Wednesday, February 17, 2010

Video Live Dari Masjidil Haram

Assalamu'alaikum wm wbr.

Ramai orang yang pernah ke Kota Makkah sama ada menyempurnakan ibadah haji atau umrah akan rasa rindu kepada baitullah.  Kadang-kadang apabila telah kembali ke tanah air, masih lagi terbayang-bayang kaabah dan suasana Masjidil Haram. Dan kadang-kadang terbawa-bawa di dalam mimpi, alhamdulillah.

Bagi menghilang rasa rindu tersebut, para pengunjung bolehlah klik URL berikut untuk melihat secara live akan kaabah, orang-orang yang sedang bertawaf, dan juga solat lima waktu. Perbezaan waktu antara Malaysia dan Makkah ialah 5.00 jam. Jadi kalau solat subuh di Makkah lebih kurang pukul 6.00 pagi, jika ditambah 5 jam, maka waktu di sini ialah pukul 11.00 pagi.

Inilah URL live telecast Masjidil Haram.

 

Di bawah ini ialah foto solat subuh Masjidil Haram pada hari ini 17-2-2010. Cuma gambarnya kurang jelas sebab diambil dari skrin komputer.

Wasalam.




Saturday, February 13, 2010

"Siti Rahmah": Sapaan Sinis Warga Kota Makkah dan Madinah Kepada Jamaah Wanita Malaysia dan Indonesia

"Siti Rahmah, Siti Rahmah." Sapaan tersebut sering diucapkan oleh warga kota Makkah sama ada para pedagang, penduduk tempatan, mahupun oleh kanak-kanak seawal usia 9 tahun kepada jemaah wanita daripada sebelah nusantara ini (Malaysia, Indonesia, Thailand, Brunei, dan Singapore). Asalkan jemaah tersebut berkulit sawo matang, maka itulah panggilan yang sering diungkapkan. Di kedai-kedai jualan, di hotel-hotel penginapan, di tepi-tepi jalan. Pagi, petang, siang, malam, itulah ucapan yang dilontarkan oleh mereka kepada jemaah wanita kita.

Bagi sebahagian besar jemaah wanita nusantara, sapaan tersebut dianggap suatu sapaan yang ikhlas dan sopan. Tersenyum simpul dan berasa bangga kerana Pak Arab tegur mereka dengan panggilan "Siti Rahmah". Bukan sahaja Pak Arab yang sapa, Abang Bangla, Abang Paki, Abang Baiee, Abang Kunta Kunte dari Afrika pun menyapa jemaah wanita kita dengan sapaan "Siti Rahmah". Aduhai, bukan main bangga lagi makcik-makcik, dan kakak-kakak kita bila disapa sedemikian. Sesampai dibilik penginapan, cerita dengan kawan-kawan yang Pak Arab tegur dia dengan panggilan "Siti Rahmah". Cerita lagi, yang Pak Arab tersebut bagi diskaun hebat bila makcik-makcik atau kakak-kakak tadi tersenyum simpul apabila disapa dengan panggila "Siti Rahmah".

Jadi apa isunya yang ingin disampaikan di sini? Okey lah tu panggilan tu. Bagus apa, Pak Arab tegur-tegur kita dengan panggilan "Siti Rahmah". Akan tetapi cuba klik link-link di bawah ini. Setelah membacanya, tentu tuan-tuan, puan-puan adik kakak, makcik pakcik termenung. Sebenarnya panggilan "Siti Rahmah" merupakan suatu sindiran, dan penghinaan dan menjatuhkan martabat jemaah wanita kita. Namun sangat ramai jamaah wanita suka / senang dengan panggilan tersebut.

Silalah klik kat sini:


1. http://www.topix.com/forum/world/malaysia/T1H4PTIIN3E6FV0CF/p3
2. http://cordova-travel.com/blog/2008/11/06/jangan-percaya-%e2%80%9csiti-rahmah%e2%80%9d/
3. http://suaramerdeka.com/v1/index.php/read/cetak/2008/05/30/15630/Sedih-Tiap-Kali-Dengar-Sebutan-Siti-Rahmah
4. http://ambupiki.multiply.com/journal/item/73/Siti_Rahmah_7_Milyar_Rupiah
5. http://ceritacaca.blogspot.com/2007/05/orang-indonesia-di-tanah-arabia-siti.html

Rupa-rupanya "Siti Rahmah" bermaksud “Perempuan yang dikasihi”. Meskipun pada awalnya panggilan “Siti Rahmah” itu sangat bagus, namun di tanah Arab, makna dari kalimat itu adalah panggilan untuk –maaf- PSK (Pekerja Seks Komersil). Dalam kata lain - pelacur. Astaghfirullah al 'Azim.

Pasar Seng, Makkah: Kawasan Membeli Belah Jemaah Haji Indonesia dan Malaysia - Part 3

Assalamu'alaikum wm wbr. Alhamdulillah, hari ini sambung entri Pasar Seng Makkah.

Pasar Seng ini sebenarnya telah wujud sejak zaman jahiliyah lagi di mana ia merupakan pusat transaksi perdagangan, festival budaya, dan tempat pertandingan mendeklamasi puisi/sajak. Bagi masyarakat setempat, Pasar Seng dikenali sebagai Suqul Lail (pasar malam). Penulis diberitahu oleh seorang rakan, pada akhir 1970an tempat ini dikenali sebagai Bazaar Abu Sufian - mungkin mengambil sempena Abu Sufian iatu pedagang yang tersohor pada zaman Rasulullah saw dahulu.

Antara tempat-tempat bersejarah di sekitar kawasan ini ialah rumah kelahiran Rasulullah saw (berhampiran dengan Babussalam dan station bas ke Aziziah), masjid kucing (tempat Rasulullah berhenti dan memacakkan benderanya ketika pembukaan Makkah - Futuhul Makkah), masjid jin (dihujung Ghazzah St dan Hujun St iaitu tempat Rasulullah memperdengarkan ayat alQuran kepada sekumpulan jin), dan Jannatul Maala/perkuburan maala yang mengabadikan Siti Khadijah, isteri Rasulullah yang pertama (berhampiran dengan masjid jin).

Bagi jemaah haji Malaysia, tempat ini lebih dikenang sebagai tempat penginapan semasa berada di tanah suci pada musim haji. Suatu ketika dahulu, Pejabat Besar Tabung Haji pernah ditempatkan di kawasan ini iaitu di Hotel Gazzah, kalau saya tidak silap. Antara hotel-hotel yang terdapat di sini ialah Sheraton, Najd, Hotel Gazzah, Hotel Marwah an-Naqa, al-Marwah Reem (belakang masjid kucing).

Kini kawasan ini telah diroboh dan dibangun semula untuk meluaskan masjidil haram. Tidak ada lagi hiruk pikuk pedagang dan pembeli. Yang seronoknya tidak ada lagi Tawaf Pasar Seng, alhamdulillah.


Foto 1 dari http://picasaweb.google.com/rafidi22
Jalan menuju Masjid Kucing dari Hotel al-Marwah Reem











Foto 2: Suasana Pasar Seng














Foto-3: Masjid Kucing dari sisi Gazzah St. sebelum projek perluasan Masjidil Haram. Lorong kecil sebelah kanan masjid ialah kawasan bermulanya Pasar Seng. Ketiga-tiga foto diambil dari Internet. Foto-2 saya tak ingat sumbernya. InsyaAllah kalau saya dapat cari URL address, saya akan paparkan di sini.
Kredit Foto-3: http://teambulls.wordpress.com/2009/08/26/masjid-kucing/

Foto-4 kredit: http://manzlie-makkah.blogspot.com/ (Pengalaman Di Kota Mekah). Keadaan terkini (12 Feb. 2010) kawasan Pasar Seng diambil dari tingkat 16 Hotel as-Safwah. Dalam foto tu, nampak kawasan Pasar Seng yang telah diratakan. Pada hujung atas sebelah kanan, Masjid Kucing masing kelihatan berdiri megah ditengah-tengah nuansa kemusnahan bangunan-bangunan lama kota Makkah. Adakah masjid ini dapat bertahan atau turut menerima nasib yang sama dengan bangunan-bangunan yang lain? Jawapannya ada pada kerajaan Arab Saudi.

Tamatlah entri Pasal Seng ni. Aah, lega.