ALOR GAJAH - Niatnya untuk menunaikan umrah, namun dia terperangkap dengan penipuan seorang ejen yang menawarkan pakej umrah sehingga kerugian lebih RM4,000.

Itulah nasib berlaku kepada Enap Muda, 70, apabila mendakwa ditipu seorang lelaki yang bergelar ‘ustaz’ menawarkan pakej umrah menerusi syarikatnya yang berpusat di Masjid Tanah, dekat sini.

Ustaz berusia lingkungan 40-an itu dikatakan memberi janji manis kepada Enap supaya mengikuti pakej umrah disediakan yang sepatutnya berlepas ke Tanah Suci, 5 Februari lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini, dia belum bertolak ke Tanah Suci selepas tiga kali penerbangan ditangguhkan atas pelbagai alasan.

“Ustaz yang mengajar di sebuah sekolah pondok datang berjumpa saya, selepas hari raya puasa lalu mempelawa saya menyertai pakej umrahnya.

“Saya bersetuju dan menyerahkan wang sebanyak RM700 kepada seorang remaja lelaki berusia 19 tahun iaitu anak angkat kepada ustaz berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ustaz itu berkata, penerbangan ke Tanah Suci adalah pada 5 Februari lalu menyebabkan dia menyimpan duit termasuk duit diberi anak-anak untuk mengerjakan umrah berkenaan.

“Pada 5 September tahun lalu, sekali lagi saya serahkan wang baki sebanyak RM3,870 kepada anak angkat ustaz berkenaan,” katanya.

Menurut Enap, dia kemudian membuat kenduri kesyukuran di kampung, kira-kira seminggu sebelum berlepas.

“Namun, sehari sebelum berlepas, ustaz berkenaan mengatakan penerbangan terpaksa ditunda kepada 17 Februari akibat masalah visa.

“Tiba hari yang dijanjikan, sekali lagi mereka mengatakan penerbangan terpaksa ditangguhkan pada 31 Mac dengan alasan ustaz berkenaan masuk Hospital Melaka kerana sakit,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Enap berkata, minggu lalu, sekali lagi dia mendapatkan pengesahan daripada syarikat ustaz berkenaan, namun kecewa apabila dimaklumkan ustaz berkenaan masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.

“Ketika saya tanya kerani syarikat mengenai pakej umrah dijanjikan, mereka katakan akaun dalam syarikat sudah kosong dan kemungkinan duit yang dibayar sebelum ini hangus,” katanya.

Berikutan kecewa, Enap membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah, di sini kira-kira 11 pagi kelmarin kerana mendakwa ditipu.

Ketua Polis daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan.

“Selepas diteliti, kes berkenaan akan dirujuk ke Tribunal Pengguna untuk tindakan,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber, lelaki bergelar ustaz itu dimasukkan ke ICU sejak 22 Mac lalu dipercayai terminum racun anai-anai.

Sumber berkata, ustaz berkenaan dipercayai berbuat demikian kerana tekanan akibat gagal menyediakan pakej umrah yang dijanjikan walaupun sudah menerima wang daripada peserta.

“Sehingga hari ini (semalam), lelaki berkenaan masih menerima rawatan rapi berikutan masih kritikal dan memerlukan rawatan susu­-lan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.