Monday, December 24, 2012

Trip Ke Bandung - Hari Pertama - Sambungan daripada post yang terdahulu

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه


P
enasaran mencari sebuah toko membuat jeans yang terkenal, iaitu ARIA JEANS, membawa saya menelusuri Jalan Merdeka bermula daripada Hotel Panghegar hingga ke persimpangan Jalan Riau.

Namun, atas kehendak Allah, saya tidak ternampak kedai Aria Jeans tersebut walhal ia terletak bersetentangan dengan Hotel Panghager. Ketika sampai di Bandung Indah Plaza (BIP), kami terus mencari restoran D’Cost sebab restoran ini mendapat sijil halal daripada Majlis Ulama Indonesia. Kami saja nak cuba restoran ini sebab tertarik dengan logonya “Mutu Bintang 5 – Harga Kaki 5”.


Selepas makan dan melepaskan lelah, kami bergerak ke Jalan Riau yang berjarak lebih kurang 100 meter daripada BIP. Di sepanjang Jalan Riau ini terdapat banyak Factory Outlets (FO) seperti The Secret, The Oasis, The Summit, Terminal Tas, Heritage dsb. 



Kami singgah di FO Oasis sebab di situ terdapat tailor yang mengambil tempahan membuat seluar jeans. Tetapi malangnya saya diberitahu bahawa tempahan hanya siap dalam masa 3 hari, iaitu paling cepat pukul 9.00 pagi 1 Nov 2012. Saya tidak jadi tempah seluar jeans di situ sebab tidak berani ambil risiko. Flight kami pukul 12.15 tgh dan kami mesti berada sekurang-kurangnya satu jam sebelum take off.


Semasa nak keluar daripada Oasis, hujan mula turun tetapi nasib baik hanya sekejap sahaja.  Beberapa orang kanak-kanak mundar mandir membawa payung. Rupa-rupanya mereka menawarkan perkhidmatan memayungkan orang hendak menyeberang jalan atau untuk ke FO yang lain.

Di bahagian hadapan FO Oasis ini terdapat Collector Parfum yang diwar-warkan sebagai sangat bagus oleh sesetengah bloggers dan forumers  All About Bandung, Indonesia. Kita boleh memilih pelbagai jenis minyak wangi dari berbagai-bagai jenama dengan harga yang murah. Harga minyak wangi adalah mengikut saiz botol yang digunakan. Saya diberitahu oleh si penjual bahawa walaupun minyak wangi tersebut tidak mengandungi alkohol, tetapi jika pelanggan ingin meletakkannya ke dalam botol jenis spray, maka mereka akan campurkan sedikit alkohol supaya minyak wangi itu mudah disembur keluar.



Setelah hujan berhenti, kami menyebarang jalan menuju FO Terminal Tas. Di sini terdapat berbagai-bagai jenis bag tangan yang semestinya menjadi kegilaan kaum wanita. Saya membiarkan isteri saya masuk ke dalam kedai untuk memilih sendiri bag-bag kegemarannya. Saya hanya duduk berhampiran dengan pintu besar sambil menikmati aiskrim durian dan berbual-bual dengan seorang pengawal dan orang tempatan. 

Terminal Tas. Van hijau itu ialah Angkot iaitu
singkatan kepada Angkotan Kota.
Hampir satu jam berlalu, barulah isteri saya keluar dengan membawa 3 buah bag tangan setelah membayar hampir 1,000,000 Rupiah! Berbelanja sakan macam seorang juwatan isteri aku ni, he he he.

Penjual Aiskrim Durian
Di bawah ini saya selitkan video bagaimana aiskrim durian dibuat. 



Kami menapak balik ke BIP sebab saya nak cari toilet yang agak bersih dan selesa. Selepas itu terus survey kedai-kedai di BIP. Tidak ada apa yang menarik di situ sebab barang jualannya sama sahaja seperti yang terdapat di Malaysia. Sebaik kami keluar daripada BIP hujan turun dengan lebatnya. Terdapat sebuah teksi sedang menurunkan penumpang, dan kebetulan pula ia dari syarikat Gemah Ripah (GR). Lantas kami menaiki teksi tersebut untuk ke hotel. Saya tidak ragu-ragu menaiki teksi GR ini sebab telah diberitahu di dalam forum yang ia menggunakan meter atau argo. Pemandunya berumur sekitar 30an dan sangat peramah. Kami di hantar sehingga ke pintu hotel sebab hujan masih belum berhenti. Tambang teksi di argo ialah IDR15,000 tetapi kami diminta bayar tambang minimum iaitu IDR20,000 iaitu lebih kurang RM6.50 - harga yang sangat murah. Jika kami menaiki teksi yang tidak menggunakan meter atau argo, tambangnya boleh mencecah IDR100,000 atau RM32.00.

Setelah solat jamak dan qasar, kami hanya tinggal dibilik sambil menonton TV sebab Bandung masih hujan hingga ke petang. 

Sunday, December 23, 2012

Trip Ke Bandung - Hari Pertama - Mendapat Pelajaran Di Jalan Merdeka

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

S
yukur kepada Allah SWT Tuhan sekelian alam yang telah mengurniakan sedikit kelapangan kepada saya untuk update blog yang agak lama tidak dikemaskini.  Untuk pengetahuan para pembaca sekelian, sejak beberapa minggu ini saya seolah-olah tiada mood langsung untuk menulis. Antara tugas pejabat dan menulis blog, maka sudah tentulah tugas pejabat perlu diutamakan, dan ini diparahkan lagi dengan kesihatan saya yang tidak menentu sekarang ini. Apa-apa pun saya tetap bersyukur kerana dapat muhasabah diri apabila ditimpa musibah tersebut.

Alhamdulillah, pada 29 Okt - 1 Nov 2012 yang lepas saya dan isteri berpeluang ke Bandung untuk merehatkan minda dan melawat negara asal arwah datuk saya. Pemergian ke Bandung ini ala-ala backpacker, tanpa menggunakan pemandu pelancung atau travel agent.  Justeru itu sebelum bertolak ke Bandung saya telah membuat rujukan di Forum All About Bandung, Indonesia dalam  mforum.cari.com.my dan juga membaca beberapa blog mengenai Bandung.

Kami menaiki pesawat AirAsia AK1328 yang berlepas pada jam 6:35AM dan tiba di Bandung pada jam 7:50AM. Semasa pesawat touch down di Bandung kami dikejutkan dengan bunyi detikan yang agak kuat di bahagian lantai kapal terbang. Beberapa orang penumpang di belakang saya jelas kaget dan saya dapat mengagak apa yang mereka fikirkan. Namun alhamdulillah kami selamat sampai di Bandara Husein Sasteranegara.

Alhamdulillah, urusan pemeriksaan passport di kaunter Imigresen berjalan dengan lancar. Setelah mengambil bagasi, kami membeli kupon teksi di kauter yang terdapat di ruang legar airport untuk ke Hotel Kenangan. Tambang teksi ialah 45,000 rupiah iaitu lebih kurang RM14.50.

Tempat ambil baggage yang kecil
Kami check-in di Hotel Kenangan dengan kadar IDR260,000 (RM84.24)/malam.


Setelah mendapat rehat yang cukup kami menaiki Angkot menuju Jalan Merdeka dan turun berhampiran Hotel Panghegar. Kami berjalan kaki meyusuri Jalan Merdeka sambil mencari gedung Aria Jeans untuk menempah seluar jeans di situ.

Permulaan Jalan Merdeka.
Di sebelah kanan gambar ialah Hotel Panghegar


Namun pencarian itu tidak berhasil hingga membawa saya ke Bandung Indah Plaza iaitu di penghujung Jalan Merdeka. Ini bermakna saya telah berjalan sejauh hampir satu kilometer.
Bandung Indah Plaza di lihat dari persimpangan
Jalan Aceh dengan Jalan Merdeka
Apa yang dicari tidak berjumpa, sebaliknya saya diketemukan dengan beberapa scene yang memperlihatkan betapa kerasnya kehidupan di kota besar seperti Bandung ini. Mula-mula saya bertemu dengan sepasang suami isteri dengan pakaian dan rambut yang tidak terurus.  Si suami sedang terbaring di bawah redupan pokok dalam keadaan menahan kesakitan dan si isteri memicit-micit badan suami bagi menenangkannya. Ternyata mereka adalah golongan gelendangan yang terpinggir kerana kerasnya kehidupan kota.

Scene yang kedua ialah seperti yang boleh dilihat dalam gambar di bawah ini, iaitu seorang lelaki separuh umur sedang tidur di tepi sebuah longkang seolah-olah tidak mempedulikan keadaan di sekelilingnya.


Kedua-dua tempat ini sangat hampir dengan hotel Panghegar yang tersergam indah di seberang Jalan Merdeka. Pemandangan ini sangat menyayat hati. Saya yakin Allah SWT memperlihatkan pemandangan tersebut supaya saya membuka mata hati memikirkan betapa bertuahnya tubuh ini mendapat anugerah Allah SWT yang kadang-kala selalu saya abaikan. Saya yakin telah mendapat pelajaran yang berharga dalam perjalanan kali ini. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan rezeki yang melimpah ruah dan mengubah nasib golongan gelendangan ini, Amin.

Bersambung ...

Saturday, December 22, 2012

Benarkah Sembelih Binatang Guna Parang Berhulukan Kayu Hukumnya Haram?


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

D
ialog ini terjadi antara penjual kambing (PK) dengan saya (S) ketika saya ingin menyembelih kambing yang dibeli daripada PK.

Dialognya lebih kurang macam ni …

PK: “Saya boleh sembelihkan, tapi kalau awak nak sembelih pun boleh juga.”

S: “Biar saya sembelih, tapi saya nak guna parang saya sendiri.”

PK: “Ok, lagi afdal!”

S: “Ini dia parangnya, ok tak parang ni?”

PK: “Haram!”

S: “Kenapa pula haram?”

PK: “Itulah, ada ustaz beritahu saya, kalau kita sembelih guna parang yang hulunya dibuat daripada kayu maka hukumnya haram sebab darah binatang itu akan masuk ke dalam celah antara kayu dan besi dan dia akan tertinggal di situ – kita tak dapat bersihkan darah tu. Jadi hukumnya najis. Maka parang itu jika digunakan untuk sembelih bintang yang lain hukumnya haram.”

S: Malas hendak berhujuh, lantas saya minta pisau yang selalu digunakan oleh PK dan terus sembelih kambing tersebut. Alhamdulillah, selesai urusan.

Persoalannya, betulkah haram? Pening, pening.

Ini dia gambar parang yang saya hendak gunakan untuk sembelih kambing tersebut.







Saturday, December 8, 2012

Nikmat Sendi

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

M
aha suci Allah yang Maha Agung, yang hidup lagi kekal selepas fananya makhluk-Nya. Tiada Tuhan Selain Dia. Segala sesuatu akan musnah jua kecuali wajah-Nya (zat-Nya). BagiNyalah pemerintahan dan kepadaNyalah kita semua akan dikembalikan.

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia Allah SWT, kesihatan saya mulai pulih selepas diuji dengan sakit gout dan juga sakit lutut. Ketika sakit itulah saya baru sedar betapa besar dan sempurnaya kuasa Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah at-Tin ayat 4:

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya

Sesungguhnya Allah SWT telah mencipta manusia dengan selengkap-lengkapnya. Allah menyusun anggota tubuh manusia sesuai pada tempatnya untuk melakukan fungsi-fungsi tertentu, antaranya ialah sendi-sendi dan jari-jemari yang fleksibel supaya mudah melakukan pergerakan dan kerja. Bilangan sendi-sendi itu pula ialah sebanyak 360 sendi sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW seawal 1400 tahun yang lalu.  Jika salah satu daripada sendi-sendi tersebut bermasalah - seperti mengalami sakit gout dsb maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai sakit.

 Daripada 'Aisyah r.a. katanya: 

"Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya setiap manusia diciptakan mempunyai tiga ratus enam puluh potong (persendian). Siapa yang mengucapkan "Allahu Akbar," membaca "alhamdulillah," membaca  "subhanallah" dan membaca "la ilaha illallah", dan mengucapkan "astaghfirullah" sebanyak tiga ratus enam puluh kali, sebanding dengan jumlah persendiannya, membuang batu dari jalan umum, membuang duri atau tulang dari jalan umum, menyuruh mengerjakan perbuatan baik atau mencegah perbuatan jahat, nescaya dia berjalan di hari itu telah menyelamatkan dirinya dari neraka." [HR Muslim]

Sabda Rasulullah SAW lagi:

‏يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنْ الضُّحَى
Maksudnya: "Setiap sendi daripada seseorang daripada kamu (perlu ke atasnya) sedekah. Maka setiap tasbih adalah sedekah, dan setiap tahmid adalah sedekah, dan setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah, dan menyeru berbuat baik itu adalah sedekah, dan melarang dari perkara yang mungkar itu adalah sedekah, dan sedekah ke atas sendi-sendi itu memadai dengan 2 rakaat yang dikerjakan pada waktu dhuha." [HR Muslim]

Firman Allah Taala dalam surah as-Sajadah, ayat 9:
ثُمَّ سَوَّاهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِنْ رُوحِهِ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ قَلِيلًا مَا تَشْكُرُونَ
(Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.)

Ya tuan-tuan, berapa ramaikah di antara kita (termasuk saya) yang pernah bersyukur atas nikmat anggota badan ini seperti nikmat sendi, nikmat mata, nikmat tangan, dan pelbagai nikmat lagi seperti nikmat iman dan nikmat islam?

Persoalannya, pernahkah kita berdoa selepas solat (walau hanya sekali) agar Allah yang bersifat ar-Rahman dan ar-Rahim mengekalkan nikmat sendi lutut yang dapat rukuk, sujud, dapat berjalan ke tandas untuk qada' hajat, dapat meluruskan kaki di atas tilam ketika tidur, dapat melangkah anak-anak tangga hingga ke tingkat 5 untuk memberi kuliah, dan sebagainya, dan juga nikmat-nikmat yang lain yang kita terima sama ada kita sedari atau kita tidak sedari?
 الحمد لله رب العالمين حمدا يوافي نعمه ويدافعﻧﻘﻤﻪ ويكافئ مزيده يا ربنا لك الحمد كما ينبغي لجلال الكريم وجهك وعظيم سلطاﻧ
Segala puji bagi Allah seru sekelian alam, puji-pujian ke atas anugerah nikmat-nikmatNya dan yang menolak segala bencana dan dengan anugerah kelebihan-Nya. Ya Allah, wahai Tuhan kami, bagi-Mu kepujian sebagaimana selayaknya bagi kebesaran zat-Mu dan kemuliaan serta keagungan kekuasaan-Mu.

 الْلَّهُمَ أَعِنِّى عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ 
Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati-Mu, dan bersyukur di atas nikmat-Mu dan memperelokkan ibadahku kepada-Mu.

Dan semoga Allah mencurahkan selawat ke atas penghulu kita Muhammad dan ke atas keluarganya, pada setiap pandangan dan nafas, sebanyak bilangan apa yang diliputi oleh ilmu Allah.

Amin, Ya Rab al 'alamin.

Sekian, untuk renungan bersama. Wasalamu'alaikum wbt.

Friday, November 30, 2012

Doa Perlindungan Daripada Kecurian



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

S
egala pujian dipanjatkan kepada Allah SWT yang telah melimpahkan nikmatnya yang tidak terhingga sama ada nikmat-nikmat tersebut disedari ataupun tidak disedari oleh kita. Nikmat yang paling besar ialah nikmat Iman dan nikmat Islam.  Hari ini sementara saya ada mood untuk berbelog, ingin saya menceritakan peristiwa yang berlaku sebentar tadi iaitu sebelum solat Jumaat di Masjid al-Azim, Melaka.

Ceritanya ... 

Setelah keluar daripada kereta yang diparkir diperkarangan masjid, saya mengeluarkan notebook daripada bag dan meletakkannya di atas bumbung kereta (kes malas nak bawa bag komputer ke dalam masjid). Setelah itu saya mencapai kerusi plastik (pada masa ini saya solat duduk atas kerusi sebab kena gout) dan terus berjalan ke masjid. Saya lupa langsung tentang notebook yang diletakkan di atas bumbung kereta tadi. Sebelum menutup pintu kereta saya berdoa kepada Allah SWT agar kereta dan barang-barang yang ditinggalkan dalam kereta tersebut selamat daripada kecurian. 

Setelah berada dalam masjid kira-kira 5-10 minit baru saya teringat akan notebook yang diletakkan di atas kereta tadi. Jadi dengan hati yang berdebar-debar dan penuh mengharap saya bergegas semula ke tempat parkir. Alhamdulillah! Syukur kepada-Mu Ya Allah, sebab nun di atas bumbung kereta kelihatan notebook yang seakan-akan sedang menanti dengan sabar akan kedatangan saya untuk mengambilnya kembali (notebook pun hendak masuk masjid jugak, he he). 

Inilah doa yang saya baca semasa menutup pintu kereta tadi. Sekian, semoga entri ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca sekelian. Wasalam.

Malas nak taip doa ini, so saya copy paste daripada blog darussyifa' cawangan Brunei Darussalam. Inilah link doa tersebut: http://darusysyifawarrafahah.blogspot.com/2011/09/doa-pelindung-dari-kecurian.html


Saturday, November 17, 2012

Selamat Tahun Baru 1434 Hijrah dan Akhirat MInded



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه



3
 Muharram 1434H. Alhamdulillah, hari ini baru ada sedikit mood untuk berbelog. Sudah seminggu aku bedridden akibat penangan gout yang menyerang bahagian lutut sehinggakan aku terpaksa menggunakan kerusi roda untuk ke bilik air. Maka dengan itu aku menyambut kedatangan tahun baru hijrah ini sama ada di atas katil atau di atas kerusi roda. 

Namun aku masih bersyukur kerana dengan sakit yang diberi oleh Allah ini dapatlah aku muhasabah diri akan kesalahan-kesalahan silam dan juga dapat menginsafi betapa kerdilnya aku sebagai seorang insan yang tidak berdaya untuk bergerak dan melakukan apa-apa apabila Allah SWT menarik sedikit nikmat-Nya, iaitu fungsi sihatnya lutut.

Umur sudah meningkat dan kematian semakin dekat. Bagaimanakah kita mengisi sisa-sisa umur yang dipinjamkan oleh Allah SWT kepada kita? Jadi hendaknya kita membuat suatu rancangan yang lengkap yang memperincikan segala aktiviti harian/malaman supaya setiap detik dan setiap tarikan dan hembusan nafas tidak berlalu dengan sia-sia. Orang berniaga sentiasa memikirkan tentang perniagaannya - business minded. Kita orang Islam ni yang hendak mencari keredhaan Allah SWT perlu ada Akhirat Minded. Allahu Akbar!

Sebelum mood menulis ini menurun, sukacita saya mengingatkan di sini antara amalan yang Nabi SAW tuntut di bulan Muharram ini ialah berpuasa pada 9hb dan 10hb Muharaam. Catitkan dalam minda anda tarikh tersebut dan jangan terlepas.

Sekian daripada saya kali ini. Wasalam

Monday, November 12, 2012

Singgolan Gout


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

اللهم أنت الله الملك الحق المبين القديم المتعزز بالعظمة والكبرياء المتفرد بالبقاء الحي القيوم القادر المقتدر الجبار القهار الذي لا إله إلا أنت

Ya Allah, Engkaulah Raja (Malik) yang hak (benar) yang nyata (mubin) yang qadim, Yang perkasa (mulia) dengan kebesaran dan ketakburan, yang esa (tunggal), dengan kekekalan (baqa'), yang hidup, lagi menguruskan makhluk, yang berkuasa lagi menentukan, yang memaksa lagi kuat perkasa yang tiada tuhan selain Engkau.

S
etinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nyalah aku masih dapat meneruskan kehidupan ini. DIA yang menggenggam seluruh alam ini, mengatur turun naik nafas dan kehidupanku. Sakit pening, susah senang, suka duka semuanya adalah dalam ketentuan dan kehendak-Nya jua.

Alhamdulillah, hari ini ada sedikit kelapangan untuk menulis walaupun seluruh badan terasa sakit-sakit akibat singgulan gout lantaran kurang disiplin diri. Pesakit gaut memang perlu berpantang terhadap makanan yang kaya dengan purine seperti daging, kekacang dan sebagainya. Namun dalam berpantang tersebut, sedikit sebanyak terlepas juga. Kalau makanan telah terhidang di hadapan mata, maka kadang-kadang aroma dan aura makanan tersebut terlalu sukar untuk ditolak – yah alasan klasik! Akibatnya sendiri kena tanggung.

Sebenarnya pesakit gout perlu limitkan pergerakan, namun pada hari Jumaat yang lepas dan juga petang Ahad kelmarin, aku bertugas sebagai pengawas peperiksaan. Mahu tidak mahu terpaksalah banyak bergerak. Nak minta kengkawan gantikan sudah agak lambat, lagi pun memasing nak sambung cuti Deepavali dan awal Muharram. Akibatnya hari ini aku terpaksa ambil MC – kalau hendak ke bilik air pun terpaksa pakai tongkat, tak kanlah aku larat nak panjat tangga untuk ke pejabat kat tingkat 2 tu. 

Allah yang menjadikan penyakit turut menurunkan ubat penawarnya. Telah banyak diperkatakan bahawa antara ubat yang mujarab terhadap gout ialah buah cherry seperti pada gambar di bawah. Buah ini banyak dijual di Makkah sekitar bulan Mei dan bulan Jun. Sesiapa yang terjumpa buah cherry ini di mana-mana supermarket di Malaysia, harap dapatlah beritahu saya lokasinya. Nanti bolehlah saya usahakan untuk ke sana.

Sekian daripada saya kali ini. Semoga Allah  membuka hati saya untuk update entri Bandung, Mesir dan Umrah 2012 yang lepas. Wasalam.





Monday, November 5, 2012

Bandung Oh Bandung


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

Alhamdulillah, saya selamat sampai ke Malaysia pada 1 November 2012 yang lepas. Nantilah, bila ada kelapangan dan jika diizinkan oleh Allah SWT saya akan muatkan entri Bandung di sini. Buat sementara waktu saya muatkan video di bawah ini yang memaparkan beberapa Factory Outlets (FOs) di Jalan Riau yang sempat saya rakamkan semasa berada di sana.

Ok, jumpa lagi dalam waktu yang terdekat. Wasalam.

Monday, October 29, 2012

Gamitan Bandung

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه





PENGUMUMAN PENTING! 
(Ha ha ha macamlah gempak sangat)

...

Dari mana datangnya lintah
Jiwa manis indung di sayang
Pagi ini dah nak bertolak dah
Ke Bandung saya terbang.


Untuk beberapa hari ini nampak gayanya tidak ada update daripada saya.


Sunday, October 28, 2012

Gelas Pecah Waktu Dinihari


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه


Pecah kaca pecah gelas ...

Kejadian ini berlaku sebelum subuh pada 22 Oktober 2012. Ketika isteri saya menuangkan air teh ke dalam gelas ini, air membuak-buak dan kaca terus pecah. Ada kemungkinan gelas ini pecah sebab air terlalu panas atau gelas telah retak dan sudah sampai waktunya untuk pecah.


Cuba perhatikan, gelas ini pecah bukan di tempat penyambungnya. Air yang dituang tidaklah terlalu panas, panas sedikit daripada "suam-suam kuku" dan sedang sedap untuk di minum.

Gelas pecah bukan pada garis cantuman asal.
Merenung kembali kejadian tersebut, terdapat beberapa perkara yang menjadi tanda tanya saya dan isteri:

1. Sebelum kejadian ini, pada petang 21 Oktober 2012 saya ada membantu merawat seorang pesakit yang terkena gangguan makhluk halus.

2. Pada petang hari kejadian - 22 Oktober, 2012 - semasa saya sedang memandu untuk pulang ke rumah selepas kerja, saya menerima panggilan daripada seorang suri rumah yang meminta saya merawat suaminya yang terkenan 'santau'. Semasa saya merawat pesakit tersebut, setiap kali diruqyah, darah keluar daripada mulut pesakit. Pada permulaannya darah yang keluar adalah kental berbuku-buku, yang menandakan itu adalah darah lama yang berada dalam kerongkong pesakit. Selepas itu darah cair keluar bersama lendir. Pesakit kerasukan dan alhamdulillah, Allah SWT telah menyembuhkan beliau.

Apa-apa pun saya memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana kejadian ini tidak berlaku ke atas ahli keluarga saya. Segala pujian dipanjatkan kepada Allah Rabbul Jalil yang telah menyelamatkan saya daripada musibah yang mungkin berlaku dalam kejadian tersebut. Kejadian ini mengingatkan saya supaya lebih berhati-hati dan sentiasa meminta perlindungan daripada Allah SWT daripada kejadian yang tidak diingini.

Ya Allah, kepada Engkau aku berlindung dan kepada Engkau aku meminta pertolongan.

اللهم أشف مرضانا ﻭﺻﺤﺢ أجسادنا وَشَتِّتِ  ﺷﻤﻞ أَعِدَائِنَا  
وانصرنا على من عادانا برحمتك يا ارحم الراحمين




Ya Allah, Kau sembuhkanlah orang-orang yang sakit dalam kalangan kami, sihatkanlah tubuh badan kami, pecah belahkan kesatuan musuh-musuh kami, tolonglah kami ke atas sesiapa yang memusuhi kami dengan rahmat-Mu wahai Tuhan Yang Maha Menyayangi.

Amin, Amin, Ya Rab al 'alamin.

Suasana Sambutan Hari Raya Haji Di Merata Dunia


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

Gambar-gambar di bawah ini diambil daripada sumber berikut



Balik Kampong!, Oh Oh Oh Balik kampung - Pakistan


Lahore, Pakistan
Jakarta
Peshawar, Pakistan
Paris
Al-Aqsa, Palestin
Abdi Dalem membawa Gunungan daripada Kraton ke Masjid Agung Kauman, Yorkyakarja
Yogyakarta, Indonesia
Sarajevo, Bosnia
Gambar-gambar di bawah diambil daripada sumber berikut:
http://www.huffingtonpost.com/2012/10/26/eid-al-adha-2012-photos-muslim-feast-of-sacrifice_n_2024516.html#slide=1690808

Dhakar, Senegal
Jallabad, Afghanistan
Lagos, Nigeria
Switzerland. Solat dilakukan dalam dewan gereja Payerne
Xining, China
Bali, Indonesia
Gambar-gambar di bawah diambil daripada link berikut:
http://www.dailyfresher.com/2012/10/eid-al-adha-in-moscow-2012-30-pics.html

Solat eidul adha di Moscow, Russia



Saturday, October 27, 2012

Majlis Qurban Sempena Hari Raya Haji di Surau Taman Dimensi, Alor Gajah


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه


Antara lembu yang dikorbankan

Sebelum disembelih, dialas dengan bantal. OK ler, at least mati atas bantal. 


Rehat dulu ler, ambil angin - dah lima ekor lembu dia sorang-sorang jer yang ikat.
Tuan lembu sedang memujuk lembunya supaya rela dan redha untuk disembelih.


Berikut adalah episod menyembelih lembu yang paling ganas.

Walaupun cuak, tetapi masih mengintai peluang untuk lari.
Petugas sudah bersedia menghadapi reaksi lembu tersebut

Aksi para penonton
Bersedia untuk bersilat dengan lembu jika terdesak.
Lembu sedang melawan di atas lori walaupun  leher dan kaki telah diikat.
Setelah berhempas pulas selama l.k. 20 minit di atas lori, akhirnya lembu berjaya diturunkan. Sebelum itu tuan lembu hampir-hampir mengalah, "Aku dah penat dah, letih dibuatnya ...". Kedengaran juga suara penonton, "Sekuat-kuat lembu, kuat lagi manusia." Ye lah tu. Cuba korang yang uruskan lembu tu tadi, macam mana jadinya?
Lembu sudah lelah, petugas cepat-cepat perkemaskan ikatan di kaki lembu tsbt


Aksi-Aksi Petugas Melapah Daging


Haa, tahun ini ekor-ekor tak main arr. Tulang kasi mari la.
Aksi tahun lepas ...

Ekor ni kalau buat soup sedap woo.
Hati-hati arr, ada penunggu dalam tulang tongking dekat dengan tangan kanan tu. He he.
Kerja-kerja sudah nak selesai. Alhamdulillah, ramai yang datang membantu - kerja yang berat menjadi ringan

Kulit kepala lembu ni boleh dibuat perhiasan dinding surau.