Thursday, June 10, 2010

Umrah 2010: Umrah Kedua Bermiqat di Tan'iem

Assalamu'alaikum wm wbr.

Setiap Travel Agent yang mengendalikan pakej umrah mempunyai jadual aktiviti tersendiri yang diatur bagi para jemaah. Syarikat Andalusia memasukkan 2 umrah tambahan dalam pakej mereka iaitu bermiqat di Tan'iem dan Ji'ranah (Jaa'ranah). Mereka juga mengatur ziarah ke ladang unta, muzium sejarah kaabah, dan bermiqat di Hudaibiyah sebagai perkhidmatan tambahan dengan bayaran sebanyak SR20.00 seorang sebab aktiviti ini tidak termasuk dalam pakej. Untuk umrah-umrah selanjutnya jemaah boleh berunding dengan mutawwif (dikenakan bayaran SR10.00 untuk tambang dan khidmat mutawwif semasa tawaf dan sai'e).  Jika jemaah mempunyai keyakinan diri, mereka boleh melakukan umrah secara bersendirian atau berkumpulan tanpa khidmat mutawwif.

Dalam N3 ini saya hanya menyentuh secara ringkas umrah kedua kami iaitu bermiqat di Tan'iem pada 15 Mei 2010. Tani'em merupakan sempadan tanah halal yang paling dekat dengan Makkah iaitu lebih kurang 8 km dari Makkah di tepi jalan menuju Madinah. Di situ terdapat sebuah Masjid bagi memudahkan para jemaah melakukan solat sunat ihram dan juga untuk memasang niat ihram. Masjid Tan'iem juga dikenali sebagai Masjid Saidatina A'aisyah sebab Saidatina A'aisyah r.a. berniat ihram umrah di sini. Jadi Tan'iem merupakan tempat miqat yang  kedua afdhal untuk berniat ihram selepas Ji'ranah. Jemaah boleh ke sini dengan menaiki teksi (tambang sekitar SR40.00 satu teksi pergi balik atau SR10.00 seorang), atau dengan menaiki van (lebih kurang SR5.00 seorang pergi balik).

Selepas mandi sunat ihram dan memakai pakaian ihram di bilik, kami turun ke lobi hotel pada pukul 6.30 pagi. Alhamdulillah, walaupun agak lewat turun, tetapi kami masih dikira awal sebab bas dan mutawwif masih belum sampai. Bas sampai pada pukul 6.40 pagi dan kami berangkat ke Tan'iem melalui Jalan Ibrahim al-Khalil, Jalan Jabal al-Kaabah, dan Jalan Abu Lahab, dan akhirnya masuk ke Jalan Tan'iem. Di Jalan Abu Lahab ada sebuah bukit di mana di situlah Abu Lahab diasingkan oleh keluarganya setelah jatuh sakit selepas kekalahan puak Quraisy di Peperangan Badar, dan dia mati di situ. Di sepanjang Jalan Jabal Kaabah, kelihatan sisa-sisa rumah dan bangunan yang telah diruntuhkan. Batang-batang besi bertimbunan di sana sini. Bagus untuk buat business besi buruk.

Kami sampai di Masjid Tan'iem pukul 7.15 pagi. Kami berada di sini lebih kurang 30 minit sahaja untuk melakukan solat sunat tahiyyatul masjid dan juga solat sunat ihram. Kami memasang niat ihram di dalam bas semasa bas baru bertolak dari Tan'iem ke Makkah - iaitu masih di tanah halal lagi. Bertolak balik ke Makkah pada pukul 7.45pagi melalui jalan yang agak jauh iaitu Jalan Umm al-Qura. Sepanjang perjalanan pulang mutawwif memimpin kami untuk bertalbiah. Sampai di Makkah, kami diturunkan berhampiran dengan Hotel Darul Tauhid dan memasuki Masjidil Haram melalui pintu King Fahd untuk melakukan tawaf, sai'e, dan bergunting bagi menyempurnakan rukun umrah. Alhamdulillah, pekerjaan umrah kedua dapat diselesaikan lebih kurang jam 10.00 pagi.
      
Pemandangan Jalan Jabal Kaabah Menuju Tan'iem

Pembesaran Kawasan Masjidil Haram Masih Berjalan

Masjid Tan'iem Pada Waktu Dhuha 7:15am

Pandangan Dari Sisi Yang Lain

Jemaah Berjalan Ke Pintu Masuk Masjid

Solat Sunat Ihram

Jemaah Telah Selesai Solat Sunat Ihram Dan Memasang Niat

Selepas Solat Sunat Tawaf dan Solat Dhuha Pada Jam 9:10 pagi

6 comments:

  1. salam ukhuwah

    BHS suka datang sini...padat dan lengkap perjalanan Umrahnya...boleh dijadikan rujukan sepanjang zaman...tambah-tambah pergi umrah dengan Andalusia sama dengan BHS...lain kali nak cuba ikut Tuan Haji Arsha punya rombongan pula..Insha ALLAH....nak kena selidik lebih lebih sikit on the persendirian ....nanti BHS datang lagi

    terima kasih berkongsi ilmu...Alhamdulillah

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Tn Hj,

    Satu info yang baik kepada sesiapa yang ingin mengunjungi Rumah ALLAH dan ingin tahu adakah dikawasan Pintu Bukit Marwah yang sudah diruntuhkan sudah dibangunkan atau pun belum....

    ReplyDelete
  3. Salam BHS

    Syukran kerana sudi bertandang dan meninggalkan jejak kat sini.

    Hari tu sempat tanya Hj Arshad, dia kata kalau bilangan jemaah sedikit eg. 5 orang, dia caj RM2000 sorang utk ground handling - segala-galanya termasuk penginapan, makan minum, pengangkutan, mutawwif, dan urasan di Airport masa tiba dan pulang. Tiket dan urusan visa jemaah buat sendiri. Kalau jemaah ramai, maka caj ground handling kurang sedikit sbb yang mahalnya ialah kos pengangkutan (5 orang atau 10 orang, sewa van sama saja). Pendek kata, lagi ramai lagi murah. Tapi ada kelainanlah layanannya sbb bilangan jemaah sedikit - lebih dpt tumpuan.

    Jarak hotel ke MH sama dgn Abeer Garden. Apa-apa pun tanya Hj Arshad sendiri adalah lebih tepat jawapannya. :D

    ReplyDelete
  4. Salam pesona

    Kawasan tu masih belum dibangunkan lagi. Saya rasa mereka akan hanya mulakan pembangunan setelah semua bangunan dan bukit yang berkaitan telah diratakan utk lebih mudah buat kerja-kerja pembinaan. Hari tu sempat snap beberapa gambar dan video sekitar Hotel Sofitel dulu. Nanti saya buat klip video memaparkan keadaan sekitar Disember 2007 (just before the expansion started)dan keadaan sekarang Mei 2010.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum Tn Hj,

    Terima kasih......

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.