Tuesday, May 4, 2010

Kisah Mengucup Hajar Aswad Kena Bayar SR400/=

Assalamu'alaikum wm wbr.

Ramai orang berkeinginan untuk mengucup hajar aswad (batu hitam) apabila berada di Masjidil Haram yang mana ia merupakan salah satu permata dari syurga. Pada asalnya hajar aswad bewarna putih, tetapi oleh kerana dosa-dosa bani Adam yang mengucupnya maka warnanya bertukar menjadi hitam.

Tidak puas rasanya kalau tidak dapat mengucup hajar aswad.  Namun, oleh kerana semua orang cuba untuk mengucupnya, maka keadaan di situ sungguh padat dan bersesak-sesak dan berebut-rebut.  Entri kali ini ialah kisah berkenaan dengan sepupu saya (gambar di bawah) yang cuba mengucup hajar aswad.

Tatkala dia dan isterinya sedang duduk di Masjidil Haram sambil berzikir dan berdoa, dia telah dihampiri oleh seorang pemuda Indonesia.  Pemuda tersebut bertanyakan sama ada sepupu saya sudah dapat mengucup hajar aswad atau belum.  Setelah diberitahu beliau belum lagi dapat mengucup hajar aswad, pemuda tersebut menyatakan kesudiannya untuk membantu sepupu saya mengucup hajar aswad. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, tanpa berfikir panjang sepupu saya telah bersetuju untuk menerima 'pertolongan' tersebut.  Lantas pemuda tersebut memimpin tangan sepupu saya menuju ke arah hajar aswad. Maka muncullah 3 atau 4 orang lagi pemuda Indonesia membuat barricade serta merempuh, membuka lorong dan menghadang jemaah-jemmah lain bagi memudahkan sepupu saya dan isterinya mengucup hajar aswad.

Setelah usai mengucup hajar aswad, pemuda tersebut telah meminta upah sebanyak SR400/= daripada sepupu saya. Alangkah terkejutnya dia, sebab pada sangkaannya pemuda tersebut benar-benar ikhlas mahu menolongnya.  Mahu tidak mahu terpaksalah sepupu saya menghulurkan SR400/= kepada pemuda tersebut.  Namun tercapai jugalah hasrat sepupu saya suami isteri untuk mengucup hajar aswad.


Sepupu saya
Keadaan Bersesak-Sesak Untuk Mengucup Hajar Aswad

2 comments:

  1. Keadaan di Kaabah ketika itu sangat sesak. Setelah selesai umrah, saya dan kakak berhajat untuk mengucup Hajarul Aswad.

    Kami mula menghampiri Kaabah sedikit demi sedikit dan Alhamdulillah dapat menunaikan solat sunat dalam Hijir Ismail. Allah permudahkan walaupun terpaksa berhimpit dengan jemaah lain. Kami keluar dari lengkungan Hijir Ismail sambil memegang dinding Kaabah menuju ke batu Hajarul Aswad.

    Semakin hampir, semakin sesak dan tangan kami terlepas dari dinding Kaabah. Ketika itu saya dan kakak telah terpisah. Keadaan semakin sesak dan saya merasakan seperti ada satu gelombang datang dari arah belakang. Gelombang manusia! Saya ditolak2ke tepi dan akhirnya tidak dapat meneruskan misi mengucup Hajarul Aswad.

    Setelah pulang ke hotel, kakak menceritakan bahawa dia berjaya mengucup Hajarul Aswad dengan 'bantuan' seorang pemuda Indonesia. Setelah selesai, dia dibawa ke hadapan pintu Kaabah untuk melakukan sujud syukur. Setelah itu, pemuda tersebut meinta upah sebanyak SR500. Dalam keadaan terpinga-pinga, kakak saya menyerahkan SR25 kerana hanya itu saja jumlah wang yang dibawa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamu'alaikum wbt

      Terima kasih kerana berkongsi pengalaman di sini. Ya berhati-hatilah ketika tawaf atau ketika duduk menghadap kaabah sekiranya anda didatangi oleh pemuda/pemudi dari negara jiran yang menawarkan diri untuk membantu mengucup hajar aswad. Ada udang di sebalik batu tu.

      Delete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.