Wednesday, March 3, 2010

Panduan Umrah – 01 – Pengenalan

Assalamu’alaikum wm wbr.

Segala pujian dikhususkan hanya kepada Allah s.w.t di atas segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya, sama ada nikmat-nikmat yang diketahui atau pun nikmat yang tidak diketahui. Selawat dan salam ditujukan kepada junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. dan juga ke atas ahli keluarga baginda yang mulia.

Entri saya kali ini ialah berkenaan dengan manasik ibadah umrah. Entri ini bertujuan memberi panduan kepada mereka yang ingin menunaikan umrah buat pertama kalinya. Saya tidak menulis mengenai manasik ibadah haji kerana saya rasakan rata-rata di saat ini ramai yang berkesanggupan dan berkemampuan untuk menunaikan umrah terlebih dahulu sebelum mereka melaksanakan ibadat haji, bagi tujuan menimba pengalaman berada di tanah suci Makkah dan juga Madinah.

Dalam menulis entri ini, sebagai seorang hamba yang amat dhaif dan sangat memerlukan hidayah-Nya, saya berlindung kepada Allah daripada dihampiri oleh perasaan riya', ujub atau bangga diri. Namun, bagi mensyukuri nikmat Ilahi, ingin saya berkongsi sedikit pengetahuan yang saya kutip daripada buku-buku, kursus haji dan umrah, dan pengalaman peribadi, dikumpulkan semuanya di sini bagi manfaat para pembaca.

Duduk di dataran Masjidil Haram Selepas Solat Isya'




Foto-foto adalah ikhsan PDKM - dengan izin

Di tanah suci Makkah dan Madinah, sebarang ibadah yang dilakukan akan terasa tersangat nikmat. Hatta duduk di dataran Masjidil Haram, contohnya di hadapan pintu King Abdul Aziz, selepas selesai solat Isya’ sambil berbual dengan rakan atau keluarga, sambil menghadap Masjidil Haram – akan terasa nikmatnya. Apatah lagi jika duduk di dataran Kaabah menghadap Baitullah, terasa sangat syahdu dan tanpa disedari air mata berjujuran di pipi. Itulah sebabnya, mengapa ramai orang yang sudah mengerjakan umrah atau haji selalu merindui Kaabah. Terbayang-bayang Kaabah di hadapan mata. Dan kadang-kadang ada yang termimpi-mimpi Kaabah, terutama bagi mereka yang baru pulang dari tanah suci.

Belanja untuk menunaikan umrah bukanlah sedikit. Justeru itu, para jemaah disarankan agar membuat persiapan yang rapi agar ibadah umrah disempurnakan sebaik mungkin menurut sunnah Rasulullah s.a.w.

Selain soal kesihatan, persiapan ibadah atau manasik umrah haruslah mantap. Jemaah yang pertama kali mengerjakan umrah seharusnya janganlah mengharapkan rakan atau mutawif untuk membimbing kita. Sebab, ada kemungkinan jemaah akan terpisah daripada pembimbing semasa bersesak-sesak mengerjakan tawaf yang akhirnya jemaah terpaksa meneruskan ibadah umrah secara bersendirian. Jika jemaah tidak mempersiapkan diri, akan kebingungan melakukan ibadah.

Oleh itu, seeloknya sejak di tanah air jemaah sudah menyiapkan diri untuk dapat melaksanakan semua manasik / ritual umrah secara bersendirian. Pelajari sampai faham benar tata cara pelaksanaan ibadah umrah, cari maklumat sebanyak-banyaknya agar ibadah umrah yang dilakukan adalah umrah yang ‘mabrur’.

44 comments:

  1. salam tn haji ..

    Alhamdulillah , N3 yg sangat2 dicari2 .. teruskan menulis bab ini , insyaAllah saya akan ikutinya .
    jazakallahu khoiran lak

    ReplyDelete
  2. Salamun Alaik,

    AlhamduLILLAH..

    InsyaALLAH, kalau tiada aral, bulan June nie, saya akan ke sana. Semoga ALLAH permudahkan.

    Semoga Tn Hj dan keluarga di dalam rahmat dan redha ALLAH sentiasa.

    BarakALLAHu Fikum..

    ReplyDelete
  3. Wa'alaikum salam puan ummi humaira.

    Terima kasih kerana memberi sokongan ke atas entri ini. InsyaAllah saya akan cuba updatekan sedaya yang mampu apabila masa mengizinkan. Malam ini harap-harap Allah lapangkan masa saya. Amin.

    ReplyDelete
  4. Wa'alaikum salam wan asrul@hakimyputra.

    Terima kasih singgah diblog saya yang baru berumur 2 bulan ni. Tak sampai setahun jagung bak kata orang.

    Alhamdulillah, semoga Allah permudahkan urusan kita semua. Sama-sama kita berdoa semoga segala hajat tercapai.

    Ku sahut panggilanMU Ya Allah.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum Sheikh, saya berasa shukor apabila membaca panduan Umrah yang diceritakan bagi mengingatkan kembali saya & isteri yang pernah mengerjakan umrah pada 2007 dan Insyallah pada tahun ini akan pergi mengerjakan haji. Dengan membaca apa yang diceritakan mengingatkan kembali kepada Umrah yang telah dilalui. Terima kasih Sheikh.

    ReplyDelete
  6. Alhamdulillah, semoga panduan ini memberi manfaat kepada kita semua. Selamat berangkat mengerjakan haji, semoga sdr suami isteri mendapat haji yang mabrur, Amin.

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum.. boleh tak saya minta izin utk print pada artikel2 yg penting untuk bahan bacaan saya?

    ReplyDelete
  8. Wa'alaikum salam wm wbr

    Alhamdulillah, kerana cik/puan rose sudi baca artikel2 di sini. Dipersilakan dan semoga disebar luaskan.

    ReplyDelete
  9. As'kum..Tn Hj halalkan ilmu yg saya cetak dalam persediaan terakhir saya mengerjakan umrah. Alhamdulillah Allah menggerakkan hati saya utk menyahut panggilanNya.Mdh2an ilmu ini dpt menjadi panduan dan membantu sy di sana kelak..terima kasih byk2..Rupa2nya kita org sekampung. Sy juga berasal dr Alor Gajah,Melaka. Moga Allah memberkati usaha Tn Hj yang mulia ini. Amin

    ReplyDelete
  10. Wa'alaikum salam anonymous

    Silakan! Silakan! Amin, Ya Rabb al 'aalamiin.

    Alor Gajah tinggal di mana? Dan bila nak berangkat?

    Semoga mendapat umrah yang maqbul

    ReplyDelete
  11. assalamualaika ya ustaz...
    saya nak tanya,bagaimana cara solat dalam kenderaan..SYUKRAN

    ReplyDelete
  12. Wa'alaikum salam tiqahjz

    بسم الله الرحمن الرحيم

    Dipersilakan, alhamdulillah.

    Selamat berbelog. Gunakannya bagi tujuan yang berfaedah dan untuk berdakwah.

    :)

    ReplyDelete
  13. Wa'alaikum salam wm wbr anonymous,

    Untuk pengetahuan para pengunjung yang budiman, saya bukanlah seorang ustaz.

    Namun begitu saya cuba menjawab soalan-soalan yang dikemukakan sebaik mungkin berasaskan kepada rujukan yang sohih dan berauthoriti.

    Walaupun soalan anonymous adalah pendek - bagaimana solat dalam kenderaan, namun jawapannya agak panjang dan tidak sesuai dijawab dalam ruang komen ini. Contohnya kenderaan - kapalterbang, kereta, kapal laut, binatang kenderaan dsb. Ia juga menyentuh soal kiblat, suci daripada hadas, solat duduk atau berdiri.

    ReplyDelete
  14. ... sambungan

    Jika dalam kapalterbang, usahakan solat berdiri dan mengadap kiblat. Solatlah berhampiran dengan pintu exit kecemasan - di situ ruangnya agak luas. Jika tiada wudhuk, ambillah wudhuk dengan menggunakan air sedikit yg mungkin. Faham-faham sajalah yg kita berada di atas kapalterbang yang mana air adalah terhad. Bentanglah sejadah (jika ada) dan solat mengadap kiblat (boleh lakukan jama' dan qasar).
    Arah kiblat mcm mana? Minta paramugari tanya pilot. Kalau dari Malaysia ke Jeddah, ia tepat mengikut arah kapalterbang. Kalau balik ke Malaysia - kiblat arah ekor kapalterbang. Biasanya ditempat duduk kita ada skrin yg mana kita boleh tenguk arah kiblat.

    Kalau kita naik kapalterbang Saudi Airlines - ada tempat solat dibahagian belakang kapalterbang.

    Untuk maklumat-maklumat yang lain mengenai solat dlm kenderaan harap rujuk kepada ustaz yg berauthoriti. Link-link yg berikut mungkin boleh membantu:
    http://hafizfirdaus.com/ebook/musafir/bhg24.htm
    http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm
    http://sentuhanrohanijentayutiara.blogspot.com/2007/11/panduan-solat-ketika-dalam-perjalanan.html

    ReplyDelete
  15. salam ustaz..saya nak tanya lah kan ..kalo mcm kita ni ikut mazhab shafie..tp saya baru2 ni pegi umrah ada ustaz tu ikot mazhab wahabi..bleh ke...?minta tnjuk ajar ustaz..syukran

    ReplyDelete
  16. salam ustaz..saya nak tanya lah kan ..kalo mcm kita ni ikut mazhab shafie..tp saya baru2 ni pegi umrah ada ustaz tu ikot mazhab wahabi,..bleh ke...?minta tnjuk ajar ustaz..sbb sy mude agi..syukran,

    ReplyDelete
  17. Wa'alaikum salam tiqahjz

    Saya kurang jelas dengan soalan tiqahjz. Adakah tiqahjz maksudkan ustaz tu bermazhab wahabi atau ustaz tu ikut cara ibadat orang-orang saudi yg bermazhab wahabi ketika melakukan umrah tetapi dia bermazhab syafie?

    Bagi soalan yang kedua, contohnya kita solat ikut imam masjid haram yang berberfahaman wahabi (mereka bermazhab hanafi) mereka tidak baca qunut masa solat subuh. Apakah kita nak baca qunut sedang imam sudah sujud atau kita ikut imam sujud tanpa baca qunut?

    Jawapannya, kita tidak perlu baca qunut dan mesti ikut imam sujud sebab Rasulullah S.A.W. melarang para jemaah melakukan sesuatu pergerakkan solat yang berbeza dengan imam yang mereka ikuti. Perintah baginda: "Seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya. Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca 'SamiAllahuliman Hamidah' maka katalah 'Rabbana lakal Hamduh' . Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah). Dan luruskanlah barisan saf dalam solat (jemaah) kerana sesungguhnya saf yang lurus adalah tanda kesempurnaan solat (jemaah)." - Hadith daripada Abu Hurairah radiallahu-anhu, Sahih Bukhari - no: 0722.

    Kesimpulannya:

    1. Dibolehkan solat di belakang imam yang berlainan mazhab sekalipun imam tersebut telah melakukan sesuatu perkara yang menyalahi syarat mazhab ikutan si-makmum.
    2. Hendaklah tetap mengikuti tatacara solat imam ikutan sekalipun ia tidak menepati tuntutan mazhab pegangan makmum.

    Wallahu'aklam.

    Rujukan: http://hafizfirdaus.com/ebook/musafir/bhg46.htm

    ReplyDelete
  18. maafkan saya ustaz..hehe..xphm ye..maksud sy ustaz tu ikut cara ibadat orang-orang saudi yg bermazhab wahabi ketika melakukan umrah tetapi dia bermazhab syafie..boleh ke...saya tengok dia still solat jamak wlaopon dah lebih 10hari..explain..makaseh..

    ReplyDelete
  19. sory ye..ustaz tu kata kita xperlu tawaf wida'..sbb sunat ja..btol ke..hrp pakcik terangkan sket,,,

    ReplyDelete
  20. Assalamu'alaikum wm wbr tiqahjz

    Mengenai solat jamak memang ada perbezaan pendapat antara imam-imam mazhab.

    Bagi Mazhab Shafie, jika seseorang bertujuan tinggal disesuatu tempat lebih dari 4 hari, maka hendaklah dia melakukan solat sempurna. Namun ini tidak termasuk hari perjalanan dan hari pulang.

    Ustaz tu berpegang kepada pendapat Ibnu Taimiyaah iaitu, seseorang yang bermusafir , dibolehkan untuk menjamak dan menqasarkan solatnya selama mana pun tempohnya selagi mana ia tidak berniat Iqamah (menetap) di tempat tersebut.

    Tetapi Ibn Taymiyyah sendiri berpendapat.‏ "Sesiapa yang mempunyai syak kebenaran solat diQasarkan dan ingin berhati-hati, maka solat secara penuh adalah lebih baik" [Majmu' Fataawa, 24/18].

    Cuba Fikirkan : Alangkah ruginya kita kalau tidak solat berjemaah di Masjid Haram.

    Untuk keterangan lanjut sila rujuk blog berikut:
    http://qasolatjamakqasar.blogspot.com/2011/03/tempoh-masa-ruhsah.html

    ReplyDelete
  21. naam..btol juga..1soalan lg..tawaf widak sunat ka wajib kalo kta dh lbih 2 mrhalah?

    ReplyDelete
  22. salam TN.HJ MS

    Saya nak tanya mengenai perbezaan tawaf haji ? dan tawaf wada(tawaf selamat tinggal)tidak perlu buat sekiranya kita uzur sharie(haid).Inshallah saya dan suami akan pergi menunaikan fardu haji tahun 2012.sekiranya diizinkan allah,doakan kami...AMIN

    ReplyDelete
  23. Wa'alaikum salam Rozila

    Tawaf haji merupakan salah satu daripada rukun haji. Ia juga dikenali sebagai tawaf ifadah. Sekiranya jemaah tidak melakukan tawaf haji maka hajinya tidak sah.

    Tawaf wada' ialah tawaf selamat tinggal. Setiap jemaah dan juga penduduk Makkah yang ingin keluar daripada Makkah melebihi 2 marhalah maka dia dikehendaki melakukan tawaf wada'. Bagi wanita yang uzur (haid) maka tidaklah wajib baginya melakukan tawaf wada' tersebut.

    ReplyDelete
  24. Salam, tuan haji

    mohon izin untuk ambil dan pelajari segala ilmu yang sy pelajari dr dalam blog tuan haji ini.

    moga ALLAH memberkati, memudahkan dan merahmati kehidupan tn haji di dunia dan akhirat. amin

    jazakallah

    ReplyDelete
  25. Wa'alaikum salam AjlaA,

    Alhamdulillah, silakan AjlaA... saya izinkan. Yang benar itu adalah daripada Allah SWT dan yang salah dan silap itu adalah kelemahan diri saya sendiri.

    Amin, amin, Ya Allah Ya Rab al-'alamin. Terima kasih AjlaA kerana sudi mendoakan saya. Semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan kasih sayang dan Rahmatnya kepada AjlaA juga, Amin.

    ReplyDelete
  26. assalamualaikum tuan haji.terima kasih sbb menyediakan blog yg lengkap utk bakal kami yg akan menjejakkan kaki ke tanah suci.insyaallah saya bersama dengan 2 org anak akan berangkat ke tanah suci pada 14 ogos 2012 hingga 24 ogos 2012.insyaallah kami akan berada di sana akhir ramadhan dan akan menyambut 1 syawal di mekah.tuan haji doakan ya moga segala urusan dan perjalanan saya dan anak2 di permudahakan oleh allah..insyaallah....terima kasih.

    ReplyDelete
  27. Wa'alaikum salam Nadia Kuch

    Sukacita saya bacakan doa yang telah dibacakan oleh Rasulullah S.A.W. kepada seorang pemuda yang akan berangkat mengerjakan umrah.

    "Semoga Allah membekalkan kepada puan ketaqwaan, membimbing puan dalam kebaikan, dan mencegah daripada puan kesusahan.

    Juga semoga Allah menerima umrah puan sekeluarga, mengampuni segala dosa puan, dan menggantikan perbelanjaan puan."

    Amin, Amin Ya Rab al-'alamin

    ReplyDelete
  28. Assalamu'alaikum
    InysaAllah saya dan suami akan ke tanah suci utk pertama kalinya pada bulan Julai ini serta menyambut Ramadhan Mubarak di sana. Baru berjumpa laman yg sgt padat dgn ilmu dan perkongsian pengalaman ini. Mohon saya salin mana2 yg perlu dan cetak supaya dpt dibaca bila2 perlu. Jazakallahu Khairan Kathiro... Mudah2an Tn Haji sentiasa diberikan rahmat oleh Allah atas perkongsian ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam wbt.

      Silakan puan, alhamdulillah.

      Saya doakan agar puan dan suami mendapat umrah yang maqbul, sa'ie yang masykur dan perniagaan yang sentiasa untung. Semoga Allah gantikan apa yang puan sekeluarga belanjakan dengan berlipat kali ganda. amin.

      Delete
  29. Assalam ustaz, saya musykil mengenai tawaf wida. Yg saya baca ianya tidak diwajibkan melainkan kita melaksanakan ibadah haji, maka saya telah keluar drpd Mekah tanpa buat tawaf tersebut. Sekiranya wajib bagaimanakah saya perlu membayar dam? (saya tinggal di Arab Saudi tetapi melebihi dua marhalah drpd kota Mekah)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam wbt

      Sebenarnya saya bukanlah seorang ustaz jadi saya takut untuk memandai-mandai memberikan jawapan di sini. Walau bagaimanapun terdapat beberapa pendapat mengenai tawaf wada' ini. Mengikut Tabung Haji, Hukum Tawaf Wada' adalah wajib dan saya berpegang kepada yang ini.

      Bagi yang berpendapat bahawa tawaf wada' tidak wajib bagi umrah, boleh rujuk laman web ini - ada jawapannya di situ.

      http://abuumair1.wordpress.com/soal-jawab/feqah-haji-dan-umrah/08-002/

      Wallahu'aklam.

      Delete
  30. assalamualaikum...ustaz..
    banyak yang saya belajar dari lamanweb ini.saya dan suami akan berangkat ke mekah untuk melakukan umrah awal tahun ini,saya mintak izin untuk salin dan cetak mana2 yang perlu untuk rujukan...terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam wbt

      Ya silakan puan alhamdulillah.

      Delete
  31. Assalamualaikum Tn Hj
    Saya selalu melayari laman web ini kerana Banyak ilmu mengenai umrah Di laman web ini yang saya perolehi. Terima kasih Tn Hj. Saya mohon izin daripada Tn hj untuk menyalin Dan cetak beberapa doa Dan tips until panduan dan rujukan semasa mengerjakan umrah bersama keluarga pada Feb akan datang. Terima kasih ustaz. Semoga Allah memberi rahmat kepada Tn hj atas perkongsian ilmu ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam wbt

      Amin, amin, Ya Rab al 'alamin. Terima kasih keana sudi mendoakan saya.

      Ya tuan/puan dipersilakan menyalin apa-apa yang bermanfaat daripada blog ini, alhamdulillah.

      Delete
  32. Assalamualaikum Tuan Haji,

    Mohon izin utk mencetak panduan2 umrah dari sini sbg rujukan saya ke Tanah suci nanti.
    Terima kasih

    ReplyDelete
  33. artikel blognya bermanfaat sekali salam dari Indonesia

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam wbt.

      Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog saya. Bahasa dan gaya penulisannya sedikit berbeza dengan gaya dan bahasa Indonesia. Namun banyak juga persamaan.

      Alhamdulillah, semoga Allah satukan kita di atas persamaan yang ada, serta berlapang dada di atas perbezaan.

      Salam ukhuwah daripada saya dan warga blog 'Hidup Biar Allah Sayang'.

      Delete
  34. As salam..hari ni baru intai...from zero sebenarnya..Alhamdulillah akan banyak membantu saya nanti...tapi syg xbole copy n print..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam wbt.

      Boleh copy dan print kalau guna smartphone.

      Delete
    2. Wa'alaikum salam wbt.

      Boleh copy dan print kalau guna smartphone.

      Delete
  35. alhamdulilah info yang sangat bermanfaat izin share kembali

    ReplyDelete

Assalam'alaikum wm wbr.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan. MOHON MAAF, BLOG SAYA ADA MASALAH - Saya tak dapat balas komen. Saya sedang mencari jalan penyelesaian.