Assalamu'alaikum wm wbr.
31 Dec 2010.
Hari ini saya travel ke utara menuju Negeri Perlis Indera Kayangan. Tujuan tidak lain tidak bukan ialah menghantar anak ke Institut Perguruan Perlis.
Sebaik usai solat Subuh dan sarapan pagi, iaitu jam 7:15pagi kami memulakan perjalanan menuju utara. Perjalanan dimulakan dengan solat safar dan membaca doa musafir dan doa menaiki kenderaan agar perjalanan ini selamat dan dilimpahi baroqah. Seperti yang dijangka, perjalanan kami ditemani oleh banyak kenderaan lain sebab hari ini ialah cuti umum sebab pasukan bolasepak Malaysia berjaya membawa pulang trofi piala Suzuki ke Kuala Lumpur. Kerajaan Malaysia memang terkenal dengan kemurahan hati memberi cuti atas sebab-sebab yang menggembirakan pihak atasan. Walau pun kenderaan bayak, namun perjalanan adalah lancar. Kereta Viva kami meluncur dengan tidak lajunya bersama-sama dengan kenderaan-kenderaan yang lain. Alhamdulillah jam 12.50pm kami telah sampai ke perhentian Alor Pongsu yang mana ini adalah perhentian kami yang ke tiga. Kami berhenti di sini untuk makan tengah hari sambil memenuhi keperluan hajat dan merehatkan si Viva.
Merenung kembali perjalanan ini, bila difikir-fikirkan tidak ubah seperti perjalanan hidup kita yang sementara di dunia ini. Allah SWT menempatkan kita di dunia ini sebagai tempat persinggahan sementara guna untuk mengumpul bekal yang secukupnya buat perjalanan yang jauh di akhirat.
Allah SWT menguji kita di dunia ini dengan kemewahan harta benda, anak-anak, keseronokan, kemiskinan, penderitaan, kehidupan dan kematian dan sebagainya bagi menguji siapakah di antara hamba-Nya yang paling baik amalannya (yang Paling bertaqwa).
Setelah berehat kira-kira satu jam, kami meneruskan semula perjalanan sebab kami perlu chek-in di hotel sebelum jam 6.00pm. Kami menjangkakan dengan kelajuan pacuan sekitar 100-110 km/jam, perjalanan dari Perhentian Alor Pongsu ke Kangar mengambil masa 2 jam 30 minit.
Dalam perjalanan ke Perlis ini, kita akan berjumpa dengan banyak persimpangan susur keluar. Jika tujuan asal kita ke Perlis, tetapi di pertengahan jalan kita melencong ke tempat lain maka sudah tentu kita tidak akan sampai ke destinasi sebenar. Begitu jugalah tamsilnya dengan perjalanan kita ke akhirat. Allah SWT telah menunjukkan jalan yang perlu kita patuhi bagi menjamin kita sampai ke kampung halaman datuk nenek kita Adam a.s. dan Hawa.
Kita perlulah mengikut jalan yang lurus. Allah berfirman Yasin ayat 60-61:
أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَابَنِي آدَمَ أَنْ لاَ تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ. وَأَنِ اعْبُدُونِي هٰذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ
Bermaksud:
"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu! Dan (Aku perintahkan): Hendaklah kamu menyembahku. Inilah jalan yang lurus."
Jika kita tersasar tidak mengikut panduan yang telah diberikan (al-Quran dan as-Sunnah) maka kita sebenarnya mengambil jalan yang membawa kita kepada kehancuran dan ke neraka (na'auzubillahi min zaalik).
Dalam perjalanan ini tidak boleh tidak kita akan sampai juga ke Plaza Tol. Di situ kita perlulah membayar caj tol mengikut jarak perjalanan yang telah kita lalui. Sama ada suka atau pun tidak, penggunaan lebuhraya PLUS tadi perlu dibayar. Begitu jugalah jika kita ingin mengambil tamsil akan tuntutan syariat ke atas harta milikan kita. Sama ada kita rela atau pun tidak, kita perlu membazar zakat ke atas harta milikan kita sekiranya telah cukup nasab dan haulnya. Harta milikan kita tadi sebenarnya adalah pinjaman dan amanah daripada Allah SWT. Kenapa pengguna jalan raya sanggup membayar tol tetapi culas membatar zakat?
Sekitar jam 4.00pm kami telah memasuki Negeri Perlis Indera Kayangan. Tidak jauh dari sempadan Kedah-Perlis kami mengambil jalan pintas melalui Kg. Tok Pulau, Hutan Ajil, dan akhirnya sampai ke Kangar jam 4:20pm. Bandar Kangar masih macam tu jagak, tidak banyak perubahan. Ada segelintir pemandu kereta dan motorsikal memandu tanpa mengira keselamatan orang lain - memotong macam "potong sayur". Nyaris-nyaris saya menyaksikan kemalangan apabila seorang pemandu wanita memotong dan memasuki semula laluan seperti bentuk L gamaknya - bukan lagi seperti potong sayur. Memang mengerikan.
Alhamdulillah, Viva kami menjejakkan rodanya di parkir Hotel Putera Palace jam 4:25pm dan sempatlah kami check-in sebelum jam 6.00pm. Terpandang sahaja anak-anak tangga di hadapan hotel, menyebabkan saya berhati-hati sebab saya pernah terjatuh dan terseliuh tangan kanan semasa kunjungan saya sebulan yang lalu. Benarlah peribahasa Melayu yang mengatakan "Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain."
Hotel Putera adalah dahulunya milik kerajaan Negeri Perlis. Tetapi sekarang ni pengurusan hotel diambil alih oleh Syarikat Prima Bumi Sdn. Bhd. Hotel ini bertaraf empat bintang dan terletak di Persiaran Jubli Emas iaitu di tengah-tengah bandar Kangar. Hotel ni kira yang terbaik di Perlis. Kedudukannya yang strategik memudahkan kita ke mana-mana di sekitar Kangar dalam masa lima minit sahaja. :)
Selepas solat jamak maghrib dan isya' kami mencari tempat makan dan kami landing di Restauran Ikan Bakar De Sena. Setelah membuat pesanan kami pun menunggu di meja no. 11. Jenuh menunggu, maka akhirnya pesanan untuk anak dan isteri sampai dahulu. 'Sabar' menunggu pesanan, setelah sekian lama menunggu akhirnya saya terdengar suara taukey yang jaga cashier minta pekerjanya membakar ikan yang saya pesan. Sabau ajerlah. Saya suruh isteri dan anak makan dulu sebab perut kami sudah lama berkeroncong. Selesai mereka makan kami terus bayar dan membatalkan pesanan saya tadi. Bolehkan taukey tu kata - "terlupa!" Dalam perjalanan ke tempat parkir kereta kami sempat menoleh ke tempat ikan bakar dan nampak pekerja tengah mengipas-ngipas ikan yang saya pesan tadi. Saya cakap dalam hati - "Korang makanlah sendiri ikan tu arr."
So kami melilau keliling Kangar mencari tempat makan yang lain. Ini betul-betul jalan-jalan cari makan punye! Tidak hendak lagi menunggu lama, akhirnya kami berhenti di Restauran Alif Nasi Kandar (mamak ler ni) dan order roti nan dan kepala ikan untuk alas perut. Alhamdulillah, itulah rezeki saya pada malam tersebut.