Saturday, April 14, 2012

Umrah 2011: Tazkirah Mutawif Dalam Perjalanan Ke Makkah

Assalamu'alaikum wbt.

Elok rasanya saya muatkan tazkiraf yang disampaikan oleh mutawif yang mengiringi kami semasa dalam perjalanan daripada Madinah ke Makkah pada 5 Mei 2011 yang lepas. Semoga tazkirah ini memberi keinsafan kepada kita akan tujuan sebenar kita melakukan umrah di Makkah. Semoga kita insaf bahawa kita ini kosong semata-mata, tidak mempunyai apa-apa kelebihan, sebab keagongan dan kesombongan itu adalah milik Allah S.W.T.

Inilah tazkirah yang saya maksudkan. Wasalam.


Kita ini adalah hamba Allah yang hina. Kita bukanlah siapa-siapa. Kita ini hanyalah manusia yang dicipta oleh Allah untuk mengabdi kepada-Nya. Kita selalu berbuat dosa. Oleh itu kita datang ke Makkah untuk memohon ampun kepada Allah SWT. Dhuyuf ar-Rahman, mengapa kita dikatakan manusia yang hina? Cuba kita perhatikan, kita ini manusia yang kotor. Dari hujung kepala sampai ke hujung kaki pasti ada kotoran. Dari rambut kita, mata kita ada kotoran, telinga, hidung, mulut, semua sampai ke bawah kita pasti ada kotoran. Jadi kita ini bukan siapa-siapa. Kita ini hanyalah manusia hina. Tidak ada apa yang perlu kita sombongkan di dunia ini. Kalau kita ada pangkat di negara kita, kita tinggalkan dahulu sebab  kita hendak menghadap Raja Segala Raja. Bukan sekadar raja biasa, tetapi Raja Segala Raja. Kita hambakan diri kita kepada Allah SWT.

ضيوف الرحمن Nota penulis: Dhuyuf ar-Rahman   - bermaksud 'tetamu ar-Rahman' - 'guests of the Compassionate'.

Dhuyuf ar-Rahman, ulama kita ada yang berpendapat bahawasanya berihram ini sama seperti menghadapi kematian. Cuba kita tenguk, orang yang meninggal itu selepas dia meninggal, dia akan dimandikan. Sama seperti orang yang berihram. Kita sebelum ihram mandi sunat ihram di hotel. Orang yang meninggal itu selepas dia dimandikan, dia dikafankan. Ibaratnya juga kita selepas solat sunat ihram, kita memakai ihram. Manusia yang telah meninggal tadi selamat dikafankan, akan disolatkan. Begitulah ibaratnya orang yang berihram. Kita tadi telah solat sunat Ihram di Bir Ali. Selepas mayat dimandikan, dikafankan dan disolatkan, ia dibawa atau diusung ke kubur dengan keranda. Begitulah pula bagi orang yang telah solat sunat ihram, ia dibawa ke Makkah dengan kenderaan – bas. Kita anggaplah dalam keranda dalam bas ini. Jika mayat dalam keranda tadi dibawa ke kubur, maka jemaah umrah dibawa dengan bas ke kota Makkah al-Mukarramah. Bagi mayat tadi, apabila di dalam kubur dia akan menerima pembalasan sama ada baik atau sebaliknya iaitu bergantung kepada amalan-amalannya di dunia ini. Begitu juga dengan para jemaah umrah. Kata para ulama, jemaah yang datang ke Makkah maka ia akan mendapati apa-apa yang biasa dilakukan ditempatnya. 


Kita datang ke Makkah adalah untuk memohon ampun kepada Allah SWT atas kesilapan kita selama ini, atas dosa-dosa kita selama ini. Datang ke Makkah kita pasrah kepada Allah SWT. Kita rendahkan hati kita, kita hinakan hati kita, kita hinakan diri kita di hadapan Allah SWT. Jangan pernah berniat sahaja untuk membuat maksiat di kota Makkah, ataupun berbuat jahat, ataupun berbuat tidak baik di kota Makkah al-Mukarramah kerana Allah SWT berfirman: Barang sesiapa yang ingin berniat berbuat jahat di kota Makkah atau Madinah, maka sesungguhnya kami akan mengadakan azab yang pedih kepadanya.


Dhuyf ar-Rahman, jadi kami ingatkan di Makkah kita jaga hati kita, jaga tingkah laku kita, sama sahaja seperti di Madinah. Kita beristighfarlah banyak-banyak kepada Allah SWT. Dhuyuf ar-Rahman, itulah sekilas tentang ihram. Jadi maknanya jangan kita bawa kesombongan, ketinggian pangkat kita di Malaysia. Kita ini menghadap Raja Segala Raja. Intipatinya, kita jaga hati kita, tingkah laku kita. Banyak-banyak beristighfar kepada Allah SWT, banyak-banyak merendahkan diri di hadapan Allah SWT. Kita ini datang dari negeri yang jauh, Malaysia, datang ke Makkah untuk mengharap keampunan daripada Allah SWT dosa-dosa kita. Kerana kita ini sebagai manusia selalu berbuat dosa.

4 comments:

  1. Assalamualaikum, Tiap2 tahun pergi umrah ke Hj Saad?

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikum salam wbt mansor

    Allahu Allah. Macam mana nak jawab ni. Alhamdulillah ..., Allah Maha Berkehendak, ya tuan.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum. Saya dan keluarga akan berangkat pada 30 Mei ini, InsyaAllah. 2 minggu lepas abah saya diserang stroke (sblh kanan kaki & tgn ). Saya hanya mampu berdoa Allah permudahkan urusan kami di sana dan abah dapat pulih sebelum kami berangkat. Apa pandangan ustaz. Ada tak kemudahan yg blh kami dapati utk abah saya (kena bayar pun takpe) asalkan saya boleh bawa abah ke sana.

    ReplyDelete
  4. saya doakan abah tuan anonymous segera sembuh dan dapat ke sana. Amin.

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.