Monday, January 31, 2011

Banjir, Banjir Kilat Lagi!

Assalamu'alaikum wm wbr.


Gambar Banjir Tahun 2008

Pagi ini cuaca di Melaka masih hujan renyai-renyai. Sudah dua hari kami di Melaka mengalami hujan renyai-renyai sepanjang hari. Beberapa kawasan perumahan di Alor Gajah telah dinaiki air, terutama di Taman Seri Bayu 2 yang mana air naik jam 3.00 pagi tadi iaitu semasa penghuninya sedang dibuai mimpi. Ini bukanlah kali pertama Taman Seri Bayu dinaiki air, saya rasa hampir mencapai angka 10, tetapi amat heran dan pelik tidak ada usaha yang konkrit daripada pihak berwajib untuk mengatasi masalah tersebut.

Saya pernah tinggal di Taman Seri Bayu 2 pada tahun 1998-2002 dan pernah mengalami peristiwa air naik hampir memasuki ruang tamu. Setelah itu setiap kali hujan lebat hati sentiasa risau takut air akan naik lagi. Akhirnya kami ambil keputusan untuk pindah rumah ke Taman Dimensi, alhamdulillah.

Tidak ada gambar banjir tersebut dalam entri ini sebab saya tidak dapat ke tempat kejadian - masih sakit gout.

Sunday, January 30, 2011

Sudah Bersediakah Saya?

Assalamu'alaikum wm wbr.


Dalam menjalani ujian mengharungi kesakitan akibat gout, tetiba saya terbaca kata-kata Hassan al-Basri:

"Wahai manusia! Berbekallah kalian untuk berangkat kerana dunia kalian yang tersisa hanyalah sedikit. Bersiaplah kalian dengan barang-barang yang diperlukan pada jalan yang akan diteruskan kerana tidak ada jalan bagi kalian untuk terus menetap di sini (di dunia ini)." 

Dalam usia menjangkau 57 tahun ini, sudah tentu hati berdetak apabila membaca peringatan di atas. Lebih-lebih lagi mengingatkan betapa banyak dosa yang telah saya lakukan dan betapa sedikit amalan yang hendak dipersembahkan kepada Allah SWT, entahkan diterima entahkan tidak. Sungguh ngeri, pilu dan insaf. Sungguh dhaif dan kerdilnya daku. Hanya Rahmat-Mu yang dapat menyelamatkan daku wahai Allah.

Saturday, January 29, 2011

Si Pemerah Susu Kambing

Assalamu'alaikum wm wbr.


Rumah Abu Bakar As-Siddiq r.a. dahulunya terletak di belakang bangunan ini




Suka saya berkongsi kisah bagaimana Khalifah Islam yang pertama iaitu Abu Bakar As-Siddiq r.a. memulakan rutian hariannya setiap pagi iaitu dengan mengunjungi dan berkhidmat kepada seorang perempuan tua yang miskin, buta, dan sangat dhaif. Semoga kisah-kisah sebegini dapat kita contohi jika berkesempatan, InsyaAllah.

----------

Dikisahkan oleh Ibnul Qyyim al-Jauziyah bahawa semasa Abu Bakar ra. menjabat jawatan khalifah, beliau selalu mendatangi salah seorang warganya di luar kota Madinah. Orang itu ialah seorang perempuan tua miskin, janda dan buta. Abu Bakar menyapu rumahnya, memasak makanan untuknya dan memerahkan susu kambingnya.

Suatu hari Umar bin Khattab ra. mengikutinya dari belakang. Setelah Abu Bakar beredar dari rumah perempuan tersebut, Umar masuk dan bertanya, “Siapakah engkau?” Perempuan itu menjawab, “Aku hanyalah wanita tua yang malang dan menderita. Suamiku telah lama meninggal dunia dan tiada yang menghidupi saya setelah Allah kecuali orang yang baru keluar tadi.” Umar bertanya lagi, “Kamu mengenalnya?” Perempuan itu menjawab, “Tidak. Demi Allah aku tidak mengenalnya.” "Lalu apa yang dia lakukan?”, Umar bertanya lagi. “Menyapu rumah, menolong memerahkan susu kambing dan membuatkan makanan.”, jawab si perempuan tua itu. Mendengar itu Umar pun terduduk dan menangis. (dikutip dari Aidh al-Qarni, If We Die : Saat Maut Menjemput [Wa Jaa’at Sakaratul Maut bil Haqq], hlm. 18-19).

Semoga Allah SWT melimpahkan kesejahteraan kepada Abu Bakar. Semoga Allah SWT mempertemukan orang-orang mukmin dengannya di syurga nanti. Amin.