Monday, September 10, 2012

Permata Yang Diabaikan - Istighfar dan Taubat


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه



Kita sering resah gelisah dan berkeluh kesah. Kita sering rasa kesempitan hidup. Kita sering ditimpa sakit dan penyakit. Kita sering mengalami berbagai-bagai masalah - difitnah, ditindas, dianiaya dan sebagainya. Justeru itu hati berasa sedih, kecewa, hampa, marah, dan bingung memikirkan tentang kemelut yang menimpa diri. Manakan tidaknya? Masalah datang silih berganti, bertimpa-timpa seolah-olah tidak ada jalan keluar. Apakah Allah SWT telah berlaku tidak adil kepada kita? Apakah Allah SWT membiarkan kita terkapai-kapai berseorangan mengharungi dunia yang penuh dengan pancaroba ini?

Jadi tuan-tuan dan puan-puan para pembaca yang budiman, pada entri kali ini sukacita saya mengajak tuan-tuan dan puan-puan untuk memperhatikan ayat 10-12 surah Nuh dan juga ayat 3 surah Hud, serta sebuah hadis Nabi seperti yang tertera di bawah ini.

Al-Quran: Nuh 10-12
.فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا. يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارً
.وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا

"Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu. Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak. Dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). 

Al-Quran Hud: 4
وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُمْ مَتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ وَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ

"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya)"

Menurut al-Qurthubi, dalam mentafsirkan ayat 4 surah Hud di atas, beliau berkata: 
"Inilah buah hasil istighfar dan taubat, iaitu Allah memberi kenikmatan kepada kamu dengan manfaat-manfaat berupa rezeki yang banyak dan hidup yang sejahtera, serta DIA tidak akan mengazab kamu sebagaimana yang dilakukan-Nya ke atas orang-orang sebelum kamu."

Hadis: 


 عن عبد الله بن عباس رضي الله عنهما قَال : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ( مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا ، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا ، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ) رواه أبو داود (1518) وابن ماجه (3819) ، وأحمد في "المسند" (1/248) ، والطبراني في "المعجم الأوسط" (6/240)، والبيهقي في "السنن الكبرى" (3/351) ، وغيرهم

"Daripada Ibnu Abbas Radiallahu anhuma, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang melazimkan beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan, dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya." (Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan lain-lain)."


Daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis yang dinyatakan di atas (dan banyak lagi ayat al-Quran dan hadis yang berkaitan), maka dapatlah disimpulkan bahawa:

1.
Manusia itu sering membuat kesalahan dan melakukan dosa terhadap Tuhannya. Oleh itu mereka perlu beristighfar dan bertaubat supaya mendapat keampunan daripada Allah SWT.

2.
Seseorang manusia yang lazim beristighfar dan bertaubat akan berada dalam keredhaan Allah SWT dan akan memperoleh kemakmuran hidup di dunia dan keselamatan di akhirat.

3.
Pada peringkat masyarakat pula, istighfar adalah faktor penawar daripada kemurkaan Allah. Dengan beristighfar dan bertaubat, kedua-duanya akan menjadi faktor pembawa kemakmuran dalam kehidupan manusia. 

Jadi tuan-tuan dan puan-puan, itulah rahsia kesejahteraan hidup yang sering diabaikan oleh kebanyakan manusia. Rahsia ini tidak diketahui kecuali oleh hamba yang mempunyai hati yang bercahaya! Oleh yang demikian, besergeralah kita menjaga permata yang sangat berharga ini yang menjadi penawar kepada duka dan ubat kepada sengasara.

استغفر الله العظيم الذي لا إله إلا هو الحي القيوم وأتوب إليه

No comments:

Post a Comment

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.