Assalamu'alaikum wbt. Mahraban Ya Ramadhan.
|
Iklan dari BankIslam |
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang telah memanjangkan umur kita sehingga membolehkan kita bertemu sekali lagi Ramadhan yang penuh barakah ini. Jom, marilah kita berlumba-lumba mencari ridha Ilahi.
Jika kita renung-renungkan, maka bolehlah kita simpulkan bahawa Ramadhan merupakan bulan latihan. Bulan di mana semua umat Islam dikehendaki berpuasa pada siang hari, dan pada malam-malamnya dianjurkan melakukan solat sunat tarawikh.
Dengan berpuasa, bermakna kita mengekang hawa nafsu. Kita menahan diri daripada makan, minum, merokok dan sebagainya. Juga dengan berpuasa, kita menahan diri daripada mengumpat, mengeji, mencerca, mencari kesalahan orang, melihat aurat wanita yang bukan ajnabi (sangat payah hendak dilakukan sebab orang perempuan sekarang ni suka buka aurat dikhalayak umum, di tempat kerja, di pasar-pasar dsb.), dan sebagainya.
Pada malam hari, kita lihat umat Islam berduyun-duyun datang ke masjid-masjid dan surau-surau untuk solat maghrib, solat isya' dan solat sunat tarawikh berjemaah. Selanjutnya selepas tarawikh mereka bertadarrus al-Quran. Pada waktu dini hari mereka bangun untuk melakukan solat tahajjud, dan solat-solat sunat yang lain.
Jadi ternyata, bulan Ramadhan telah dapat menggamit umat Islam meningkatkan amal ibadah untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Maka sewajarnyalah bulan Ramadhan ini digelar sebagai bulan latihan. Dan alangkah baiknya, segala latihan yang telah dilaksanakan pada bulan Ramadhan ini kita teruskan dalam bulan-bulan yang lain agar tahap ketaqwaan kita kepada Allah SWT sentiasa segar dan terus meningkat setiap hari.
Taqwa dan taat kepada Allah SWT, kita lakukan tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata sebagai untuk menyatakan rasa syukur kita kepada Allah SWT yang telah menganugerahkan berbagai-bagai nikmat kepada kita. Justeru pada bulan Ramadhan ini marilah kita berlomba-lomba mencari barakah, rahmah dan maghfirah Allah SWT.
Allah SWT telah berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (al-Baqarah 183)
Sekian, semoga kita bertemu lagi dalam entri-entri yang lain.
Wasalam.