Tajuk asal artikel ini ialah Bersaie Walaupun Uzur. Artikel ini saya pilih sebab ia ada kaitan dengan masalah haid yang sering dihadapai oleh jemaah wanita. Dalam entri ini saya tidak memuatkan keseluruhan artikel tersebut.  Sebaliknya saya hanya memuatkan bahagian-bahagian yang penting sahaja dengan sedikit suntingan.


Kisahnya …

Kisah terjadi kepada seorang wanita bernama Rabiah, berusia 40-an.  Rabiah menunaikan haji besama beberapa orang sepupunya.  Rombongan pakej Rabiah memasuki Makkah terlebih dahulu.  Rabiah memasuki Makkah dengan niat menunaikan haji ifrad. Ini bermakna Rabiah akan menyempurnakan kerja-kerja hajinya terlebih dahulu dan kemudian selepas itu barulah dia melakukan ibadah umrah.

Datang Haid

Setibanya di Makkah Rabiah mengalami keuzuran (haid) justeru itu dia tidak dapat melakukan tawaf qudum (tawaf selamat datang). Jemaah lain dalam kumpulannya pergi ke Masjidil Haram melakukan tawaf qudum dan kemudian melakukan saie haji.

Ustazah Tidak Bertauliah

Di hotel, setelah mengetahui Rabiah uzur dan tidak melakuan tawaf qudum, rakan-rakan Rabiah memberi pendapat bahawa Rabiah masih boleh melakukan saie. Memandangkan penerangan yang begitu meyakinkan (walaupun sebenarnya salah) maka Rabiah terus pergi bersaie.

Manasik Haji

Selepas melakukan saie, Rabiah berangkat ke Arafah untuk berwukuf. Pada ketika itu haidnya sudah kering. Seterusnya Rabiah melaku mansik haji yang lain seperti bermalam di Mudzalifah, melontar jamratul aqabah, bergunting rambut, tinggal 3 malam di Mina dan melontar ketiga-tiga jamrah.

Tidak Melakukan Saie Haji

Selepas itu Rabiah berangkat semula ke Makkah dan melakukan tawaf rukun. Walau bagaimanapun selepas tawaf rukun, Rabiah tidak meneruskannya dengan bersaie kerana dia beranggapan telah melakukannya awal dahulu (sebelum ke Arafah).

Melakukan Umrah

Selepas itu Rabiah sempat melakukan ibadat umrah sebanyak 3 kali sebelum berangkat ke Madinah dan seterusnya pulang ke Malaysia.

Haji Tidak Sah

Setelah tiba di Malaysia, Rabiah mengadakan kenduri kesyukuran dan menceritakan pengalamannya kepada tetamu yang datang. Salah seorang rakan yang turut mendengar cerita Rabiah ialah seorang ustazah yang berpengetahuan tentang ibadat haji. Terkejut dia apabila mendengar yang Rabiah melakukan saie sedangkan dia dalam keadaan haid.

“Akak bersaie waktu haid?” tanya ustazah itu, inginkan kepastian.

“Betul.  Mulanya akak ingat tak boleh tapi lepas tu kawan-kawan akak jelaskan yang sebenarnya akak masih boleh bersaie walaupun uzur. Buat tawaf saja yang tak boleh,” balas Rabiah penuh yakin.

“Mengikut hukum, akak memang tidak boleh bersaie kerana akak uzur (haid) sebelum sempat tawaf qudum,” jelas ustazah itu.

“Saya bimbang sekarang ini, haji yang akak buat tidak sah dan akak masih dalam ihram sebab masih lagi tidak bersaie,” jelas ustazah lagi.

Kenapa Ibadat Haji Rabiah Tidak Sah?

Mari kita lihat semula akan rukun haji dan syarat-syarat sah saie. Rukun bermaksud sesuatu perkara itu mesti dilakukan. Jika ia tidak dilakukan maka haji tidak sah.

Rukun Haji

  1. Niat ihram
  2. Wukuf di Arafah
  3. Tawaf ifadah
  4. Saie
  5. Bercukur/bergunting
  6. Tertib pada kebanyakan rukun
Syarat-Syarat Sah Sa'ie Haji

  1. Dilakukan selepas tawaf qudum atau selepas tawaf rukun (ifadah)
  2. Bermula di bukit Safa, berakhir di bukit Marwah
  3. Cukup 7 kali dengan yakin dikira sekali daripada Safa ke Marwah dan sekali daripada Marwah ke Safa
  4. Hendaklah sampai ke penghujung sa’ei di Safa dan di Marwah
  5. Hendaklah sa‘ei di batnul wadi (tempat yang termaklum)
  6. Tidak berniat lain yang memesongkan tujuan sa’ie

Jadi dalam kes puan Rabiah ini, dia telah melakukan saie haji sebelum melakukan tawaf qudum ketika mula tiba di Makkah sebab pada masa itu dia dalam keadaan haid. Jadi saie hajinya itu tidak sah.

Sepatutnya bagi melengkapkan rukun hajinya, puan Rabiah perlu bersaie selapas tawaf ifadah sekembalinya daripada Arafah/Mina. Oleh kerana puan Rabiah hanya melakukan tawaf sahaja selepas kembali daripada Mina maka dia belum melengkapkan rukun hajinya iaitu bersaie.  Oleh yang demikian hajinya masih tergantung dan dia masih dalam ihram kerana belum selesai tahallul thani.

Keputusan Jawatankuasa Jemaah Haji

Rabiah, melalui seorang saudaranya, meminta kepastian daripada salah seorang ahli jawatankuasa  ibadat haji. Pada mulanya ustaz yang dihubungi bersetuju dengan pendapat sebelum ini iaitu haji yang dilakukan oleh Rabiah tidak sah dan dia masih lagi dalam ihram.

Setelah mengemukakan isu tersebut kepada para pengkhusus haji, mereka berpendapat bahawa haji yang dilakukan oleh Rabih masih sah. Hasil rumusan mereka yang arif tentang ibadat haji ini mendapati bahawa sememangnya umrah pertama (selepas ibadat haji) yang dilakukan oleh Rabiah tidak sah. Akan tetapi saie yang dilakukan dalam umrah itu telah menggantikan saie yang tidak sah terdahulu (dilakukan semasa haid). Dalam kata lain, saie umrah tersebut adalah merupakan saie selepas tawaf ifadah. Dua lagi ibadat umrah yang dilakukan, salah satunya adalah menggantikan umrah iringan haji ifradnya.

Pengajaran

Berita tersebut telah disampaikan kepada rabiah. Dia berasa cukup gembira, lega dan bersyukur mendengar perkhabaran tersebut.  Bermakna tidak perlulah dia kembali semula ke Makkah untuk melakukan saie.

Apapun, yang paling utama dia telah mendapat pengajaran yang cukup berguna.  Ibadat haji [dan juga umrah] perlu dilakukan dalam keadaan berilmu.  Sekiranya ilmu tidak cukup atau berasa waswas, dapatkan rujukan daripada guru agama [bertauliah] ataupun mereka yang arif tentang ibadat haji [atau umrah]. Elakkan daripada mendengar kata-kata rakan yang mungkin sama-sama belum cukup ilmunya.

Sekian. Semoga sama-sama kita mengambil pengajaran daripada kisah ini.

Wasalam dan selamat berbuka puasa.


5 comments:

  1. Salam Ramadhan THMSH

    moga amalan kita diterima oleh Allah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam ebt

      Ya sama-samalah kita berdoa agar amalan-amalan kita diterima oleh Allah SWT.

      Selamat menyambut hari raya. Maaf zahir dan batin.

      Delete
  2. Assalam,
    Semuga dalam rahmat Allah.
    Terima kasih atas pengobsian ini.
    Semuga segala amal ibadah dalam bulan Ramadhan diterima Allah serta diampunkan dosa dosa. Semuga berjumpa Ramadhan yang akan datang, inshaa Allah.
    Wassalam
    AJ

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam wbt.

      Terima kasih kerana sudi berkunjung dan doa. Amin.

      Delete
  3. Tuan, saya sertakan hadis dibawa ini, yang menurut fahaman saya boilh melalukan Sa'ie dalam keadaan ada haid. mohon penjelasan.

    Shahih Bukhari 285: Telah menceritakan kepada kami 'Ali bin 'Abdullah berkata, telah menceritakan kepada kami Sufyan berkata, Aku mendengar 'Abdurrahman bin Al Qasim berkata, Aku mendengar Al Qasim bin Muhammad berkata, Aku mendengar 'Aisyah berkata, "Kami keluar dan tidak ada tujuan selain untuk ibadah haji. Ketika tiba di Sarif aku mengalami haid, kemudian Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam masuk menemuiku sementara aku sedang menangis. Beliau bertanya: "Apa yang terjadi denganmu? Apakah kamu datang haid?" Aku jawab, "Ya." Beliau lalu bersabda: "Sesungguhnya ini adalah perkara yang telah Allah tetapkan bagi kaum wanita dari anak cucu Adam. Lakukanlah apa yang dilakukan oleh orang-orang yang haji, kecuali thawaf di Ka'bah." 'Aisyah berkata, "Kemudian Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkurban dengan menyembelih seekor sapi yang diniatkan untuk semua isterinya."

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.