Friday, November 12, 2010

Wahai Orang-Orang Yang Beriman! Bertaqwalah Kamu Kepada Allah SWT

Assalamu'alaikum wm wbr

“Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.”

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
g"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa." (Al-Baqarah: 183).

Ternyata Al-Quran begitu mengambil berat tentang fadilat (kelebihan) ketaqwaan, bahkan dalam pada itu ia menyeru manusia kepada ketakwaan dan menempatkan serta memberikan keistimewaan kepadanya. Sebilangan besar dari ayat-ayatnya yang jelas sehinggalah para pembacanya, hampir-hampir tidak tertinggal satupun muka surat ayat-ayat suci Al -Quran ataupun sebahagiannya melainkan mereka akan mendapati kalimah “attaqwa” di sana sini yang dinyatakan oleh yang Maha Pengingat dan Maha Bijaksana.
Para sahabat dan salafus salih begitu mengambil berat tentang ketaqwaan di mana mereka memastikan, bermujahadah untuk mencapainya dan sering bertanya mengenainya. Umar bin Al-Khattab pernah bertanyakan Ubai bin Kaab tentang taqwa. Ubai bertanya: “Pernahkah engkau berjalan di jalan yang berduri? Umar menjawab, “Bahkan!” Ubai bertanya: “Apa yang engkau lakukan apabila berjalan di jalan tersebut? Jawab Umar: “Aku berhati-hati dan berusaha (melepasi nya).” Lalu Ubai berkata: “Maka yang demikian itulah ketaqwaan”.
Berasaskan kepada pengertian ketaqwaan seperti yang dinyatakan oleh Ubai bin Kaab dalam jawapannya terhadap soalan yang dikemukakan oleh baginda Umar, Sayyid Qutb Rahimahullah menyatakan di dalam tafsirnya, “Fi Zilalil Quran”:
Yang demikian itulah ketaqwaan, kehalusan rasa dalam tindakan, keheningan pada perasaan, ketakutan yang berterusan, kesentiasaan di dalam kewaspadaan dan pemeliharaan (diri) dan ranjau-ranjau di jalan. Jalan kehidupan. Jalan yang sentiasa dirintangi oleh ranjau-ranjau keinginan hawa nafsu, ranjau-ranjau kehalobaan, kebanggaan serta yang menakutkan dan menggetarkan hati, ranjau-ranjau tipuan pengharapan bagi mereka yang tidak mempunyai pengharapan. Tiupan ketakutan dari mereka yang tidak memberikan kemanfaatan serta kemudaratan dan puluhan macam ranjau-ranjau yang lain.
Cukuplah “taqwa” dengan segala kelebihan dan keberkesanannya. Sesungguhnya ia merupakan pemancar kelebihan (fadilah) kepada masyarakat seluruhnya. Satu-satunya jalan untuk mengawal kerosakan, kejahatan dan dosa. Bahkan ia merupakan rukun yang paling asasi dalam pembentukan sesebuah keperibadian di segi kejiwaan dan akhlaknya.

No comments:

Post a Comment

Assalamu'alaikum wm wbr. Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. Sebagai insan biasa, kadang-kadang saya terlepas pandang akan ulasan/soalan-soalan yang dikemukakan. Namun selepas menyedarinya, saya akan cuba balas kembali ulasan-ulasan tuan/puan/cik.