Showing posts with label Niat Bersyarat. Show all posts
Showing posts with label Niat Bersyarat. Show all posts

Sunday, December 22, 2013

PANDUAN UMRAH: WANITA HAID - IHRAM BERSYARAT

Assalamu'alaikum wbt

Musim umrah tahun 1435H sudah pun bermula iaitu pada 8 Disember 2013 yang lepas. Sukacita saya update entri mengenai masalah yang sangat popular yang dikemukakan kepada saya melalui ruangan komen dalam blog ini atau melalui email iaitu masalah jemaah wanita yang mengalami haid ketika umrah.

Perlu dinyatakan di sini semua orang yang ingin melakukan umrah wajib berniat ihram ketika sampai di miqat (sila rujuk tempat-tempat miqat dalam entri yang terdahulu). 

Justeru itu, bagi jemaah wanita yang sedang kedatangan haid maka dia juga perlu berniat ihram apabila sampai di miqat. Sekiranya dia tidak berniat ihram ketika di miqat maka dia adalah berdosa dan perlu membayar dam.

Bagi wanita yang dijangka kedatangan haidnya agak panjang, dan dikhuatiri tidak suci sehingga tarikh penerbangan balik ke tanah air, maka dicadangkan agar 
mereka berniat ihram bersyarat ketika di miqat supaya mudah untuk bertahallul.

Niat Bersyarat tersebut ialah:

"Aku berniat mengerjakan umrah dan berihram dengannya, jika aku terhalang oleh halangan syara' maka ketika itu aku bertahallul kerana Allah Taala."

Yang Dibolehkan:

1. Dalam keadaan berhaid jemaah wanita berniat ihram bersyarat. Jika sehingga tarikh penerbangan haidnya masih tidak berhenti - maka dia terlepas daripada pantang larang ihram tanpa perlu membayar dam.

2. Dalam keadaan tidak berhaid jemaah wanita berniat ihram bersyarat. Ketika di Makkah, jika sebelum sempat tawaf, atau sedang tawaf dia kedatangan haid - maka secara automatik dia dikira bertahallul - maka dia terlepas daripada pantang larang ihram. 

Sekirannya sesudah itu haidnya sudah berhenti (tunggu sehingga melebihi 24 jam) maka dia boleh keluar ke miqat yang berdekatan seperti Tan'iem, dan berniat ihram di situ (digalakkan melakukan niat ihram bersyarat) dan kembali ke Makkah untuk tawaf, saie dan bergunting.

Yang Tidak Dibolehkan:

Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram biasa (tidak bersyarat) kemudian ketika didatangi haid dia melafazkan niat bersyarat: “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.” - Ini tidak dibolehkan.

PENTING:

Niat ihram bersyarat tidak digalakkan bagi niat ihram haji.