Thursday, January 26, 2012

Hari Keluarga Haji Busu Bin Ngah

Assalamu'alaikum wbt

Alhamdulillah, pada 23 Januari 2012 yang lepas, sempena cuti Tahun Baru Cina, kami sekeluarga menghadiri majlis perjumpaan keluarga arwah bapa mertua saya iaitu Allahyarham Haji Busu Bin Ngah di Kg. Sungai Tangkas, Kajang, Selangor. Majlis  berlangsung di rumah Haji Ramli Bin Busu.

Allahyarham Haji Busu Bin Ngah dilahirkan pada 22 Januari 1906 di Kampung Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka. Allahyarham merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik beradik yang mana abang sulung bernama Ismail dan abang yang kedua bernama Osman.

Semasa mudanya, beliau suka merantau untuk mencari pekerjaan dan ini membawa beliau ke negeri Johor, Singapura, dan Pahang. Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau ialah mata-mata gelap dan penghulu. Justeru rakan-rakan dan masyarakat setempat lebih mesra memanggil beliau dengan panggilan Penghulu Busu.

Selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, beberapa orang pemimpin tempatan daripada Kampung Gadek dan Pulau Sebang, diketuai oleh Dato' Haji Talib Karim telah bersepakat untuk membuka tanah hutan yang dahulunya menjadi sarang komunis di hulu sungai Melaka. Salah seorang daripada peneroka tersebut ialah Busu Bin Ngah (Penghulu Busu). Mereka menebang hutan secara bergotong royong untuk dijadikan kawasan ladang dan kawasan perumahan. Kawasan penempatan baru tersebut kini dikenali sebagai Felda Tun Ghafar Baba Menggong.

Alhamdulillah, Allahyarham Haji Busu Bin Ngah dikurniakan seramai 14 orang anak hasil perkongsian hidup dengan lima orang isteri yang mana tiga daripada isteri-isterinya adalah bercerai mati. Anak-anak beliau ialah Yaakub, Abdul Ghani (Baba), Hasnah, Abdul Rahman, Alias, Jusniah, Syuib, Bedah (Bedot), Ramli, Romlan, Rosni, Rossbi (isteri saya), Kamarudin, dan Rosmah.

Kini zuriat keturunan Allahyarham Haji Busu Bin Ngah telah menjadi sebuah keluarga yang besar, bertumpu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Singapura, Selangor, dan Wilayah Persekutuan. Bagi mempertemukan semula keluarga Allahyarham Haji Busu Bin Ngah, maka baru-bari ini kami sepakat mengadakan suatu majlis perjumpaan yang julung-julung kali diadakan bagi mengeratkan silatur-rahim dan memperkenalkan genarasi muda kepada genarasi yang tua. Walaupun tidak semua keluarga dapat hadir, namun kami mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana dapat mempertemukan sebahagian daripada keluarga ini.

Berikut ialah beberapa gambar yang sempat saya rakamkan buat kenang-kenangan. Kepada keluarga Haji Busu Bin Ngah yang terbaca entri ini, sila 'right click' mouse dan pilih 'save image as' untuk muat turun gambar-gambar tersebut. 

Harapan saya semoga gathering ini dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang. Akhir kalam, marilah kita menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada Rasulullah S.A.W., kepada ahli keluarga baginda, para sahabat, dan juga kepada Allahyarham Haji Busu Bin Ngah, isteri-isteri beliau, dan juga kepada ahli keluarga kita yang telah meninggal dunia, mudah-mudahan mereka mendapat kedudukan yang baik di sisi Allah SWT. Amin.

Sekian, wasalam.

Barisan hadapan (duduk atas kerusi) - anak-anak dan menantu-menantu Haji Busu
Berdiri barisan kedua - cucu-cucu Haji Busu
Barisan ketiga dan seterusnya - cucu-cucu, cicit-cicit,dan ciut
Keluarga Bang Man, JB
Keluarga Kak Jusniah, Benut
Keluarga Kak Bedah (Bedot), Pulau Sebang, Melaka
Keluarga Bang Ramli, Sg. Tangkas, Kajang
Keluarga Bang Romlan, Batu Berendam, Melaka
Peristiwa bersejarah di bawah ini berlaku pada 10 Februari 1979. Allahyarham 
menggenggam erat tangan saya, disaksikan oleh imam dan pegawai-pegawai 
masjid Felda Menggong, Alor Gajah, Melaka. Maka dengan itu rasmilah saya 
menjadi sebahagian daripada keluarga ini.


Sudah lama langsat condong
Dahan yang patah dibuat papan
Ijab kabul lafaz berayat
Sudah lama niat dikandung
Baru kini kami disatukan
Semoga kekal sepanjang hayat.

Hasilnya selepas 33 tahun ....

Keluarga Rossbi, Lendu, Melaka selepas 33 tahun berlalu
Keluarga Bang Alias, Muar - baru sampai
Keluarga Bang Yaakub (kanan) dan Kak Jusniah (belakang)
Penganjur sedang berucap
Cucu-cucu dan cicit-cicit Haji Busu
Hadapan: Anak (bertudung kuning), cucu dan menantu arwah abang Alias.
Belakang: Azizah Abdul Ghani, dan Ramli  Busu aka bapa.


Cucu Haji Yaakub - anak Rohana (kiri sekali)

Mereka ini sepupu-sepapat, baru berjumpa dan nampak masih belum begitu mesra





Jaafar dan anak buahnya

Nanti kita makan sama-sama hamper tu yer.
Jaafar Bin Yaakub
Anuar Bin Abd Rahman
Normah mewakili anak-anak arwah kak Jusniah
Ketibaan Bang Man (Abd Rahman) - generasi yang paling tua di kalangan kami buat masa ini.
Bang Man sedang menceritakan riwayat hidup Allahyarham Haji Busu
Faizal dan isteri
Mamat
Awas dua orang jejaka ini. Mereka boleh mengundang ribut petir jika dibenarkan menyanyi. 

4 comments:

  1. salam
    mmg seronok buat family gathering mcm ni...mengeratkan silaturrahim...
    kdg2 generasi muda ni kurang amik kisah soal hubungan kekeluargaan...

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum THMSH

    tentu seronok dapat jumpa semua keluarga

    kami pernah buat perjumpaan macam tu...setahun mengelolakanya baru berhasil

    ReplyDelete
  3. Wa'alaikum salam Pn Kamsiah

    Ya benar, memang seronok kerana dapat bertemu dengan saudara mara, ipar duai, sepupu sepapat dan sebagainya.

    Gathering macam ni memang sangat-sangat digalakkan supaya anak-anak kenal suku sakat mereka, insyaAllah

    Terima kasih kerana sudi berkunjung

    ReplyDelete
  4. Wa'alaikum salam THR

    Memang seronok tuan tetapi agak payah juga nak kumpulkan kesemua keluarga.

    Alternatif lain ialah bawa semua anak-anak ke majlis kenduri kahwin keluarga.

    Terima kasih.

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.