السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه
Pokok durian - cerita di akhir entri
Pokok durian - cerita di akhir entri
Alhamdulillah, kita sekarang mula memasuki 10 hari terakhir Ramadhan yang juga dikenali sebagai fasa ketiga Ramadhan.
Fasa ini merupakan kemuncak daripada Ramadhan. Kalau dalam fasa pertama (10 hari pertama Ramadhan) dikaitkan dengan rahmat, fasa kedua dikaitkan dengan maghfirah/keampunan, maka fasa ketiga ini merupakan fasa bebas daripada api neraka. Beruntunglah orang yang mendapat jaminan bebas daripada api neraka – dalam kata lain dijamin masuk syurga.
Justeru itu sayugia kita berlumba-lumba mempertingkatkan amalan pada 10 hari terakhir ramadhan ini. Tingkatkan azam dan usaha serta singkatkan masa tidur untuk mengejar/mencari lailatul qadr yang mana amalan pada malam tersebut lebih baik daripada 1000 bulan (83 tahun).
Berikut ialah panduan malam lailatul qadar pada tahun ini (Ramadhan 1434H).
Berdasarkan pendapat imam Nawawi, oleh kerana 1 Ramadhan tahun ini jatuh pada hari rabu (10 Julai 2013) maka lailatul qadar ialah pada malam yang ke-27 Ramadhan (Ahad malam Isnin 4 Ogos 2013).
Mengikut Syeikh Wahab pula, malam lailatu qadar pada tahun ini ialah pada malam yang ke-29 Ramadhan (Selasa malam Rabu 6 Ogos 2013).
Wah! Dapat sebiji durian.
Bulan puasa tahun ini, alhamdulillah durian saya menjadi-jadi pulak. Kadang-kadang kalau tunggu dari pagi hingga petang, boleh dapat 40 biji - kalau tunggu ler.
Gambar atas - Ustaz Sharuddin dan sdr Sofian (jemaah surau Taman Dimensi, Alor Gajah) sedang memperagakan hasil tangkapan mereka. Nasib mereka kurang baik - cuma dapat 11 biji buah durian sahaja pada hari itu. (Kalau nak join sesi pungut durian kena rajin datang surau yer - hahha).
Apa kaitan durian dengan entri aku kali ini? Haa kebun durian saya ni terletak di tengah-tengah kampung dan diapit oleh dua batang jalan kampung (lihat gambar di atas). Jadi orang yang lalu lalang di situ (bukannya sedikit) boleh dengar dengan jelas ketika buah durian tu jatuh berdebuk.
Rumah kosong yang tidak berpenghuni merupakan jiran kebun saya
Tanah di sebelah kiri, kanan dan belakang kebun ini pula merupakan tanah/rumah kosong tidak berpenghuni. Oleh itu, jika saya bercita-cita untuk mengutip buah durian dengan banyaknya, maka saya perlulah berpagi-pagi datang ke kebun ini sebelum orang lain datang dan tolong kutip serta bawa pergi semua hasil kutipan tersebut tanpa menaruh belas kesihan kepada pemilik kebun. Begitulah yang berlaku saban tahun.
Jadi tamsil yang mudah bagi malam lailatul qadar adalah seperti pokok durian yang sedang lebat berbuah. Jika kita hendak mendapat buah yang banyak kita perlu berusaha dan menunggu buah durian di kebun. Jika kita hendak mendapatkan lailatul qadar kita perlulah berusaha bangun malam serta melakukan amal ibadat di sepanjang bulan Ramadhan ini terutama di sepuluh malam terakhir Ramadhan.
Sekian, semoga kita dapat bertemu dengan malam lailatul qadr pada tahun ini. Amin.
No comments:
Post a Comment
Assalam'alaikum wm wbr.
Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.