Wednesday, June 22, 2011

Umrah 2011: Salman al-Farisi - Imannya Berputik di Esfahan, Mekar dan Subur di Madinah

Assalamu'alaikum wm wbr. 


Kota Madinah diberi jolokan sebagai kota bercahaya sebab di sinilah turunnya wahyu dan dan dari sinilah cahaya Islam itu berkembang ke seluruh dunia atas usaha gigih para sahabat r.anhum. Di kota inilah Rasulullah S.A.W. memupuk akhlak dan sahsiah para sahabat sehingga mereka menjadi perkasa dalam beriman, perkasa dalam beramal dan perkasa dalam gerakan dakwah Islamiah. Mereka merupakan generasi Islam yang terbaik sepanjang zaman - generasi al-Quran. 
...
Para sahabat bagaikan bintang-bintang yang bergemerlapan di langit yang boleh dijadikan contoh ikutan bagi ummat yang terkemudian. Salah seorang sahabat  Rasulullah S.A.W. yang agung ialah Salman al-Farisi. Beliau merupakan anak perantauan yang lahir dan dibesarkan di Esfahan, Iran yang mana dahulunya dikenali sebagai Parsi.   
...
Bapa Salman adalah seorang pembesar dan kekayaannya melimpah ruah. Jesteru itu Salman dibesarkan dalam suasana yang serba mewah, tambahan pula Salman merupakan anak yang sangat disayangi oleh bapanya. Pada awalnya Salman menganut agama Majusi iaitu agama nenek moyangnya turun temurun yang menyembah api. Salman ditugaskan untuk menjaga api di biara supaya jangan terpadam. Suatu hari, dalam perjalanan ke kebun bapanya, Salman berkesempatan singgah di sebuah gereja melihat penganut agama Nasrani sedang beribadat. Timbul bibit keimanan dalam hatinya yang menyatakan agama Nasrani lebih baik daripada agama Majusi. Setelah pulang ke rumah beliau terus menyatakan hasratnya untuk menukar agama tetapi dihalang oleh bapanya. Justeru itu bapa Salman telah merantai dan mengurungnya di dalam bilik sebab takut Salman akan keluar menemui penganut agama Nasrani. 
...  
Apabila Salman berpeluang melepaskan diri beliau terus melarikan diri ke Syria mengikuti kafilah dagang yang dianggotai oleh penganut agama Nasrani. Dalam usia yang terlalu muda iaitu baru 12 tahun, beliau meninggalkan segala kesenangan dan kemewahan, merantau beribu kilometer untuk mencari kebenaran yang hakiki. Di Syria beliau tinggal di gereja dibawah bimbingan ketua paderi yang terkemuka. Apabila gurunya meninggal dunia, beliau meneruskan pengembaraannya mencari guru rohani yang baru. Begitulah saterusnya beliau mengembara dan mecari pengganti guru rohani yang baru setelah kematian guru-gurunya. Daripada guru-gurunya Salman mengetahui bahawa akan lahir seorang nabi akhir zaman dalam masa yang terdekat dengan tanda-tanda yang jelas. Nabi tersebut akan berhijrah ke suatu tempat yang subur dengan pohon kurma yang terletak antara dua labah (bukit berbatu hitam).
... 
Salman meneruskan pengembaraannya mencari kebenaran hakiki menuju ke selatan dengan mengikuti kabilah dagang Arab. Dalam perjalanan, kabilah Arab tersebut mengkhianatinya dan menjadikannya hamba abdi dan menjualnya kepada seorang Yahudi yang tinggal di Wadi al-Qura. Allah ingin memuliakan Salman dengan nur iman, maka Salman dibeli oleh seorang Yahudi dari bani Quraizah yang tinggal di Yathrib yang datang mengunjungi saudaranya di Wadi al-Qura. Setibanya di Yathrib, Salman serta merta mengetahui bahawa inilah tempat yang dicari-carinya, tempat akan munculnya Nabi akhir zaman.  
... 
Pada suatu hari ketika Salman sedang berada di atas sepohon kurma, Salman terdengar perbualan antara majikannya dengan anak saudaranya mengenai kedatangan Rasulullah S.A.W. di Quba'. Pada petangnya Salman membawa makanan kepada Rasulullah dan memberikannya sebagai sedekah. Rasulullah menerima pemberian tersebut tetapi baginda tidak menyentuh atau memakannya, sebaliknya beliau menyuruh sahabat-sahabat baginda makan. Pada keesokannya, Salman datang membawa makanan dan memberikannya kepada Rasulullah sebagai hadiah. Rasulullah menerima dan memakan makanan tersebut sambil mempelawa para sahabat untuk makan bersama. Bagi Salman ini merupakan sebahagian daripada petunjuk yang sedang dicarinya. Rasul akhir zaman tidak makan pemberian sedekah tetapi makan pemberian hadiah. 
... 
Masa berlalu, Salman masih mencari kepastian, maka pada suatu hari beliau keluar mencari Nabi dan beliau menemui baginda di perkuburan Baqi' sedang menghantar jenazah seorang sahabat. Lantas Salman berdiri di belakang Nabi dengan harapan dapat melihat tanda kenabian di bahu Rasulullah S.A.W. Rasulullah faham akan niat Salman, maka baginda membuka kain burdah yang menutup bahu baginda. Sebaik Salman melihat tanda kenabian beliau terus memeluk Nabi sambil menangis. Salman menceritakan kisahnya mencari nur Ilahi bermula di Esfahan, tempat kelahirannya, sehingga ke Syria, dan akhirnya ke Madinah. 
... 
Suatu hari atas saranan Rasulullah, Salman berjumpa majikannya untuk menebus dirinya sebagai hamba. Majikannya bersetuju untuk membebaskannya dengan syarat Salman menanam 300 pokok kurma dan 40 uqiyah (duit emas). Para sahabat membantu Salman mengumpul benih-benih kurma dan menggali 300 buah lubang. Setelah lubang siap digali, Rasulullah datang ke kebun Salman dan memasukkan benih-benih kurma ke dalam lubang. Hasil keberkatan tangan Rasulullah yang mulia, benih kurma tumbuh subur tanpa sebatang pohon pun yang mati. Kemudian Rasulullah memberi Salman emas sebesar telur ayam hasil rampasan perang dan dengan itu Salman dapat membayar wang sebayak 40 uqiyah yang diminta oleh tuannya.  
...  
Setelah menjadi manusia yang merdeka Salman terus mengisi hari-harinya bersama Rasulullah S.A.W. dan mengikuti peperangan-peperangan bersama Rasulullah S.A.W. Salah satu peperangan penting yang menjulang nama Salman ialah peperangan Khandak atau Ahzab yang mana Salman mencadangkan agar kaum muslimin menggali parit merentangi Jabal Uhud dan Jabal Sila' sebagai benteng pertahanan. Salman mencapai kedudukan yang tinggi di sisi Rasulullah sehingga baginda mengangkat Salman sebagai ahlul bait (ahli keluarga Rasulullah). Kedudukan Salman yang tinggi ini adalah disebabkan oleh kezuhudan beliau terhadap dunia walaupun berasal dari keluarga yang kaya. 
 ...  
Cukuplah di sini dahulu kisah Salman sang pencari nur keimanan. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda "Jika iman itu tergantung di bintang Suraya di langit pasti akan dicapai oleh lelaki bangsa Parsi ini."  


Demi mencari nur Ilahi Salman sanggup meninggalkan negeri kelahirannya, Esfahan
dalam usia yang masih muda ke Syria, dan akhirnya ke Madinah.
Di sekitar kawasan inilah kebun yang diusahakan oleh Salman sebagai tebusan dirinya

Jalan menuju rumah Salman
Bersemangat nak lihat rumah Salman. 
Di kawasan berpagar itulah rumah Salman

Perigi yang digali oleh Salman dan para sahabat
Rumah-rumah yang berada di sekitar kediaman Salman
Pemandangan berhampiran kawasan kediaman Salman

5 comments:

  1. Assalamualaikum Tn Hj

    kami tu hari tak dibawa kesini
    cuma diceritakan sedikit sahaja oleh mutawif

    Wassalam

    ReplyDelete
  2. Assalammualaikum Tn Haji..
    Sebuah kisah yang sangat menarik & menyentuh hati..Saya mohon untuk di share ya..t.kasih..

    ReplyDelete
  3. Wa'alaikum salam Hj Rozali

    Saya pun tidak menjangkakan berziarah ke tempat tinggal Salman al-Farisi berhampiran Quba'. Tempat itu dulu milik seorang Yahudi bani Quraizah.

    Ini merupakan program luar daripada pakej Andalusia. Oleh itu kami dikenakan bayaran 15 Riyal seorang. Selepas ke sini kami ke gua Uhud dan ke Wadi al-Baidha.

    ReplyDelete
  4. asalamualaikum tuan haji saya mohon untuk kongsi blog ni dgn kawan & keluarga saya.

    ReplyDelete
  5. Wa'alaikum salam Hawa dan anonymous

    Ahlan wa sahlan! Silakan, silakan. Alhamdulillah.

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.