Tuesday, September 28, 2010

Kenali Kapal Haji - Kuala Lumpur

Assalamu'alaikum wm wbr.
 

Kapal Haji "Kuala Lumpur"

Kapal Haji "Kuala Lumpur" Sedang Berlabuh Di Singapura


Orang Ramai Sedang Menghantar Sanak Saudara Menaiki Kapal Haji Kuala Lumpur

"Puan Seri Kuala Lumpur" lahir di atas kapal Kuala Lumpur 
berhampiran Pulau Pinang semasa ibu beliau dalam
perjalanan mengerjakan ibadah haji awal tahun 70an.
Sumber: http://duniadyeha.blogspot.com/

Kapal haji "Kuala Lumpur" adalah sebuah kapal pengangkut tentera (troopship) yang dilancarkan pada 17 Oktober 1935, dan diserahkan kepada British India pada 16 Januari 1936. Nama asalnya ialah "Dilwara". 

Kapal ini pernah digunakan dalam Peperangan Dunia Kedua, dan dalam beberapa peperangan yang lain seperti di Madagaskar (1942), Burma (1943) dan Suez (1956).  Pada bulan November 1960 kapal ini dibeli oleh China Navigation Co. untuk dijadikan "kapal haji" mengangkut jemaah Malaysia ke Jeddah dan namanya ditukar kepada  "Kuala Lumpur". Kapal ini boleh mengangkut lebih dari 2000 jemaah dalam sesuatu masa. 

Oleh kerana pengangkutan udara semakin popular di kalangan para jemaah haji, maka pada 1970, China Navigation Co. menamatkan perkhidmatan "kapal haji" Kuala Lumpur dan kapal ini discrap pada tahun 1971 di Kaohsiung.


Kapal Pengangkut Diwalra

Monday, September 27, 2010

Kenali Kapal Haji -- Malaysia Kita dan Malaysia Raya

Assalamu'alaikum wm wbr.

Dua buah "kapal haji" yang masyhur ialah "Malaysia Kita" dan "Malaysia Raya". Kedua-dua kapal ini adalah milik syarikat Messageries Maritimes.Nama asal bagi "Malaysia Kita" ialah Vietnam dan nama asal "Malaysia Raya" ialah Laos.

Kapal "Malaysia Kita"

Nama asal kapal "Malaysia Kita" ialah "Vietnam" dan ia dilancarkan pada 14 Oktober 1951 bagi perkhidmatan Indo-China-Pacific. Pada bulan September 1967 nama "Vietnam" ditukar kepada "Pacific" dan menjalankan perkhidmatan Australia -- Tahiti. Pada tahun 1967 kapal ini dibeli oleh syarikat Great Malaysian Lines dan namanya ditukar kepada "Malaysia Kita" dan digunakan untuk mengangkut jemaah haji dari Malaysia ke Jeddah. Nasib malang menimpa kapal ini di mana ia mengalami kebakaran pada tahun 12 Mei 1974 ketika sedang berlabuh di Teluk Katong, Singapura dan akhirnya tenggelam. Pada ketika itu saya berada di Singapura bertamu di rumah abang sulung dan sempat menyaksikan kapal ini terbakar, tapi sayang saya tidak ada kamera untuk merakam peristiwa tersebut.

Malaysia Kita - Panjangnya ialah 163.6m


"Malaysia Raya"

Kapal "Malaysia Raya"

Nama asal kapal "Malaysia Raya" ialah "Laos" dan ia mula dilancarkan pada 21 Disember 1952. Sebagaimana "Vietnam", Laos ialah milik Messageries Maritimes bagi perkhidmatan Indo-China-Pacific. Pada tahun 1971 "Laos" dibeli oleh syarikat Great Malaysia Line untuk dijadikan "kapal haji" dan ditukar namanya kepada "Malaysia Raya". Kapal ini juga mengalami nasib yang sama dengan "Malaysia Kita" iaitu mengalami kebakaran pada 23 Ogos 1976 di Pelabuhan Kelang dan tenggelam.


Sumber: http://www.merchantnavyofficers.com/hadj.html


Saturday, September 25, 2010

Haji Dulu-Dulu

Assalamu'alaikum wm wbr.

Alhamdulillah, musim haji 1431H semakin menghampiri dan penerbangan yang pertama ialah pada 9 Oktober, 2010. Kelmarin, usai solat Jumaat di Masjid Al-Azim, Melaka saya telah bertemu dengan seorang sahabat lama yang akan berangkat menunaikan haji pada 11 Oktober 2010, insyaAllah. Saya turut berasa gembira di atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT ke atas sahabat saya tersebut dan sebelum berpisah sempat bermaaf-maafan dan mendoakan semoga beliau mendapat haji mabrur.

Teringat masa saya kecil-kecil dulu, jika ada orang kampung hendak menunaikan haji, maka penduduk kampung akan sewa bas dan ramai-ramai hantar ke Pelabuhan Kelang. Pada masa tersebut jemaah kena naik kapal laut untuk ke Makkah. Saya dengar cerita, saat yang paling sedih / sayu ialah ketika azan dilaungkan beberapa saat sebelum kapal bergerak. Perlahan-lahan kapal meninggalkan pelabuhan dan sanak saudara akan bertangisan sambil berdoa agar jemaah selamat dalam pelayaran.  

Perkhidmaan "kapal haji" sebenarnya dikendalikan oleh syarikat swasta yang menawarkan perkhidmatan mengangkut bakal-bakal haji dari Malaysia, Singapura, dan Indonesia. Di samping itu terdapat juga beberapa syarikat menawarkan perkhidmatan "kapal haji" bagi jemaah dari India, Pakistan, Afrika Timur, Filifina, dan Suez. Antara syarikat yang terawal menyediakan perkhidmatan kapal haji ialah Blue Funnel pada 1875. Selepas Perang Dunia II (awal 1950an), muncul beberapa syarikat baru yang menawarkan perkhidmatan kapal haji seperti China Navigation Co., British India, dan Pan-Islamic Shipping Co of Karachi. 

Antara cendikiawan yang pernah menulis mengenai kapal haji ialah Harun Aminurashid yang menunaikan haji pada tahun 1960.




 Harun Aminurashid di atas Kapal Anshun



Kapal Anshun di Singapura


Wednesday, September 22, 2010

Blog Kena Hijack!

Assalamu'alaikum wm wbr.

Sejak malam kelmarin saya ada masalah untuk akses blog "Hidup Biar Allah Sayang" ni. Macam-macam message keluar, contoh message:

"Services for this domain have been discontinued"

Bila tukar browser lain, mula-mula boleh akses, kemudian keluar message lain pulak dan page jadi blank.

Bila saya rujuk blogger's help, mengatakan blog saya kena hijack. Ini dia yang saya dapat dari blogger help:

"Your blog has been Hijacked

Read this to fix

Macam-macam sekarang ini. Tak cukup dengan kapalterbang kena hijack, orang kena hijack, kena bakar dsb. Ini bolg saya pulak kena hijack.

Entri ini saya masuk melalui blogger main menu. Kalau saya cuba masuk melalui "Hidup Biar Allah Sayang" tak dapat masuk - blog jentayu pulak yang keluar. Saya telah delete widget kalender Islam dari jentayu Mungkin ada masalah kat situ.  Saya tak tahu sama ada saya boleh publish ke tidak entri ni.  Harap-harap dapat publish. 



Monday, September 20, 2010

Panggilan Telefon Percuma Melalui WiFi

Assalamu'alaikum wm wbr.

Semasa melayari Internet, terjumpa link berikut: http://sif7680.blogspot.com/2010/04/panggilan-percuma-melalui-wi-fi.html yang memperincikan cara membuat panggilan telefon secara percuma melalui kemudahan Wi-Fi. Alhamdulillah, kecanggihan teknologi telah membuka ruang baru untuk kita berkomunikasi dengan lebih pantas, lebih berkesan, dan lebih murah.  Semoga maklumat ini memberi manfaat kepada para pembaca.  Terima kasih kepada tuan blog http://sif7680.blogspot.com.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Panggilan percuma menerusi Wi-Fi di telefon bimbit
by ZULKAFLI ABD RAZAK

SETIAP hari ada saja kemudahan baru yang diwujudkan bagi memanfaatkan teknologi sedia ada. Kemudahan baru akan lahir apabila ia menepati tiga perkara iaitu prasarana, peralatan dan perisian.

Banyak model telefon bimbit yang dilengkapi kemudahan Wi-Fi atau capaian Internet tanpa wayar. Jika pejabat anda mempunyai kemudahan Wi-Fi, pengguna boleh melayari laman web dengan mudah dengan hanya menggunakan telefon bimbit.

Dengan adanya telefon bimbit berupaya Wi-Fi, di pejabat pula ada kemudahan perkhidmatan Wi-Fi, setakat ini kita masih tidak membuat panggilan menggunakan telefon bimbit menerusi kemudahan Wi-Fi kerana sebelum ini tidak terdapat perisian yang membolehkan kita berbuat demikian.

Penantian kita sudah berakhir apabila perisian yang membolehkan kita membuat panggilan telefon menerusi kemudahan Wi-Fi menggunakan telefon bimbit sudah wujud. Kemudahan itu dinamakan Wi-Fi Mobile dan boleh diperoleh di www.wifimobile. com

Dengan kemudahan ini, prasarana Wi-Fi sedia ada boleh digunakan untuk membuat panggilan telefon.

Oleh kerana nombor telefon didaftarkan ketika proses memindah turun perisian, maka nombor itu juga boleh digunakan untuk membuat panggilan dari telefon ke telefon yang lain.

Ikutilah langkah berikut untuk memindah turun perisian seterusnya menggunakan kemudahan Wi-Fi untuk membuat panggilan telefon secara percuma.

1. Lawati laman web www.wifimobile. com

2. Pilih, pilihan untuk kegunaan persendirian (Consumer Service). Pindah turun perisian untuk telefon bimbit. Terlebih dulu hendaklah dipastikan model telefon bimbit anda terdapat di dalam senarainya. Masukkan negara, alamat e-mel dan nombor telefon.

3. Isikan huruf sekuriti yang dipaparkan

4. Satu capaian untuk anda memindah turun perisian Wi-Fi Mobile akan dihantar ke telefon bimbit melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

5. Apabila anda mengklik di atas capaian, perisian OneFone akan dipasang di dalam telefon bimbit anda.

6. Pilih sambungan Internet yang diinginkan dengan menekan menu > IAP, anda boleh memilih untuk menggunakan sambungan Wi-Fi atau sambungan 3G.

5. Selepas memilih sambungan, masukkan nombor telefon yang hendak dihubungi seperti biasa. Pastikan Ikon telefon berwarna hijau sebelum membuat panggilan. Apabila panggilan dijawab, bercakaplah seperti biasa. Kualiti suara bergantung kepada kualiti sambungan Internet yang digunakan. Jika anda melanggan perkhidmatan 3G Data tanpa had, perisian ini juga boleh membuat panggilan melalui sambungan Internet 3G itu.

6. Telefon rakan anda yang sudah dipasang dengan perisian OneFone ini akan berdering seperti biasa dan perbualan boleh dilakukan seperti biasa tanpa dikenakan sebarang caj tambahan.

7. Selepas membuat panggilan tekan Options dan pilih Hang Up untuk menghentikan panggilan.

Oleh kerana teknik panggilan ini menggunakan kemudahan Internet, anda boleh berbual di mana saja asalkan ada kemudahan Wi-Fi tanpa dikenakan bayaran panggilan telefon seperti yang biasa.


Tuesday, September 14, 2010

Umrah 2010: Menjejaki Masyarakat Pattani dan Kelantan di Jabal Ajyad, Makkah

Assalamu'alaikum wm wbr

Alhamdulillah, semasa mengerjakan umrah pada Mei 2010 yang lepas saya sempat menziarahi masyarakat Melayu Pattani dan Kelantan di Bukit Ajyad, Makkah.  Menurut Dr. Mohammad Redzuan Othman dan Dr. Md Sidin Ahmad Ishak, pengarang buku The Malays in The Middle East, orang Melayu sudah sekian lama mengembara ke Makkah dan Madinah, iaitu seawal Islam bertapak di Tanah Melayu. Tujuan mereka ke Tanah Suci ialah untuk menunaikan ibadah haji dan menuntut ilmu daripada ulama' terkemuka di sana.  Justeru tidak hairanlah jika terdapat orang-orang Melayu yang jatuh hati untuk bermastautin di bumi yang barakah tersebut sehinggakan ada yang menjadi tokoh ulama' tersohor seperti Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Arshad al-Banjari, Syeikh Abdul Samad al-Palembangi, Syeikh Mohammad Said al-Linggi dan banyak lagi tokoh-tokoh ulama' yang tidak sempat dimuatkan di sini.


Pada tahun 2005, suatu kajian sosio-budaya masyarakat Melayu di Makkah dan Madinah telah dijalankan oleh Group Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Angkatan Belia Islam Malaysia. Mereka mendapati kebanyakan orang Melayu di Makkah berasal dari Malaysia, Indonesia, dan Pattani. Mereka tinggal di Hutaibiah, Jabal Ajyad, Nuzhah, Ka'kiah, Syisha, dan Syari' Sittin.


Jadi pada 20 Mei 2010 yang lepas, semasa menunaikan umrah, alhamdulillah saya menyempatkan diri menziarah masyarakat Melayu Pattani dan Kelantan di Jabal Ajyad. Pemergian saya ke sana ditemani oleh Haji Arshad (Blogger Kehidupan Makkah 2) dan Ustaz Haji Amran (pelajar Pondok Ajyad) yang bertindak selaku pemandu/penunjuk arah. Matlamat kami ialah untuk solat maghrib dan isya' serta membaca yassin di masjid Allahyarham Tuan Guru Baba Hussin Siraj (Baba Sin).


Kami pergi ke Jabal Ajyad dengan menaiki teksi di hadapan Hotel As-Safwah Royal Orchid jam 6:10 petang,  melalui jalan yang berliku-liku mendaki bukit. Ketika mendaki, Zam-Zam tower kelihatan tersembul keluar dari celah-celah bukit. Struktur raksaksa tersebut mencacatkan panorama Makkah kerana kelihatan sangat ganjil (hodoh) melebihi bukit-bukit di sekeliling Makkah. 


Zam-Zam Tower Yang Tidak Harmoni Dengan Alam Sekitarnya

Kami berhenti di tempat parkir kereta di pertengahan bukit berhampiran dengan perkampungan Kelantan. Dari situ kami boleh melihat pemandangan bandaraya Makkah, tetapi sayang Makkah ketika itu berjerubu dan matahari sudah mula hendak terbenam. Saya manfaatkan masa yang ada untuk merakamkan seberapa banyak gambar yang terdaya diambil walaupun cahaya matahari semakin beransur hilang. Kami menghabiskan masa selama 10 minit di situ untuk menikmati pemandangan dan suasana yang tidak mungkin diperolehi di tempat lain. Mungkin sekali dalam seumur hidup.




Tempat Parkir Kereta Berhampiran Kampung Kelantan, Ajyad Makkah

Salah Sebuah Rumah orang Kelantan Di Ajyad
Di Kejauhan Sana Kelihatan Masjidil Haram

Ustaz Amran dan Haji Arshad

Nun Di Hadapan Kelihatan Perkampungan Pattani. 
Juga Kelihatan Masjid Baba Mat Sedawa

Rumah Di Puncak Gunung Ajyad

Lagi Rumah Di Gunung Ajyad

Kucing Ajyad


Anak-Anak Tangga

Pemandangan Makkah Waktu Senja Dari Bukit Ajyad

Dari perkampungan Kelantan kami bergegas menuruni beratus anak tangga menuju ke masjid Allahyarham Tuan Guru Baba Sin, di perkampungan Pattani. Di kiri kanan jalan penuh dengan rumah-rumah penduduk yang berasal dari Kelantan, pakistan, dan India.  Saya diberitahu oleh Ustaz Haji Amran, kebanyakan pelajar-pelajar pondok Ajyad tinggal di kawasan penempatan Pattani untuk mudah pergi ke tempat pengajian (masjid Allahyarham TG Baba Sin dan masjid Allahyarham TG Baba Mat Sedawa). Pada pertengahan tahun 1990an, terdapat seramai lebih dari 100 orang pelajar Kelantan belajar di pondok Ajyad, namun sekarang hanya tinggal 30 orang sahaja.

Menuruni Anak-Anak Tangga

Meniti Jalan Di Celah-Celah Batu

Rumah Penduduk
Lagi Rumah Penduduk Gunung Ajyad


Kedai Runcit Di Lorong Gunung Ajyad
Sampai Ke Destinasi - Masjid Allahyarham TG Baba Sin al-Fatani

Alhamdulillah, kami sampai ke masjid Allahyarham TG Baba Sin pada pukul 6:44 petang. Oleh kerana waktu maghrib ialah pada pukul 6:54 petang, maka sempatlah kami meninjau kawasan sekeliling. Berhampiran masjid terdapat kawasan lapang seluas lot rumah bungalow yang dijadikan sebagai padang permainan kanak-kanak dan juga tempat bersantai oleh penduduk setempat. Terdapat beberapa wall murals dengan gambar tepi pantai dan tulisan ucapan "Welcome 2 Ajyad".
Hj Arshad Sedang Bersantai Di Tepi Laut di Atas Bukit Ajyad, Makkah

Kanak-Kanak Bermain Bola Di Bukit Ajyad

Zam-Zam Tower dari Perkampungan Pattani, Jabal Ajyad, Makkah

Pada jam 6:54 malam, kedengaran azan dilaungkan melalui corong speaker masjid dengan alunan yang biasa didengar di Malaysia. Kami bergegas memasuki masjid untuk solat maghrib. Semasa di dalam masjid saya rasakan seolah-olah berada di Kelantan sebab kebanyakan jemaah memakai kain dan berserban.  Selepas solat maghrib, kami solat hajat dan membaca Yasin memohon agar isteri Ustaz Amran selamat melahirkan anak yang kedua. Majlis dipimpin oleh TG Baba Soh Paku, salah seorang ulama' nusantara yang mengajar di Ajyad.





Selepas Majlis Membaca Yasin Menunggu Isya'
Kelihatan TG Baba Sin Sedang Duduk (Kain Pelikat, Baju Putih, Berserban)

Nampak Seperti Suasana Di Kelantan

Majlis Baca Yasin Oleh TG Baba Soh Paku

Sebelum ini pondok Ajyad di pimpin oleh dua orang ulama' yang tersohor berasal dari Pattani iaitu Allahyarham TG Baba Hussin Siraji dan Allahyarham TG Baba Mat Sedawa. Kedua-dua Tuan Guru tersebut mempunyai Masjid masing-masing yang mana Kelas-kelas pengajian pondok diadakan di situ.  Perkataan Baba bermaksud ayah. Tuan Guru yang belum sampai ke tahap Baba dipanggil Tokku, seperti Tokku Paloh, Tokku Pulau Manis dan sebagainya. Ini merupakan suatu penghormatan di mana murid menganggap Tuan Guru tersebut sebagai ayah mereka sendiri. TG Baba Mat Sedawa meninggal dunia pada 4 Rejab 1430H (26 Jun 2009) manakala TG Baba Husin Siraji meninggal dunia pada 11 Jamadil Akhir 1430H (5 Jun 2009).  Pemergian mereka ke hadrat Ilahi dalam jangka masa yang agak sama meninggalkan lompang kepada tenaga pengajar di Pondok Ajyad di mana pemergian mereka sukar untuk diganti. Tanggung jawab mengajar pelajar-pelajar pondok sekarang dipikul oleh TG Baba Soh Paku di Ajyad Sud, dan TG Baba Wan Nik al-Fatani di Ajyad Musafi.


Allahyarham TG Baba Mat Sedawa (Kiri) dan Allahyarham TG Baba Sin Siraji (Kanan)

Tuan Guru Baba Soh Paka, Allahyarham TG Baba Mat Sedawa, dan TG Baba Sin Siraji

Selepas solat isya' kami berangkat pulang setelah bersalaman dengan para jemaah. Sebenarnya, pada ketika itu saya belum lagi mengenali TG Baba Soh Paku, dan Ustaz Amran tidak pula memperkenalkan kami kepadanya, mungkin dia terlupa sebab risau memikirkan isterinya yang lambat bersalin. Setelah balik ke Malaysia dan mencari maklumat mengenai pondok Ajyad di Internet, baru saya tahu bahawa yang memimpin kami solat hajat dan membaca Yasin tempoh hari ialah TG Baba Soh Paku Hafizohullah iaitu salah seorang tenaga pengajar di pondok Ajyad, Makkah. Namun sebelum balik sempat saya bersalam dengan beliau dan beliau agak terperanjat melihat saya sebab muka baru di Ajyad. Saya berazam, jika Allah menjemput saya menjadi tetamu-Nya sekali lagi, insyaAllah saya akan mengunjungi beliau untuk mendapatkan nasihat-nasihat ugama dan mengambil barakah dari seorang guru yang 'alim. 

Kami dibekalkan dengan ayam goreng al-Baik (macam KFC). Ustaz Amran menemani kami menuruni anak-anak tangga hingga sampai di kaki bukit Ajyad berhampiran dengan terowong ke Aziziyah dan Hotel Elaf Al Sud. Setelah bersalaman dengan Ustaz Amran, kami menyusuri Jalan King Abdul Aziz dan singgah di Hotel Manazil Ar-Rayed tempat Haji Arshad tinggal untuk menikmati ayam goreng al-Baik. Setelah selesai makan malam, saya mengucupkan salam kepada Haji Arshad dan mohon permisi untuk balik ke Hotel Abeer Garden. Alhamdulillah, misi menjejaki masyarakat Pattani dan Kelantan telah tercapai dan menjadi kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan.  InsyaAllah, jika ada kesempatan menjadi tetamu Allah sekali lagi saya akan menziarah TG Baba Wan Nik di Ajyad Musafi pula.


Terowong ke Aziziyah dan Hotel Elaf Al-Sud di Kaki Gunung Ajyad.
Hotel Elaf Al-Sud Merupakan Salah Satu Hotel Jamaah Haji Malaysia Di Makkah
Di atas Terowong Terdapat Rumah-Rumah Kediaman

Masjidil Haram Pada 20 Mei 2010 Jam 9:58 Malam
(Disnap semasa dalam perjalanan pulang ke hotel dari Hotel Hj. Arshad)

Monday, September 13, 2010

Demi Anak Bangsa - Inilah Natijahnya

Assalamu'alikum wm wbr., 

Agak lama saya tidak bersiaran dan blog ini sudah mula hendak bersawang. Di hari-hari terakhir Ramadhan, hati rasa berat untuk update entri di sini walaupun terlalu banyak bahan untuk dijadikan entri. Tidak tahu kenapa, tiba-tiba perasaan malas untuk berbelog datang menyerang. Mungkin suasana di tempat kerja mempengaruhi mood untuk berbelog. Empat lima hari sebelum hari raya, rakan-rakan sejawat dan students masing-masing sibuk memikirkan untuk pulang ke kampung. Pelajar-pelajar dari Sabah dan Sarawak awal-awal lagi telah balik ke kampung dengan alasan telah tempah tiket kapalterbang. Selepas hari raya ni, mereka kebiasaannya akan balik ke kolej lambat daripada kawan-kawan yang lain atas alasan tidak ada tiket pulak. Itulah alasan standard mereka setiap tahun. 

Sementelah menulis entri ini elok saya update satu peristiwa yang berlaku satu minggu sebelum hari raya. Secara tepatnya ialah pada 3 September 2010 jam 2:10 pagi, malam Jumaat. Ini adalah kisah bagaimana pelajar-pelajar sebuah IPTA yang berhampiran dengan tempat saya tinggal menyambut 'Lailatul Qadar'.  Malam itu sekitar 2:00 pagi saya terjaga (tersentak!) dari tidur. Dalam keadaan terpisat-pisat, seperti orang kena hipnosis, sayup-sayup kedengaran dentuman mercun dan hilai tawa orang perempuan. Lama kelamaan bunyi dentuman tersebut semakin kuat dan hilai tawa pun semakin bingit dan hingar bingar. Kemudian satu dentuman mercun yang cukup kuat kedengaran berhamiran dengan rumah.  Saya lihat jam di dinding menunjukkan angka 2:10 pagi. Lantas saya bingkas bangun dan membuka pintu dan mendapati sekumpulan pelajar sedang membakar mercun dan bunga api di hadapan rumah sewa mereka yang secara kebetulan di hadapan rumah saya. Berderai-derai hilai tawa seperti orang kena histeria apabila bunga api dan mercun meletup. Tidak dapatlah saya menahan sabar dengan lebih lama lagi lantas suatu jeritan yang kuat memecah suasana malam yang sepatutnya hening, "Hoi, kenapa memekak malam-malam buta ni? Tidak tahu ke sekarang pukul 2:00 pagi?" Maka dengan serta merta suasana bingit tadi menjadi sunyi sepi, alhamdulillah. Masing-masing terkedu dan baru terperasan yang mereka telah mengganggu ketenteraman jiran tetangga. Namun api pelita untuk membakar mercun dan bunga api masih lagi terpasang. Saya masuk semula ke dalam rumah mencari cermin mata. Saya ini rabun jauh, jadi manalah nampak sangat dalam jarak 50 meter waktu malam-malam tersebut. Setelah memakai cermin mata, saya keluar semula dari rumah dan kali ini baru perasan ada beberapa orang pelajar lelaki turut serta dalam pesta membakar mercun tadi. Mereka ini tukang bakar mercun, dan pelajar permpuan tukang sorak. Sekali lagi keheningan malam dikejutkan dengan suara pekikan, "Ini yang lelaki ni apa pasal ada kat rumah orang pompuan?". Sekali lagi mereka terkejut dan terkedu. Tak sangka rupa-rupanya ada orang tergamak sergah mereka sedemikian. Saya terus memerhati ke arah mereka sehinggalah pelajar-pelajar perempuan masuk ke rumah dan pelajar-pelajar lelaki beredar dari situ dengan tiga buah kereta. Sejurus kemudian hujan turun dengan lebatnya dan saya bergegas masuk ke dalam rumah, minta isteri cari bekas untuk tadah air hujan malam Jumaat.

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia Allah SWT, saya telah terkejut daripada tidur. Alhamdulillah, Allah SWT telah memberi saya kekuatan untuk menegur pelajar-pelajar tersebut. Jika tidak kemanakah pelajar-pelajar lelaki tersebut akan berteduh dari hujan lebat tersebut? Dan apa pula yang akan berlaku jika lelaki dan perempuan tanpa mahram telah berkumpul dengan kehadiran syaitan untuk menggoda keimanan mereka? Biarlah saya dicop oleh mereka sebagai garang asalkan saya dapat menjalankan tugas sebagai seorang muslim. Namun timbul persoalan, beginikah cara anak bangsa menyambut lailatul qadar? Kita sebagai orang yang beriman sepatutnya menghiasi 10 malam terakhir Ramdhan dengan amal ibadat seperti membaca al-Quran, solat tahajjud, serta memperbanyakkan doa agar diberi kebaikan dan keberkahan dalam hidup dunia akhirat. 

Saya difahamkan oleh kawan-kawan, pelajar-pelajar tersebut sangat-sangat dimanjakan oleh pihak pengurusan atasan IPTA tersebut. Kalimah "Demi anak bangsa" sering diucapkan. Para pelajar digalakkan menghantar sms terus kepada pihak atasan jika mereka tidak berpuas hati terhadap seseorang pensyarah. Pendek kata, mereka memang dimanjakan! Inilah natijahnya, apabila para pelajar tidak menghormati jiran tetangga. 

Mungkin anda mengatakan ini adalah kes yang terpencil. Ok, kalau begitu perhatikan pula kejadian berikut yang berlaku kira-kira 5 tahun yang lepas...

Malam itu saya dikejutkan dengan jerit pekik dan hilai tawa yang membingitkan. Waktu kejadian lebih kurang 1:00 pagi dan hujan turun dengan lebatnya. Esok merupakan hari terakhir semester di IPTA tersebut. Setelah otak mencapai tahap kewarasan setelah mamai seketika kerana terkejut dari tidur, saya mengintai dari celah langsir tingkap. Nun, di persimpangan jalan, lebih kurang 70 meter dari rumah, di bawah sinaran lampu simpang yang kekuning-kuningan, kelihatan beberapa susuk tubuh yang basah kuyup sedang berkejar-kejaran dan tangkap menangkap antara satu sama lain.  Setelah diamat-amati, rupa-rupanya beberapa orang remaja lelaki dan perempuan sedang bermain galah panjang dalam hujan lebat tersebut. Bayangkan si perempuan yang memakai T-Shirt pendek dan berseluar ketat, dalam keadaan basah kuyup, sedang berkejar-kejaran dengan sang lelaki. Si lelaki akan cuba menangkap dan mendakap si perempuan. Di simpang tiga! Lebih tepat lagi, di simpang Jalan D******10 dan Jalan D******13. Jam 1:00 pagi. Si perempuan tergeletek-geletek apabila dipeluk oleh si lelaki. Jadi terpaksalah aku turun, capai payung dan lampu picit, bergegas ke tempat kejadian. Aku tidak berapa ingat lagi bait-bait kata yang aku lontarkan kepada mereka. Agak-agak lebih kurang macam nilah yang aku ucapkan, "Kamu ni students *** kan? Macam ni ke yang kamu belajar kat dalam kampus tu?. Kalau kamu tidak hendak berhenti dan balik ke rumah, saya telefon polis!" So, pelajar-pelajar pompuan tu dengan muka mencuka beredar dari situ. Begitu juga dengan pelajar-pelajar lelaki, tetapi tidak pula menunjukkan muncung yang panjang. Cuma menunjukkan muka kesal sebab tak dapat nak peluk-peluk tubuh yang montok yang hanya dilapisi oleh kain T-Shirt yang nipis dek basah kuyup oleh hujan. 


Esoknya, emak bapak pelajar-pelajar tersebut datang dengan kereta masing-masing sebab nak jemput anak-anak mereka balik. Anak-anak mereka telah tamat belajar di IPTA tersebut. Terpancar kegembiraan di hati ibubapa tersebut sebab anak-anak mereka akan dianugerahkan segulung ijazah dan akan dinobatkan sebagai seorang graduan tidak lama lagi di majlis konvokesyen IPTA tersebut. Si anak pula bukan main sopan, bertudung dan menutup aurat di hadapan ibubapa mereka. Aku hanya memerhatikan dari seberang jalan. Mereka pun memerhatikan aku dari seberang jalan jugak. Aku berkata sendirian dalam hati, "Eleh, bukan main sopan depan mak bapak, malam tadi perangai macam hantu. Kesian mak bapak kamu tu." Mereka pun sambil pandang-pandang serong, mungkin menyumpah kat aku. Tapi ada aku kisah?

Ada lagi cerita pasal pelajar-pelajar IPTA ni, tapi malas nak cakap banyak-banyak kat sini. Bikin malu anak bangsa saja. Aku ni telah ditakdirkan untuk tinggal bersama para pelajar sejak bekerja di UPM lagi hinggalah aku bertukar-tukar pekerjaan dan tempat tinggal. Sekarang kerja di kolej dan tinggal 25km dari kolej tempat aku mengajar. Tetapi keliling rumah aku penuh dengan students IPTA yang menyewa. Memang dah nasib aku, apa boleh buat kan?

Tuesday, September 7, 2010

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin

Assalamu'alaikum wm abr.


Ramadhan sudah hendak mencapai ke penghujung, dan sehari dua lagi kita akan menyambut hari raya.  Oleh itu saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir batin kepada semua pengunjung blog di atas segala tulisan yang mungkin menggetuskan hati, memilukan perasaan. 


Di hari baik bulan baik nanti, harapan saya ialah agar kita mengeratkan silatur-rahim sesama saudara mara sama ada yang terdekat mahupun yang jauh. Bermaaf-maafanlah, buang yang keruh dan ambil yang jernih.  Akhir sekali, renungkanlah pesanan Ibu Mas'ud, salah seorang sahabat Nabi yang mulia untuk sama-sama kita mengambil ingatan darinya.


Pesanan dari Ibu Mas'ud


Sebaik-baik kaya ialah kaya hati
Sebaik-baik bekal ialah taqwa
Seburuk-buruk buta ialah buta hati
Sebesar-besar dosa ialah berdusta
Sejelek-jelek usaha ialah memungut riba
Seburuk-buruk makanan ialah memakan harta anak yatim
Sesiapa yang memaafkan orang akan dimaafkan Allah
Sesiapa yang mengampuni orang akan diampuni Allah.

Wednesday, September 1, 2010

Umrah 2010: Membeli Emas Di Makkah – Jangan Tertipu

Assalamu'alaikum wm wbr


Suatu fenomena yang saya suka lihat di Makkah dan Madinah ialah tentang keperihatian peniaga dan pemilik premis terhadap tuntutan menunaikan solat pada awal waktu dan keyakinan yang tinggi terhadap keselematan barang jualan mereka. Sebaik azan dikumandangkan, kita akan lihat kebanyakan kedai akan ditutup dan para pekerja akan bergegas ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat. Ada juga kedai-kedai yang tidak ditutup. Barang-barang jualan dibiarkan begitu sahaja, dan pekerja melakukan solat dalam premis kedai. Kita tidak berasa hairan jika kedai 2 Riyal yang berbuat demikian, sebab nilai barangan dalam kedai tersebut tidaklah mahal sangat. Tetapi yang sangat mengkagumkan ialah kedai-kedai emas yang dibiarkan terdedah begitu sahaja tanpa pengawal bersenjata seperti yang sering kita lihat di Malaysia. Nilai barang jualan mencecah ratusan ribu riyal namun mereka sedikitpun tidak berasa cuak tentang keselamatan barangan tersebut.

Ok, dari sudut di atas, kita boleh tabik kepada peniaga-peniaga tersebut. Tetapi perangai menipu pelanggan satu hal yang perlu diperkatakan juga di sini.  Emas, jam tangan dan sebagainya, sekiranya kita teruja untuk membelinya, maka haruslah berhati-hati. Sebagai contoh, emas. Kita sedia maklum emas mempunyai berbagai gred seperti emas 24 karat yang kita gelar emas kertas dikenali sebagai emas 999 (99.99% tulin), emas 22 karat (Emas 916 - 91.66% tulin), emas 18 karat dsb. Emas yang biasa digunakan untuk membuat barang kemas biasanya emas 916 sebab mudah dibentuk dan kuat. Sebagai panduan, lagi tinggi karat, lagi mahal harganya sebab semakin tulin.

Berbalik kepada tajuk entri ini iaitu berhati-hati membeli emas di Makkah. ...

Well, jika kita beli barang kemas di Makkah, kebanyakannya akan claim emas yang mereka jual ialah emas 916. Memang ada cop 916 pada cincin, gelang dsb. tetapi mengikut pakar barang kemas di Malaysia, emas yang dijual itu ialah emas 850 (20-21 karat) bukannya emas 916, jadi harganya sepatutnya lebih murah dari harga mereka jual.

Anda boleh test kesahihan kenyataan ini dengan membawa barang kemas yang anda beli ke kedai emas terkemuka seperti Habib Jewels, Oli Muhammad, Poh Kong, dsb. untuk  diuji. Isteri saya pernah membeli barang kemas di sana dan setelah beberapa lama ingin menukar kepada barang kemas yang baru. Apabila di bawa ke kedai Emas di Terengganu, nilainya telah jatuh sebab kualiti emas tersebut tidak seperti yang diclaim semasa mula-mula beli di Makkah dahulu. 
.
Satu aspek, kita solute Pak Arab sebab punctual dengan waktu solat, tetapi bab tipu menipu ni satu hal yang lain pulak. Berhati-hatilah.