Showing posts with label Rindu Kaabah. Show all posts
Showing posts with label Rindu Kaabah. Show all posts

Saturday, January 16, 2010

Rindu Kaabah

Assalumu'alaikum wm. wbr.

Alhamdulillah, saya baru saja berjaya upload klip video terbaru saya iaitu Tawaf Haji 2007. Klip ini memaparkan suasana tawaf yang padat dan penuh sesak di dataran kaabah selepas solat subuh dalam minggu terakhir bulan disember 2007. Video ini diambil dari atas bumbung masjidil haram. Kepada para pengunjung yang ingin melihat klip video tersebut sila klik Tawaf Haji 2007

Sejak akhir-akhir ni saya sangat rindu dengan kaa'bah lebih-lebih lagi apabila mengikuti blog sdr Manzlie PDKM (Pengalaman Di Kota Makkah) yang memaparkan dengan terperinci perkembangan terkini suasana di kota suci Makkah dan perjalanan haji beliau bagi tahun 2008 dan 2009.

Alhamdulillah, pada tahun 2007 saya dan isteri telah diberi kesempatan oleh Allah swt untuk menunaikan fardhu haji dan telah mengambil beberapa gambar dan video suasana di dalam dan di sekitar masjidil haram. Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana sempat membuat rakaman video tersebut kerana pada tahun 2008 kerajaan Arab Saudi telah memperluaskan kawasan masjidil haram. Kedai, kompleks perniagaan, dan beberapa hotel di sekeliling masjidil haram telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembesaran al-Haram. Jadi tempat-tempat yang pernah kami kunjungi atau lalui telah pun lenyap daripada pandangan.

Jadi untuk mengenang kembali perjalanan haji kami pada tahun 2007, maka saya cuba membuat klip-klip video untuk dijadikan bahan kenang-kenangan. Mudah-mudahan ia dapat memberi motivasi kepada anak-anak, saudara-mara, rakan-rakan dan juga kepada ummat Islam seluruh dunia.

Untuk menghasilkan klip video yang bagus, maka perlu kepada gambar-gambar yang terkini dan bersesuaian dengan jalan cerita. Saya bercadang menggunakan gambar-gambar yang terdapat dalam blog PDKM. Alhamdulillah, sebentar tadi saya telah mendapatkan keizinan daripada pemilik blog PDKM iaitu sdr manzlie. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada beliau. Semoga Allah sentiasa melimpahkan Rahmat-Nya kepada beliau di atas jasa baik yang tidak dapat saya balas sehingga ke akhir hayat. Jazakallahu khaira ya akhie.