Assalamu'alaikum wbt
Setelah berada selama tiga hari di bumi bercahaya Madinah, maka tibalah masanya kami bertolak ke Makkah bagi melakukan ibadat umrah. Sebelum bertolak, kami sempat solat zohor (4 rakaat) berjemaah di Masjid Nabawi dan solat jamak Asar (2 rakaat). Selepas solat kami melakukan ziarah wida' kepada Rasulullah S.A.W. sambil berdoa kepada Allah S.W.T. agar kami dijemput lagi untuk menjadi tetamu Nabi-Nya pada masa-masa yang akan datang. Tanpa disedari air mata jatuh bercucuran. Dengan perasaan sedih dan sayu, kami melangkah perlahan balik ke hotel melalui belakang masjid menuju ke Babus Salam sambil mata sekali sekala memandang kubah hijau yang mana di bawahnya bersemadi Rasulullah S.A.W.
Setelah mandi, memakai pakaian ihram dan makan tengah hari, kami bertolak ke Makkah sekitar jam 2.00 ptg. Kami berhenti di Bir 'Ali untuk solat sunat ihram dan berniat umrah. Ketika saya menaiki bas, isteri saya memberitahu, salah seorang jemaah wanita rakan sebiliknya masih belum menaiki bas. Mereka terpisah di bilik air masjid. Sebelum masing-masing memasuki tandas, mereka telah berjanji untuk menunggu antara satu sama lain dan solat sunat ihram bersama-sama. Ketika isteri saya keluar daripada tandas dan setelah lama menunggu, ia dapati rakannya tidak muncul-muncul. Isteri saya mengetuk pintu tandas, tetapi yang keluar ialah jemaah daripada Indonesia. Ternyata rakannya telah keluar terlebih dahulu tanpa menunggu beliau seperti yang telah dijanjikan. Hendak dijadikan cerita, telefon bimbit rakan isteri tadi tertinggal dalam bas, jadi kami tidak dapat menghubungi beliau.
Risau dengan kehilangan tersebut, anak perempuan jemaah tadi (sebelum itu hanya tinggal dalam bas sebab datang haid) turun mencari ibunya. Saya dan isteri turut menemani anak beliau. Kami cari di sekitar dewan solat wanita, tandas dan kawasan sekitar. Sambil mencari, kami tidak putus-putus beristighfar dan berdoa agar Allah permudahkan perjalanan umrah kami. Setelah puas mencari akhirnya kami mendapat panggilan daripada mutawif yang mengatakan bahawa jemaah yang hilang tadi telah dijumpai dalam bas jemaah umrah yang diparkir di tempat lain.
Sebagai rekod, kawasan Masjid Bir 'Ali agak luas. Bilangan jemaah yang mengikuti Travel Agent (TA) Andalusia pada kali ini agak ramai. TA terpaksa menggunakan empat buah bas. Dua buah bas membawa jemaah yang akan tinggal di Hotel Hijazz, di Makkah. Jemaah ini disertai oleh Tuan Guru Ustaz Haron Din. Dua buah bas lagi membawa jemaah yang akan tinggal di Hotel Abeer Garden. Kami menaiki bas bagi kumpulan ke Abeer Garden. Jemaah yang hilang tadi, setelah kehilangan punca, telah mengikuti kumpulan yang akan ke Hotel Hijazz yang mana bas mereka di parkir di sisi lain Masjid Bir 'Ali.
Pengajaran daripada kejadian ini ialah para jemaah perlu berpegang kepada janji. Di samping itu, sentiasalah membawa telefon bimbit dan pastikan baterinya fully charged supaya mudah dihubungi jika berlaku kejadian tersesat seperti ini dan sebagainya. Para jemaah perlulah sentiasa beristighfar dan buangkan sifat sombong dan bangga diri. Janganlah ada sedetik dalam hati meremehkan sesuatu perkara dan mengatakan "Ah mudah saja. Kalau begini, begini, aku boleh ..."
Selanjutnya sebelum kami meneruskan perjalanan ke Makkah, mutawif membimbing kami untuk melafazkan niat ihram umrah. Juga tidak ketinggalan mutawif membimbing jemaah wanita yang keuzuran untuk melafazkan niat ihram bersyarat. Di sepanjang perjalanan kami bertalbiah dan mutawaif turut memberikan tazkirah tentang hakikat berihram dan perlunya mengikhlaskan ibadat semata-mata kerana Allah S.W.T. Dua jam sebelum sampai ke Makkah, kami singgah di sebuah R&R di Wadi Quday untuk qada' hajat, solat maghrib dan makan malam. Saya dan isteri tidak solat di sini sebab hendak solat (jamak takhir maghrib dan isya') di Masjidil Haram. Alhamdulillah, kami sampai di Makkah pada jam 10.35 malam. Setelah meletakkan bag dan berihat sebentar saya, isteri, dan kakak memasuki Masjidil Haram untuk solat Isya' dan Maghrib (jama' takhir) dan melakukan umrah pertama. Besan kakak saya tidak turut serta sebab beliau keuzuran (datang haid) walaupun di Malaysia -- maaf cakap -- beliau telah menopause.
Setelah selesai tawaf 7 pusingan kami malakukan saie antara bukir Safa dan Marwah. Pada umrah kali ini kami melakukan saie di bahagian basement sebab tidak ramai jemaah bersaie di situ. Tetapi saie di kawasan basement (bawah tanah) lantainya tersangatlah sejuk sebab orang tak ramai. Jadi tapak kaki rasa milu dan tidak selesa. Namun saya kuatkan semangat dan alhamdulillah, kami telah dapat menyelesaikan pekerjaan umrah pada jam 2.15 pagi.
 |
| Menunggu masuk waktu zohor |
 |
| Muazzin sedang melaungkan azan |
 |
| Kawasan berhampiran Babus Salam selepas solat zohor |
 |
| Kawasan di belakang masjid. Mata masih tertumpu kepada kubah hijau sambil berselawat. |
 |
| Bag-bag jemaah telah dibawa turun dan sedang dikumpulkan oleh pekerja |
 |
Sampai di Bir Ali jam 2.37 ptg waktu tempatan.
Jemaah diingatkan supaya mengingati nombor bas dan pintu masuk masjid supaya tidak tersesat |
 |
| Berhenti di R&R Wadi Quday jam 7:26 mlm waktu tempatan |
 |
| Makan nasi arab lauk ayam panggang dan ikan |
 |
| Memasuki Makkah berhampiran Masjid Jin |
 |
| Jemaah keletihan |
 |
| Sampai di Makkah - Kawasan Misfalah |
Kami saie di kawasan basement

 |
| Berdoa Bukit Marwah selepas tamat saie 7 pusingan. |
 |
| Seorang jemaah sedang bergunting rambut selepas selesai saie |
 |
| Sekumpulan jemaah lelaki berdoa di bukit Marwah setelah selesai saie. |
 |
| On the way to Hotel Abeer Garden |