السَّلاَمُ
عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ
وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه
Bandung 30/11/12.
agi itu kami bangun sekitar jam 3.30 pagi untuk bersiap-siap solat
subuh. Waktu di Bandung lewat satu jam daripada waktu di Malaysia. Subuh masuk
pada pukul 4.04 pagi dan matahari terbit pada jam 5.18 pagi.
Ketika azan dilaungkan, saya bergegas ke masjid, tetapi baru beberapa
langkah berjalan saya berpatah balik untuk mengambil blazer sebab udara pagi di
Bandung ketika itu sangat dingin – mungkin sebab malam itu hujan. Masjid yang
saya tuju terletak betul-betul di belakang Hotel Kenangan. Pagi itu solat subuh
diimamkan oleh seorang anak muda yang bersih mukanya. Usai solat saya duduk
sebentar di masjid berbual-bual dengan imam muda tersebut. Anak muda itu
bernama Rizal, berasal dari Padang, Sumatera Barat dan dia membuka sebuah toko
menjual bag di Jalan Kepatihan.
|
Masjid At-Taqwa di belakang Hotel Kenangan |
Setelah itu saya pulang ke hotel menjemput isteri untuk mencari warung atau restoran
untuk sarapan. Walaupun pihak hotel ada menyediakan sarapan percuma kepada
tetamu iaitu nasi goreng atau roti bakar, tetapi saya ada sedikit keraguan
tentang satus halalnya sebab owner hotel ini adalah seorang Chinese berugama
kristian. Pekerja-pekerjanya ada yang muslim dan non-muslim. Jadi untuk
mengelakkan keraguan kami mencari warung atau rumah makan di sepanjang jalan
menuju stesyen keretapi Bandung. Ternyata rumah-rumah makan di sepanjang jalan
tersebut agak kotor, lantas kami masuk ke kiosk di stesyen keretapi untuk membeli
air mineral dan buah-buahan. Kami balik
semula ke hotel dan sarapan kami pagi itu ialah Nescafe, roti yang dimakan dengan
serunding yang kami bawa dari Malaysia dan buah-buahan yang di beli di stesyen keretapi Bandung.
Sekitar jam 9.00 pagi kami menaiki beca menelusuri Jalan Tamblong menuju
Jalan Asia-Afrika untuk melihat bangunan-bangunan lama dan bersejarah di Bandung.
Di Jalan Tamblong, perhatian saya tertarik kepada sebuah rumah kedai yang
berwarna merah menyala tetapi di bahagian atasnya ada lukisan berbentuk kubah
masjid. Di bahagian hadapannya tergantung sebuah poster bertulis “Selamat Hari
Raya Idul Adha. Masjid Lautze 2 Bandung”. Lantas saya meminta pengayuh beca
berhenti bagi membolehkan saya membuat penelitian lebih dekat lagi terhadap
masjid tersebut. Nasib saya baik sebab pada masa itu terdapat seorang petugas sedang duduk berhampiran dengan pintu masjid. Setelah memberi salam saya minta kebenaran untuk melihat bahagian dalam masjid. Ternyata bahagian dalam masjid juga dicat dengan warna merah menyala. Ruangan solatnya agak kecil iaitu sekitar 7x6 meter persegi dan diperkirakan hanya dapat menampung lebih kurang 50 orang jemaah. Menurut maklumat daripada Internet, masjid tersebut didirikan oleh masyarakat China di Bandung pada tahun 2007.
|
Masjid Lautze 2 bandung |
|
Bahagian dalam masjid Lautze 2 |
Saya melanjutkan perjalanan menelusuri Jalan Tamblong hingga kami sampai ke Jalan Asia-Afrika. Di sepanjang Jalan Asia-Afrika ini terdapat banyak bangunan-bangunan lama zaman kolonial Belanda yang mempunyai corak art-deco yang menarik. Antara bangunan bersejarah yang sempat saya lawati ialah Gedung Merdeka dan Museum Konferensi Asia Afrika.
|
Bangunan peninggalan kolonial Belanda tahun 1829
Warenhuis De Vries bermaksud Supermarket De Vries |
|
Museum Konferensi Asia Afrika yang terletak di persimpangan
Jalan Braga dan Jalan Asia Afrika. |
|
Kami meletakkan beca di bangunan Gedung Merdeka. |
|
Beca yang kami naik. Kelihatan penarik beca sedang berdiri di sebelah kanan |
|
Gedung PLN yang mana di dalamnya terdapat
sumur Bandung iaitu perigi yang pertama di Bandung. |
|
Sungai Cikapundung |
Setelah mengambil foto bangunan-bangunan bersejarah tersebut, kami melanjutkan perjalanan menaiki beca menelusuri Jalan Asia-Afrika, Jalan Alun-Alun Timur, Jalan Dalem Kaum, Jalan Otto Iskandardinata (Otista) dan Jalan Kepatihan dan akhirnya berhenti di Pasar Murah Kepatihan di hadapang King's Supermarket. Di Jalan Alun-Alun Timur iaitu berhampiran dengan Masjid Agung, tukang beca kami sengaja membawa kami menentang arus lalu lintas. sehinggakan kecut perut kami dibuatnya. Alhamdulillah, kami selamat sampai di tempat yang dituju. Jarak perjalanan yang kami tempuh ialah sejauh 4.2 km. Memandangkan kami naik beca 2 orang, saya menghulurkan IDR50,000 (RM16.00) kepada tukang beca. Dengan muka yang penuh senyuman, tukang beca menyambut note 50,000 tersebut sambil mengucapkan terima kasih.
|
Jalan Asia Afrika - foto diambil dari atas beca |
|
Beca kami sedang menentang arus lalu lintas
menuju Jalan Dalem Kaum |
|
Suasana di Jalan Dalem Kaum |
|
Pintu gerbang ke Makam para bupati Bandung |
|
Di hadapan pasar murah kepatehan di hadapan King Plaza |
Tujuan saya ke Pasar Murah Kepatihan ialah untuk bertemu dengan Rizal, iaitu pemuda yang mengimami kami semasa solat subuh pada pagi itu. Beliau berniaga di salah satu gerai di situ. Kami bertemu Rizal yang baru sahaja membuka kedainya dan isteri saya membeli beberapa buah bag tangan untuk dihadiahkan kepada guru-guru PASTI Asy-Syifa'. Berikut ilah gerai-gerai yang terdapat di pasar murah kepatihan.
|
Gerai-gerai di pasar murah kepatehan |
Selepas membayar harga bag-bag tersebut saya minta Rizal tolong hantarkan bag tersebut ke Hotel Kenangan pada waktu malam nanti sebab selepas ini kami akan ke Pasar Baru untuk berbelanja di situ.
Dari Pasar Murah Kepatihan, kami menapak berjalan kaki sejauh 750 meter ke Pasar Baru di Jalan Otista. Di Pasar Baru kami singgah di Toko Laris di lantai 1 untuk membeli telekong, kain sarung dan sejadah. Kemudian kami naik ke lantai 2 dan singgah di Toko Puteri Salwa untuk membeli beberapa pasang kain di situ. Kami menghabiskan masa lebih daripada 3 jam di Pasar Baru tersebut. Sebelum balik ke hotel kami makan tengahari di Gerai Kemangi di lantai 6. Hidangan tengahari tersebut, antara lain ialah ikan gurame bakar yang sungguh enak. Setelah makan tengahari, kami menapak balik ke Hotel Kenangan sejauh lebih kurang 500 meter. Di persimpangan jalan ke Hotel Kenangan saya berjumpa dengan penarik beca yang kami membawa kami bersiar-siar pada pagi tadi sedang bermain catur. Nampak gayanya, setelah mendapat IDR50,000 dia sudah boleh berehat pada hari itu memandangkan adalah agak sukar untuk mendapatkan pelanggan sebab terlalu ramai penarik beca di Bandung.
|
Keluar daripada Pasar Murah Kepatihan |
|
Deretan beca sedang diparkir menunggu pelanggan |
|
Penjual tauhu di Jalan Otista.
Kayu yang dipegang itu digunakan untuk memikul barang jualan. |
|
Kedai-kedai di sepanjang jalan Otista |
|
Bangunan pasar baru mula kelihatan - dilihat dari Jalan Otista |
|
Salah satu kedai di Pasar Baru. Isteri saya borong kain di sini. |
|
Makan tengahari di gerai Kemangi di tingkat 6 Pasar Baru |
|
Antara menu yang terdapat di kedai makan Kemangi |
Di bawah ini adalah jejak laluan kami pada hari kedua di Bandung yang mana kami telah menempuh perjalanan sejauh 5.5km iaitu 4.2km adalah menaiki beca dan 1.3km dengan berjalan kaki.
Sekian dari saya pada kali ini. Ikuti kisah berikutnya dalam entri Trip ke Bandung - Hari Ketiga.