Sunday, March 13, 2011

Tsunami Di Sendai, Jepun, March 11, 2011

Assalamu'alaikum wm w r.

Pada petang Jumaat, 11 Mac 2011 Jepun dilanda gempa bumi yang sangat kuat berskala 8.8 Ritcher, diiukuti dengan tsunami setinggi 30 kaki. Berikutan dengan itu dua buah reaktor nuklear rosak dan mungkin mengeluarkan radiasi yang mengancam penduduk dan hidupan liar.

Subhanallah! Dunia sudah tua dan semakin hampir ke penghujungnya. Semoga kejadian-kejadian sebegini memberi keinsafan ke atas diri ini.

Berikut ialah klip video yang menunjukkan kejadian tsunami tersebut.

Wednesday, March 9, 2011

Mengimbau Suasana Hijrah Street, Berhampiran Masjidil Haram, Makkah Selepas Solat Zohor

Assalamu'alaikum wm wbr.


Bagi sesiapa yang pernah menunaikan umrah dan tinggal di kawasan Misfalah (lower Makkah), maka untuk ke Masjdil Haram mereka akan mengikut Hijrah Street.  Jalan ini terbentang sejauh lebih kurang tujuh kilometer bermula di sempadan dataran Masjidil Haram (bersetentang dengan pintu King Abdul Aziz) hingga ke Jabal Thaur.  Jalan ini diberi nama Hijrah Street bagi merakam peristiwa penting dalam sejarah Islam iaitu hijrah Rasulullah S.A.W ke Madinah.  Laluan inilah yang diikuti oleh Rasulullah S.A.W. setelah keluar dari rumah seorang sahabat yang agung iaitu Abu Bakr as-Siddik untuk menuju ke gua Thaur sebelum bergerak ke Madinah. 


Kawasan Misfalah, yang satu ketika dahulu tidak berapa dipedulikan telah menjadi tempat tumpuan para jemaah haji dan umrah setelah projek pembesaran Masjidil Haram dimulakan pada awal tahun 2008. Hotel-hotel di sekeliling Masjidil Haram di kawasan Gazzah, an-Naqa', dan Jabal Hindi telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembesaran tersebut. Jadi pilihan terbaik bagi para jemaah ialah untuk tinggal di kawasan Misfalah.  Di sini terdapat banyak hotel kecil dan sederhana dengan harga yang berpatutan (sebenarnya harga telah meningkat berkali ganda). Oleh sebab itu, Hijrah Street sentiasa sibuk sebab ia merupakan laluan utama ke Masjidil Haram.


Suasana kesibukan Hijrah Street pada 19 Mei, 2010 sempat dirakam seperti yang tertera dalam video di bawah. Kepada para pembaca yang pernah melalui kawasan ini pasti akan mengimbau nostalgia dan seakan rasa terpanggil untuk ke sana sekali lagi. Bukan begitu Pn. Ummi Hamairah? :)

Tuesday, March 8, 2011

Musim Umrah Tiba Lagi

Assalamu'alaikum wm wbr


Musim umrah tiba lagi. Sudah ramai para jemaah dari seluruh dunia memasuki Makkah untuk melaksanakan ibadah umrah.  Berita daripada kawan-kawan dan juga paparan suasana di Masjidil Haram yang terbaru daripada saudara CL (PDKM) dan juga daripada Tuan Haji Arshad (Kehidupan Makkah2) menunjukkan manusia berbondong-bondong melakukan ibadah umrah dan solat di Masjidil Haram, sedangkan visa umrah baru sahaja dibuka pada 15 Februari yang lepas. Ini mungkin disebabkan ramai yang kecewa kerana tidak dapat melakukan umrah dan ziarah pada bulan Disember yang lepas sebab kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan visa ziarah walau pun telah diwar-warkan oleh travel agen bahawa kerajaan Arab Saudi akan mengeluarkan visa ziarah. Ini bermakna sudah dua tahun (tahun 2009 dan 2010) visa ziarah tidak dikeluarkan. 

Menyentuh mengenai umrah, ramai di kalangan kita mengimbau nostalgia apabila melihat gambar-gambar terbaru (semasa) suasana Masjidil Haram dan di persekitarannya.  Sebagai contoh, suasana di sepanjang perjalanan ke Majidil Haram terakam dalam ingatan yang akan terus mewarnai kehidupan. Salah satu episod dalam rona kehidupan di Makkah ialah seperti yang dipaparkan dalam video di bawah. Selamat mengimbau kenangan anda.