Monday, June 28, 2010

Umrah 2010: Muzdalifah, Mina dan Ji'ranah 16 Mei 2010

Assalamu'alaikum wm wbr

Kami berada di Jabal Rahmah selama 40 minit. Seterusnya kami bertolak ke Ji'ranah untuk berniat ihram dengan melalui Muzdalifah dan Mina iaitu dua lagi tempat yang penting dalam manasik ibadah haji. Driver bas mengambil jalan singkat ke Mina iaitu melalui jalan King Faisal. Sebenarnya jalan ini ialah untuk orang yang berjalan kaki ke Mina. Tetapi sebab masa sekarang bukan musim haji maka jalan ini adalah lengang.  Mengikut papan tanda dalam gambar di bawah, jarak dari Jabal Rahmah ke Jamarat di Mina ialah 11.8 km.

Papan Tanda Di King Faisal Road. 
Di Sebelah Kanan Ialah Wadi Uranah
Muzdalifah

Sebelum sampai ke Mina kita akan melalui Muzdalifah. Di Muzdalifah ini para jemaah haji akan bermabit sambil memungut anak-anak batu pada malam 10 Zulhijjah. Mereka akan berada di sini semalaman untuk memenuhi tuntutan wajib haji. Jika mereka meninggalkan pekerjaan mabit (bermalam) di sini maka mereka akan dikenakan dam tetapi haji mereka tetap sah. Semasa di sini jemaah haji digalakkan memperbanyakkan amalan bertasbih, berzikir, bertalbiah, beristighfar, solat-solat sunat dsb.

لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَبْتَغُوا فَضْلًا مِنْ رَبِّكُمْ فَإِذَا أَفَضْتُمْ مِنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّهَ عِنْدَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِنْ كُنْتُمْ مِنْ قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ


Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya (Baqarah: 198).


ثُمَّ أَفِيضُوا مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ النَّاسُ وَاسْتَغْفِرُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (Baqarah: 199)

Pada tahun 570M tentera-tentera bergajah Abrahah dari Yaman datang ke Makkah untuk merobohkan Masjidil Haram. Apabila mereka sampai di Muzdalifah, mereka telah diserang oleh burung-burung yang diutus oleh Allah s.w.t. untuk menghancurkan pasukan bergajah tersebut. Setiap burung membawa tiga biji batu yang kecil, satu di paruh, dan dua lagi di kaki. Batu-batu tersebut digugurkan kepada tentera Abrahah - macam kapal terbang gugurkan bom gamaknya. Apabila batu-batu tersebut mengenai anggota badan tentera dan gajah, batu itu terus menembusi badan-badan dan kepala-kepala mereka. Akhirnya tentera Abrahah dikalahkan oleh tentera burung. Peristiwa tersebut di rakam dalam al-Quran dalam surah al-Fil. Oleh itu dalam menasik haji, kita disunatkan mengutip tujuh biji batu di sini untuk digunakan semasa melontar Jamrah Aqabah pada Siang 10 Zulhijjah. Tetapi eloklah jemaah haji kutip 70 biji batu atau lebih (buat spare) di sini untuk melontar pada hari ke 11, 12, dan 13 Zulhijjah sebab tersangatlah susah nak cari batu-batu kecil di tempat penginapan Mina-Muaisim. Batu sebesar penumbuk pun susah nak cari kat tempat perkhemahan.

Jemaah Haji Bermabit Di Muzdalifah 1428H (2007)

Kami meneruskan perjalanan ke Jamarat (Mina). Dari Jabal Rahmah ke Jamarat hanya mengambil masa 13 minit sahaja. Pada musim haji, perjalanan dari Muzdalifah ke Mina-Muaisim (khemah penginapan) mengambil masa antara 2 jam hingga 12 jam. Jemaah Malaysia tinggal di Mina-Miaisim iaitu di sebalik bukit Jabal Al-Quwais yang terletak lebih kurang 3 km dari Jamarat. Untuk memudahkan jamaah berulang alik ke Jamarat, pihak Arab Saudi membuat terowong yang menghubungkan Mina-Muaisim dengan Jamarat. Terowong Muaisim terkenal dengan peristiwa stampede pada 2 Julai 1990 yang mana seramai 1426 jemaah mati terpijak.

Istana Raja di Atas Bukit Sobih - Berhampiran Dengan Jamarat

Jamarat Di Lihat Dari Atas Jambatan King Khaled Road
Jemaah Haji Malaysia Biasanya Melontar Di Tingkat 2
Sumber: http://sinar-permata.blogspot.com (Dengan Izin)

Suasana Di Mina Pada Musim Haji 1430H (2009)

Di Mina, jemaah haji akan melontar Jamrah Qubra (wajib haji) pada siang 10 Zulhijjah dan selepas itu mereka bercukur atau bergunting rambut (rukun haji) untuk tahallul awal. Selepas itu orang lelaki sudah boleh memakai pakaian biasa. Mereka akan tinggal di sini selama 3 hari lagi untuk bermabit dan melontar ketiga-tiga jamrah pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah. Selama di sini mereka digalakkan menyembelih binatang qurban, membaca al-Qura, berzikir, melakukan solat-solat sunat dan sebagainya.

فَإِذَا قَضَيْتُمْ مَنَاسِكَكُمْ فَاذْكُرُوا اللَّهَ كَذِكْرِكُمْ آبَاءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا فَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia". (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. 
(Al-Baqarah: 200)

وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ لِمَنِ اتَّقَىٰ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya. (Al-Baqarah: 203)


Zoom Terowong Muaisim Dari King Khaled Road


Isteri, Kakak dan Abang Ipar Di Hadapan Terowong Muaisim 1428H
Masjid Haram Terletak Lebih Kurang 6 km Di Sebalik Bukit Yang Nampak Kat  Belakang Tu


Suasana Dalam Khemah Di Mina-Muaisim 1428H


Tidur atau ? 1428H


Berbalas Senyuman Di Mina-Muaisim 1428H

Dari Jamarat, bas kami meluncur laju memasuki perut Jabal Quwais untuk menuju ke Ji'ranah yang terletak 25 km ke timur laut Masjidil Haram. Ia merupakan sebuah perkampungan kecil di Wadi Saraf. Mercu tanda ke sini ialah Stadium Bola Sepak King Abdul Aziz yang terletak berhampiran dengan simpang tiga jalan menuju Ash-Shar'i dan Ji'ranah. Kami sampai di Ji'ranah pada pukul 9:25 pg. 

Ji'ranah merupakan miqat umrah yang paling afdal di Makkah sebab Nabi s.a.w. berniat ihram umrah di sini selepas Peperangan Hunain pada tahun 8H iaitu selepas 15 hari membuka Kota Makkah. Peperangan Hunain berlaku antara tentera Islam dengan kaum Hawazin dan Tsaqif. Selepas peperangan tersebut Nabi berkhemah di Ji'ranah untuk membahagi-bahagikan harta rampasan perang. Peristiwa peperangan Hunain ini Allah rakam dalam al-Quran (At-Taubah: 25-26).

Nama Ji'ranah diambil dari seorang perempuan  Bani Tim yang  dungu  (Ji'ranah) yang memasukkan racun ke dalam perigi di situ. Bagi menawarkan racun Rasulullah s.a.w. telah meludah ke dalam perigi tersebut. Ternyata air perigi tersebut dapat menyembuhkan penyakit bagi sesiapa yang meminumnya - dengan izin Allah jua. Sekarang perigi tersebut telah ditimbus kerana kerajaan Arab Saudi tidak mahu perkara tersebut menjadi khurafat.

لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ
Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. 
(At-Taubah: 25)

ثُمَّ أَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَنْزَلَ جُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا وَعَذَّبَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَذَٰلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ

Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir. (At-Taubah: 26)


 Sampai Di Masjid Ji'ranah

Masjid Ji'ranah
Sumber: http://sinar-permata.blogspot.com/2009/

Selepas solat sunat ihram dan solat dhuha kami menaiki semula bas untuk balik ke Makkah. Seperti biasa, mutawwif memandu kami memasang niat ihram umrah dan bertalbiah di dalam bas. Bas berpatah balik ke Makkah melalui Abtah Street, Jabal Noor Street (dapat lihat Jabal Nur), Masjid al-Haram Road (melalui Masjid Jin, perkuburan Ma'ala, dan Masjid Kucing), memasuki Second Ring Road (nampak Hotel Janadiriah - Pejabat Tabung Haji di Makkah), masuk perut bukit Khandamah dan perut bukit Ajyad dan akhirnya berhenti di Hijrah Street pada pukul 10.35 pagi. Kami balik hotel dulu sebelum ke Masjidil Haram untuk tawaf, sai'e, dan bergunting. Alhamdulillah kami dapat menyelesaikan ibadah umrah yang ke-3 sebelum zohor. Setelah selesai umrah mutawiff menunjukkan kami pintu Babussalam yang asal dan juga tiang jin. Kami sempat balik ke hotel untuk membersihkan diri sebelum solat zohor. Syukur alhamdulillah.

Jabal Nur - Tempat Turun Wahyu Yang Pertama Iaitu Al-'Alaq: 1-5


Perkuburan Ma'ala - Ummul Mukminin, Siti Khadijah r.ah - Isteri Pertama Rasulullah s.a.w. Bersemadi Di Sini.


Masjid Jin - Tempat Turunnya Surah Jin
Sumber: http://www.flickr.com/photos/kopikocok/2091276604/


Masjid Kucing Di Jalan Gazzah - Masih Survive

Nama sebenar masjid ini ialah Masjid King Abdul Aziz - kalau tak silap. Tetapi jemaah haji dari Malaysia dan Indonesia lebih mengenali dengan nama Masjid Kucing. Mutawwif beitahu, pada suatu ketika dulu banyak kucing-kucing tidak bertuan berkeliaran di masjid ini. Secara kebetulan jemaah Malaysia ramai yang tinggal di hotel-hotel berdekatan dengan masjid ini. Jadi mereka gelar masjid ini Masjid Kucing. Wallhu'aklam.

8 comments:

  1. Salam ustaz,
    Wah makin canggih blog ustaz.. Alhamdulillah . Ada kawan-kawan kata berdoa di Padang Arafah lebih afdhal di luar khemah ye.ke ustaz?..

    ReplyDelete
  2. Salam Hj MSH,

    Tak ada gambar tiang jin ke? Teringin jugak nak tahu yg mana satu.

    ReplyDelete
  3. Wa'alaikum salam puan noraini.

    Alhamdulillah, saya guna templete baru dari blogger. Just select mana-mana templete yang kita suka dan save maka inilah hasilnya.

    Memang benar, semasa hari wukuf, berdoa di luar khemah adalah lebih afdal sebab Rasulullah s.a.w. berwukuf di atas untanya bernama Qaswah di kaki Jabal Rahmah. Jadi kalau tidak menjadi masalah kesihatan, elok berdoa di luar khemah. Namun, kalau berada di luar khemah boleh menyebabkan heat stroke atau migrin berdoalah dalam khemah. Walau bagaimanapun, doa-doa di hari wukuf besar kemungkinan maqbul sebab langit di padang arafah ketika itu terbuka.

    ReplyDelete
  4. Wa'alaikum salam YB. Dah balik Malaysia ke? Alhamdulillah, semuga umrah yang maqbullah, Amin.

    Saya ada ambil gambar tiang jin yang ditunjukkan oleh mutawwif. Tapi keberatan nak tunjuk kat sini sebab takut jadi kontroversi pulak. Daripada hanya sedikit sahaja yang tahu, nanti seantero dunia orang tahu. Walaupun mungkin betul atau pun mungkin salah apa yang ditunjukkan oleh mutawwif tu, nanti kalau orang masuk MH pegi peluk tiang tu dan buat benda-benda khurafat saya ada saham jugak nanti. Maaf yer YB saya tak dapat nak tunaikan. Kalau kita berkesemoatan bertemu di mana-mana, bolehlah saya tunjukkan gambar tu kepada tuan.

    ReplyDelete
  5. salam tn hj ,

    ummi berkeinginan nk tahu yg mana satu tiang jin sejak dr thn 1987 lg , tp smpai sekarang blm tahu yg mana satu .... kalu blh ummi pun nk tahu gak....hanya sekadar nk tahu jer , tak der niat yg lain ...

    ReplyDelete
  6. Salam ummi, nanti saya fikirkan cara terbaik untuk paparkan gambar tiang jin. Mungkin create satu blog yang hanya ahli tertentu sahaja boleh akses. Ada cara lain tak? Kalau kita publish dalam public blog, nanti semua orang boleh lihat.

    ReplyDelete
  7. Tuan, tahniah dan terima kasih atas usaha mulia Tuan, banyak info berguna yang insyaAllah dapat saya manfaatkan nanti. InsyaAllah, tanggal 3 Mac 2011 nanti, saya akan menunaikan umrah melalui Andalusia - kepada Tuan, doakan saya - keberkatan Allah, rahmat Allah, redha Allah. Moga apa yang Tuan usahakan beroleh ganjaran semulianya daripada Allah SWT.

    ReplyDelete
  8. Salam puan Ku Zah,

    Alhamdulillah, semoga maklumat yang dipaparkan di sini dapat memberi sedikit panduan kepada puan semasa melakukan umrah kelak.

    Saya doakan Ku Zah semoga mendapat umrah yang maqbul, Amiin, ya Rab al-'Alamiin.

    Doakan juga untuk kesejahteraan saya sekeluarga semasa puan berada di hadapan kabaah. Amiin,

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.