Thursday, March 18, 2010

Panduan Umrah – 07 – Persiapan Diri Sebelum Berangkat

Assalamu'alaikum wm. wbr.

Tuan/puan pembaca yang budiman.  Apa yang saya tulis di bawah ini adalah sebagai peringatan kepada diri saya sendiri.  Tiada niat untuk menunjuk pandai, terlebih alim, terlebih baik dan sebagainya. Namun sama-samalah kita mengambil manfaat daripadanya.

Sayugia sebelum kita berangkat menunaikan umrah, sebaik-baiknya kita lakukan beberapa persiapan supaya pemergian kita ke tanah suci benar-benar dapat menyucikan jiwa dan menguatkan akidah. Sebab kita pergi ke tanah suci bukan untuk bersuka-suka, atau untuk melihat pemandangan, untuk melepaskan rindu kepada kaabah dan sebagainya. Kesemua tujuan tersebut tidak memberi kesan kepada kita apabila kita pulang ke tanah air nanti. Apa yang diharapkan daripada ibadat umrah atau haji sebenarnya ialah pembaikan ke atas diri kita apabila kita pulang. Yang itulah yang lebih penting, daripada kepuasan diri dapat berada di Masjidil Haram dsb.

Diriwayatkan daripada Abi Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang menunaikan haji ke Baitullah sedangkan dia tiada melakukan persetubuhan dan perkara yang dilarang maka bersihlah ia daripada dosanya seperti pada hari ia dilahirkan oleh ibunya." - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi tujuan sebenar kita menunaikan umrah atau haji ialah untuk memperbaiki jiwa. Setiap hari, keadaan diri kita mestilah lebih baik daripada yang sebelumnya. Hari ini lebih baik dari semalam dan begitulah seterusnya, dan seterusnya – pembaikan berterusan atau dalam bahasa Jepun disebut kaizen. Oleh itu perlulah kita membuat persediaan awal yang mantap agar kita mendapat suatu kebaikan yang amat besar daripada ibadat umrah tersebut.

Antara perkara-perkara yang perlu dibuat persediaan ialah:

1. Mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah Taala. Semata-mata kerana Allah s.w.t. Semata-mata kerana Allah s.w.t. – menunaikan tuntutan Allah s.w.t. mengerjakan umrah yang diwajibkan ke atas diri seseorang muslim. Jadi niat ini perlu selalu disemak dan diperbetulkan supaya jangan terpesong.

2. Bertaubat atas segala dosa dan kelalaian kita kepada Allah s.w.t. Kalau kita sebelum ini jauh dengan ajaran Allah s.w.t., kita dekatkan diri kita kepada Allah. Lakukan solat taubat dan perbanyakkan istighfar. Kalau boleh solat taubat tersebut dikhususkan untuk satu-satu kesalahan.

Begitu juga, jika kita ada menzalimi orang, terambil harta orang, kita pulangkan harta tersebut, atau kita minta supaya dihalalkan, dan minta maaf daripada semua orang yang pernah kita lakukan kesalahan terhadap mereka.

3. Pastikan perbelanjaan umrah kita daripada sumber yang halal. Begitu juga nafkah orang yang kita tinggalkan di rumah, juga pastikan daripada sumber yang halal.

4. Belajar sehingga mantap akan cara atau kaifiat mengerjakan umrah.

5. Mencari teman dan rakan yang baik dalam perjalanan. Sebab kadang-kadang ada teman ketika di sini baik, tetapi di Makkah berbalah. Ada juga insiden suami isteri berbalah atau bermasam muka. Kadang-kadang perkara tersebut tidak masuk akal tetapi berlaku. Sebagai contoh, ada suami isteri yang bercerai selepas melakukan ibadah haji.

6. Tingkatkan amalan ibadat, zikir, membaca quran, qiamullai, bersedekah (harta, anggota badan, lisan), tafakkur, dan sebagainya dengan harapan mudahlah kita lakukan amalan-amalan tersebut di tanah suci nanti. Kalau kita sebelum ini belum pernah melakukan amalan-amalan yang dinyatakan di atas, ketika di Makkah dan di Madinah baru hendak lakukan, maka kadang-kadang terasa menjadi suatu bebanan dan paksaan, yang akhirnya kita memaksakan juga diri melakukannya. Amalan yang dilakukan kerana terpaksa, apabila balik ke tanah air, sukar untuk diteruskan – jadi tidak ada penambah baikan yang berlaku. Oleh yang demikian latihlah diri sebelum berangkat, dan latihan ini memerlukan masa yang panjang.

7. Mengetahui sifat-sifat yang terpuji dan sifat-sifat yang tercela. Pupuklah diri dengan sifat-sifat yang terpuji dan cuba buangkan sifat-sifat yang tercela.

8. Kurangkana gurau senda dan bercakap yang sia-sia (termasuk lepak berjam-jam di hadapan komputer untuk berbelog, berforum, berchatting, dsb).  : D

9. Banyakkan berdoa terutama pada masa dinihari, memohon supaya ibadah umrah yang akan dilaksanakan diterima dan mendapat ganjaran daripada Allah s.w.t. Juga berdoa agar selamat perjalanan pergi balik, selamat orang yang ditinggalkan, selamat harta benda, sihat tubuh badan, doa agar Allah kurniakan kita hati yang ikhlas, agar Allah memberi petunjuk dan sebagainya.

10.  Jaga kesihatan agar diri sentiasa sihat dan berstamina sebab ibadah umrah atau haji banyak melibatkan aktiviti-aktiviti fizikal seperti tawaf dan bersaie.  Bagi yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, eloklah lakukan pemeriksaan kesihatan sebelum berangkat.  Sediakan segala ubat yang diperlukan kerana walaupun banyak farmasi dan klinik-klinik di Makkah dan Madinah, tetapi harga ubat-ubatan di sana agak mahal. 

Bagi orang yang menghidap sakit gouty athritis (gout) – macam saya, elakkan memakan makanan yang banyak protein seperti segala jenis kacang, ikan bilis, makanan laut seperti sotong, ketam, udang, daging merah, organ-organ dalaman lembu dsb. dua atau tiga bulan sebelum berangkat agar paras asid urik dalam darah tidak meningkat.  Untuk mengurangkan paras asid urik, kita bolehlah mengambil allopurinol tetapi ini hendaklah dilakukan berbulan-bulan sebelum kita berangkat ke tanah suci sebab kesan awalnya ialah ia akan mencairkan asid urik yang telah mengeras menjadi kristal di dalam tisu-tisu badan. Jadi pada peringkat awalnya, ia akan trigger radangan gout yang sangat menyakitkan.  Dan jangan lupa untuk banyak minum air.
Jadi daripada awalnya kita cuba lakukan amal kebaikan mudah-mudahan apabila kita berada di tanah suci mudahlah kita melakukan amalan-amalan tersebut.

Wednesday, March 17, 2010

Panduan Umrah – 06 – Mahram Bagi Wanita

Mahram bagi wanita terdiri dari tiga iaitu (1) melalui nasab keturunan (hubungan kerabat), (2) melalui perkahwinan (hubungan persemendaan), dan (3) melalui hubungan penyusuan.


1. Mahram melalui nasab keturunan (hubungan kerabat)

Mahram dari sudut nasab adalah yang disebutkan oleh Allah Ta’ala di dalam surah An-Nur ayat 31:

"Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau adik beradik lelaki mereka, atau anak lelaki kepada adik beradik lelaki (anak buah lelaki) mereka, atau anak lelaki saudara perempuan mereka (anak buah lelaki), atau wanita-wanita di kalangan mereka, atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita."

Menurut ayat ini, susunan bagi mahram kerana nasab bagi wanita ialah:

a)  Bapa, termasuk datuk sebelah bapa, datuk sebelah ibu dan semua asal keturunannya ke atas, contohnya moyang dll.  Adapun bapa angkat, maka dia bukan mahram berdasarkan firman Allah Ta’ala:

    “...Dan Allah tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu …. ”[Al-Ahzab: 4]

b)  Anak lelaki, cucu lelaki daripada anak lelaki dan anak perempuan dan keturunan mereka. Mereka dinamakan jurai (اﻟْﻓُﺮُوْعُ) keturunan seseorang. Adapun anak angkat, maka dia tidak termasuk mahram berdasarkan keterangan di atas.

c)  Adik-beradik lelaki seibu-sebapa, se-ibu atau se-bapa (adik beradik tiri).

d)  Anak saudara lelaki daripada adik beradik lelaki sama ada seibu-sebapa, seibu atau sebapa (adik beradik tiri)

e)  Anak saudara lelaki daripada adik beradik perempuan sama ada seibu-sebapa, seibu, atau sebapa.

f)   Bapa saudara sebelah bapa, iaitu adik beradik lelaki bapa, datuk saudara sebelah bapa. Mereka merupakan jurai keturunan datuk nenek sebelah bapa.

g)  Bapa saudara sebelah ibu, iaitu adik beradik lelaki ibu, datuk saudara sebelah ibu. Mereka merupakan jurai keturunan datuk nenek sebelah ibu.

Jadi perlu diketahui bahawa sepupu tidaklah dikira sebagai mahram.


2.  Mahram Kerana Hubungan Perkahwinan (Persemendaan)

a)  Suami

b)  Bapa mentua

c)  Anak tiri lelaki (anak suami dari isteri lain)

d)  Bapa tiri kalau sudah berjima’ dengan ibu

e)  Menantu lelaki (suami anak perempuan kandung)


3.  Mahram Kerana Hubungan Penyusuan (Saudara Susuan)

Penyusuan yang menjadikan seseorang itu mahram ialah sebanyak lima kali penyusuan sampai kenyang, dan kanak-kanak tersebut berumur kurang daripada dua tahun qamariah.

Dalil mahram dari hubungan penyusuan ialah ayat al-Quran surah an-Nisa', ayat 23.

“ … Juga ibu-ibumu yang menyusui kamu serta saudara perempuan sepersusuan …”

Dan juga hadis Rasulullah s.a.w.

Dari Abdullah Ibnu Abbas r.a. berkata; Rasulullah s.a.w. bersabda : “Diharamkan daripada penyusuan apa-apa yang diharamkan daripada nasab.” [HR Bukhari].

Jadi mahram sebab hubungan penyusuan ialah:

a)  Bapa susuan (suami ibu susuan), termasuk datuk susuan iaitu bapa kepada bapa susuan atau bapa kepada ibu susuan, juga bapa-bapa mereka ke atas. Ibu susuan ialah perempuan yang telah menyusukan anak orang lain.

b)  Anak lelaki susuan.

c)  Adik beradik lelaki sesusuan, iaitu lelaki lain yang menyusu dengan ibu kita, atau kita menyusu dengan ibunya, atau kita dengan lelaki yang lain sama-sama menyusu dengan seorang perempuan.

“Kita” di sini merujuk kepada seorang wanita yang menjadi bahan perbincangan.

d)  Anak lelaki kepada adik-beradik lelaki susuan.

e)  Anak lelaki kepada adik-beradik perempuan susuan.

f)   Bapa saudara susuan sebelah bapa, iaitu lelaki yang menjadi adik-beradik susuan kepada bapa.

g)  Bapa saudara susuan sebelah ibu, iaitu lelaki yang yang menjadi adik-beradik susuan kepada ibu.

Panduan Umrah – 05 – Hukum Wanita Musafir Tanpa Mahram

Satu perkara penting yang dipandang mudah oleh jemaah wanita ialah berkaitan dengan mahram sedangkan ia melibatkan kesempurnaan ibadat umrah / haji yang dilakukan. Di samping itu ramai yang keliru antara perkataan mahram dan muhrim. Mahram bermaksud orang yang haram dikahwini, sedangkan muhrim ialah orang yang sedang berihram.

Bagi menjelaskan hukum wanita safar tanpa mahram ini, sukacita saya petik (1) tulisan Ustaz Ahmad Irfan, (2) fatwa daripada Majlis FatwaNegeri Johor, dan (3) pandangan daripada Tabung Haji Malaysia.

1. Catitan daripada Ustaz Ahmad Irfan:
Sumber: http://abidfana.com/2009/11/03/hukum-wanita-bermusafir-tanpa-mahram/

Rasulullah s.a.w. bersabda:

لَا تُسَافِرْ الْمَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ وَلَا يَدْخُلُ عَلَيْهَا رَجُلٌ إِلَّا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَخْرُجَ فِي جَيْشِ كَذَا وَكَذَا وَامْرَأَتِي تُرِيدُ الْحَجَّ فَقَالَ اخْرُجْ مَعَهَا

Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama dengan mahram. Dan jangan bersendirian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan bersama wanita itu mahramnya.” Tiba-tiba seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku akan keluar untuk berperang, dan isteri-ku pula hendak pergi menunaikan haji.” Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab: “Pergilah kamu bersama isteri-mu (menunaikan haji).” (Muttafaqun alaihi – HR Bukhari dan Muslim ).

Dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang lain, nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

لا يحل لامرأة تؤمن بالله واليوم الآخر أن تسافر سفرًا يكون ثلاثة أيام فصاعدًا إلا ومعها أبوها أو أخوها أو زوجها أو ابنها أو ذو محرم منه

Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk keluar tiga hari ke atas melainkan bersama-samanya bapanya atau saudara kandung lelakinya atau suaminya atau anak lelakinya atau mana-mana mahramnya. (di dalam riwayat lain, ada dinyatakan satu hari satu malam, dan dua hari dua malam)

Kedua-dua hadith di atas ialah sebahagian daripada beberapa hadith yang melarang wanita daripada keluar berjalan tanpa mahram.

Akan tetapi, ada juga pandangan yang menyatakan sekiranya terjamin keselamatan dan fitnah kepada si perempuan sepanjang perjalanannya, maka ianya dibenarkan. Itupun sekiranya perjalanan itu merupakan perjalanan yang perlu sahaja, bukan perjalanan tanpa tujuan. Majlis Fatwa Al-Azhar Mesir berpegang kepada pendapat ini. Menurut mereka, sebahagian ulamak mazhab Maliki dan yang Shafi’e membolehkan perempuan untuk bermusafir tanpa mahram sekiranya ada keperluan dan jalan yang akan ditempuhinya serta tempat yang akan didatanginya terjamin keselamatannya. Ini berdasarkan kepada sepotong hadith sahih Bukhari yang diriwayatkan oleh ‘Adiy bin Hatim:

فَإِنْ طَالَتْ بِكَ حَيَاةٌ لَتَرَيْنَ الظَّعِيْنَةَ تَرْتَحِلُ مِنَ الْحِيْرَةَ حَتَّى تَطُوْفَ بِالْكَعْبَةِ لاَ تَخَافُ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ

Jika kamu panjang umur, nescaya kamu akan melihat wanita berjalan beresndirian dari Hirah (sebuah kawasan di Iraq) hingga melakukan tawaf di Ka’bah (Makkah). Dia tidak takut sesuatu pun melainkan Allah (dalam perjalanan itu)

Walaupun hadith ini lebih merujuk kepada hadith ramalan akhir zaman, akan tetapi sebahagian ulamak mengeluarkan hukum yang menyatakan kebenaran kepada wanita untuk bermusafir tanpa mahram. Syaratnya ialah, ada keperluan yang hampir sama hukumnya seperti haji, atau sekurang-kurangnya keperluan mendesak untuk berjalan tanpa mahram, dan terjamin keselamatan semasa di dalam perjalanan dan di destinasi permusafirannya.

Pandangan Majlis Fatwa al-Azhar ini turut disokong oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dan ditulis di dalam Ensiklopedia Feqh Islam. Sebahagian mereka meletakkan syarat, iaitu perlu wanita tadi bergerak keluar bersama-sama dengan kumpulan wanita yang lain

2. Fatwa Kerajaan Negeri Johor.

Isu:  Apakah hukum seorang wanita bermusafir tanpa suami atau mahram untuk menunaikan haji sunat atau umrah sunat?

Setelah diteliti dari setiap sudut dan aspek, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 19 Rabiulawal 1422 bersamaan 11 Jun 2001 telah mengambil keputusan seperti berikut :-

Keputusan Fatwa :

Diharuskan musafir bagi wanita untuk tujuan menunaikan haji sunat atau umrah sunat tanpa suami atau mahram dengan syarat-syarat yang ketat dan disiplin-disiplin yang tertentu :-

1. Aman perjalanan dan terjamin keselamatannya.

2. Suami atau mahram tiada atau kedua-duanya uzur atau tidak dapat bersama disebabkan oleh sebab yang diharuskan syarak.

3. Telah mendapat keizinan suami atau mahram ( jika ada ).

4. Bersama dalam kenderaan yang menghimpunkan ramai penumpang seperti kapal terbang, keretapi atau bas.

5. Bersama dengan kumpulan perempuan yang thiqah (boleh dipercayai) dan solihat.

6. Perjalanannya tidak menimbulkan fitnah dan keraguan.

7. Wanita tersebut dari golongan yang sudah berumur.

8. Tujuannya semata-mata kerana ibadat kepada Allah ( taqarrob ) melalui ibadat ini, bukan untuk bermegah-megah, ujub, riak, takbur atau tujuan-tujuan yang lain.

9. Perjalanannya ke haji sunat atau pun umrah sunat ini bukan sebagai "budaya tahunan" tetapi untuk keperluan dan jangka masa tertentu ( setelah beberapa tahun yang panjang ) dan bukan bertujuan melancong semata-mata.

10. Mempunyai perbelanjaan cukup untuk menunaikan ibadah ini pergi dan balik, juga mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk nafkah dan keperluan hidup selepas menunaikan ibadah haji sunat atau umrah sunat.

11. Kesihatannya baik, tidak menghidap penyakit kronik yang boleh menyusahkan dirinya dan orang lain bersamanya dalam perjalanan hingga balik ke tanah air.

12. Datang daripada hasrat dan kemahuan yang amat kuat dari diri sendiri ( bukan disebabkan oleh ajakan orang lain ).

13. Waniat yang hendak pergi itu mestilah dari golongan zat hishmah ( jati diri dan berakhlak mulia ).

14. Mendapat kebenaran dari Uli-Amr.

15. Perjalanan itu semata-mata ke tempat yang ada hubungan dengan ibadah tersebut kecuali perkara-perkara yang tidak dapat dielakan.

16. Telah mendapat kebenaran dari pihak bertanggungjawab kedua-dua Negara (Malaysia dan Arab Saudi).

17. Digalakkan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa kepada mahram/ suami.



3. Pendapat Tabung Haji Malaysia.

Dari segi hukum mengenai wanita yang akan belayar menunaikan fardhu haji bersama mahram ialah sebagai berikut:

a. Wajib seseorang wanita itu pergi menunaikan fardhu haji bersama suami atau mahramnya.

b. Jika tiada suami atau mahram boleh ia pergi bersama dua orang perempuan yang thiqah (yang dipercayai amanah dan taat). Memadai juga dengan seorang perempuan yang thiqah.

c. Harus ia pergi seorang diri sekiranya diyakini keadaan dirinya dalam dalam pelayaran/perjalanan selama menunaikan fardhu haji itu aman dan selamat.

Memandangkan keadaan yang ada sekarang, bagi seseorang bakal haji wanita Malaysia itu seboleh-bolehnya pergi bersama suami atau mahramnya sahaja (tidak selainnya) untuk menjauh atau mengelakkan daripada fitnah dan kesusahan.

Tuesday, March 9, 2010

Panduan Umrah – 04 – Syarat-Syarat Wajib Mengerjakan Umrah

Syarat-syarat wajib menunaikan umrah adalah sama dengan syarat wajib menunaikan haji iaitu:

1. Islam – tidak wajib bagi yang bukan Islam.
2. Berakal – tidak wajib bagi yang tidak siuman, gila, atau hilang akal – malah tidak sah umrahnya bagi yang tidak berakal.
3. Akil Baligh – tidak wajib bagi yang belum baligh.
4. Merdeka – tidak wajib bagi seorang hamba abdi.
5. Berkuasa untuk sampai ke Mekah sama ada dengan sendiri atau dengan bantuan orang lain.

Syarat tambahan bagi perempuan:

6. Dengan izin suami atau wali
7. Ditemani oleh suami/mahram/perempuan-perempuan yang thiqah (dipercayai).

Penerangan Ringkas Berkuasa Dengan Sendiri

1. Ada bekalan dan perbelanjaan yang halal, walaupun dengan pemberian orang, tanpa menjual harta atau berhutang.

Saya dapati jemaah daripada Indonesia ramai yang membuat pinjaman bank untuk melaksanakan haji. Dr. Marsitah Ibrahim pun berpendapat, jemaah boleh hutang bank untuk melaksanakan haji. Pendapat sebegini adalah tidak tepat kerana jika seseorang itu tidak berkeupayaan untuk menunaikan haji, maka kewajipan berhaji tersebut gugur dengan sendirinya. Islam itu mudah, kalau tidak mampu maka tidak perlulah menunaikan haji / umrah. Sepatutnya kita bersyukur kerana terlepas daripada tuntutan tersebut.

2. Ada kenderaan pergi dan balik (termasuk tambang yang mencukupi).

Abang ipar saya sangat teringin untuk menunaikan haji. Dia mampu dari segi kewangan dan fizikal. Tetapi dia mengidap sejenis penyakit yang ganjil iaitu takut tempat tinggi – Altophobia. Dia boleh pitam jika menaiki lif, apatah lagi jika naik kapalterbang. Suatu masa dahulu, jemaah boleh menaiki kapal haji, tetapi perkhidmatan kapal haji telah lama ditamatkan, iaitu di sekitar pertengahan tahun 1970an. Salah satu alternatif yang ada baginya ialah dengan melalui jalan darat – tetapi itu pun kurang selamat sebab banyak keganasan di laluan menuju Makkah. Maka tuntutan menunaikan haji / umrah bagai ipar saya ini adalah terangkat.

3. Ada bekalan atau nafkah untuk keluarga dan tanggungan yang ditinggalkan.

4. Aman perjalanan.

5. Sihat tubuh badan.

6. Berkesempatan masa, tanpa bertangguh kecuali bersebab.


Berkuasa Dengan Pertolongan Orang Lain (Badal Haji)

1. Uzur tidak dapat mengerjakan haji / umrah

2. Sakit yang tiada harapan sembuh – contohnya mengidap Systemic Lupus Erythematosus (SLE) yang mana pesakit ini tidak boleh berada dalam cuaca yang panas atau terlalu sejuk.

3. Terlalu tua.

4. Telah meninggal dunia yang mana si mati mampu menunaikan haji / umrah semasa hidupnya tetapi tidak sempat menunaikan umrah / haji. Oleh yang demikian, warisnya atau orang lain boleh menunaikan ‘umrah ganti’ atau badal umrah bagi pihaknya sama ada dengan upah atau sukarela.

Berkuasa Dengan Pertolongan Orang Lain (Bagi Wanita)

1. Hendaklah dengan izin suami atau wali.

2. Hendaklah ditemani suami, atau mahram (lelaki yang haram kahwin dengannya) atau ditemani tiga orang perempuan yang thiqah (dapat dipercayai dan ahli ibadah), sebagai ganti mahram.

Panduan Umrah – 03 – Pengertian Umrah

Pengertian Umrah Pada Syarak

Pengertian umrah pada syarak ialah mengunjungi Baitullah al-Haram (Kaabah) kerana mengerjakan tawaf, saie dan bercukur (bergunting) dengan menurut syarat-syarat dan rukun-rukunnya serta menunaikan segala wajibnya.


Foto-1: Niat Ihram Umrah – Rukun umrah yang pertama
Sumber: Tabung Haji Tampin, N.S.


 Foto-2: Tawaf Mengelilingi Kaabah Sebanyak 7 kali – Rukun umrah yang kedua

 Foto-3: Saie Dari Saffa ke Marwah – Rukun umrah ketiga

 Foto-4: Bercukur / Bergunting – Rukun umrah keempat 
Sumber: Internet


Foto-5: Lima Rukun Umrah: Tertib – Rukun umrah kelima

Pengertian Umrah Dari Sudut Batiniah

Dari sudut batiniah pula, umrah adalah merupakan proses penyucian jiwa. Barang siapa yang mengerjakan umrah, sebenarnya dia memenuhi panggilan Allah dan menjadi tetamu Allah s.w.t. di rumah-Nya yang penuh barakah.

أبا هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: وفد الله ثلاثة الغازي والحاج والمعتمر» .

Dari Abu Hurairah r.a: “Rasulullah s.a.w bersabda: Tetamu Allah itu ada tiga: mereka yang berperang di jalan Allah, orang yang mengerjakan haji, dan orang yang mengerjakan umrah.” (HR. Nasa’i dan Ibnu Huzaimah).

Jadi sepatutnyalah, seseorang yang dijemput untuk menjadi tetamu Allah Yang Maha Agong, yang mana niat yang ikhlas (mengerjakan umrah semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah – pinjam kata-kata Prof. Muhd Kamil Ibrahim –Travelog Haji, bukan kerana rindukan kaabah dsb.) dan hati yang dihiasi dengan sifat-sifat yang terpuji merupakan kriteria prestasi yang dinilai (KPI – Key Performance Index), maka perlulah dia memenuhi KPI tersebut sebelum dia berangkat ke tanah suci. Selanjutnya, jika dia melakukan ibadah umrah dengan sempurna dan tidak melakukan rafats, fusūq, dan jidāl, maka ia akan kembali ke kampung halamannya seperti pada hari ketika ia dilahirkan oleh ibu kandungnya ke dunia – iaitu bersih daripada segala dosa dan hati nuraninya juga bersih daripada sifat-sifat yang tercela.

عن أبي هريرةَ رضيَ اللّهُ عنه قال: سمعتُ النبيَّ صلى الله عليه وسلم يقول

«من حجَّ للّهِ فلمَ يَرفُثْ ولم يَفْسُقْ رَجَع كيومِ ولدَتْهُ أمُّه».

Dari Abu Hurairah r.a bahwa ia mendengar Nabi s.a.w bersabda: Barangsiapa yang berhaji dan ia tidak berbuat rafats dan fasiq maka ia akan kembali seperti pada hari ketika ia dilahirkan oleh ibu kandungnya. (HR. Muttafaq ‘Alaih)

Rafasa – mencampuri isteri, sedangkan ia masih berihram (melakukan persetubuhan atau melakukan perkara-perkara permulaan persetubuhan seperti bercium, bercumbu-cumbuan, dan sebagainya) – kena DAM seekor unta.

Fusūq – membuat maksiat

Jidāl – bertengkar-tengkar, berkelahi dsb.



(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). Al-Baqarah: 197

Maka saya mengingatkan kepada diri saya sendiri dan juga kepada para pembaca agar berusaha bersungguh-sungguh mengelakkan tiga perkara di atas, supaya umrah yang kita lakukan ialah merupakan umrah yang 'mabrur'. Amin Ya Rab al-'alamin.

Monday, March 8, 2010

Panduan Umrah – 02 – Hukum Umrah

Hukum mengerjakan umrah adalah sama dengan hukum mengerjakan haji iaitu wajib sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkuasa atau berupaya melakukannya. Dalil wajib umrah ialah seperti pada firman Allah s.w.t. :

وَٲَﺗِﻤّ‍ُّّﻮا◌اﻟْﺤَﺞّ‏َوَاﻟْﻌُﻤْﺮَةَ◌ﻟِﻠﻪِ

Maksudnya: Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah. (Al-Baqarah: 196).

Daripada hadis, dalil wajib umrah ialah hadis riwayat ad-Dailami:

Daripada Zaid bin Tsabit r.a. berkata ia: “Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Mengerjakan haji dan umrah itu dua fardu yang hanya sekali sahaja (bagi seseorang Islam yang cukup syarat), bolehlah engkau kerjakan mana satu dahulu (sama ada haji ataupun umrah).””

Bagi kebanyakan orang, mereka melakukan ibadat umrah ketika mereka menunaikan haji bagi menjimatkan perbelanjaan dan juga masa. Namun, pada ketika ini, kerajaan Arab Saudi mengehadkan bilangan jemaah daripada sesebuah negara ialah sebanyak 0.1 peratus sahaja daripada bilangan penduduk negara tersebut. Oleh yang demikian, bakal jemaah haji Malaysia misalnya, selepas mendaftar, terpaksa menunggu sehingga 10 tahun baru boleh menunaikan fardu haji. Oleh yang demikian ramai yang mengambil keputusan melakukan ibadah umrah terlebih dahulu.

Perlulah diingat bagi yang mengerjakan umrah buat pertama kalinya, maka umrah itu ialah umrah wajib. Umrah-umrah lain yang dilakukan selepas itu ialah umrah sunat, hatta umrah yang mengiringi ibadah haji. Oleh yang demikian, umrah yang pertama kali tersebut perlulah dilakukan dengan sebaik mungkin dengan melakukan manasik umrah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah, kadang-kadang kita dapati ramai orang pergi melakukan umrah sunat beberapa kali tetapi masih tidak menunaikan ibadah haji. Umrah pertama wajib, umrah kedua, ketiga, keempat dan seterusnya adalah sunat. Haji pertama kali adalah wajib. Maka perkara ini perlulah diperbetulkan. Sebab walaupun senarai menunggu haji adalah terlalu lama, tetapi saya dapati ia boleh dipendekkan jika kita pergi melalui pakej. Jadi belanja umrah-umrah sunat boleh digunakan untuk menunaikan haji melalui pakej. Oleh itu barulah tuntutan kewajiban menunaikan haji terlepas daripada seseorang.

Wednesday, March 3, 2010

Panduan Umrah – 01 – Pengenalan

Assalamu’alaikum wm wbr.

Segala pujian dikhususkan hanya kepada Allah s.w.t di atas segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya, sama ada nikmat-nikmat yang diketahui atau pun nikmat yang tidak diketahui. Selawat dan salam ditujukan kepada junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. dan juga ke atas ahli keluarga baginda yang mulia.

Entri saya kali ini ialah berkenaan dengan manasik ibadah umrah. Entri ini bertujuan memberi panduan kepada mereka yang ingin menunaikan umrah buat pertama kalinya. Saya tidak menulis mengenai manasik ibadah haji kerana saya rasakan rata-rata di saat ini ramai yang berkesanggupan dan berkemampuan untuk menunaikan umrah terlebih dahulu sebelum mereka melaksanakan ibadat haji, bagi tujuan menimba pengalaman berada di tanah suci Makkah dan juga Madinah.

Dalam menulis entri ini, sebagai seorang hamba yang amat dhaif dan sangat memerlukan hidayah-Nya, saya berlindung kepada Allah daripada dihampiri oleh perasaan riya', ujub atau bangga diri. Namun, bagi mensyukuri nikmat Ilahi, ingin saya berkongsi sedikit pengetahuan yang saya kutip daripada buku-buku, kursus haji dan umrah, dan pengalaman peribadi, dikumpulkan semuanya di sini bagi manfaat para pembaca.

Duduk di dataran Masjidil Haram Selepas Solat Isya'




Foto-foto adalah ikhsan PDKM - dengan izin

Di tanah suci Makkah dan Madinah, sebarang ibadah yang dilakukan akan terasa tersangat nikmat. Hatta duduk di dataran Masjidil Haram, contohnya di hadapan pintu King Abdul Aziz, selepas selesai solat Isya’ sambil berbual dengan rakan atau keluarga, sambil menghadap Masjidil Haram – akan terasa nikmatnya. Apatah lagi jika duduk di dataran Kaabah menghadap Baitullah, terasa sangat syahdu dan tanpa disedari air mata berjujuran di pipi. Itulah sebabnya, mengapa ramai orang yang sudah mengerjakan umrah atau haji selalu merindui Kaabah. Terbayang-bayang Kaabah di hadapan mata. Dan kadang-kadang ada yang termimpi-mimpi Kaabah, terutama bagi mereka yang baru pulang dari tanah suci.

Belanja untuk menunaikan umrah bukanlah sedikit. Justeru itu, para jemaah disarankan agar membuat persiapan yang rapi agar ibadah umrah disempurnakan sebaik mungkin menurut sunnah Rasulullah s.a.w.

Selain soal kesihatan, persiapan ibadah atau manasik umrah haruslah mantap. Jemaah yang pertama kali mengerjakan umrah seharusnya janganlah mengharapkan rakan atau mutawif untuk membimbing kita. Sebab, ada kemungkinan jemaah akan terpisah daripada pembimbing semasa bersesak-sesak mengerjakan tawaf yang akhirnya jemaah terpaksa meneruskan ibadah umrah secara bersendirian. Jika jemaah tidak mempersiapkan diri, akan kebingungan melakukan ibadah.

Oleh itu, seeloknya sejak di tanah air jemaah sudah menyiapkan diri untuk dapat melaksanakan semua manasik / ritual umrah secara bersendirian. Pelajari sampai faham benar tata cara pelaksanaan ibadah umrah, cari maklumat sebanyak-banyaknya agar ibadah umrah yang dilakukan adalah umrah yang ‘mabrur’.