Tuesday, June 8, 2010

Umrah 2010: Umrah Pertama Selepas Tiba Dari Madinah

Assalamu'alaikum wm. wbr.

Alhamdulillah. Segala puji-pujian ditumpukan kepada Allah Rabbul Jalil di atas segala kurnia-Nya, sama ada yang kita ketahui atau pun yang kita tidak ketahui. Lafaz syukur diucapkan sekali lagi kerana dengan limpah kurniaNya dapat saya meneruskan topik Panduan Umrah ini sebab 2-3 hari ini saya dihantui dengan perasaan takut kalau-kalau apa yang saya catat di sini dan juga dalam entri-entri yang lepas dikira sebagai sesuatu yang riya' di sisiNya. Ya Allah, sekiranya Engkau tidak ridho atas apa yang aku tulis di sini, ku pohon keampunan-Mu kerana ia bukanlah merupakan tujuanku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Menerima Taubat. Justeru itu ku pohon kepadaMu agar Engkau sentiasa memandu ku agar aku tidak terjerumus ke lembah riya' yang pastinya akan membinasakan daku. Tujuanku menulis di sini Ya Allah adalah semata-mata untuk berkongsi maklumat agar ia dapat membantu bakal-bakal tetamu-Mu membuat persediaan yang terbaik bagi pekerjaan umrah mereka.

Ya Allah izinkan aku meneruskan entri ini.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Setelah mengambil kunci dan berehat di bilik, kami turun ke lobi hotel jam 12.00 tengah malam untuk bergerak ke Masjidil Haram yang jaraknya lebih kurang 150 meter dari hotel. Kami menyusuri Jalan Misyal yang terletak antara Hotel Hiton dan Zamzam Tower dan dipenuhi oleh jemaah berulang-alik ke Masjdil Haram. Di kiri kanan jalan, kedai-kedai masih lagi dibuka.

Sebelum memasuki Masjidil Haram, mutawwif mengingatkan, sekiranya terpisah daripada kumpulan, kami hendaklah menunggu di pintu no. 1 iaitu pintu King Abdul Aziz, atau di Bukit Marwah. Kami memasuki al-Haram melalui pintu King Abdul Aziz sebab pintu Babus Salam tidak dibuka pada masa sekarang kerana kerja-kerja perluasan masjid masih lagi berjalan. Walau bagaimanapun mutawwif memandu kami untuk sama-sama membaca doa ketika memasuki masjid melalui Babus-Salam.

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ فَحَيِّنَا رَبَّنَا بِالْسَّلامِ وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ دَارَ السَّلاَمِ تَبَارَکْتَ وَتَعَالَيْتَ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِْکْرَامِ .

Saya terpisah daripada kumpulan sebab ingin minum air zam-zam terlebih dahulu sebelum tawaf, untuk berdoa mengambil keberkataan air zam-zam, agar Allah s.w.t. memudahkan pekerjaan umrah saya. Alhamdulillah, setelah minum air zam-zam, saya bergerak ke dataran kaabah sambil memuji Allah s.w.t. dan berdoa agar Allah menambahkan kemuliaan, kebesaran, keagungan, dan keberkatan Kaabah, dan agar Allah turut memberkati sesiapa sahaja hambaNya yang berdoa sedemikian


اللهم زِدْ بَيْتَكَ هَذاَ تَشْرِيْفاًَ وَتَكْرِيْماً وَتَعْظِيْماً وَمَهاَبَةً وَرِفْعَةً وَبِراًّ،
وَزِدْ يا رَبِّ مَنْ شَرَّفَهُ وَكَرَّمَهُ وَعَظَّمَهُ مِمَّنْ حَجَّهُ واَعْتَمَرَهُ تَشْرِيْفاً وَتَكْرِيْماً وَتَعْظِيْماً وَمَهاَبَةً وَرِفْعَةً وَبِراًّ.

"Ya Allah tambahkanlah Baitullah ini dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan dan kebaikan, tambahkanlah kurniaMu kepada sesiapa juga yang memuliakannya (Baitullah) dan membesarkannya dari kalangan yang mengerjakan haji dan umrah dengan kemuliaan, kebesaran, ketinggian dan kebaikan."


Secara kebetulan, jika kita memasuki Masjidil Haram dari pintu King Abdul Aziz, kita akan sampai ke Kaabah di rukun Yamani. Oleh itu kita boleh terus memasang niat tawaf sebelum sampai ke Hajar Aswad - membaca niat untuk tawaf umrah hukumnya sunat. Alhamdulillah, jemaah yang bertawaf belum berapa ramai walaupun malam itu ialah malam Jumaat, jadi ruang tawaf agak lega dan kita boleh bertawaf dalam keaadan yang tenang dan tidak berdesakan.

Alhamdulillah, setelah selesai tawaf 7 keliling dengan yakin, saya mencari ruang untuk solat di belakang maqam Ibrahim untuk solat sunat tawaf dan juga solat hajat. Setelah usai berdoa, saya bertemu semula dengan kumpulan kami yang baru selesai mengerjakan tawaf, jesteru saya bergabung semula dengan mereka, dan selanjutnya kami bergerak ke Bukit Safa melalui pintu Safa untuk melakukan sa'ie. Ketika ini saya dapati para jemaah telah mula bertambah ramai untuk bersa'ie. Alhamdulillah, kami telah dapat menyelesaikan sai'e dan bergunting pada jam 2.00 pagi.

Doa ketika bergunting / bercukur untuk tahallul

اللهُ أَکْبَرُ , اللهُ أَکْبَرُ , اللهُ أَکْبَرُ ,
اللَّهُمَّ هَذِهِ نَاصِيَتِي بِيَدِكَ فَاجْعَلْ لِي بِکُلِّ شَعْرَةٍ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَاغْفِرْلِي ذَنْبِي يَاوَاسِعَ الْمَغْفِرَةِ آمِينَ .
الْحَمْدُِللهِ الَّذِي قَضَى عَنِّي نُسُکِي آتِنِي بِکُلِّ شَعْرَةٍ حَسَنَةً . وَامْحُ عَنِّي بِهَا سَيِّئَةً وَارْفَعْ لِي بِهَا دَرَجَةً وَاغْفِرْلِي وَلِلْمُحَلِقِيْنَ وَالْمُقَصِّرِينَ وَلِجَمِيعِ الْمُسْلِمِينَ ، اللَّهُمَّ زِدْنِي إِيْمَانًا وَيَقِيْنًا وَتَوْفِيقًا وَعَونًا ، وَاغْفِرْلَنَا وَِلآبَائِنَا وَِلأُمَّهَاتِنَا وَِلأَزْوَاجِنَا وَِلأَوْلاَدِنَا وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ ، آمِيْنَ.

Maksudnya :
Allah Yang Maha Agung, Allah Yang Maha Agung, Allah Yang Maha Agung. Ya Allah ya Tuhan, inilah ubun-ubunku maka jadikanlah tiap-tiap sehelai rambut itu cahaya bagiku dihari kiamat dan ampunkanlah dosaku, wahai Tuhan yang amat luas pengampunan amin. Segala puji-pujian tertentu bagi Allah yang telah menyempurnakan ibadat-ibadatku, kurniakanlah satu kebajikan dengan tiap-tiap sehelai rambutku. Hapuskanlah dengannya satu kejahatan, angkatkanlah daku dengannya darjat, ampunilah daku serta orang yang bercukur, bergunting dan sekalian orang-orang lslam.
Ya Allah Ya Tuhanku, tambahkanlah keimanan, keyakinan, berilah taufik dan pertolongan kepadaku dan ampunilah kami serta ibu bapa kami, isteri dan anak-anak kami, selawat dan salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w, keluarganya dan sahabat-sahabatnya sekalian, amin.


Sepanjang tawaf dan sai'e saya membaca zikir-zikir lazim yang telah saya susun untuk memudahkan saya mengingati bilangan pusingan tawaf atau sai'e. Buku panduan umrah yang dibekalkan oleh Andalusia tertinggal di dalam bas dan bas tersebut telah kembali semula ke Madinah.

Syukur Alhamdulillah, perkerjaan umrah telah selamat selesai dan saya berdoa agar Allah s.w.t. menerima umrah ini sebagai umrah yang maqbullah, amiin.
Pemandangan Kaabah Jika Kita Masuk Melalui Pintu King Abdul Aziz

Solat Sunat Tawaf Di Belakang Maqam Ibrahim

Solat Di Belakang Maqam Ibrahim Tidak Semestinya Betul-Betul 1 kaki Di Belakang Maqam Ibrahim. Di Sini Kelihatan Jemaah Solat Di Laluan Ke Dataran Kaabah Tetapi Masih Lagi Di Belakang Maqam Ibrahim.

Klip Video Tawaf Baitullah


Klip Video Sai'e

Bukit Safa -- Batu-Batu di situ telah dikepung
Jemaah Berpakaian Biasa Melakukan Sai'e  dari Safa Ke Marwah
Ini adalah perbuatan yang sia-sia sebab tidak ada sai'e sunat. Yang ada ialah sai'e rukun di mana para jemaah masih berpakaian ihram. Ibadah dalam agama mestilah dipandu oleh ilmu yang mantap agar ibadah tersebut sempurna dan diterima oleh Allah s.w.t.
Sumber Gambar: http://sinar-permata.blogspot.com/

Batu (Buatan) Di Bukit Marwah. Di sinilah, sekiranya telah cukup 7 pusingan jemaah akan bergunting atau bercukur untuk bertahallul.  Maka dengan itu selesailah pekerjaan umrahnya. Jika mahu melakukan umrah lagi, maka jemaah perlulah keluar ke Miqat seperti Tan'iem atau Ja'ranah, atau Hudaibiyah untuk berniat ihram.

Alhamdulillah, segala apa yang dipaparkan di sini semata-mata sebagai panduan kepada jemaah yang belum pernah melakukan umrah. Segala yang baik itu adalah datangnya dari Allah s.w.t., dan segala kecacatan dan kekurangan adalah dari saya insan yang lemah ini. Semoga paparan ini dan juga entri-entri sebelum ini dapat membantu anda semua melaksanakan umrah dengan sebaik-baiknya dan semoga umrah anda sekelian diterima oleh Allah s.w.t iaitu umrah yang maqbullah. Amin

9 comments:

  1. Assalamualaikum Tn. Hj,

    rasanya apa yang Tn. Hj catatkan mengenai panduan umrah bukanlah riya' tetapi adalah satu ilmu yang di kongsi sebagai panduan kepada bakal-bakal tetamu yang ingin mengunjungi rumah ALLAH...dan juga ulangkaji kepada yang telah berkunjung ke sana.....terima kasih

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah,

    Terima kasih pesona. Memang itulah tujuan saya, iaitu berkongsi pengalaman namun sebagai hamba-Nya yang dhaif, saya harus berhati-hati juga.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Tn Hj.,

    Semasa saya di Tanah Suci melakukan umrah baru-baru ini, saya juga perasan melihat ramai jemaah yang tidak ber-ihram melalui kawasan Saie.. teringat pesanan Tn Hj. yang tiada saie sunat.
    Bila saya perhatikan betul2 rupa2 nya ada beberapa pintu keluar dari kawasan saie (menghala ke Marwah). Rupa2nya jemaah2 yang tak berihram adalah sekadar melintas untuk keluar dari Haram. Cuma pemerhatian saya sahaja...

    ReplyDelete
  4. Salamun alaik,

    Saya cetak banyak atikel tuan tentang umrah ini... mohon di halalkan. Untuk panduan kami yg pertama kali nak jejak kaki kerumah Allah itu. Allah jua yang membalas kesudian tuan berkongsi ilmu ini. AllahuAkbar

    ReplyDelete
  5. Wa'alaikum salam.

    Silakan anonymous. Memang entri-entri umrah ini untuk dijadikan panduan kepada bakal-bakal jemaah yang akan menunaikan umrah buat kali pertama.

    Alhamdulillah dan terima kasih kerana tuan/puan sudi merujuk ke sini. Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan tuan/puan dan semoga mendapat umrah yang maqbullah. Amin

    ReplyDelete
  6. assalamualaikum tuan hj..
    insyaallah..sy akan mengerjakan umrah pd thn hdpn..
    selesai umrah nnti,sy ingin sekali melawat tanah perkuburan di mana almarhum ayah sy disemadikan sewaktu musim haji 2011 baru-baru ini.bolehkah kami melawat ke kwsn perkuburan di mekah itu tuan hj?

    ReplyDelete
  7. Wa'alaikum salam wbt
    Alhamdulillah, saya doakan agar Allah permudahkan dan tunaikan hasrat tuan untuk kesana dan semuga mendapat umrah yang maqbul.

    Tuan kena tahu nama tanah perkuburan yg menjadi tempat persemadian arwah ayah tuan dan juga nombor kubur tersebut. Jika di Ma'ala, biasanya lawatan dibuka jika ada mayat yang perlu disemadikan.

    Ada beberapa tanah perkuburan di sekitar Makkah. Elok dapatkan maklumat drpd Tabung Haji, dan minta bantuan drpd Hj Arshad blogger Kehidupan Makkah2 untuk bawa tuan ke sana.

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum WBT... tn. Hj mohon cetak... sangat menfaat pada sy yg pertama kali ke buat Umrah,,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam wbt.

      Silakan tuan, terima kasih dan alhamdulillah.

      Delete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.