Thursday, December 16, 2010

Hijrah Rasulullah S.A.W. Ke Madinah - Part 2

Rasulullah Meninggalkan Rumahnya

.... sambungan

Pada tengah malam, 27 Safar tahun keempat belas kenabian, Baginda keluar dari rumah dan melepasi sekatan pemuda-pemuda pilihan Quraisy. Allah SWT menutup pandangan mereka, justeru kekasih-Nya dapat membolosi sekatan mereka tanpa disedari. Malah Baginda menaburkan pasir ke atas kepala pemuda-pemuda tersebut, termasuklah ke atas kepala Abu Jahal seperti yang telah dikisahkan dalam entri yang terdahulu.

Baginda terus ke rumah Abu Bakar. Kemudian mereka keluar melalui pintu rahsia di belakang rumah Abu Bakar menuju jalan ke arah Mekah Bawah (Misfalah) hingga sampai ke gua Thur. Thur bermaksud kepala unta betina. Jika dipandang dari jauh, bukit Thur persis seperti kepala unta betina. Gua Thur terletak di sebelah selatan Makkah menghala ke Yaman, sedangkan kedudukan Madinah ialah di utara Makkah menuju Sham. Rasulullah sengaja bersembunyi di gua Thur bagi mengelirukan orang Quraisy yang pasti akan memburu Baginda. Jarak dari Makkah ke gua Thur ialah 5 kilometer, dan ia merupakan sebuah bukit yang tinggi, pendakiannya sukar, berbatu-batuan hingga tapak kaki Baginda melecet ketika mendakinya. Oleh itu Abu Bakar telah mendokong Rasulullah hingga ke puncak bukit.

Bersembunyi Di Gua Thur

Sesampainya mereka di gua Thur, Abu Bakar berkata, "Demi Allah, Rasulullah jangan masuk, kecuali setelah hamba masuk dahulu. Sekiranya ada sesuatu yang bahaya biar terkena hamba dahulu." Lalu beliau masuk ke dalamnya dan membersihkannya. Abu Bakar menutup lubang-lubang yang terdapat dalam gua tersebut dengan kain, kecuali sebuah lubang tidak dapat ditutup sebab beliau kehabisan kain. Lalu beliau menutup lubang tersebut dengan kakinya kemudian barulah beliau mempersilakan Rasulullah masuk ke dalam gua. 


Setelah Baginda masuk, Abu Bakar meletakkan kepala Baginda yang mulia ke ribanya hingga Baginda terlena. Seekor binatang berbisa telah menyengat kaki Abu Bakar yang digunakan untuk menutup lubang. Abu Bakar menahan kesakitan dan tidak sanggup menggerakkan kakinya agar Rasulullah S.A.W. tidak terbangun daripada tidur. Namun kerana tersangat sakit, air matanya terjatuh ke muka Rasulullah lantas Rasulullah terjaga dan berkata, "Apa hal diri kau wahai Abu Bakar? Kenapa engkau menangis wahai Abu Bakar?" Abu Bakar menjawab, "Ya Rasulullah, binatang berbisa yang ada dalam lubang ini menggigit kakiku ya Rasulullah. Rasulullah mengeluarkan  air liurnya dan membacakan kalimah:


 بِسمِ اللهِ ، تُرْبَةُ أرْضِنَا ، بِرِيقَةِ بَعْضِنَا ، يُشْفَى بِهِ سَقِيمُنَا ، بإذْنِ رَبِّنَا 

"Dengan nama Allah, dengan tanah bumi kami, dengan do’a penawar sebahagian dari kami, sembuhkanlah sakit kami dengan izin Tuhan kami."

Rasulullah menekankan ibu jarinya ke langit-langit dan menekankan ke tanah dan menyapukan ke  bekas  gigitan di kaki Abu Bakar. Di saat ubat masuk, lantas serta merta kesakitan yang dihidapi oleh Abu Bakar hilang.

Kegemparan dan Tawaran Quraisy

Pihak kafir Quraisy Makkah menjadi seperti orang gila setelah mereka menyedari Rasulullah S.A.W. telah terlepas daripada kepungan dan rencana jahat mereka itu. Beberapa orang Quraisy, termasuk Abu Jahal, datang ke rumah Abu Bakar. Mereka mengetuk pintu rumah, dan Asma' binti Abu Bakar pun keluar menemui mereka. Mereka bertanya, "Mana ayahmu, hai puteri Abu Bakar?" Jawab Asma', "Demi Allah! Aku tidak tahu ke mana ayahku pergi." Abu Jahal yang jahat dan kurang ajar itu mengangkat tangan dan menampar pipi Asma' hingga melayang sebuah anting-anting di telinganya.

Pihak kafir Quraisy membuat persidangan tergembar, mengambil keputusan mengawal semua jalan keluar kota Makkah, dan menawarkan kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah dan Abu Bakar, sama ada hidup atau mati, akan diberi hadiah yang lumayan iaitu seratus ekor unta. Tawaran tersebut menarik perhatian ramai pahlawan, penunggang kuda, pejalan kaki, serta tukang pengesan tapak kaki. Seluruh mereka bertebaran ke pelusuk sekitar Makkah, di lembah-lembah dan di bukit-bukit, di dataran mahupun di gua-gua. Namun kesemuanya itu tidak berjaya.

Ketibaan Quraisy Di Gua Thur

Di saat Rasulullah S.A.W. tidur di pangkuan Abu Bakar maka Allah SWT mengutuskan tenteranya, sebagai pengawal Rasulullah S.A.W. Bukanlah malaikat yang menjadi pengawal Rasulullah, bukanlah tenteraNya yang paling dahsyat, akan tetapi pengawal Rasulullah S.A.W. ialah tentera Allah yang paling lemah iaitu sarang labah-labah. Kemudian Allah mengilhamkan kepada burang merpati liar supaya membuat sarangnya, dan di saat itu juga mengeramkan telurnya. Sehingga sekiranya orang-orang kafir Quraisy datang mencari Rasulullah S.A.W. mereka merasa tidak yakin kalau ada orang di dalam gua.  Kemudian Allah menumbuhkan pokok kayu di hadapan pintu gua yang membuatkan orang-orang yang mencari Nabi merasa tidak yakin jika ada orang di dalam gua. 

Beberapa orang Quraisy yang memburu tadi sempat sampai ke pintu gua Thur, namun Allah SWT berkuasa di atas segala sesuatu. Ketika orang-orang kafir Quraisy telah sampai menuju ke pintu gua, di saat itu Abu Bakar merasa resah dan gelisah. 

Beliau berkata kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah! sekiranya salah seorang daripada mereka tunduk dan memandang ke hujung kaki mereka nescaya mereka akan melihat kita."

Rasulullah bersabda, "Bagaimana pendapatmu, wahai Abu Bakar, tentang dua orang (yang sedang bersembunyi), yang Allah adalah yang ketiganya?  Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah berserta kita." 

Akhirnya Abu Bakar menjadi tenang. Dengan kehendak Allah SWT, orang-orang kafir Quraisy tersebut berasa ragu-ragu yang Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di dalam gua tersebut sebab terdapatnya sarang labah-labah yang tetap utuh tidak terkoyak merentangi pintu gua, di samping itu,  burung merpati liar sedang mengeramkan telurnya di depan pintu gua. Justeru itu mereka terus beredar meskipun hanya beberapa langkah sahaja dari situ Rasulullah S.A.W. sedang bersembunyi.

Mengenai peristiwa ini Allah SWT menurunkan ayat al-Quran (at-Taubah:40)

إِلَّا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Jikalau kalian tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berkata kepada temannya, ‘Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita.’ Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kalian tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 40)
Mereka bersembunyi di gua Thur selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu, dan Ahad menunggu keghairahan dan kemarahan orang-orang Quraisy menjadi reda. Sepanjang mereka berada di situ, anak lelaki Abu Bakar, iaitu Abdullah bin Abu Bakar bertindak sebagai pemberi maklumat, menyampaikan berita kegiatan Quraisy Makkah. Di siang hari beliau berada di tengah-tengah orang Quraisy untuk mendengar apa yang mereka rencanakan tentang Rasulullah dan Abu Bakar. Pada tengah malam, ia pergi ke gua menceritakan apa yang ia dengar kepada Rasulullah dan Abu Bakar. Di hujung malam beliau keluar dari gua dan berada di kalangan Quraisy di pagi hari menampakkan yang beliau bermalam di Makkah bersama Quraisy.

Di samping itu, Amir bin Fuhairah, bekas hamba Abu Bakar, mengembala kambing bersama-sama orang Makkah, dan selepas malam berlabuh beliau membawa kambing-kambing gembalaannya kepada Rasulullah dan Abu Bakar untuk membekalkan mereka berdua dengan susu dan daging panggang. Apabila Abdullah bin Abu Bakar pulang ke Makkah, Amir bin Fuhairah berjalan mengikuti jejaknya bersama-sama dengan gerombolan kambingnya hingga menghapuskan jejak kaki Abudullah bin Abu Bakar dan tidak dapat dikesan oleh pihak Quraisy.


Anak Panah Menunjukkan Arah Pergerakan Rasulullah Semasa Hijrah

Peta Menunjukkan Kedudukan Gua Thur di Selatan Makkah

Bersambung ...

No comments:

Post a Comment

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.