Saturday, April 14, 2012

Umrah 2011: Tazkirah Mutawif Dalam Perjalanan Ke Makkah

Assalamu'alaikum wbt.

Elok rasanya saya muatkan tazkiraf yang disampaikan oleh mutawif yang mengiringi kami semasa dalam perjalanan daripada Madinah ke Makkah pada 5 Mei 2011 yang lepas. Semoga tazkirah ini memberi keinsafan kepada kita akan tujuan sebenar kita melakukan umrah di Makkah. Semoga kita insaf bahawa kita ini kosong semata-mata, tidak mempunyai apa-apa kelebihan, sebab keagongan dan kesombongan itu adalah milik Allah S.W.T.

Inilah tazkirah yang saya maksudkan. Wasalam.


Kita ini adalah hamba Allah yang hina. Kita bukanlah siapa-siapa. Kita ini hanyalah manusia yang dicipta oleh Allah untuk mengabdi kepada-Nya. Kita selalu berbuat dosa. Oleh itu kita datang ke Makkah untuk memohon ampun kepada Allah SWT. Dhuyuf ar-Rahman, mengapa kita dikatakan manusia yang hina? Cuba kita perhatikan, kita ini manusia yang kotor. Dari hujung kepala sampai ke hujung kaki pasti ada kotoran. Dari rambut kita, mata kita ada kotoran, telinga, hidung, mulut, semua sampai ke bawah kita pasti ada kotoran. Jadi kita ini bukan siapa-siapa. Kita ini hanyalah manusia hina. Tidak ada apa yang perlu kita sombongkan di dunia ini. Kalau kita ada pangkat di negara kita, kita tinggalkan dahulu sebab  kita hendak menghadap Raja Segala Raja. Bukan sekadar raja biasa, tetapi Raja Segala Raja. Kita hambakan diri kita kepada Allah SWT.

ضيوف الرحمن Nota penulis: Dhuyuf ar-Rahman   - bermaksud 'tetamu ar-Rahman' - 'guests of the Compassionate'.

Dhuyuf ar-Rahman, ulama kita ada yang berpendapat bahawasanya berihram ini sama seperti menghadapi kematian. Cuba kita tenguk, orang yang meninggal itu selepas dia meninggal, dia akan dimandikan. Sama seperti orang yang berihram. Kita sebelum ihram mandi sunat ihram di hotel. Orang yang meninggal itu selepas dia dimandikan, dia dikafankan. Ibaratnya juga kita selepas solat sunat ihram, kita memakai ihram. Manusia yang telah meninggal tadi selamat dikafankan, akan disolatkan. Begitulah ibaratnya orang yang berihram. Kita tadi telah solat sunat Ihram di Bir Ali. Selepas mayat dimandikan, dikafankan dan disolatkan, ia dibawa atau diusung ke kubur dengan keranda. Begitulah pula bagi orang yang telah solat sunat ihram, ia dibawa ke Makkah dengan kenderaan – bas. Kita anggaplah dalam keranda dalam bas ini. Jika mayat dalam keranda tadi dibawa ke kubur, maka jemaah umrah dibawa dengan bas ke kota Makkah al-Mukarramah. Bagi mayat tadi, apabila di dalam kubur dia akan menerima pembalasan sama ada baik atau sebaliknya iaitu bergantung kepada amalan-amalannya di dunia ini. Begitu juga dengan para jemaah umrah. Kata para ulama, jemaah yang datang ke Makkah maka ia akan mendapati apa-apa yang biasa dilakukan ditempatnya. 


Kita datang ke Makkah adalah untuk memohon ampun kepada Allah SWT atas kesilapan kita selama ini, atas dosa-dosa kita selama ini. Datang ke Makkah kita pasrah kepada Allah SWT. Kita rendahkan hati kita, kita hinakan hati kita, kita hinakan diri kita di hadapan Allah SWT. Jangan pernah berniat sahaja untuk membuat maksiat di kota Makkah, ataupun berbuat jahat, ataupun berbuat tidak baik di kota Makkah al-Mukarramah kerana Allah SWT berfirman: Barang sesiapa yang ingin berniat berbuat jahat di kota Makkah atau Madinah, maka sesungguhnya kami akan mengadakan azab yang pedih kepadanya.


Dhuyf ar-Rahman, jadi kami ingatkan di Makkah kita jaga hati kita, jaga tingkah laku kita, sama sahaja seperti di Madinah. Kita beristighfarlah banyak-banyak kepada Allah SWT. Dhuyuf ar-Rahman, itulah sekilas tentang ihram. Jadi maknanya jangan kita bawa kesombongan, ketinggian pangkat kita di Malaysia. Kita ini menghadap Raja Segala Raja. Intipatinya, kita jaga hati kita, tingkah laku kita. Banyak-banyak beristighfar kepada Allah SWT, banyak-banyak merendahkan diri di hadapan Allah SWT. Kita ini datang dari negeri yang jauh, Malaysia, datang ke Makkah untuk mengharap keampunan daripada Allah SWT dosa-dosa kita. Kerana kita ini sebagai manusia selalu berbuat dosa.

Wednesday, April 11, 2012

Umrah 2011: Madinah: Hari Ketiga - Rabu - 5 Mei 11 - Bertolak Ke Makkah

Assalamu'alaikum wbt

Setelah berada selama tiga hari di bumi bercahaya Madinah, maka tibalah masanya kami bertolak ke Makkah bagi melakukan ibadat umrah.  Sebelum bertolak, kami sempat solat zohor (4 rakaat) berjemaah di Masjid Nabawi dan solat jamak Asar (2 rakaat). Selepas solat kami melakukan ziarah wida' kepada Rasulullah S.A.W. sambil berdoa kepada Allah S.W.T. agar kami dijemput lagi untuk menjadi tetamu Nabi-Nya pada masa-masa yang akan datang. Tanpa disedari air mata jatuh bercucuran. Dengan perasaan sedih dan sayu, kami melangkah perlahan balik ke hotel melalui belakang masjid menuju ke Babus Salam sambil mata sekali sekala memandang kubah hijau yang mana di bawahnya bersemadi Rasulullah S.A.W.

Setelah mandi, memakai pakaian ihram dan makan tengah hari, kami bertolak ke Makkah sekitar jam 2.00 ptg.  Kami berhenti di Bir 'Ali untuk solat sunat ihram dan berniat umrah. Ketika saya menaiki bas, isteri saya memberitahu, salah seorang jemaah wanita rakan sebiliknya masih belum menaiki bas. Mereka terpisah di bilik air masjid. Sebelum masing-masing memasuki tandas, mereka telah berjanji untuk menunggu antara satu sama lain dan solat sunat ihram bersama-sama. Ketika isteri saya keluar daripada tandas dan setelah lama menunggu, ia dapati rakannya tidak muncul-muncul. Isteri saya mengetuk pintu tandas, tetapi yang keluar ialah jemaah daripada Indonesia. Ternyata rakannya telah keluar terlebih dahulu tanpa menunggu beliau seperti yang telah dijanjikan. Hendak dijadikan cerita, telefon bimbit rakan isteri tadi tertinggal dalam bas, jadi kami tidak dapat menghubungi beliau.

Risau dengan kehilangan tersebut, anak perempuan jemaah tadi (sebelum itu hanya tinggal dalam bas sebab datang haid) turun mencari ibunya. Saya dan isteri turut menemani anak beliau. Kami cari di sekitar dewan solat wanita, tandas dan kawasan sekitar. Sambil mencari, kami tidak putus-putus beristighfar dan berdoa agar Allah permudahkan perjalanan umrah kami. Setelah puas mencari akhirnya kami mendapat panggilan daripada mutawif yang mengatakan bahawa jemaah yang hilang tadi telah dijumpai dalam bas jemaah umrah yang diparkir di tempat lain.

Sebagai rekod, kawasan Masjid Bir 'Ali agak luas. Bilangan jemaah yang mengikuti Travel Agent (TA) Andalusia pada kali ini agak ramai. TA terpaksa menggunakan empat buah bas. Dua buah bas membawa jemaah yang akan tinggal di Hotel Hijazz, di Makkah. Jemaah ini disertai oleh Tuan Guru Ustaz Haron Din. Dua buah bas lagi membawa jemaah yang akan tinggal di Hotel Abeer Garden. Kami menaiki bas bagi kumpulan ke Abeer Garden. Jemaah yang hilang tadi, setelah kehilangan punca, telah mengikuti kumpulan yang akan ke Hotel Hijazz yang mana bas mereka di parkir di sisi lain Masjid Bir 'Ali.

Pengajaran daripada kejadian ini ialah para jemaah perlu berpegang kepada janji. Di samping itu, sentiasalah membawa telefon bimbit dan pastikan baterinya fully charged supaya mudah dihubungi jika berlaku kejadian tersesat seperti ini dan sebagainya.  Para jemaah perlulah sentiasa beristighfar dan buangkan sifat sombong dan bangga diri. Janganlah ada sedetik dalam hati meremehkan sesuatu perkara dan mengatakan "Ah mudah saja. Kalau begini, begini, aku boleh ..."

Selanjutnya sebelum kami meneruskan perjalanan ke Makkah, mutawif membimbing kami untuk melafazkan niat ihram umrah. Juga tidak ketinggalan mutawif membimbing jemaah wanita yang keuzuran untuk melafazkan niat ihram bersyarat. Di sepanjang perjalanan kami bertalbiah dan mutawaif turut memberikan tazkirah tentang hakikat berihram dan perlunya mengikhlaskan ibadat semata-mata kerana Allah S.W.T. Dua jam sebelum sampai ke Makkah, kami singgah di sebuah R&R di Wadi Quday untuk qada' hajat, solat maghrib dan makan malam. Saya dan isteri tidak solat di sini sebab hendak solat (jamak takhir maghrib dan isya') di Masjidil Haram. Alhamdulillah, kami sampai di Makkah pada jam 10.35 malam. Setelah meletakkan bag dan berihat sebentar saya, isteri, dan kakak memasuki Masjidil Haram untuk solat Isya' dan Maghrib (jama' takhir) dan melakukan umrah pertama. Besan kakak saya tidak turut serta sebab beliau keuzuran (datang haid) walaupun di Malaysia -- maaf cakap -- beliau telah menopause.

Setelah selesai tawaf 7 pusingan kami malakukan saie antara bukir Safa dan Marwah. Pada umrah kali ini kami melakukan saie di bahagian basement sebab tidak ramai jemaah bersaie di situ. Tetapi saie di kawasan basement (bawah tanah) lantainya tersangatlah sejuk sebab orang tak ramai. Jadi tapak kaki rasa milu dan tidak selesa. Namun saya kuatkan semangat dan alhamdulillah, kami telah dapat menyelesaikan pekerjaan umrah pada jam 2.15 pagi.

Menunggu masuk waktu zohor
Muazzin sedang melaungkan azan 

Kawasan berhampiran Babus Salam selepas solat zohor
Kawasan di belakang masjid. Mata masih tertumpu kepada kubah hijau sambil berselawat.
Bag-bag jemaah telah dibawa turun dan sedang dikumpulkan oleh pekerja
Sampai di Bir Ali jam 2.37 ptg waktu tempatan.
Jemaah diingatkan supaya mengingati nombor bas dan pintu masuk masjid supaya tidak tersesat
Berhenti di R&R Wadi Quday jam 7:26 mlm waktu tempatan


Makan nasi arab lauk ayam panggang dan ikan
Memasuki Makkah berhampiran Masjid Jin

Jemaah keletihan
Sampai di Makkah - Kawasan Misfalah

Kami saie di kawasan basement

Berdoa Bukit Marwah selepas tamat saie 7 pusingan. 
Seorang jemaah sedang bergunting rambut selepas selesai saie
Sekumpulan jemaah lelaki berdoa di bukit Marwah setelah selesai saie.

On the way to Hotel Abeer Garden


Monday, April 9, 2012

Umrah 2011: Madinah: Hari Ketiga - Rabu - 5 Mei 11 - Ziarah Rumah Salman al-Farisi, Gua Uhud dan Bukit Magnet

Assalamu'alaikum wbt

Pada hari ketiga (5 Mei 2011) kami dijadualkan untuk bertolak ke Makkah selepas zohor. Oleh kerana terdapat masa senggang yang agak lama, kami mengambil kesempatan untuk melawat rumah sahabat Nabi Salman al-Farisi, Gua Uhud dan Gunung Magnet pada sebelah pagi.

Sedang menunggu bas
Di kawasan inilah Salman dengan dibantu oleh para sahabat menanam pokok kurma
sebagai tebusan kemerdekaan Salman daripada tuannya berbangsa Yahudi
Di hujung tembuk sana ialah bekas tapak rumah Salman

Perigi yang digali oleh Salman dan dibantu oleh para sahabat
Klik sini untuk membaca kisah Salman berkelana daripada Esfahan, Iran hingga ke Madinah dalam usahanya mencari agama yang sebenar, iaitu Islam.

Jemaah kemudian dibawa menuju ke kaki gunung Uhud untuk melihat peninggalan sejarah di situ iaitu masjid tikar dan gua Uhud.

Gua Uhud merupakan gua yang menjadi tempat perlindungan Rasulullah S.A.W. setelah menerima asakan yang sangat hebat daripada kaum Quraisy. Para sahabat iaitu Saidina Abu Bakr, Umar, Ali, Talhah dan beberapa orang sahabat yang lain telah membawa Rasulullah S.A.W. berundur ke bukit Uhud.

Dalam perjalanan, Saidatina Fatimah telah membersihkan luka-luka yang terdapat pada muka Rasulullah S.A.W. Oleh kerana darah masih mengalir, Saidatina Fatimah telah membakar sebuah tikar dan kemudian abu tikar tersebut digosokkan ditempat luka bagi memberhentikan darah yang mengalir. Kawasan tersebut kemudiannya didirikan sebuah masjid yang dipanggil masjid tikar.

Kemudian Rasulullah S.A.W. naik ke atas bukit Uhud dan berlindung di dalam gua yang terdapat di situ. Klik di sini untuk membaca kisah "Cinta Sejati Terbukti Di Uhud"


Bukit dan Gua Uhud di lihat dari jabal Rumat
Rumah penduduk
Sebahagian daripada bukit Uhud

Suasana di kaki Bukit Uhud

Gua Uhud Mula Kelihatan
Mutawif sedang menceritakan kisah masjid tikar
Bekas tapak masjid tikar



Walaupun tidak tinggi tetapi penat juga mendaki.

Zooming! Nampak menara Masjid Nabawi di kejauhan
Dari sini kami bergerak ke bukit magnet yang terletak lebih kurang 30 km daripada Madinah yang terletak di sebelah belakang bukit Uhud ini. Kawasan ini dikenali sebagai wadi al-Baida, iaitu kawasan perkelahan hujung minggu bagi penduduk Madinah.

Di pertengahan perjalanan, pemandu memberhentikan bas sambil freekan gear di kawasan yang menuruni bukit (kecerunannya agak landai sekitar 5 degree). Ternyata bas bergerak ke arah belakang (mendaki bukit) - tetapi kelajuannya agak perlahan.

Aksi pemandu bas nak tunjuk bas jalan sendiri tanpa tekan minyak.
Gambar ini saya ambil dari Internet