Sunday, November 14, 2010

Syukur, Majlis Ihtifal PASTI ASY-SYIFA' telah Selamat Berlangsung




Assalamu'alaikum wm wbr.

Alhamdulillah, semalam (13 Nov. 2010) telah selamat berlangsungnya suatu event yang selama ini sedikit sebanyak merunsingkan juga fikiran isteri saya dan juga beberapa orang guru. Jika isteri runsing, dia akan turut menyeret saya supaya turut runsing.  Event yang dimaksudkan ialah Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik atau Ihtifal PASTI ASY-SYIFA'.  Majlis Ihtifal ini samalah seperti majlis konvokesyen yang diadakan oleh universiti atau oleh kolej. Yang membezakan antara kedua-duanya ialah kertas/sijil yang diterima. Kalau di universiti, sudah semestinya para pelajar dianugerahkan dengan diploma atau ijazah, tetapi di peringkat pra-sekolah, murid hanya menerima sijil akuan tamat mengikuti pra-sekolah.

Walaupun majlis Ihtifal peringkat pra-sekolah (Tadika) nampak mudah dan remeh, namun persediaan yang rapi perlulah dilakukan. Ia mungkin memakan masa satu atau dua bulan. Sekiranya persediaan dan latihan tidak dilakukan maka program atau event tersebut besar kemungkinan akan gagal atau perjalanannya tidak lancar.

Banyak perkara yang perlu dirancang dan difikirkan seperti aturcara majlis, khemah, hadiah, perasmi, pengerusi majlis, PA System, para jemputan, makanan, kewangan, pentas, kebersihan, dan sebagainya. Kesemuanya itu perlu dirancang dengan teliti. Alhamdulillah, setelah upacara selesai kami boleh menarik nafas lega. Isteri boleh tidur dengan lena. Dengkurannya menandakan selama ini dia kurang tidur sebab memikirkan majlis Ihtifal tersebut. Oleh itu hari ini bolehlah kami berangkat ke Perlis dengan hati yang lapang dan tenang. Alhamdulillah. Ketika anda membaca entri ini kami mungkin sudah berada di Perlis, InsyaAllah.

Syukur kepada Ilahi kerana majlis telah selesai dan semuanya berjalan dengan lancar.  Cuaca pun cerah dan nyaman - tidak terlalu panas. Terlintas dalam fikiran, untuk melaksanakan program ini, yang hanya memakan masa selama tiga (3) jam sahaja, namun persedian yang perlu dibuat adalah agak lama iaitu antara satu hingga dua bulan. 

Jadi, jika event yang sependek 3 jam tersebut perlu dirancang dan dibuat persediaan dengan sebegitu rapi, apatah lagi program akhirat di padang mahsyar dan kesudahan hidup kita di akhirat kelak perlulah dirancang dan dibuat persediaan yang bersungguh-sungguh.  Sebab di akhirat nanti, eventnya tidak ada titik noktah. Dalam kata lain, ia adalah untuk selama-lamanya.

Di manakah kedudukan kita sekarang ini? Sudahkan kita membuat persediaan yang terperinci dan mengumpul bekalan yang secukupnya untuk kehidupan kita di akhirat kelak? Fikir-fikirkan lah wahai sahabat-sahabat ku! Allahu Akbar.

2 comments:

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.