Assalamu'alaikum wbt
Makkah, 10 Mei 2011 (Selasa). Hari ini kami dibawa ke Masjid Hudaibiyah untuk menziarahi tempat termeterainya perjanjian antara kaum muslimin di bawah pimpinan Rasulullah SAW dengan kaum Quraisy. Mungkin secara kebetulan, malam tadi saya menghadiri pengajian sirah di madrasah Syeikh Ahmad ibn Muhammad al-Alawi al-Malki al-Hasani di Rasaifah, Makkah. Beliau telah mengupas tentang 'Perjanjian Hudaibiyah' yang berlaku pada tahun 6H.
Dalam peristiwa membawa kepada perjanjian Hudaibiyah itu, Rasulullah SAW dan para sahabat telah berangkat menuju Makkah untuk mengerjakan umrah. Sebelum itu, Rasulullah SAW telah bermimpi akan memasuki Makkah dalam keadaan aman damai. Apabila rombongan kaum muslimin tiba di Hudaibiyah, mereka telah dihalang daripada memasuki Makkah. Dipendekkan cerita, suatu perjanjian dibuat antara kaum muslimin dan Quraisy Makkah yang mana perjanjian itu adalah berat sebelah dan memihak kepada kaum Quraisy. Rasulullah dan kaum muslimin tidak dibenarkan memasuki Makkah pada tahun itu, akan tetapi dibenarkan memasuki Makkah pada tahun hadapannya (7H). Selain itu, mana-mana penduduk Makkah yang berhijrah ke Madinah selepas perjanjian itu tanpa izin tuannya, maka mereka hendaklah dikembalikan ke Makkah. Akan tetapi, mana-mana penduduk Madinah yang berhijrah ke Makkah, mereka tidak dikembalikan ke Madinah.
Sebelum perjanjian termeterai kaun muslimin telah melakukan baiah kepada Rasulullah SAW untuk taat setia kepada baginda. Baiah tersebut dipanggil 'Baiat al-Ridhwan' berlaku di bawah sepohon kayu berhampiran dengan masjid Hudaibiyah sekarang. Untuk itu turunlah ayat berikut (al-Fath:10)
إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا يَنْكُثُ عَلَىٰ نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Sesungguhnya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu, sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka. Maka barangsiapa melanggar janjinya nescaya akibat ia melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri dan barangsiapa menepati janjinya kepada Allah maka Allah akan memberinya pahala yang besar.
Setelah menyelesaikan perjanjian perdamaian, Rasulullah SAW menyembelih binatang korbannya. Kemudian baginda duduk dan mencukur rambutnya
Alhamdulillah, demikianlah serba ringkas peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Pada tempat perjanjian tersebut didirikan sebuah masjid bagi memperingati peristiwa tersebut. Para jemaah boleh bermiqat dan berniat ihram di masjid ini. Dan dikatakan, masjid Hudaibiyah adalah tempat bermiqat yang ketiga afdal setelah Ji'ranah dan Tan'iem.
PERHATIAN
Boleh 'Copy Paste' Entri Saya Tetapi Kenalah Nyatakan Sumbernya Dalam Entri / Mana-Mana Penulisan Tuan/Puan.
Mesejnya jelas, iaitu sekiranya para pembaca ingin 'copy paste' mana-mana entri / gambar yang terdapat dalam blog ini, maka tolong letakkan alamat asal blog ini (dengan linknya sekali) dalam entri tuan/puan. Dengan berbuat demikian maka tuan/puan telah berlaku jujur terhadap diri sendiri, dan juga terhadap para pembaca.
|
Berkumpul di lobi hotel |
Sebelum tiba di Masjid Hudaibiyah, kami berhenti di ladang unta untuk membeli susu unta segar.
|
Berebut untuk membeli susu segar |
Kami berpeluang melihat aksi-aksi unta Hudaibiyah
|
Aksi apa ni? |
|
Anak unta berebut dengan pemerah susu |
|
Sisa-sisa peninggalan masjid Hudaibiyah |
|
Masjid baru |
|
Masjid Hudaibiyah juga dikenali sebagai masjid as-Syumaisyi |
Alhamduilillah, kami menunaikan solat zohor di sini. Sebahagian daripada jemaah mengenakan pakaian ihram dan berniat ihram di sini. Saya dan isteri tidak berniat ihram di sini sebab selepas ini kami akan singgah di Muzium Haramain. Saya tidak berapa selesa untuk singgah di muzium dan mengambil gambar di sana jika saya sedang berihram.
Selanjutnya kami meninggalkan Masjid Hudaibiyah menuju ke Muzium Haramain dan seterusnya ke Makkah.
Wasalam.
Mohd. Saad Hamid
11 Jun 2011
PERHATIAN
Boleh 'Copy Paste' Entri Saya Tetapi Kenalah Nyatakan Sumbernya Dalam Entri / Mana-Mana Penulisan Tuan/Puan.
Mesejnya jelas, iaitu sekiranya para pembaca ingin 'copy paste' mana-mana entri / gambar yang terdapat dalam blog ini, maka tolong letakkan alamat asal blog ini (dengan linknya sekali) dalam entri tuan/puan. Dengan berbuat demikian maka tuan/puan telah berlaku jujur terhadap diri sendiri, dan juga terhadap para pembaca.