Thursday, June 27, 2013

Update Keadaan Jerebu Di Melaka

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

27/6/2013: Alhamdulillah keadaan jerebu di Melaka sudah beransur pulih. Sekolah-sekolah telah dibuka semula.Walau bagaimanapun para nelayan masih tidak turun ke laut (sudah lebih seminggu mereka tidak ke laut) sebab jerebu (kabut asap) tersebut membatasi jarak pandangan mereka yang memungkinkan berlakunya kemalangan yang tidak diduga.

Berikut ialah beberapa gambar yang diambil sekitar pantai Pangkalan Balak dan Tanjung Bidara, Melaka iaitu kawasan peranginan yang terkenal di Melaka pada 26/6/2013 jam 12.30 tengahari.

 Perahu nelayan tersadai di pantai. Kaki langit - perbatasan antara permukaan laut dan langit - tidak berasa jelas kelihatannya.


Pukat dibungkus kemas. Kaki langit tidak berapa jelas.

Pantai masih lagi berkabut nipis. 
Nun di seberang sana, sejauh 48km daripada pantai ini,
 ialah pantai Pulau Rupat, Indonesia

Sekiranya tidak ada jerebu - kabut asap, beginilah pemandangan di pantai 
Pangkalan Balak, Melaka. Suatu pemandangan yang sungguh indah dengan
deruan ombak yang mengasyikkan ketika meghempas pantai.

Sekiranya tidak ada jerebu - kabut asap, kanak-kanak duduk santai 
menikmati keindahan pantai di Pangkalan Balak - 
tanpa perlu memakai topeng muka.

 Jika tidak ada jerebu - kabut asap - beginilah suasana di jeti Telok Gong dengan
perahu bersusun rapi berlabuh sebelum bergerak ke tengah laut mencari rezeki.

Jika tidak ada jerebu - kabut asap - beginilah suasana di jeti Telok Gong sekitar jam 7.00 pagi. Suasana yang damai dan mengasyikkan.


Ya, sekiranya tidak ada jerebu - kabut asap - maka tidak perlulah saya menulis entri ini.  Sebelum saya merapu eloklah saya berhenti di sini dahulu.

Sekian, jumpa lagi dalam entri yang seterusnya.

Wasalam.

Monday, June 24, 2013

Setiap Tahun Dapat Hadiah Ni Dari Indonesia - Jerebu

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه

Gambar Hiasan
Langsung perkahwinan dalam suasan jerebu di Bukit Kangkar, Muar
Sumber: Berita Harian Ahad 23/6/2013 foto: Aizuddin Saad/BH

24/6/2013: Hari ini semua sekolah di Melaka ditutup. Sejak dua tiga hari kebelakangan ini ramai jemaah surau di Taman Dimensi, Lendu mengadu tekak mereka terasa perit dan kering. Malam tadi semasa solat Isya' imam terbatuk-batuk dan terpaksa memendekkan bacaan. Kesemuanya ini adalah disebabkan oleh jerebu yang sedang melanda akibat kebakaran yang berlaku di Sumatera, Indonesia.  Indek Pencemaran Udara (IPU) di Melaka pada hari ini telah melebihi 420, iaitu meningkat daripada semalam yang hanya sekitar 350. Berikut ialah beberapa foto yang sempat saya ambil sekitar jam 8:00  pagi tadi.

Jalan Dimensi 13, Taman Dimensi, Alor Gajah
Pekan MasjidTanah, Melaka
Di persimpangan Jalan Solok Duku dan
Jalan Hujan Panas, Masjid Tanah
Kawasan kolam tebatan banjir Kg Durian Daun, Masjid Tanah
berhampiran dengan Maahad Tahfiz Imtiaz
Fenomena cuaca berjerebu ini semacam sudah menjadi upacara tahunan pula gamaknya. Saban tahun, sekitar bulan Mei hingga September kita akan dilanda oleh jerebu yang dikaitkan dengan angin monsun barat daya yang membawa asap dari pembakaran hutan di Sumatera, Indonesia. 

Beberapa hari yang lepas,  pengarah Jabatan Perhutanan Riau, Sumatera, Zulkifli Yusuf, berkata jerebu melanda Malaysia sekarang adalah disebabkan oleh kebakaran ladang-ladang sawit milik syarikat daripada Malaysia  di wilayah tersebut.

Biar apapun punca jerebu tersebut, sukacita saya menarik perhatian pembaca kepada suatu amaran Allah SWT seperti yang terdapat pada ayat 10-11 surah ad-Dhukhan:
فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُبِينٍ
يَغْشَى النَّاسَ هَٰذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih. (ad-Dukhan: 10-11)

Juga kita perlu perhatikan hadis daripada Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah, bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

بَادِرُوا بِاْلأَعْمَالِ سِتًّا طُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا أَوِ الدُّخَانَ أَوِ الدَّجَّالَ أَوِ الدَّابَّةَ أَوْ خَاصَّةَ أَحَدِكُمْ أَوْ أَمْرَ الْعَامَّةِ

Bersegeralah kalian beramal sebelum datangnya enam perkara: terbitnya matahari dari arah barat, datangnya asap, munculnya Dajjal, keluarnya ad-Dabbah (binatang yang dapat berbicara), kematian atau datangnya hari kiamat yang merata. (HR. Muslim)

Oleh yang demikian, janganlah kita lalai mengambil iktibar / ibrah daripada peristiwa jerebu ini. Perbanyakkan istighfar dan bertaubat daripada dosa dan kesalahan semoga kita tersebut dalam golongan yang mendapat keampunan daripada Allah SWT.



Monday, June 17, 2013

Lagi Masalah Haid Bagi Jemaah Wanita Yang Sedang Berihram

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه


Assalamu'alaikum wbt

Baru-baru ni saya mendapat satu email daripada seorang jemaah yang bertanyakan tentang masalah haid semasa umrah. Saya rasa elok saya kongsikan masalah tersebut di sini sebagai panduan kepada bakal-bakal jemaah wanita yang akan melakukan umrah atau haji pada masa hadapan.  Saya harap posting saya ini tidak disalah anggap untuk memalukan si pengirimnya.


Email tersebut (setelah diedit) adalah seperti berikut:
Salam. Ustaz, saya telah menunaikan umrah. Kami masuk ke Mekah dahulu. Pada masa tersebut saya dalam keadaan uzur hari ke 8. Tetapi saya tetap berniat ihram biasa. Pada hari ke 10 darah masih lagi keluar. Ada seorang ustaz memberitahu kalau darah keluar melebihi daripad kebiasaan haid maka ia dikira sebagai istihadah. Kebiasaannya haid saya akan kering pada hari ke 7. Maka pada hari ke 10 saya mandi wajib dan mengerjakan umrah walaupun pada masa itu darah masih ada lagi. Sekarang saya dah balik ke Malaysia. Persoalannya betul tak pendapat ustaz tersebut yang mengatakan darah itu adalah darah istihadah? Kalau ia masih lagi di kira haid adakah saya masih lagi dalam keadaan berihram dan apa yg perlu saya lakukan ustaz? Mohon penjelasan drpd ustaz.
Bagi memudahkan kita memahami perkara di atas, saya perincikan turutan peristiwa sebagai berikut:

M1. Jemaah berniat ihram umrah (bukan ihram bersyarat) di miqat pada hari ke-8 haid dan masuk Makkah. Ini hari pertama di Makkah.

M2. Hari ke-3 berada di Makkah jemaah masih lagi uzur (haid masuk hari ke-10). Jemaah mandi wajib, tawaf, saie dan bergunting walaupun darah haid masih ada sebab menyangka bahawa darah tersebut ialah darah istihadah.


M3. Jemaah balik ke Malaysia. Apakah jemaah tersebut masih berihram atau tidak?


Jawapan saya:

J1: Menurut Imam Syafi'e, tempoh haid yang paling lama bagi seseorang wanita ialah selama 15 hari. Jika pada hari ke-16 dia masih lagi keluar darah, maka darah itu tidak dikira sebagai darah haid, sebaliknya sebagai darah istihadhah.

J2: Pada hari ke-3 berada di Makkah, jemaah tersebut haidnya baru masuk hari ke-10, dan darah tersebut bukanlah darah istihadah.  Oleh yang demikian, tawaf jemaah tersebut tidak sah. Begitu juga dengan sai'e, serta bergunting untuk tahallulnya tidak sah. Ini bermakna jemaah tersebut masih lagi dalam berihram. Oleh kerana beliau telah bergunting rambut selepas saie tersebut, maka beliau dikenakan dam takhyir dan taqdir iaitu menyembelih seekor kambing, atau bersedekah kepada 6 orang fakir miskin setiap seorang 2 cupak, atau berpuasa selama 3 hari.

J3: Oleh kerana jemaah tersebut telah balik ke Malaysia, maka untuk keluar daripada ihram, jemaah tersebut perlu membayar dam ihsar iaitu:

        1. Menyembelih seekor kambing dan kemudian bergunting rambut dengan niat tahallul. Daging sembelihan itu hendaklah diagihkan kepada penduduk tempatan.  

            2. Jika tidak mampu, hendaklah membeli makanan dengan nilai seekor kambing dan bergunting dengan niat tahallul, dan makanan itu dibahagikan kepada fakir miskintempatan.


            3.  Jika tidak mampu juga, hendaklah berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengannilai seekor kambing (1 cupak=1 hari) danbergunting dengan niat Tahallul.  Dengan berpuasa dan bergunting dengan niat Tahallul ihsar itu, maka terhasillah Tahallulnya sekalipun bilangan hari puasanya belum selesai.

J4: Setelah suci daripada haid dan mandi hadas, ia hendaklah kembali semula ke Makkah untuk menyempurnakan amalan umrahnya iaitu tawaf, saie dan tahallul. 

Niat semasa menyembelih kambing: "Aku menyembelih kambing ini sebagai Dam Ihsar untuk Tahallul Nusuk bagi diriku."

Niat semasa bergunting: "Aku bergunting bagi Tahallul Nusuk bagi diriku."


Wallahu'aklam. Jika maklumat di atas tidak betul harap tolong betulkan.


Sekian, wasalam.

Entri-Entri Berkaitan Masalah Haid Semasa Umrah Dalam Blog Ini:

1. Satu Persoalan Mengenai Haid Semasa Sedang Berihram, Kemudi Suci Kemudian Haid Semula

3. Niat Ihram Bersyarat

2. Amalan Memberhentikan Haid Sementara Waktu

3. Masalah Tawaf Bagi Jemaah Wanita Yang Haid/Nifas