Tuesday, May 4, 2010

Kisah Mengucup Hajar Aswad Kena Bayar SR400/=

Assalamu'alaikum wm wbr.

Ramai orang berkeinginan untuk mengucup hajar aswad (batu hitam) apabila berada di Masjidil Haram yang mana ia merupakan salah satu permata dari syurga. Pada asalnya hajar aswad bewarna putih, tetapi oleh kerana dosa-dosa bani Adam yang mengucupnya maka warnanya bertukar menjadi hitam.

Tidak puas rasanya kalau tidak dapat mengucup hajar aswad.  Namun, oleh kerana semua orang cuba untuk mengucupnya, maka keadaan di situ sungguh padat dan bersesak-sesak dan berebut-rebut.  Entri kali ini ialah kisah berkenaan dengan sepupu saya (gambar di bawah) yang cuba mengucup hajar aswad.

Tatkala dia dan isterinya sedang duduk di Masjidil Haram sambil berzikir dan berdoa, dia telah dihampiri oleh seorang pemuda Indonesia.  Pemuda tersebut bertanyakan sama ada sepupu saya sudah dapat mengucup hajar aswad atau belum.  Setelah diberitahu beliau belum lagi dapat mengucup hajar aswad, pemuda tersebut menyatakan kesudiannya untuk membantu sepupu saya mengucup hajar aswad. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, tanpa berfikir panjang sepupu saya telah bersetuju untuk menerima 'pertolongan' tersebut.  Lantas pemuda tersebut memimpin tangan sepupu saya menuju ke arah hajar aswad. Maka muncullah 3 atau 4 orang lagi pemuda Indonesia membuat barricade serta merempuh, membuka lorong dan menghadang jemaah-jemmah lain bagi memudahkan sepupu saya dan isterinya mengucup hajar aswad.

Setelah usai mengucup hajar aswad, pemuda tersebut telah meminta upah sebanyak SR400/= daripada sepupu saya. Alangkah terkejutnya dia, sebab pada sangkaannya pemuda tersebut benar-benar ikhlas mahu menolongnya.  Mahu tidak mahu terpaksalah sepupu saya menghulurkan SR400/= kepada pemuda tersebut.  Namun tercapai jugalah hasrat sepupu saya suami isteri untuk mengucup hajar aswad.


Sepupu saya
Keadaan Bersesak-Sesak Untuk Mengucup Hajar Aswad

Panduan Umrah – 31– Doa Memasuki Kota Makkah

Assalamu'alaikum wm wbr.

Ketika kenderaan yang membawa para jamaah menghampiri kota Makkah (setelah kelihatan rumah-rumah penduduk Makkah) maka disunatkan membaca doa memasuki kota Makkah. Doa ini juga hendaknya dibaca setiap kali kita balik daripada tempat Miqat, sama ada di Tan'iem, Ji'ranah, atau Hudaibiyah. Inilah doanya:



اللَّهُمَّ إِنَّ هَذَا الْحَرَمَ حَرَمُكَ ، وَالْبَلَدَ بَلَدُكَ ، وَاْلأَمْنَ أَمَنُكَ ، وَالْعَبْدَ عَبْدُكَ ، جِئْتُكَ مِنْ بِلاَدٍ بَعِيْدَةٍ بِذُنُوْبٍ کَثِيْرَةٍ ، وَأَعْمَالٍ سَيِّئَةٍ ، أَسْأَلُكَ مَسْأَلَةَ الْمُضْطَرِيْنَ إِلَيْكَ ، الْمُشْفِقِيْنَ مِنْ عَذَابِكَ ، أَنْ تَسْتَقْبِلَنِيْ بِمَحْضِ عَفْوِكَ وَأَنْ تُدْخِلَنِيْ فَسِيْحَ جَنَّتِكَ ، جَنَّةِ النَّعِيْمِ .

اللَّهُمَّ إِنَّ هَذَا حَرَمُكَ وَحَرَمُ رَسُوْلِكَ ، فَحَرِّمْ لَحْمِيْ وَدَمِي وَعظْمِيْ عَلَى النَّارِ .

اللَّهُمَّ آمِنِّي مِنْ عَذَابِكَ يَوْمَ تَبْعَثُ عِبَادَكَ أَسْأَلُكَ بِأَنَّكَ أَنْتَ اللهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيْمُ ، أَنْ تُصَلِّىَ وَتُسَلِّمَ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِهِ تَسْلِيْمًا کَثِيْرًا أَبَدًا

Maksudnya ;
Ya Allah sesungguhnya Tanah Haram ini, negeri ini, ketenteraman yang ada di dalamnya dan hamba yang ada padanya semuanya kepunyaan-Mu.  Hamba-Mu ini telah datang menyahut panggilan-Mu dari negeri yang jauh dengan membawa dosa yang banyak dan amalan-amalan yang buruk. Daku pohonkan kepada-Mu sebagai permohonan orang yang sangat berhajat kepada-Mu dan takut kepada azab-Mu supaya Engkau terima daku dengan limpahan kemaafan-Mu dan masukkanlah daku ke dalam kawasan syurga-Mu, Jannatun Naim,

Ya Allah sesungguhnya ini adalah Tanah Haram-Mu maka haramkanlah dagingku, darahku dan tulangku dari api neraka .

Ya Allah amankan daku dari azab Engkau di hari Engkau membangkitkan hamba Engkau. Aku memohon dengan Engkau kerana Engkaulah Allah yang tiada tuhan melainkan Engkau Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, kerana Engkau berselawat dan mengucapkan selamat sejahtera ke atas junjungan besar kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda sebanyak-banyak, selama-lamanya.

Panduan Umrah – 30 – Tempat Mustajab Berdoa di Masjidil Haram

Assalamu'alaikum wm wbr.

Agak lama saya tidak update entri di sini, almaklum sekarang sangat sibuk sebab peperiksaan akhir semester sedang berlangsung. Namun hari ini saya cari kesempatan untuk menulis suatu entri yang tidak kurang penting bagi para jemaah di Masjidil Haram iaitu tempat-tempat yang mustajab untuk berdoa.

Alhamdulillah, apabila kita berkesempatan berada di Masjidil Haram, sama ada untuk melaksanakan umrah ataupun haji, maka hati memang sangat-sangat teringin untuk menadah tangan berdoa kepada Allah s.w.t. Tuhan Yang Maha Pemurah.  Semasa di kampung halaman, kita berdoa di masjid, di surau atau di rumah, mengangkat tangan menghadap kiblat memohon rahmat dan kurnia Ilahi.  Kini semasa di Masjidil Haram, kita berada di hadapan kaabah. MasyaAllah, alangkah beruntungnya tetamu Allah yang berada sangat hampir dengan kaabah sebab di sana terdapat beberapa tempat yang dikatakan mustajab untuk berdoa.

Antara tempat-tempat yang mustajab untuk berdoa di Masjidil Haram ialah:

1. Di Multazam iaitu suatu kawasan antara Hajar Aswad dengan pintu kaabah seperti yang ditunjukkan oleh anak panah dalam gambar di bawah (di tempat polis berdiri).


Masa yang mustajab untuk berdoa ialah setelah pertengahan malam hingga azan Subuh. Di Masjidil Haram azan dikumandangkan sebanyak dua kali. Kali pertama untuk membangunkan penduduk untuk solat malam. Azan kali kedua ialah menandakan masuk waktu subuh. Maka rebutlah peluang untuk berdoa di Multazam pada saat ini. Apakah doa yang paling baik untuk dipohon di sini? Kata Tok Guru saya, pohonlah kepada Allah perlindungan daripada api neraka.

Cara berdoa: Letakkan kedua-dua tapak tangan, pipi kanan, dan dada kiri ke dinding kaabah. Kemudian berdoa.

2. Di belakang Maqam Ibrahim. Waktu mustajab ialah antara azan Subuh dengan solat Subuh. Di sini disarankan kita berdoa untuk mendapat kebahagian keluarga dan untuk kesembuhan penyakit.



3.  Di Belakang Telaga Zam-Zam iaitu kira-kira 7.5 meter kekiri dari 8 saf di belakang maqam Ibrahim. Sehingga pertengahan tahun 90an para jemaah boleh memasuki kawasan telaga zam-zam ini dengan menuruni tangga yang berasingan untuk lelaki dan wanita.  Sekarang ini pintu masuk ke kawasan telaga zam-zam telah ditutup untuk meluaskan lagi ruang tawaf / solat.  Namun kawasan telaga sekarang ini ditandai dengan sekeping marmar 4 segi selebar 1/2 meter dan berbingkai besi bewarna timah.


Masa berdoa di sini ialah pada bila-bila masa sahaja. Usahakan berdoa di sini pada waktu jemaah kurang sesak (agak lapang) iaitu di sekitar jam 10.00 pagi atau 2.00 petang. Di sini disarankan kita berdoa agar Allah s.w.t. melimpahkan ilmu kepada kita. Agar kita mudah menerima ilmu yang bermanfaat. Adalah sangat elok jika sebelum berdoa kita minum air zam-zam dan selepas itu berdoa seperti yang dilakukan oleh Ibnu Abbas.

Daripada 'Ikramah meriwayatkan, bahawa adalah lbnu Abbas Radhiallahu Anhuma apabila minum air Zamzam beliau berdoa (ertinya) : "Ya Allah ya Tuhanku! Aku bermohon kepadaMu supaya dikurniakan ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan daripada segala penyakit." (Diriwayatkan oleh ad-Dara Qutni dan lbnu Majah).

4.  Di Hijir Ismail dan di bawah pancuran emas. Waktu mustajab berdoa ialah di antara selepas Asar dan azan Maghrib. Di sini elok berdoa untuk mendapat kemurahan rezeki di samping kita bersifat qonaah iaitu rasa cukup ke atas rezeki yang Allah kurniakan. Juga di sini sangat elok berdoa untuk mendapat zuriat.


5.  2 meter sebelum rukun Yamani – bertentangan dengan multazam dipanggil Mustajaru ajair. Di sini juga mustajab untuk berdoa. Di sini kita boleh berdoa pada bila-bila masa. Antara doa yang baik di sini ialah agar orang yang berhutang kepada kita membayar hutang.

Kaedah berdoa di sini ialah dengan meletakkan tapak tangan kanan di dinding kaabah dan berdoa.


 6. Di Rukun Yamani sebab dikatakan di sini Allah s.w.t. mewakilkan seramai 70 orang malaikat untuk mengaminkan apa yang kita doa.  Jadi arah rukun Yamani adalah antara tempat yang paling mulia di Masjidil Haram.

7.  Di hadapan pintu kaabah pada bila-bila masa.

8.  Tempat sujud Jibrail dan Nabi s.a.w. ketika Jibril mengajar Nabi solat lima waktu. Satu meter ke kanan dari pintu kaabah. Tempat ini ditandai dengan ceramik bewarna coklat pada syazarwan sebanyak 7 keping.

Ceramik Warna Coklat Di Syazarwan
Tempat Jibrail Mengajar Nabi SAW Solat Selepas Peristiwa Isra' dan Mi'raj
- Wallahuaklam

9. Tempat asal makam Irahim (melekat ke dinding kaabah)- 3 meter dari  tempat sujud Jibril, ditandai dengan marmar bewarna cream di syazarwan. Di atas marmar tersebut terdapat tulisan ayat kursi versi tulisan arab lama (tidak ada titik).

 Alhamdulillah, semoga entri ini dapat memberi manfaat kepada para jemaah. Segala yang baik itu datangnya dari Allah, dan segala salah dan silap itu adalah kelemahan saya sendiri. Adalah diharapkan agar para pembaca dapat membetulkan mana-mana fakta yang tidak tepat dalam entri ini. Maklumat entri ini saya kutip dari ceramah kursus umrah anjuran Andalusia Cawangan Melaka.



Bagaimana pula Tempat-Tempat Mustajab Doa Di Masjid Nabawi? Sila klik DI SINI.